Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, berkata beliau sudah menghadap Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah yang memberi perkenan terhadap pelantikan Manikumar sebagai ahli Exco.
Azizan berkata, Adun Bukit Selambau itu juga akan menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) kali pertama pada 19 April ini.
"Tuanku Sultan sudah memberi perkenan pelantikan Manikumar sebagai ahli Exco dan majlis angkat sumpah akan diadakan Isnin ini," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, hari ini.
Pada pilihan raya kecil DUN Bukit Selambau semalam, Manikumar yang mendapat 12,632 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk S Ganesan yang mendapat 10,229 undi serta 13 lagi calon Bebas.
Pilihan raya kecil DUN itu diadakan berikutan penyandangnya, V Arumugam melepaskan jawatan pada 9 Februari lalu.
Sebelum itu, Azizan berjanji calon Pakatan Rakyat (PR) pada pilihan raya kecil DUN Bukit Selambau akan dilantik sebagai ahli Exco kerajaan negeri jika memenangi kerusi itu.
Manikumar dijangka memegang portfolio Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Perpaduan, Pekerja Ladang dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri yang dikosongkan Arumugam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan