2 Jun 2011

Mentimun Mengandungi Virus E-Coli, Sepanyol Timbang Untuk Saman Jerman

Berlin: Pusat Kawalan Penyakit Jerman masih belum dapat mengenal pasti punca wabak Sindrom Hemolitik-Uremik (HUS) yang sudah menyebabkan kematian 16 orang di utara Eropah, ketika negara itu melaporkan 365 kes baru E.coli semalam.

Sebanyak 25 peratus daripada kes terbaru membabitkan kes HUS yang menyebabkan komplikasi darah dan buah pinggang akibat jangkitan E.coli, kata Institut Robert Koch Jerman.

Wabak HUS itu yang terbesar pernah dialami Eropah, dipersalahkan terhadap kematian 16 orang di benua itu yang kebanyakannya baru kembali daripada kunjungan ke utara Jerman.

Setakat ini lebih 1,500 kes E.coli/HUS dilaporkan di Jerman dan pihak berkuasa masih belum mengenal pasti sumber jangkitan berkenaan
.

Menteri Perlindungan Pengguna dan Pertanian Jerman Ilse Aigner menolak kritikan bahawa Jerman tersilap dalam menyalahkan timun dari Sepanyol sebagai sumber bakteria E.coli bahaya berkenaan.

“Siasatan mendapati bakteria E.coli dalam timun Sepanyol dan mengikut peraturan Eropah, kami perlu mendedahkan hasil siasatan itu segera,” kata Aigner.

Namun pihak berkuasa di Hamburg Selasa lalu berkata E. coli yang ditemui dalam timun Sepanyol itu bukanlah jenis bahaya yang menyebabkan HUS.

Sepanyol semalam berkata ia sedang menimbang untuk menyaman pihak berkuasa di Jerman berikutan petani di negara itu rugi 200 juta Euro (RM863 juta) seminggu dan krisis itu boleh menyebabkan 70,000 orang hilang pekerjaan. – AP/Agensi


Russia haramkan sayur-sayuran EU bimbang wabak HUS merebak

MOSCOW: Kerajaan Russia hari ini mengharamkan import sayur-sayuran segar dari negara Kesatuan Eropah (EU) kerana bimbang Sindrom Hemolitik-Ukremik (HUS) pada ketika Jerman masih belum dapat mengenal pasti punca sumber wabak itu yang sudah menyebabkan kematian 17 orang.

Ketika pengumuman pengharaman import itu, Pegawai Kanan Perlindungan Pengguna Russia, Gennady Onishchenko menghentam piawaian keselamatan makanan EU.

Russia sudah mengharam import sayur-sayuran dari Jerman dan Sepanyol. - REUTERS


Tiada ulasan: