Laporan itu dibuat di Balai Polis Laloh semalam.
“Laporan itu dibuat berhubung dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang menjanjikan pembinaan jambatan baru bagi merentangi Manek Urai Lama dengan Manek Urai Baru.
“Selain itu Muhyiddin juga menjanjikan Manek Urai akan dijadikan sebuah kota agropolitan sekiranya Barisan Nasional memenangi Pilihan Raya Kecil Dun Manek Urai pada 14 Julai 2009,”kata Penasihat Jentera pilihan raya PAS, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dalam satu sidang medianya.
Sementara itu, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, mencabar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya membuat siasatan berhubung janji Muhyidin itu.
Anwar merujuk kepada kenyataan Muhyidin Yasin, yang menawarkan untuk membina jambatan baru bernilai RM7 hingga RM10 juta di Manek Urai Lama sekiranya pengundi memberi kemenangan kepada BN pada pilihan raya kecil Dun Manek Urai.
“Dari sudut undang-undang ia adalah salah, dan saya cabar kalau SPRM betul-betul amanah, tangkap dan siasat Muhyidin kerana buat janji palsu.
“Kalau dia beranilah…Mana boleh kalau hendak jambatan pangkah Umno-BN. Pangkah BN pada 14 haribulan, 15 haribulan buat jambatan, begitu? Dia ingat bapak dia punya negeri,” katanya lantang disambut sorakan gemuruh penyokong yang hadir dalam ceramahnya sebelum ini.
Beliau bekata demikian ketika menyampaikan ceramahnya bersama Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, dan Penasihat parti DAP, Lim Kit Siang di hadapan 5,000 penyokong di kampung Peria dekat sini.
Manek Urai Lama terletak kira-kira 30 kilometer dari pusat bandar Kuala Krai. Ia bersempadan dengan Manek Urai Lama, yang dihubungkan dengan sebuah jambatan satu lorong sejauh 300 meter.
Sementara itu Nik Aziz menyeru supaya pengundi Manek Urai tidak mudah terpengaruh dengan janji manis BN waktu pilihan raya memandangkan banyak projek rasmi dilancarkan sebelum inipun belum ditunaikan.
“Janji kerajaan Barisan Nasional untuk membina jambatan merentasi sungai Kelantan ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri dulu masih belum tertunai sampai sekarang, hari ini tabur lagi janji baru.
“Selesai dulu janji lama sebelum membuat janji lain dengan rakyat. Lagipun BN sebagai kerajaan pusat bertanggungjawab membawa projek ke setiap negeri. Jadi tidak betul kalau undi BN baru boleh dapat projek,” jelasnya.
Umno-BN menjadikan isu pembangunan sebagai modal utama kempen mereka di Manek Urai selain memperlekehkan calon PAS kerana tidak mempunyai pendidikan yang tinggi dan hanya seorang pemborong ikan.
Pada majlis yang sama juga, Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengkritik pentadbiran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang dianggap masih gagal membanteras masalah jenayah dan rasuah dalam negara setelah 100 mentadbir negara.
“Dalam sebelas hadiah diumumkan Najib, langsung beliau tidak sentuh bagaimana membanteras jenayah dan korupsi. Seratus hari beliau, belum ada apa-apa cadangan untuk itu,” ujarnya. -Mohd Zuharman
Tiada ulasan:
Catat Ulasan