7 Mac 2009

Lintas Lansung Perarakan PPSMI 7 Mac 2009

Terkini: 3.25 petang: Sebahagian peserta himpunan tidak dibenarkan untuk masuk ke dalam masjid oleh pihak polis.

3.15 petang : Pihak berkuasa mula menyembur pancutan air daripada 'Water Cannon' dan melepaskan gas pemedih mata kepada orang ramai yang sedang berehat di Masjid Negara.

3.10 petang : Penasihat Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP), yang menganjurkan perhimpunan itu, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan pengerusinya Datuk Dr Hassan Ahmad menyerahkan memorandum anti-PPSMI kepada penolong Datuk Paduka Maharajalela, Azuan Effendy Zairakithnaini di pintu masuk utama Istana Negara kira-kira jam 2.50 petang tadi.

3.02 petang : Masih ada peserta yang seang berjalan menuju Istana Negara berdekatan Public Bank dan pihak polis telah menembak meriam air kearah mereka.

Kelihatan helikopter berlegar-legar rendah di ruang udara.

3.00 petang: Ustaz Riduan Mohd Nor mengajak orang ramai untuk kembali semula ke Masjid Negara memandangkan pihak polis masih bertalu melepaskan gas pemedih mata. Perbuatan polis yang melepaskan gas pemedih mata dilihat sebagai perbuatan yang disengajakan untuk menimbulkan provokasi dan huru-hara.

2.55 petang: Sasterawan Negara, Dato' A Samad Said kelihatan berada di pintu pagar Istana Negara.

2.50 petang : Harakahdaily melaporkan dianggarkan lebih 150 ribu orang sedang berusaha untuk menembusi sekatan FRU di jalan menghala ke Istana Negara. Polis masih terus melepaskan gas pemedih mata. Dalam masa yang sama amaran dikeluarkan agar semua bersurai jika tidak tangkapan akan dilakukan.

2.45 petang : Polis bertindak menembak gas pemedih mata. Perarakan diteruskan sehingga ke Jalan Syed Putra, kedudukan sekarang sudah menghampiri Istana Negara.

2.40 petang : Hampir 50 ribu penyokong bantah PPSMI sedang menuju ke Istana Negara di ketuai oleh bekas Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Hassan Ahmad dan A Samad Said. Hujan yang renyai-renyai telah turun, perarakan diteruskan dengan penuh semangat.

Walaupun pihak polis sedang menyekat perarakan tersebut namun penyokong tetap merempuh dan terus berjalan menuju ke Istana Negara. Perarakan tersebut telah sampai ke Bangunan Koperasi Polis.

Kelihatan Ketua Pemuda PAS pusat, serta wakil Ketua Angkatan Muda KeADILan dan Majlis Pimpinan Tertinggi KeADILan Badrul Hisham Shahrin juga berada di tengah-tengah asakan orang ramai yang menuju ke Matlamat mereka.

Kenderaan yang lalu lalang juga membunyikan hon masing-masing dengan berirama tanda memberi sokongan kepada penyokong bantahan PPSMI itu. Terdapat kekecohan di sini sana dengan pasukan polis yang cuba menghalang pergerakan.

Kumpulan daripada Sogo yang berarak telah mula bersatu dengan kumpulan daripada Dayabumi, dianggarkan lebih 5,000 orang ketika ini sedang bergerak ke arah Istana Negara.

2.36 petang : Polis dilaporkan melepaskan gas pemedih mata kepada penentang dasar PPSMI di jalan menuju istana.

Tembakan gas pemedih mata juga kelihatan di lebuh raya tersebut, dekat jejantas di atas Jalan Syed Putra.

2.35 petang : Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut kelihatan bersama para peserta.

2.30 petang: Polis kelihatan berkawal dekat mahkamah syariah Wilayah Persekutuan, beberapa ratus meter dari Masjid Negara, jalan menuju istana.

Untuk memintas sekatan polis di situ, ribuan peserta telah bergerak melalui jejantas depan masjid menuju Kampung Attap, dekat istana.

2.25 petang: Kelihatan Ketua Persatuan Penulis Nasional (Pena) Datuk Baha Zain dan naib presiden PAS Mohamad Sabu ada bersama di Masjid Negara

2.20 petang: Dianggarkan lebih 1,000 orang sedang berarak daripada Pasar Seni ke arah dataran Merdeka dengan dipimpin oleh Ustaz Abu Bakar Chik.

2.16 petang: Sementara di Pasar Seni, Ustaz Abu bakar Chik sedang membaca doa dan pihak polis telah membenarkan kumpulan di situ untuk berarak.

2.15 petang: Namun, rantaian sekatan yang dibuat FRU telah dirempuh oleh rakyat yang berhimpun dengan laungan 'Allahuakbar'!

2.05 petang: Pihak polis sedang menghalang beberapa kumpulan di Pasar seni daripada berhimpun dan berarak ke Masjid Negara.

2.00 petang: Beberapa pimpinan Pakatan Rakyat sertai AJK GMP sedang berucap untuk menaikkan semangat rakyat yang hadir agar berarak ke Istana Negara.

1.52 petang: Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub,Dr Syed Azman, Dato' Mahfuz Omar sedang memimpin perarakan daripada Kompleks Sogo bersama lebih 1,000 orang yang menyokong untuk membantah dasar PPSMI.

Walaupun,hujan turun namun semua bersemangat dengan meneriak pelbagai slogan.

1.50 ptg Para peserta perarakan yang sedang berada di Sogo dan Pasar Seni menunggu untuk berarak ke Istana Negara untuk menyampaikan memo tentangan mereka terhadap PPSMI.

Dilaporkan sebelum ini DYMM Yang DiPertuan Agung telah mengarahkan Bendahara Istana untuk menerima memorandum dari rakyat ini secara rasmi.

Perarakan akan bermula sebentar lagi

1.40 ptg Dua buah bas yang membawa orang asli daripada Tapah,Perak telah ditahan pihak polis di Damansara dan dibawa ke Balai Polis Sentul untuk disoal siasat.

1.25 petang: Sekumpulan wakil daripada Chinese Assembly Hall telah tiba di pekarangan Masjid Negara dan turut menyatakan sokongan terhadap bantahan PPSMI.

Di Sogo setiap 20 meter kawasan sekeliling Sogo dikawal dan dipantau oleh pihak polis beruniform dan preman namun tidak kelihatan pasukan serta trak FRU seperti di belakang kawasan Dataran Merdeka di mana siap siaga tiga buah trak dan pasukan unit beruniform itu.

1.15 petang: Sasterawan Negara, Dato' A. Samad Said melahirkan kekecewaan dengan sistem demokrasi negara apabila dilaporkan dua buah bas telah ditahan polis daripada datang ke Masjid Negara.

1.10 petang: Pihak polis mengarahkan sepanduk membantah PPSMI diturunkan di Masjid Negara.

1.00 petang: Dato' Dr Hassan Ahmad melahirkan rasa terharu dengan jumlah kehadiran yang begitu ramai hari ini dan ia jelas menandakan PPSMI ditolak oleh rakyat.

Dalam pada itu, Dr Hassan memaklumkan setelah berunding dengan wakil GMP,pihak polis hanya membenarkan sebanyak 7 orang dengan 3 buah kereta bergerak ke Istana Negara selepas solat Zohor (sekitar jam 2.00 petang). Turut serta adalah beberapa wakil NGO berbangsa Cina. Namun, pihak polis masih melarang untuk diadakan sebarang perarakan,tetapi perhimpunan hanya dibenarkan di kawasan masjid sahaja.

1.00 petang:Kira-kira 10,000 orang sudah mula berhimpun di sekitar kawasan Masjid Negara dengan memakai baju berwarna putih.

Lebih 1,500 orang daripada Kelantan telah tiba di KL Sentral melalui keretapi dan kini telah bergerak ke tiga lokasi yang ditentukan oleh pihak penganjur. - maklumat harakahdaily

12.45 tghari:Keadaan di Masjid Negara masih terkawal,namun anggota polis dianggarkan lebih 50 orang ditempatkan sekitar kawasan masjid. - maklumat harakahdaily

12.30 tghari : Jalan dari arah Jalan Klang Lama dan Parlimen telah ditutup oleh pihak polis.

12.20 Tgh hari - Puluhan polis berseragam berada di perkarangan bangunan MAA berhadapan Gapema. Kenderan bergerak perlahan di sepanjan jalan dari kedua arak ke Istana Negara.

12.08 Tgh hari - Kawasan sekitar Pasar seni mula gamat dengan anggota polis yang ditambah lebih 100 orang. Sementara itu, di hadapan bangunan Jawi kelihatan 3 buah trak 'Water Cannon'.

Beberapa kumpulan kecil aktivis sedang bergerak dari Sogo ke Masjid Negara .

11.45 pagi -Semangat yang ditunjukkan oleh aktivis-aktivis setakat yang hadir berhimpun amat membanggakan. Mereka tidak langsung menghiraukan polis yang rata-rata cuba mengawal dan menghalang perhimpunan menjadi kumpulan yamg lebih besar.

Terkini, seramai lebih 20 orang aktivis yang memakai kemeja-T putih GMP berada di tengah-tengah aktivis lain.

Tanpa menghiraukan kehadiran polis, kelihatan puluhan aktivis unit amal mula berkumpul di perkarangan Sogo bersiap sedia memulakan acara yang di rancang terlebih awal lagi.

Sekumpulan kecil aktivis juga kelihatan berkumpul di Pasar seni dan Masjid Negara untuk bersiap sedia memulakan perarakan yang di jangka akan bermula pada masa yang dijadualkan.

Beberapa laluan utama ke ibu negara terlibat dalam sekatan kali ini. Sebanyak 16 sekatan diadakan di ibu negara bagi mengawal keadaan.

Ratusan pasukan polis berseragam dan puluhan pegawai cawangan khas yang tidak berseragam berada di persekitaran Sogo bertujuan mengawal perhimpunan tersebut.

Kelihatan juga helikopter terbang rendah di persekitaran kawasan ini.

Sentiasa dikemaskini
kredit: harakahdaily
pahangdaily
suarakeadilan
mstar
malaysiakini


Tiada ulasan: