"Kita mahu Pakatan Rakyat menang 5-0. Jangan bagi peluang kepada BN bernafas setelah sempuk dan nazak," tegas Setiausaha PAS Kawasan Batu, Haji Ismail Yahya.
Beliau yakin, wabak rasuah yang kian membarah menggodam Umno pada pemilihan parti itu Mac lalu bukan sahaja melumpuhkan parti Melayu itu tetapi mengukuhkan kepercayaan rakyat tentang betapa rapuhnya Umno dan BN di negara ini.
Rata-rata ahli dan pemimpin Umno peringkat akar umbi bersetuju dan menyifatkan kenyataan Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail supaya Umno memansuhkan sayap-sayap parti itu, hakikatnya merupakan cadangan sinis supaya Umno dihapuskan terus.
"Rakyat Permatang Pauh dan Kuala Terengganu telah memulakannya. Ia bukan sahaja tamparan kepada (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) sebagai PM seperti yang dinyatakan oleh Prof Dr Johan Saravanamuttu dalam temubual dengan Bloomberg, malah ia isyarat dari orang-orang Melayu sendiri supaya Umno ditolak habis-habisan.
"Orang Melayu tidak mahu dijangkiti wabak rasuah Umno" katanya.
Dakwa Ismail lagi, penyakit Umno, bukan hanya merebak di sayapnya, tetapi sebenarnya jantung parti itulah yang paling teruk dilanda wabak rasuah.
"Kalau kita baca kenyataan (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) nyatalah penyakit Umno itu sebenarnya berada pada peringkat Majlis Tertinggi (MT) parti itu. MT umpama jantung Umno," katanya.
"Bila sayap dimusnahkan, tak boleh terbang lagi untuk cari makan. Akhirnya akan mati. Sebab itulah cadangan itu sebenarnya merupakan cadangan supaya Umno dihapuskan terus, tetapi Tengku Ahmad Rithauddeen tak sampai hati nak minta Umno dihapuskan terus," dakwa seorang perwakilan Umno ketika ditemui di lobi PWTC ketika Perhimpunan Agung Umno berlangsung.
Malah, katanya yang berasal dari Kelantan, kenyataan Ahmad Rithauddeen itu juga mengisyaratkan tidak ada apa-apa lagi yang boleh diharapkan dari Umno kerana sayap-sayap generasi muda parti itu juga dilanda wabak rasuah.
- sanggahtoksaga
Tiada ulasan:
Catat Ulasan