3 Okt 2011

PR Namakan Dr.Hatta, Antony Loke & Azmin Untuk PSC, Bersih Bagi PSC Peluang [updated]

Dr Hatta, Azmin, Antony Loke wakil Pakatan di PSC

Pakatan Rakyat hari ini mengulangi pendirian mereka menyokong pembentukan Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen berhubung pembaharuan dalam sistem pilihan raya di negara ini tetapi menegaskan bahawa tindakan itu tidak sepatutnya dijadikan alasan bagi Suruhanjaya Pilihan Raya bagi tidak melaksanakan reformasi atas usaha mereka sendiri.

“Kami tidak mahu PSC dijadikan sebagai alasan kepada SPR untuk menangguh, menunggu dan tidak melaksanakan sebarang reformasi,” kata ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada siadang media bersama dengan PAS dan DAP di dewan Rakyat hari ini.

Beliau juga mengumumkan bahawa tiga perwakilan dari Pakatan akan menganggotai jawatankuasa berkenaan.

“Dari PKR adalah Azmin Ali, dari PAS pengarah pilihan rayanya, Dr Hatta Ramli dan dari DAP pula adalah juga pengarah pilihan rayanya Anthony Loke,” katanya.

"Pendirian Pakatan Rakyat sepakat untuk beri laluan dan kerjasama. Serta saya ingatkan jangan jadikan alasan melengahkan dan untuk ketepikan tuntutan BERSIH.

"Jaminan belum ada. Kalau Perdana Menteri serius dia patut bangun dan pertahankan prinsip SPR yg bebas dan adil," katanya.

Sebelum itu Anwar pada sidang Dewan Rakyat hari ini mempersoalkan peranan SPR yang mengabaikan tanggungjawab untuk menguruskan pilihan raya secara adil dan bersih.

Beliau menyatakan SPR seolah-olah mengambil sikap bersahaja terhadap tuntutan gabungan BERSIH 2.0 pada Julai lalu. -mk

Bersih "bagi can" kata PSC

Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan menyeru gerakan-gerakan awam supaya menerima ‘tanpa prasangka’ hasrat kerajaan persekutuan untuk membaikpulih sistem pilihan raya, sebelum mengambil tindakan susulan seperti mengadakan satu lagi perhimpunan.

Ambiga berkata jawatankuasa terpilih parlimen (PSC) yang akan ditubuhkan bagi objektif itu harus diberi peluang untuk menjalankan tugas mereka.

Disamping itu PSC juga perlu berjumpa dengan Bersih bagi membincang cara terbaik bagi membaiki kelemahan sistem yang ada seperti senarai pemilih yang didakwa penuh dengan pengundi hantu dan proses undi pos yang tidak telus, Ambiga berkata.

“Kita patut memberi peluang dan tengok kalau mereka serius dalam melaksanakan tuntutan kita. Kita percaya kes kita kukuh, kita tengah menyediakan kes kita dan kita berharap PSC bertemu dengan kita. Kalau tidak kita akan dedahkan hasil siasatan kami (di dalam sistem pilihan raya) akan kami dedahkan.

Ambiga berkata demikian dalam sesi soal-jawab pada festival filem ‘Freedom Film Fest 2011 di sini semalam.

Seorang peserta mengemukakan soalan apakah tindakan pergerakan itu selepas perhimpunan besar-besaran yang disertai gerakan-gerakan awam dan pemimpin Pakatan Rakyat yang di adakan di Kuala Lumpur pada 9 Julai.

Hasil daripada tekanan perhimpunan itu, kerajaan persekutuan Barisan Nasional membentuk PSC.

Tetapi, pembentukan badan itu dipersoal kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak enggan memberi jaminan bahawa apa-apa cadangan atau keputusan PSC akan dilaksanakan sebelum pilihraya ke-13.

Jika pilihan raya terus diadakan tanpa pembaikpulihan, Ambiga berkata, cara paling berkesan untuk menangani penipuan pilihan raya adalah dengan menyeru rakyat Malaysia supaya keluar mengundi secara besar-besaran.

Salah satu cara untuk membanteras penipuan adalah dengan keluar untuk mengundi secara besar-besaran. Kerana orang boleh menipu dengan bilangan yang kecil seperti seribu atau dua ribu (undi) tetapi kalau kita membanjiri sesuatu kawasan itu, kita boleh mengurangkan penipuan.




1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

maaflah, wa mcm kurang percaya dgn langkah umno bn buat psc ni. mengapa bersih dan pr terlalu naif? ikut saja rencana umno/bn? bukankah patut kita teruskan BERSIH 3.0?