18 Jan 2011

Ada Ular Sawa Melingkar Masa Makan Asam Pedas

Ular sawa disangka anakonda

MUAR – Kira-kira 20 pengunjung kedai makan Kilat Asam Pedas di Jalan Junid, di sini, terkejut apabila seekor ular sawa batik tiba-tiba menyusur masuk kedai berkenaan ketika mereka sedang menikmati juadah makan malam masing-masing.

Pada kejadian kira-kira jam 8.30 malam, kehadiran reptilia itu menjadikan suasana kedai makan berkenaan kecoh seketika kerana pengunjung ketakutan dan cuba melarikan diri.

Difahamkan ular sawa batik sepanjang 3.5 meter dan seberat lebih 40 kilogram itu secara tiba-tiba menyusur masuk ke dalam kedai berkenaan.

Reptilia itu dipercayai datang dari sebatang parit yang terletak di hadapan restoran berkenaan.

Pengunjung, Nasri Hamdan, 30, berkata, dia terkejut apabila ular itu tiba-tiba menjalar lalu cuba masuk ke dalam kedai.

“Pada mulanya kami menyangka anakonda yang menjalar masuk kedai makan untuk mencari makanan.

“Bagaimanapun, kehadirannya membuatkan suasana menjadi lintang pukang seketika. Namun reptilia itu yang mungkin terkejut dengan kehadiran orang ramai membuatkan ia menyusur semula masuk ke dalam parit,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, atas faktor keselamatan, dua pengunjung lain, Amiruddin Omar, 21, dan Kamal Ariffin, 29, memberanikan diri untuk menangkap reptilia berkenaan.

Masri berkata, usaha mereka berhasil dengan bantuan pengunjung lain apabila ular itu berjaya ditangkap dengan hanya menggunakan seutas tali dan karung guni.

“Selepas 30 minit, akhirnya haiwan ini berjaya ditangkap dengan selamatnya, malah kami tidak menggunakan sebarang peralatan khas, sebaliknya hanya berdoa saja bagi melemahkan reptilia ini,” katanya.

Amiruddin berkata, kemunculan ular sawa di kedai makan itu adalah kali kedua berlaku dalam masa setahun.

Menurutnya, ia dikatakan berpunca dari kedai yang terletak berhampiran sebatang parit. Malah kandang kambing dan reban ayam yang terletak di belakang kedai makan itu juga dikatakan punca mengapa reptilia itu boleh menyusur masuk ke dalam kedai.

Katanya, reptilia yang berjaya ditangkap pengunjung restoran itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Daerah Muar untuk diserahkan kepada Jabatan Perhilitan pada masa terdekat ini.

Jurucakap JPAM ketika dihubungi berkata, reptilia yang ditangkap pengunjung itu akan dilepaskan ke habitat asal serta jauh dari penempatan penduduk supaya ia tidak mengancam keselamatan orang ramai pada masa akan datang. -SH

Tiada ulasan: