1 Sep 2011

Kemaafan, Dendam Yang Terindah - Ayah Ayu Maafkan Pembunuh Anaknya

Skudai – Keluarga mangsa kerat dan bakar, Nurrahayu Qomarodin atau Ayu telah memaafkan pembunuh kejam anak mereka sempena Syawal yang mulia ini.

Kemaafan itu diluahkan bapa Allahyarham Ayu, Qomarodin Bajuri, 47, yang sedikit pun tidak menyimpan dendam terhadap pembunuh anak gadis kesayangannya dan menganggap insiden 4 Julai lalu, mempunyai hikmah di sebaliknya.

“Saya orang yang pemaaf, saya tidak pernah menyimpan dendam. Walaupun anak saya dibunuh dengan kejam dan tragik, saya maafkan beliau.

“Jauh dari sudut saya, saya tahu dia (pembunuh) tidak berniat mencederakan dan membunuh Ayu, kerana saya kenal beliau. Hampir setiap hari saya memberi beliau makan dan minum tidak kira pagi dan malam, apa yang dilakukannya (pembunuh) hanya sebab terdesak,” katanya kepada Sinar Harian di rumahnya di sini, baru-baru ini.

Qomarodin mengakui mengenal pengawal keselamatan yang didakwa membunuh Ayu di dua lokasi berasingan di sebuah Ladang Kelapa Sawit dan Tanah Perkuburan Hindu, Masai, sejak lima bulan sebelum kejadian ngeri itu.

Katanya, biarpun dalam dirinya tidak terpalit dendam, namun dia menganggap hukuman undang-undang yang akan dikenakan ke atas pembunuh Ayu sebagai pembalasan atas perbuatannya. -SH

Tiada Ayu, tiada persiapan

Biarpun sudah memaafkan pembunuh Ayu, Qomarodin berkata, beliau sekeluarga telah berpindah dari penempatan lama di Masai ke Skudai, kerana tidak mahu terus mengenang kisah sedih tersebut, apatah lagi isterinya Umidah Setu akan dicuit emosi setiap kali melintas pondok keselamatan di situ.

Qomarodin berkata, hikmah di sebalik kejadian itu, beliau telah membayar upah umrah dan haji untuk Ayu malah bersedekah hasil jualan tanah titik peluh pertolongan Ayu membantu beliau suami isteri berniaga kepada anak-anak yatim.

Biarpun telah lama memaafkan pembunuh Ayu, namun jauh di sudut hati Qomarodin, kerinduan terhadap anak gadisnya tidak dapat dibendung.

“Beliau anak kesayangan saya dan isteri kerana sifatnya yang mendengar kata dan berani juga ringan tulang.

“Saya yakin Ayu juga memaafkan pembunuh kerana beliau memiliki hati pemaaf seperti saya, malah setiap hari saya akan mendapat imbasan bayangan Ayu yang sentiasa tersenyum,” katanya dengan nada sendu.

Sementara itu, sempena kedatangan Syawal ini, Qomarodin berkata, tiada persiapan atau sambutan yang besar akan dibuat, kerana selalunya Ayu yang gemar menguruskan hal berkaitan pakaian dan kuih-muih dan sebagainya.

Katanya, ketiadaan isterinya yang pulang ke Indonesia atas urusan keluarga juga, membuat beliau menyambut cara bersederhana, namun akan menziarah kubur Ayu di pagi raya dan hanya akan pulang ke Indonesia seminggu selepas perayaan.

Ayu minta RM70 pada hari terakhir

Menceritakan detik hitam itu, katanya, pada petang hari kejadian, Ayu pulang ke rumah meminta wang saku RM70 kerana Ayu tinggal bersama ibu angkatnya di Skudai.

Hari itu juga merupakan kali terakhir dia menamui Ayu.

Sementara itu, ibu saudara Ayu, Siti Qatimah Paimin, 51, yang telah 10 tahun tinggal bersama Ayu di sini, menganggap Ayu anak gadis yang ceria dan baik.

“Petang hari kejadian, saya ada nasihatkan dia (Ayu) agar tidak keluar malam, kerana khuatir akan keselamatannya, namun Ayu hanya mengangguk.

“Saya tidak sangka perkara yang sering saya takuti selama ini benar-benar jadi kenyataan, namun saya redha akan pemergiannya,” katanya.

Beliau juga sependapat dengan bapa Ayu, jika kemarahan terus dipendamkan, Ayu tidak mungkin akan kembali, dan apa yang terjadi merupakan takdir buat anak buahnya.

Manakala, bagi ibu angkat Ayu sejak dua tahun lalu, Juliana Jumail, 35, kehilangan Ayu masih berbekas di hatinya.

“Jika diikutkan tahun ini Ayu rancang untuk ikut saya pulang ke kampung di Air Hitam, Batu Pahat malah Ayu pernah menyatakan hasratnya untuk memakai pakaian sedondon dengan kami sekeluarga, namun semua tidak kesampaian.

“Istilah maaf itu, memang kami maafkan cuma kami tetap mahukan pembalasan setimpal terhadap pembunuh Ayu atas perbuatan kejamnya,” katanya.

Juliana berkata, kehadiran Syawal ini beliau teringat akan kuih kegemaran Ayu iaitu tat nenas dan kek.


BERITA SEBELUM INI
Sila klik untuk baca sepenuhnya


ayu qamarodin


Ulasan GB

Memang pahit untuk terima kenyataannya, namun buat seorang ayah yang pemaaf yang anaknya telah dibunuh kejam, GB doakan semuga Allah melimpahkan pahala yang berpanjangan lantaran sikap sabar, tabah dan pemaafnya.

Dari Imam Abu Daud dari Jabir bin Abdullah, diriwayatkan bahawa seorang perempuan yahudi telah menghadiahkan Rasulullah S.a.w daging kambing yang sudah dimasak. Hadiah tersebut diterima oleh Rasulullah tanpa menyedari daging kambing tersebut telah diracuni. Namun sebaik sahaja baginda mengunyahnya untuk memakan daging tersebut, baginda terus memuntahkannya kerana baginda mengetahui bahawa daging tersebut mengandungi racun. Walaupun perbuatan perempuan yahudi itu membahayakan baginda, tetapi baginda tidaklah menjatuhkan hukuman kepadanya, sebaliknya memberi kemaafan kepadanya.

Begitu juga kisah seorang yang amat memusuhi Islam dan banyak menyakiti hati kaum muslimin dan pernah menyakiti puteri Rasulullah S.a.w, Zainab r.a.

Kisah ini terjadi apabila unta yang dinaiki oleh Zainab r.a dalam perjalanan ke Madinah dipanah oleh Hubar sehingga menyebabkan unta itu jatuh lalu mati.

Diriwayatkan pada ketika itu, Zainab r.a pada sedang sarat mengandung. Dia terhumban dari atas unta menyebabkan kandungannya gugur. Namun setelah peristiwa pembukaan Mekah, Hubar menemui Rasulullah S.a.w untuk memohon maaf daripada baginda dan baginda memaafkannya. Hubar kemudiannya melafazkan syahadah dan menjadi penganut Islam.