25 Sep 2011

Satelit AS Jatuh Ke Bumi, Rakyat Malaysia Diminta Waspada

Satelit AS jatuh ke bumi

WASHINGTON - Sebuah satelit tamat tempoh seberat enam metrik tan milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) berkecai semasa memasuki atmosfera bumi pagi semalam dengan serpihan-serpihannya jatuh bertaburan di rantau Lautan Pasifik.

GAMBAR UARS yang sempat dirakamkan di ruang udara Belanda pada 18 Jun 2010.

Pusat Operasi Bersama Angkasa Lepas AS dan NASA dalam satu kenyataan memberitahu, serpihan-serpihan satelit sebesar sebuah bas itu tidak semestinya menjunam ke dalam laut tetapi mengesahkan ia jatuh dalam kawasan seluas 800 kilometer persegi di rantau Pasifik.

Setakat berita ini ditulis, pihak berkuasa belum ada mengenal pasti lokasi yang tepat tempat serpihan-serpihan tersebut jatuh.

GAMBAR satelit UARS yang dikeluarkan oleh NASA selepas ia jatuh ke bumi kelmarin. - AFP

Menurut kedua-dua agensi AS itu, satelit sepanjang 11 meter itu jatuh antara pukul 1.23 petang (5.09 petang semalam waktu Malaysia).

Semasa menembusi atmosfera bumi, ia berkecai kepada lebih 100 kepingan tetapi cuma sekitar 26 kepingan logam berat dengan serpihan terbesar seberat 135 kilogram dijangka menjunam ke bumi.

NASA meramalkan kelajuan serpihan satelit itu apabila memasuki ruang udara ialah kira-kira 109 meter sesaat.

NASA sebelum ini meramalkan satelit yang dikenali sebagai Satelit Penyelidikan Atmosfera Amerika Syarikat (UARS) itu jatuh ke bumi seawal Khamis lalu. -kosmo

Orangramai Diingatkan Jangan Sentuh Objek Luarbiasa

KUALA LUMPUR: Agensi Angkasa Negara hari ini menasihatkan orang ramai agar tidak menyentuh, mengambil atau menyimpan objek luar biasa yang ditemui kerana berkemungkinan ia serpihan satelit milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).

Sebaliknya, agensi itu dalam satu kenyataan di sini meminta agar penemuan berkenaan dimaklumkan kepada mereka bagi tindakan lanjut.

Laporan NASA yang dipetik collectSPACE.com menyatakan satelit seberat enam tan yang dilancar pada 1991 itu jatuh ke bumi antara lewat Jumaat dan awal Sabtu.

Satelit itu dilapor memasuki atmosfera bumi dan jatuh melepasi Lautan Pasifik dengan waktu dan lokasi sebenar belum diketahui dengan tepat. - BERNAMA


Tiada ulasan: