26 Mei 2011

Ramai Kesal Sikap K/Tangan Hospital Universiti Malaya Biarkan Jenazah Johari Tanpa Diurus

Jenazah remaja tak diurus sebelum bedah siasat kedua

Jenazah Johari Abu Bakar, yang akan berusia 17 tahun bulan depan sebelum ditembak mati oleh polis pada 13 Mei lalu dibiarkan tanpa diurus di sebuah van semalam kerana kerana alasan birokrasi.

Menurut peguam keluarganya, Latheefa Koya, kakitangan Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC) enggan menempatkan jenazah itu di bilik mayat meskipun Mahkamah Tinggi awal semalam mengarahkan bedah siasat kedua dijalankan.

Latheefa berkata mayat remaja itu dibiarkan terdedah selama sekurang-kurangnya dua jam, apabila dia dibawa dari Hospital Serdang di mana ia disimpan sebelum ini pada jam 3 petang.

Jenazah itu masih disimpan di van berkenaan sehingga berita ini ditulis pada hari semalam.

Pada 6.40 petang, katanya terdapat bau yang kuat sehingga mengganggu pemandu van itu.

“Kakitangan itu meminta surat jaminan bahawa pihak hospital tidak akan dipersalahkan jika berlaku sebarang kerosakan.

“Kami disuruh berhubungan dengan satu pegawai kepada pegawai yang lain, (pihak hospital) kini sedang menyediakan kertas kerja tetapi mereka enggan bawa jenazah ke rumah mayat,” katanya apabila dihubungi.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengarahkan bedah siasat kedua dijalankan di UMMC dengan kehadiran seorang pemerhati bebas.

Polis mendakwa Johari, seorang pelajar sekolah menengah yang tercicir dan kemudiannya menjalankan kerja-kerja am ditembak mati apabila beliau melepaskan tembakan ke arah polis.

Mereka juga mendakwa remaja berkenaan sedang bersembunyi di sebuah hotel bajet di Dengkil setelah mencuri Toyota Alphard di Kelana Jaya pada 7 Mei.

Keluarga mangsa bagaimanapun curiga dengan punca kematian anak mereka dan mendakwa tubuhnya penuh dengan kesan lebam serta lengannya patah.

Mereka berharap untuk mengkebumikan anak mereka pagi ini.


Mahkamah benarkan bedah siasat

SHAH ALAM – Seorang suri rumah menyuarakan rasa syukur selepas permohonannya untuk menjalankan bedah siasat kedua terhadap mayat anak lelakinya yang ditembak polis di Dengkil 13 Mei lalu, mendapat kebenaran Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Hakim, Datuk Mohtaruddin Baki membuat keputusan itu terhadap permohonan Salmah Mohamed Shariff, 41.

Keputusan beliau sekali gus memberikan kebenaran kepada pakar patologi forensik dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), menjalankan pembedahan itu seperti dipohon Salmah.

Salmah memfailkan notis usul pada 19 Mei lalu supaya bedah siasat kedua dijalankan terhadap mayat anaknya, Mohamad Johari Abu Bakar, 17, bagi mengetahui punca sebenar kematian remaja itu.

Mayat Johari yang kini berada di Hospital Serdang didakwa mempunyai kesan lebam pada muka dan badan, manakala le-ngan kanan terkulai dipercayai patah.

Dia selaku plaintif menamakan Ketua Polis Dengkil sebagai defendan pertama, Ketua Polis Daerah Sepang defendan kedua dan Ketua Polis Negara sebagai defendan ketiga.

Dalam permohonan itu, Salmah turut mengemukakan usul supaya seorang pemantau bebas dan berkelayakan dibenarkan hadir semasa bedah siasat.

Selain itu, Salmah memohon laporan bedah siasat berserta semua dokumen lain berkaitan diserahkan kepada peguamnya, N Surendran dan Fadiah Nadwa Fikri.

Mohtaruddin dalam penghakimannya berkata, pihak Salmah, Hospital Serdang dan PPUM perlu mencapai persetujuan berhubung tempat dan prosedur bedah siasat itu dijalankan.

“Johari meninggal dunia pada 13 Mei lalu, sebagai Muslim saya bertanggungjawab memastikan mayatnya segera dikebumikan. Makin lama, makin seksa mayat itu.

“Mahkamah izinkan bedah siasat dijalankan, manakala kos ditanggung pemohon,” katanya.

Salmah di luar mahkamah berkata, dia bersyukur dengan keputusan itu dan berharap segala urusan berjalan lancar.

Menurutnya, keluarganya berada dalam dilema kerana dalam usaha menyegerakan urusan pengebumian, mereka terdesak mengetahui punca sebenar kematian Johari.

Kakak Johari, Siti Hasmah Kadarshah, 28, berkata, beliau bersedia menanggung segala kos asalkan bedah siasat berjaya dijalankan seperti dipohon.

“Kami langsung tidak tahu mengenai punca kematian Johari, malah masa Johari ditembak kami tidak dimaklumkan. Kami tahu berita itu melalui rakan arwah,” katanya.

Sementara itu, nenek Johari, Jamilah Mathisahiv, 56, berkata, dia sedih dengan cara kematian Johari yang menurutnya tidak sepatutnya berlaku.

“Kalau Johari salah, tangkap dia, kena penjara 7 tahun hingga 10 tahun pun tak apa, saya boleh datang tengok di penjara. Tapi kenapa tembak dia macam anjing,” katanya.


Ulasan GB

Karenah birokrasi dan sikap sambil lewa terhadap mayat seorang Islam yang tidak diurus dengan membiarkan mayat terdedah selama sekurang-kurangnya dua jam sehingga bau yang kuat amat dikesali dan wajar dikecam.

Pihak keluarga mangsa menuntut keadilan bagi pihak mangsa yang ditembak mati oleh polis kerana terdapat kesan lebam serta lengannya patah dan mahkamah telahpun membenarkan bedah siasat kedua dilakukan.

Justeru apa perlu lagi dilengahkan?


Tiada ulasan: