6 Okt 2009

Era Najib Altantuya : PKR Buat Laporan Polis Terhadap Isu Poster Di Bagan Pinang

Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuat dua laporan polis berhubung kewujudan beberapa poster memburuk-burukkan kepim-pinan Pakatan Rakyat (PR) dan kehilangan papan tanda gergasi kempen untuk calon Pas bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan (DUN) Bagan Pinang.

Laporan berasingan dibuat Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Fariz Musa yang juga Pengarah Pilihan Raya AMK dan Ketua PKR Cabang Rembau, Badrul Hisham Shahrin di Balai Polis Telok Kemang, dekat sini kira-kira 5.30 petang, semalam.

Fariz berkata, beliau menemui beberapa poster yang bersaiz A3 yang dipasang merata-rata tempat sekitar Batu 4, di sini ketika dalam perjalanan untuk memantau pergerakan jentera pilihan raya.

“Poster berkenaan berunsur fitnah, berniat jahat serta boleh menjejaskan keselamatan dan perselisihan kaum termasuk pemimpin Pakatan Rakyat (PR). Ini merupakan satu propaganda yang dilakukan mereka yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Berikutan itu, beliau meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan tegas di bawah Seksyen 4(1) Akta Kesalahan Pilhan Raya 1954 kerana kesalahan mengembangkan perasaan jahat dan permusuhan.

“Sepatutnya poster-poster sebegini yang diturunkan SPR dan bukannya poster PKR atau DAP. Kita cabar kalau SPR telus, mereka perlu menurunkan kesemua poster yang memburukkan PR dalam tempoh 24 jam.

“Sekiranya tidak, petang esok (hari ini) kita akan jalankan operasi besar-besaran menurunkan semua poster memburukkan kita,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Balai Polis Telok Kemang, dekat sini semalam.

Sementara itu, Badrul Hisham pula berkata, beliau membuat laporan polis berhubung kehilangan dua daripada tiga papan tanda gergasi berukuran 15” X 15” milik PKR yang dipasang beberapa tempat di sini yang disedari pasukan aktivis mereka kira-kira 9 malam, kelmarin.


Tiada ulasan: