11 Okt 2011

Jenazah Wanita Malaysia Jatuh Dari Hotel Selamat Dikebumikan, Suami Teruskan Ibadah Haji

Lembaga Urusan Tabung Haji sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Arab Saudi bagi menyiasat kes kematian seorang jemaah haji wanita dari Malaysia akibat jatuh dari bangunan hotel penginapannya di Madinah Sabtu lepas.

Rohani Mohammad Kasim, 39 tahun dari Shah Alam, dilaporkan jatuh dari tingkat sembilan Hotel Al-Haram, Madinah Sabtu lalu.

Jenazah Allahyarhamah selamat dikebumikan di Perkuburan Baqi' berdekatan Masjid Nabawi, demikian menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera teruk di kepala kira-kira jam empat petang waktu tempatan.

Allahyarhamah mengerjakan Haji di tanah suci bersama suaminya Mohd Nasir Abdullah, 54 tahun melalui pakej diuruskan Lembaga Tabung Haji.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Syed Salleh Syed Abdul Rahman berkata pihaknya juga sedang mengumpul segala maklumat berhubung kejadian itu di samping berusaha menghulur bantuan buat suami wanita berkenaan.

Katanya petugas Tabung Haji dan guru-guru agama sedang memberi kaunseling serta bimbingan dan sokongan kepada suami wanita itu, dan juga tiga rakan sebilik wanita berkenaan.

“Kejadian berlaku semasa jemaah wanita itu tinggal berseorangan ketika tiga teman sebiliknya sedang mengerjakan solat Asar di Masjid,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata insiden itu tidak menjejaskan operasi haji jemaah dari Malaysia, dan menurutnya beliau difahamkan suami wanita itu akan meneruskan ibadah hajinya.

Syed Salleh berkata wanita itu bersama suaminya yang tiba di Madinah pada 3 Oktober lepas, pada mulanya dijadual akan berlepas ke Mekah hari ini.

Menurutnya suami wanita itu sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Arab Saudi dalam membantu siasatan.

Jamil Khir berkata, kerajaan kini menunggu laporan lengkap siasatan daripada polis Arab Saudi berkenaan kes itu.

"Kita masih menunggu, belum dikeluarkan lagi sebarang laporan lengkap daripada pihak keselamatan dan polis Arab Saudi. Saya sudah pun menghubungi wakil kita dari Tabung Haji yang berada di Madinah yang memaklumkan bahawa kita masih menunggu laporan," katanya.


Tiada ulasan: