14 Sep 2009

Era Najib Altantuya : MIC Tidak Telus Abai Kebajikan Kaum India

Pada pemilihan Kongres India Se-Malaysia (MIC) Sabtu lalu, jawatan Timbalan Presiden berjaya dikekalkan penyandangnya, Datuk G. Palanivel yang menewaskan lawannya, Datuk S. Subramaniam.

Walaupun kemenangan ini bukan kejutan besar, namun impaknya agak mendalam kepada pengundi kaum India negara ini, khususnya di Selangor.

Ini adalah kerana pimpinan tertinggi parti MIC itu masih diterajui Datuk S.Samy Vellu, mantan Menteri Kerja Raya dengan hampir 30 tahun beliau memegang jawatan Presiden parti tersebut.

Ahli Dewan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manohran berkata demikian kepada Tv Selangor, ketika dihubungi melalui telefon berhubung pemilihan MIC yang berlangsung di PWTC, Sabtu lalu.

“Nampak ahli-ahli MIC masih tidak berubah, tidak mahu perubahan, masih mahu dijajah oleh Samy Vellu dan orang-orangnya. Nampaknya mereka tidak mahu menukar kehidupan mereka, kalau ahli MIC masih mewakili orang-orang yang tidak boleh membantu rakyat India, maka saya percaya ini tidak akan membawa apa-apa perubahan kepada kaum India”, kata Manoharan.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan pemimpin MIC yang menang supaya merapatkan barisan dan memenangi kembali sokongan masyarakat India di negara ini.

Bagaimanapun, saranan Najib ini tidak berlandaskan platform yang betul apabila MIC terus mengekalkan Samy Vellu untuk memimpin parti itu yang dilihat semakin nazak dan tahap pemikiran mereka jauh ketinggalan.

“Lebih baik ahli-ahli MIC bertukar fikiran dan masuk ke parti-parti lain seperti PKR, DAP dan sebagainya sebab saya percaya MIC tidak boleh membawa perubahan selagi mereka masih di bawah Barisan Nasional.

“Mereka tidak boleh bertahan lagi, sebab pada pilihanraya akan datang mereka akan hangus sama sekali, sebab MIC tiada lagi sokongan daripada kaum India, hanya orang-orang lama, orang-orang tua saja menyokong MIC, orang-orang muda, orang-orang yang berpelajaran dan orang-orang yang sudah sedar telah mula keluar daripada MIC”, jelas Manoharan lagi.

Dalam pada itu, katanya, terdapat segelintir barisan pimpinan parti MIC hanya memikirkan kepentingan diri sendiri tanpa mengambil berat nasib serta kebajikan kaum India yang masih ramai miskin, hidup terpinggir daripada pembangunan malah sesetengahnya pula masih memerlukan bantuan pendidikan, ekonomi dan sebagainya.

“Ramai yang masuk MIC sedikit-sedikit golongan muda yang cuba masuk MIC terbawa-bawa, mereka ingat mereka boleh masuk MIC untuk mencari kekayaan, itu satu pemikiran yang amat tidak baik, sebab saya percaya pemikiran sedemikian tidak boleh mendapat sokongan rakyat”, katanya. -TVS


Tiada ulasan: