4 Mei 2011

[Bergambar] Tragedi Ulu Bendul: Dua Mayat Kanak-kanak Ditemui

Kuala Pilah: Mayat dua daripada tiga kanak-kanak yang lemas dibawa arus deras ketika mandi sungai bersama keluarga mereka di Hutan Lipur Ulu Bendul dekat sini petang semalam ditemui pagi Rabu.

Gambar: WAN Azleela Wan Abdullah, 32, (ibu mangsa lemas), hampir pengsan tidak dapat menahan sedih ketika melihat jenazah dua anaknya dari tiga beradik yang mati lemas di Hutan Lipur Ulu Bendul, malam tadi. Abangnya, Wan Aziz Wan Abdullah, 38 (kanan) dan saudara menenangkan ahli keluarganya di rumah abang ipar beliau di Senawang, Seremban, hari ini. - Foto Owee Ah Chun

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Supt Jaafar Baba berkata mayat Nursyaza Alisa Syed Ahmad, 5, ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat pada 3.15 pagi kira-kira 500 meter dari tempat kejadian manakala mayat adiknya, Nursyaza Azira, 4, pula ditemui oleh pasukan yang sama pada 10.20 pagi, 2.5 kilometer dari tempat kejadian berhampiran Sekolah Kebangsaan Ulu Bendul.

Katanya mayat kedua-dua kanak-kanak itu, yang dicam oleh ahli keluarga mereka, kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah di sini.

Jaafar berkata usaha mencari adik kepada kedua-dua kanak-kanak itu, Nursyaza Sakina, 2, diperhebatkan membabitkan 100 anggota bomba, Jabatan Pertahanan Awam,Rela, polis, tentera, Jabatan Perhutanan dan penduduk kampung.

Dalam kejadian pada 5 petang semalam, tiga kanak-kanak itu hanyut dibawa arus deras ketika sedang mandi manda di kawasan perkelahan popular itu.

Bapa mereka, Syed Ahmad Ibrahim, 28, dan seorang kenalan wanitanya, Alwani Abu Hassan, 19, yang turut dihanyut arus deras, diselamatkan oleh orang ramai yang berada di kawasan berkenaan.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan melawat tempat kejadian hari ini dan mengucapkan takziah kepada keluarga Syed Ahmad.

Katanya kerajaan negeri akan uruskan bantuan kepada keluarga terbabit.

Beliau berkata kejadian arus deras jarang berlaku di kawasan sungai Ulu Bendol tetapi akibat hujan lebat di hulu sungai, ia telah menyebabkan terjadi apa yang dipanggil "kepala air".

Pengarah Perhutanan Negeri Roslan Ariffin, yang turut hadir, berkata pihaknya akan berbincang dengan Jabatan Pengairan dan Saliran untuk memasang sistem amaran awal di sungai kawasan perkelahan di seluruh negeri.

Katanya sistem amaran ini akan berbunyi apabila paras air sungai naik mendadak untuk memberikan kesempatan kepada orang ramai untuk beredar dan menyelamatkan diri.

"Kita juga akan memasang papan tanda amaran agar tidak mandi di kawasan berkenaan terutama ketika musim hujan," katanya.-BERNAMA









1 ulasan:

grand berkata...

salam kepada semua dan juga pada penulis..saya adalah keluarga sebelah said ahmad amat berterima kasih atas penulisan cerita ini kerana menulis cerita ini secara yang betul..tidak kepada seseparuh blog dan akhbar..kami masih teruskan pencarian walaupun dalam keadaan sedih dan hiba...