6 Jul 2011

Titah Agong Disambut Baik, Padamkan Provokasi Melampau Terhadap Himpunan Bersih

Titah YDPA Disambut Baik, Redakan Kemarahan Rakyat

SHAH ALAM 5 JULAI : Titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang menegur kedua- dua pihak bersabit penganjuran himpunan BERSIH 2.0 disambut baik oleh semua pihak.

Tentunya titah baginda ditafsir menerusi pelbagai versi, namun yang pasti mesej yang ringkas lagi padat itu meredakan kemarahan rakyat yang semakin meluap- luap dengan provokasi melampau yang dikenakan ke atas himpunan aman itu.

Turut menjunjung titah, ADUN Hulu Kelang, Shaari Sungib.

Beliau berkata, titah baginda yang menegur kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Najib Razak agar melaksanakan tugas dengan adil seperti mana yang diamanahkan rakyat jelata membuktikan baginda melampaui mana- mana parti politik.

Shaari menambah, kerajaan pemerintah juga perlu jelas akan sempadan kuasa mereka yang turut terikat pada Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, mereka tiada hak untuk menghalang dan menangkap rakyat negara ini yang menyertai mana- mana himpunan aman selain berhak menyatakan pendapat terhadap apa- apa isu.

"Hak kebebasan rakyat untuk berhimpun secara aman tanpa senjata, itu kena dikompromikan dan diselaraskan. Sudah pasti kerajaan bertanggungjawab menjaga keamanan kerana tidak boleh dikaitkan dengan satu aktiviti yang sudah pasti berlaku jenayah, sedangkan sudah termaktub dalam perlembagaan kuasa dan bidang tugas menjaga keamanan itu tertakluk kepada kerajaan,"
katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas tindakan kerajaan pemerintah yang sewenang- wenangnya mengenakan Ordinan Darurat terhadap ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang kononnya cuba menghidupkan fahaman komunis melalui himpunan BERSIH 2.0.

Ujar beliau tindakan yang dilakukan ini bertujuan untuk menimbulkan perasaan takut kepada rakyat terhadap penguatkuasaan undang-undang sekaligus mencabul hak asasi manusia.

"Tidak ada peruntukkan menangkap orang sebelum melakukan sesuatu, polis ambil tindakan itu atas peruntukkan apa? Kalau nak ada pun di bawah ISA ordinan darurat, tapi kita tahu undang-undang ISA itu zalim dan dibenci oleh rakyat dan undang-undang ini tak patut wujud."


Sabtu lalu, polis menahan ahli parlimen Sungai Siput Dr Jeyakumar Devaraj dan lima anggota PSM atas dakwaan cuba menghidupkan fahaman Komunis meskipun berkali- kali dinafikan pemimpin PSM yang lain. -tvsnews



Ulasan GB

Akhirnya Himpunan Bersih 2.0 menjadi begitu bersih - akan ke stadium untuk berhimpun.

Hasil daripada tindakan kerajaan dan polis, apa yang jelas kini ialah BERSIH 2.0 mendapat publisiti percuma yang cukup meluas dan ia menimbulkan semangat yang lebih kuat kepada rakyat untuk menyertai perhimpunan hari Sabtu ini.

Setiap yang busuk dan yang jahat itu akhirnya akan sentiasa dikalahkan dengan setiap yang murni dan yang baik. Itu adalah hukum alam. Segala provokasi dan tohmahan liar yang bukan-bukan dilemparkan ke atas BERSIH 2.0 akhirnya akan berbalik kepada pelemparnya.

Itu yang dinamakan "hikmah" - kebaikan yang tersembunyi di sebalik percubaan pihak tertentu untuk menconteng arang ke arah penganjuran BERSIH 2.0.

Itulah sunnatullah - yang tidak akan berubah sepanjang zaman.



Tiada ulasan: