27 Feb 2011

PRK Merlimau: UMNO BN Amalkan Sistem Dinasti

PAS mendakwa BN yang diwakili Umno mengamalkan sistem dinasti iaitu turun temurun jawatan pemimpin, dari bapa turun ke anak.

Ketua Dewan Pemuda PAS Melaka, Kamaruddin Sidik mendakwa, amalan itu sudah lama dipraktikkan Umno dan dibuktikan dalam pilihan raya kecil Merlimau.

"Ini telah lama berlaku dalam Umno. Dari bapa kemudiannya diserahkan kepada anak seolah-olah perlakuan dalam satu dinasti.

"Orang ramai yang saya temui pun telah menyuarakan rasa tidak puas hati dengan perkara ini," katanya hari ini.

Kamaruddin merujuk mengenai pemilihan calon BN bagi DUN Merlimau, Roslan Ahmad, iaitu anak kepada bekas ADUN Sungai Rambai, Allahyarham Datuk Ahmad Ithnin.

Pandangan berkenaan diperkukuhkan lagi apabila calon berkenaan juga adalah dan anak saudara kepada bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Abu Zahar Ithnin
.

Kamaruddin berkata, ia berbeza dengan PAS yang meletakkan calon muda, Yuhaizad Abdullah, 38, di Merlimau kerana ia merupakan satu usaha parti itu mengetengahkan pemimpin muda.

Beliau menjelaskan, tindakan itu bertujuan untuk memberi peluang pemimpin muda seperti Yuhaizad, menimba pengalaman bertanding.

Menurutnya, walaupun muda, beliau yakin Yuhaizad mampu menggalas tanggungjawabnya sekiranya diamanahkan.

"PAS berharap pengundi di DUN Merlimau akan memberi peluang kepada beliau apabila tiba hari mengundi nanti.

"Kita telah mengemukakan calon yang terbaik, seorang calon yang kuat berdikari yang mampu memberikan yang terbaik kepada pengundi," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini pernah menjelaskan, pemilihan Roslan sebagai calon pilihan raya kecil itu dibuat berdasarkan merit.

Katanya, perhubungan dan pertalian tidak boleh diambil kira dan tidak dapat dielakkan malah yang penting adalah penilaian pucuk pimpinan terhadap beliau mengenai potensi calon itu sendiri.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

najib, khairy, mukhriz, hishamudin adalah bukti dinasti dalam UMNO!!!!!