15 Feb 2015

[BERGAMBAR] Cubaan Bakar Kereta Hatta Kerja Orang Tak Bertamaddun

Kenyataan Akhbar



Awalnya saya kurang berminat untuk terlibat dalam isu yang melibatkan Saudara Dr Hatta Ramli. Bagi saya, ia adalah lebih kepada salah faham.

Tetapi di saat kita masih bersedih dengan kehilangan Tok Guru kesayangan kita, kita dikejutkan dengan insiden pembakaran kereta Saudara Dr Hatta Ramli yang berlaku sehari selepas pemergian Tok Guru. Saya berasakan perlu mencatatkan sesuatu.

Saudara Dr Hatta adalah seorang pejuang yang tahan uji yang telah berkorban untuk parti sehingga akhirnya beliau dianugerahkan kepada kami di Kuala Krai sebagai Ahli Parlimen selama dua penggal berturut-turut 2008 & 2013.

Pengundi Kuala Krai memberi undi kepada beliau kerana beliau mewakili Pas walaupun warga Kuala Krai tidak mengenali beliau.

Semenjak beliau di Kuala Krai, tidak pernah pun beliau menyatakan dalam majlis terbuka atau majlis tertutup untuk berkempen supaya Pas Kuala Krai dapat mendokong perjuangan beliau untuk menjatuhkan Tuan Guru Presiden.

Jika dikira perwakilan, Kuala Krai antara yang paling ramai berbanding kawasan-kawasan lain dari Kelantan, sepatutnya Kuala Krai dulu beliau pengaruhi.

Saya juga tidak tahu apa cerita sebenar berkaitan "group Whatsapp Hawaii Five O" yang disebut-sebut sehingga berlaku tindakan yang kurang enak di Pejabat Agung Pas minggu lepas oleh sebahagian anggota jemaah Islam terbesar di Malaysia ini.

Saya tidak menganggap diri saya sebagai ulamak tetapi yang pasti saya adalah pencinta ulamak yang juga berlatarbelakangkan agama sejak dari kecil. Terasa cukup malu dengan insiden tersebut yang dipimpin oleh golongan yang mungkin sama latarbelakang mereka dengan saya.

Acap kali sewaktu berucap khususnya dalam program-program tarbiah saya menekankan bahawa tarbiah bukan hanya menghabiskan teks usrah, tamrin, mukhayyam dan lain-lain lagi, tetapi yang lebih penting pelaksanaan kepada manhaj tarbawi tersebut dalam diri kita sebagai abna'ul harakah khususnya yang melibatkan akhlak apatah lagi sesama kita.

Janganlah kita menjadi pemusnah kepada parti kita dengan sebab akhlak yang kita tunjukkan.

Memetik pujangga Arab :

إنما الأمم الأخلاق ما بقيت وإذا ذهبت أخلاقهم ذهبوا


"Sesuatu ummah itu akan kekal selama mereka berakhlak, apabila tiada lagi akhlak disaat itu mereka akan hancur".

Parti kita ada Jawatankuasa Disiplin yang boleh diajukan sebarang aduan salah laku ahli termasuk juga pimpinan untuk disiasat dan diambil tindakan apabila terbukti bersalah. Adakah ada mana-mana ahli atau Pas Kawasan yang telah mengemukan aduan mereka kepada Jawatankuasa Disiplin Parti? Gunalah saluran sedia ada dengan bukti-bukti yang cukup untuk sama-sama kita bersihkan jemaah kita daripada unsur yang boleh merosakkan.

Disaat kami di Kuala Krai berkalut memulihkan keadaan mangsa yang terlibat banjir supaya dapat dipulihkan sesegera mungkin.

Alangkah manisnya jika sahabat-sahabat semua turut serta bertungkus lumus membantu mengurangkan bebanan yang kami terima ini.

Saudara Dr Hatta sendiri, walaupun gelombang pertama beliau berada di Makkah menunaikan umrah tetapi semenjak gelombang kedua berlaku pada 24 Disember 2014 sehinggalah ke saat ini, beliau antara tonggak yang sangat bekerja keras menyalurkan bantuan termasuk menyediakan tempat tinggal sementara kepada sebahagian besar mangsa yang rumah mereka rosak yang berjumlah lebih 1,600 buah rumah.

Disaat yang sepatutnya semua ahli pas bersama beliau bahu-membahu meringankan bebanan yang berat ini, tiba-tiba beliau dibalas dengan ujian yang seberat itu.

Bagi insiden cubaan membakar kereta beliau pula saya tidak pasti apa motif sebenar? Adakah untuk menakut-nakutkan Saudara Dr Hatta? Atau ada yang mengambil kesempatan menangguk di air keruh?

Saya penuh yakin Saudara Dr Hatta Ramli tidak akan berganjak walaupun diugut sehebat mana sekalipun.

Apa pun motifnya bagi saya tindakan tersebut adalah tindakan yang tidak bertamadun yang boleh merosakkan iklim politik negara kita.

Saya selaku YDP Pas Kuala Krai mendesak pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan segera terhadap insiden yang berlaku itu.

Buat Saudara Dr Hatta Ramli, saya yakin beliau tidak mudah mengalah dengan insiden ini, dan saya berharap beliau akan teruskan perjuangan beliau dengan lebih cekal lagi.

Sesungguhnya Allah akan sentiasa bersama orang yang benar dan sabar.

Sekian.

Abdul Latiff Abdul Rahman,
YDP Pas Kuala Krai,
Pondok Sungai Durian.


Kereta Hatta Ramli cuba dibakar pagi tadi

Kereta Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli dibakar di luar rumahnya dekat Hulu Klang, Kuala Lumpur awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 3.50 pagi itu, sebuah kereta lalu dan individu tidak dikenali cuba membakar kereta itu, namun ia disedari pengawal bertugas yang membunyikan hon motosikalnya.

Anak Dr Hatta yang bernama Khalil dikatakan berjaya memadamkan api itu.

Pihak bomba dan polis tiba di tempat kejadian tidak lama kemudian, bagaimanapun, Dr Hatta tidak dapat dihubungi bagi mengesahkan kejadian itu.

Sahabat rapat Dr Hatta, Dr Dzulkefly Ahmad ketika dihubungi The Malaysian Insider mengesahkan kejadian itu.

"Dr Hatta memaklumkan kepada kami kejadian ini pagi tadi," katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau bagaimanapun yakin kejadian tersebut angkara orang luar dan berniat jahat bagi menimbulkan konflik dalaman PAS ekoran tuduhan yang dibuat ke atas Dr Hatta dalam satu demonstrasi di ibu pejabat parti PAS Ahad lepas.

"Saya yakin bukan ahli PAS terlibat, dan ia dibuat oleh pihak yang cuba mengambil kesempatan dari apa yang berlaku," kata Dzulkefly yang juga AJK PAS Pusat itu.

Ahad lepas, sekumpulan ahli PAS yang dipimpin Ketua Pemuda PAS Kuantan Noorzazilafadli Ibrahim dan disertai Ketua Dewan Ulama PAS Pahang Mokhtar Senik mengadakan demonstrasi di perkarangan pejabat itu.

Mereka mendakwa Dr Hatta mendalangi satu konspirasi menjatuhkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali menafikan kewujudan konspirasi itu, namun berjanji akan membuat siasatan mengenainya.

Sementara itu, Bernama melaporkan Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata pihaknya menerima panggilan berkenaan kejadian itu pukul 5.12 pagi tadi dan tiba ke lokasi 5 minit kemudian.

"Kejadian berlaku di Persiaran 1, Desa Aras Ampang, Selangor dan melibatkan kereta jenis Toyota Fortuner milik anggota Parlimen parti PAS itu. Kebakaran tersebut berjaya dikawal dan kemusnahan akibat kebakaran kenderaan itu dijangka lima peratus," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan enam anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian, katanya.

Ketua Polis Daerah Ampang ACP Khairuldin Saad dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai melibatkan 2 individu yang datang ke lokasi kejadian dengan sebuah kereta, sebelum melarikan diri.

"Polis turut menemui sebatang kayu diselaputi kain dan kesan minyak petrol di tempat kejadian, dipercayai kelengkapan yang digunakan untuk melakukan jenayah itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semasa kejadian, mangsa bersama lapan lagi anggota keluarganya berada di rumah, kata Khairuldin sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat menggunakan api.
_TMI


Mejar Zaidi: Kenapa Aku Pilih PAS...


Bekas mejar Zaidi akan sertai PAS kerana berminat tegakkan Islam

Bekas mejar Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Zaidi Ahmad, yang mula menimbulkan isu mengenai dakwat kekal semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), akan menyertai PAS sebaik memperolehi kad pengenalan baru sebagai rakyat biasa.

Bercakap kepada The Malaysian Insider pada majlis pelancaran buku terbaru kartunis Zunar di Petaling Jaya hari ini, beliau mengakui berminat dengan PAS kerana parti itu menegakkan Islam.

"Saya akan menjadi ahli PAS. Saya sedang menunggu MyKad saya sebagai rakyat biasa," katanya yang ditamatkan perkhidmatan serta-merta pada 12 Januari lalu selepas didapati bersalah atas dua dakwaan yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Tentera.

"Saya lebih (cenderung) kepada Islam, sebab itu saya pilih Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Saya mahu menyumbang dengan cara ini," katanya merujuk kepada nama penuh parti pembangkang yang merupakan sebahagian Pakatan Rakyat (PR) itu.

Zaidi dipecat dari TUDM kerana melanggar dua perintah tetap iaitu tidak bercakap dengan media sebelum mendapat kebenaran Menteri Pertahanan dan kerana berkongsi maklumat sulit tentang perintah tetap dengan media tanpa kebenaran Majlis Angkatan Tentera mengikut Seksyen 50 Akta Angkatan Tentera 1972.

Beliau didapati bersalah melanggar protokol dengan membuat pengumuman terbuka mengenai dakwat kekal yang digunakan semasa PRU13 tetapi boleh dibasuh dengan mudah, menimbulkan persoalan mengenai integriti PRU.

Selepas dibebaskan, Zaidi menyuarakan hasratnya memberi ceramah dan meningkatkan kesedaran politik di kalangan orang ramai.

Hari ini beliau menyatakan harapan memainkan peranan menyatukan PR yang ketika ini dilihat seperti berada di ambang perpecahan kerana beberapa isu dan konflik dalaman sesama tiga ahlinya – PAS, PKR dan DAP.

"Saya ni 'middle ground' (pertengahan)... Saya bukan ustaz, insyaAllah saya cuba main peranan untuk satukan PR untuk menghadapi PRU14.

"Cabaran itu memang besar, terutamanya dengan ketiadaan (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim), kita terpaksa menghadapinya, harap-harap pemimpin baru akan muncul," katanya.

Katanya, rakyat memerhatikan tindakan Putrajaya dan dasarnya, dan ini akan menentukan bagaimana mereka akan mengundi dalam PRU berikutnya.

"Apa saja yang mereka lakukan diawasi rakyat. Rakyat tahu siapa benar, siapa salah.

"Apa saja yang kerajaan mahu lakukan, biarkan mereka lakukan. Di pihak kami, kami akan terus berjuang. Kita mohon pertolongan Allah. InsyaAllah, pada PRU14, akan ada perubahan."

Zaidi juga mengulas mengenai pemergian Mursyidul Am PAS Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyifatkannya satu kehilangan besar.

Beliau yang sepatutnya melancarkan buku Zunar bertajuk "ROS in Kangkongland" yang menampilkan kartun isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor itu berkata, kartunis satira itu tidak sepatutnya dihukum kerana hasil karyanya.

Sejumlah 200 naskhah buku itu dirampas polis ketika ia sedang dalam perjalanan di bawa ke lokasi majlis pelancaran.

"Zunar seorang yang unik, kerana beliau berjuang melalui kartun. Secara tidak langsung beliau membantu perjuangan kami menegakkan keadilan," katanya. -TMI

14 Feb 2015

[PENCERAHAN] Beberapa "Kebetulan" Yang Allah Susun Pada Kematian TG Nik Aziz.


Ada beberapa kejadian luarbiasa berlaku pada ketika kematian TG Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kita bukan taksub, kita bukan mendewakan makhluk, tetapi ada beberapa beberapa hal dan kejadian berkaitan pemergian Allahyarham TG Nik Abdul Aziz menghadap Rabbul-Jalil.

Pertama, Allahyarham kembali ke rahmatullah pada hari Jumaat. Hari Jumaat adalah penghulu bagi segala hari.

Memanglah kematian hari apa pun tidak menjadi hal asalkan saat penghujungnya baik atau dinamakan "khusnul khatimah", sebagaimana dalam hadits yang shahih :

إنَّمَا الأَعْمَالُ بِالخَـوَاتِيْمُ رواه البخاري وغَيْرُهُ.
"Sesungguhnya amalan itu (tergantung) dengan penutupnya". [HR Bukhari dan selainnya]

Tetapi bagi TG NIk Abd Aziz, ia dilengkapi dan diindahkan dengan terpilihnya Allahyarham menghadap Allah pada hari Jumaat.

Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda :

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَمُوتُ يَوْمَ الْجُمُعَuةِ أَوْ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ إِلَّا وَقَاهُ اللَّهُ فِتْنَةَ الْقَبْرِ
"Tidaklah seorang muslim meninggal pada hari Jum`at atau malam Jum`at, melainkan Allah akan menjaganya dari fitnah (siksa) kubur". [HR Ahmad dan Tirmidzi]
* Hadith di atas dikatakan hadith dhaif (lemah sanadnya) tetapi bukan hadith maudhu (rekaan). Pendapat Imam Abu Hanifah, Imam Al-Syafi’i, juga Imam Ahmad bin Hanbal menyatakan boleh beramal dengan hadis dhaif secara mutlak.

Kedua, semasa jenazahnya diangkat, awan mendung berarak persis memayungi keranda yang diusung. Memberi keselesaan untuk semua hadirin yang hadir memberi penghormatan terakhir untuk Tok Guru. Persekitaran yang turut menjadi dingin dengan angin kencang itu disambut dengan laungan ‘Allahuakbar’ berkali-kali oleh orang ramai beragama Islam di tanah perkuburan yang menganggapnya sebagai satu kejadian luar biasa.



Ketiga, tarikh kematian beliau sama dengan tarikh kematian Imam Hassan Al Banna, Mujadid Islam abad ke 19.


Keempat, pemergian Tok Guru Nik Aziz juga "berkebetulan" sama dengan pemergian Allahyarham TG Ustaz Fadzil Mohd Noor, iaiatu ketika Anwar berada di penjara.

Ustaz Fadzil meninggal dunia pada 23 Jun 2002, yang mana pada tahun itu Anwar berada di penjara setelah dijatuhi hukuman penjara selama enam tahun kerana didapati bersalah di atas kesalahan penyalahgunaan kuasa. Sementara TG Nik Abdul Aziz meninggal dunia selang beberapa hari Anwar dibawa ke penjara Sungai Buloh di atas tuduhan liwat. Ketiga-tiganya adalah pemimpin kesayangan dan harapan rakyat yang berbilang kaum di negara ini.


Di dalam Islam, sebenarnya tiada apa yang dikatakan fenomena "kebetulan", kerana bagi orang yang beriman, semua hal dan keadaan adalah ditetapkan oleh Allah s.w.t.

Berangkat dari penegasan Allah dalam surah Ali Imran ayat 191 yang menegaskan “orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka”.

Ayat tersebut lebih lanjut menegaskan bahawa manusia dengan segala penelitiannya tentang alam semesta ini akan memberikan nilai kesempurnaan bagi Penciptanya, iaitu Allah. Maka, manusia harus mahu meneliti dengan memahami ingatan Allah tentang apa saja, termasuk tentang alam semesta agar memperoleh keyakinan yang sempurna terhadap keagungan dan kesempurnaan Allah dengan segala ciptaannya.

I’tibar yang paling besar adalah, Allah sentiasa memberi petunjuk kepada kita termasuk hal-hal yang kita tempuhi di dalam hidup sehari-hari. Kerana sesungguhnya Allah punya peringatanNya tersendiri yang tidak sia-sia di dalam setiap kejadianNya untuk manusia pelajari ayat-ayat manzurahNya.

Maka adakah orang yang mengetahui bahawa apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu perkara yang benar, sama dengan orang yang buta matahatinya? Sesungguhnya orang-orang yang mahu memikirkan hal itu hanyalah orang-orang yang berakal sempurna. (Ar-Ra'd 13:19)



[VIDEO & GAMBAR] Awan Mendung Turut Memayungi Jenazah TGNA


Suasana sayu ketika jenazah Datuk Nik Abdul Aziz Bik Mat dikebumikan pada pukul 11.30 pagi tadi dikejutkan dengan kejadian awan mendung secara tiba-tiba tanpa setitik hujan pun seolah-olah melindungi jenazah daripada terkena sinaran panas terik.

Persekitaran yang turut menjadi dingin dengan angin kencang itu disambut dengan laungan ‘Allahuakbar’ berkali-kali oleh orang ramai beragama Islam di tanah perkuburan yang menganggapnya sebagai satu kejadian luar biasa.

Tidak ketinggalan ramai daripada mereka yang tampil merakam gambar foto dan video berdurasi lebih dua minit yang sedang menjadi viral di laman sosial. Video bertajuk “Awan mendung mengiringi jenazah TGNA” itu sedang menerima ratusan komen dalam laman sosial menyatakan ia sebagai tanda Allah cintakan beliau.

Nik Abdul Aziz, 84, meninggal dunia di rumahnya selepas sekian lama menghidap kanser prostat.

Mayat Nik Aziz dikebumikan bersebelahan kubur bapanya, Nik Mat Raja Banjar, yang meninggal dunia kira-kira 40 tahun dahulu.

Jenazah diringi pemimpin Pakatan Rakyat (PR) dan penyokong yang sanggup berjalan lebih dua kilometer kerana jalan ke rumah Nik Aziz di tutup.

Enam buah bas disediakan berdekatan stadium Sultan Mohamad ke feri untuk memudahkan orang ramai ke Pulau Melaka.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Setiausaha Agung Umno Datuk Tengku Adnan Mansor dan Datuk Seri Mustapha Mohamad turut hadir memberi penghormatan terakhir mereka.

Pemimpin PR yang hadir pula ialah Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, Ahli Parlimen Batu Tian Chua, dan ramai lagi.

Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainol Abidin, penceramah bebas Ustaz Azhar Idrus dan Ustaz Don Daniyel juga kelihatan memberi penghormatan terakhir mereka.

Jenazah ditempatkan di Masjid Pulau Melaka yang terletak berhampiran kediaman Allahyarham untuk memudahkan orang ramai.Orang ramai dilarang mengambil gambar atas permintaan keluarga. -FMT


TIDURLAH TOK GURU


negerimu banjir lagi
airmata bertakung di hati
kau kembali ke riba Pencipta
pada malam penghulu segala hari
setelah Dia memberi cukup petanda
dalam sesingkat masa

kami bukan menangisi permergianmu
kami hanya merintihi kehilanganmu
mohon pengganti Murabbi
yang sejati dan istiqamah sampai mati

mengagumimu dari jauh
menyantunimu hanya dalam mimpi
mengharapkan bersua namun sampai sudah tidak berjumpa
mungkin saja kerana aku masih belum layak
untuk berdamping dan berjuang bersama
sedang ilmu lebih banyak perlu ditimba
sedang iman perlu dibaja dan diperkasa

namun pada Allah aku pinta
letakkanlah aku bersama-sama pemimpin sezamanku yang mulia
di Padang Mahsyar nanti
supaya rapat dekat dengan Nabi
semoga dapat syafaat dari Muhammad (SAW)

Tidurlah Tok Guru
dunia telah kau tinggalkan
akhirat kini menjadi buruan
halaman untuk menuai segala hasil perjuangan

semoga kau tenang bersama Dia
setelah letih dan lelahmu berakhir jua

salaam kami untuk Rasulullah
usaha dakwah yang kau wasiatkan
akan kami teruskan in shaa Allah



BBEBERAPA CATATAN MENGENAI TGNA

* Semasa Lutfi Othman.. Pengarang Majalah Detik ketika itu ingjn mewawancara.. Tok Guru sign dokumen seakan melayangkan pen sahaja.. Lutfi berseloroh.."Tekan kuat sikit mata pen tu tok guru baru clear.." Sambil tersenyum tok guru membalas,"Ambo guno pen pejabat..Hok rakyat.. Tekan kuat takut membazir.. Kito tok buleh wat mudoh harto rakyat nih".. Dakwat pen pun jd perhitungan untung rugi...itulah Tok Guru Nik Aziz..

* Husam Musa bekas s.u politik tok guru pernah bercerita.. Setiap kali tidur di hotel sama tok guru, tok guru tidur atas lantai dgn alas sejadah dan membiarkan katilnya kosong.. Husam berkata, "Tido atah katil Tok Guru, sejuk tubuh tu.." Tok Guru membalas, "Tido atas katil...tempat sedap..takut jenegho tok bgn tahajud..tido atas lata..tempat tok seleso..mudoh sedar nak buat tahajud".. Begitu sekali beliau merancang ibadatnya..

* "Cuba beritahu saya mana satu yg Nik Aziz punya.. Harta saya malah tubuh saya hak Allah.. Saya pinjam jah.. Jd kita ni jgn sombong sgt dgn brg pinjam.. Kita atas muka bumi jgn bermewah sgt, Nok senang sentiasa.. Belajar hidup susah.. Takut kita dlm kubur terkejut bila mari susah (bergurau).. Jd berlatih susah dulu atas muka bumi ni.. (TG Nik Aziz, Majalah Tamadun)

Allahuakbrrrr..hebatnya almarhum TGNA dalam menjaga amalan seharian.. Diriku


















13 Feb 2015

[VIDEO] Perginya Seorang Pemimpin & Ulama Yang Dikasihi Ramai


Orang ramai mula membanjiri kediaman allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat di Pulau Melaka, Kelantan bagi menzahirkan penghormatan terakhir kepada tokoh politik dan agama itu.

Bukan hanya daripada Kelantan, sejak pemergian allahyarham kira-kira 9.45 malam tadi, orang ramai mula berpusu-pusu menuju ke Kelantan daripada pelbagai pelosok negara.

Seawal waktu Subuh, kenderaan memenuhi sekitar kawasan itu sehingga kereta terpaksa diletakkan sejauh kira-kira 2 kilometer.

Ramai lagi dijangka hadir awal pagi ini.

Solat jenazah dijadual dilangsungkan pada jam 10 nanti sebelum jenazah tokoh itu disemadikan.

LAPORAN LANGSUNG

11.45am: Orang ramai beransur-ansur meninggalkan tanah perkuburan Pulau Melaka yang sejak dari pagi telah dihadiri oleh puluhan ribu orang.

Seorang warga tempatan yang ditemui, Mohammad Ibrahim, 53, berkata beliau sedih dengan pemergian Nik Aziz.

Beliau berkata, kehilangan Nik Aziz tiada pengganti memandangkan Nik Aziz merupakan seorang yang sangat berpegang terhadap kata-katanya.

"Sedih. Sebab tiada pengganti dia. Dengan orang ramai yang hadir ini pun nampak yang beliau seorang ulama yang sangat disanjungi," katanya yang kelihatan sugul.

11.24am: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengetuai bacaan doa dan talkin, dalam keadaan sedih dan hiba.

11am: Selain orang ramai, tolak menolak antara orang ramai, media dan unit amal juga berlaku di bawah khemah di tempat Nik Aziz dikebumikan.

Turut kelihatan berada di kawasan pengebumian ialah Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir, Gobind Singh Deo dan Dr Xavier Jayakumar.

10.42am: Keadaan di tanah perkuburan Pulau Melaka sesak dengan orang ramai yang mahu melihat jenazah Nik Aziz dikebumikan.

Berlaku tolak menolak antara orang ramai berdekatan khemah tempat Nik Aziz akan dikebumikan.

Cuaca yang tadinya panas turut bertukar mendung.

10.40am: Keranda jenazah Nik Aziz kelihatan oleh ahli keluarganya melalui Jalan Long Sulaiman menuju ke tanah perkubuhan berhampiran.

Pemimpin PAS termasuk Dr Hatta Ramli dan Dzulkefly Ahmad kelihatan mendahulu kumpulan di hadapan.

Pada masa yang sama, orang ramai berasak-asak untuk menatap jenazah Nik Aziz.

10.32am: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak kelihatan di dalam salah sebuah kenderaan polis yang menuju ke tanah perkuburan.

10.18am: Terdapat kehadiran anggota polis di kalangan 10,000 orang yang bertumpu ke Pulau Melaka. Ada yang dilihat berjabat tangan dengan anggota polis sambil mengucapkan 'terima kasih atas khidmat mereka.

10.15am: Bagi Normadiah Abdul Rahman, 59, beliau sedih dan terharu melihat puluhan ribu yang menunaikan solat jenazah itu.

Sambil menangis, dia yang tinggal di Kampung Senang, Pulau Melaka berkata, jasa Nik Aziz akan sentiasa diingati, memandangkan mursyidul am PAS itu menyerahkan seluruh kehidupannya untuk Islam.

"Saya tak pernah lihat ramai sangat solat begini. Saya takut tak ada yang boleh ganti dia. Hidup dia untuk Islam," katanya sambil mengesat air mata.

10am: Ribuan menunaikan solat jenazah. Mereka bersolat di sepanjang jalan sehingga ke masjid Tok Guru.

Selepas selesai, mereka mula berarak menuju ke tanah perkuburan.

9.50am: Ketibaan ustaz popular Ustaz Azhar Idrus menggamit suasana seketika. Rata-rata teruja ketika Ustaz Azhar menuju ke perkarangan masjid.

Dan pada ketika ini juga, orang ramai sedang bersedia untuk menunaikan solat jenazah.

9.35am: Orang ramai mula melaungkan takbir apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak tiba di perkarangan masjid Tok Guru.

Takbir yang berterusan itu dilaungkan kuat dan berlanjutan selama kira-kira lima minit, ketika Najib berjalan menuju ke masjid.

9.30am: Semakin ramai menuju ke Pulau Melaka dan berkumpul di sepanjang Jalan Long Sulaiman.

Menurut agensi berita nasional Bernama, jumlah hadirin mencecah "puluhan ribu".

9.20am: Berlaku sedikit kekecohan di dalam masjid ketika pengacara menggesa orang ramai dan media supaya tidak mengambil gambar atau membuat rakaman video jenazah Nik Aziz.

Katanya, ia adalah atas pemintaan keluarga Nik Aziz.

Ekoran itu ada yang menjerit terhadap mereka yang membuat rakaman di dalam masjid, sehingga mendorong pengacara campur tangan dan menggesa supaya bertenang.

9.15am: Lim Guan Eng dijemput untuk berucap kepada orang ramai.

Guan Eng berkata Nik Aziz menjadi mentor kepada kepada ketua menteri dan menteri besar Pakatan Rakyat.

Nik Aziz, tambahnya bukan sahaja dihormati oleh orang Islam tetapi juga dikagumi oleh orang bukan Islam.

9.05am: Setiausaha Agung PAS Datukl Mustafa Ali berucap kepada hadirin dari dalam masjid.

Beliau berkata Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng turut hadir selepas tiba dari Pulau Pinang pagi ini.

Beliau juga berkata pemergian Nik Aziz secara kebetulan dengan pemenjaraan Ketua Pembangkang, Datuk Anwar Ibrahim.

"Apa juga yang berlaku kepada kita, kita akan terus berjuang," katanya sambil mengingatkan mereka tentang nasihat Nik Aziz bahawa walaupun tiada lagi pemimpin, mereka mesti meneruskan perjuangan.

Ucapannya itu disambut dengan laungan "Allahuakbar"

9.00am: Jet yang membawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak membuat pendaratan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

8.59am: Jenazah Nik Aziz kini berada di dalam Masjid Tok Guru. Orang ramai melaungkan takbir semasa jenazah itu dibawa.

Orang ramai diberi peluang untuk ziarah dan menatap wajah Nik Aziz buat kali terakhir.

Selain itu, ahli keluarga juga meminta supaya orang ramai tidak merakamkan gambar ketika berada di dalam masjid.

8.30am: Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob berucap kepada orang ramai. Beliau mengucapkan terima kasih kepada mereka yang datang.

Beliau yang kelihatan sedih berkata, Kelantan telah kehilangan seorang pemimpin besar.

Sebelum itu, pengumuman dibuat, memaklumkan bahawa jenazah Nik Aziz akan dibawa keluar dari masjid pada pukul 10 pagi.

8.20am: Suasana di dalam rumah suram dan sugul. Pada ketika ini, jenazah Allahyarham Nik Aziz sedang dimandikan.

8.15am: Sekurang-kurangnya tiga ribu orang berada di sekitar rumah Allahyarham Nik Aziz.

Terdapat sebuah masjid yang terletak di dalam kawasan kediamannya. Mereka menunggu untuk menunaikan solat jenazah.

Di Jalan Long Sulaiman pula, orang ramai sedang beratur - dianggarkan sepanjang dua kilometer - menuju ke rumah Nik Aziz.

8.00am: Suasana di lapangan terbang Sultan Ismail Petra sesak dengan kehadiran orang ramai untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz

Kerajaan negeri turut menyediakan perkhidmatan van khas untuk ahli politik dan media dari lapangan terbang ke kediaman Nik Aziz di Pulau Melaka. Kenderaan khas yang disediakan sebanyak kira-kira 10 buah, digunakan bagi memasuki jalan-jalan yang ditutup antaranya di persimpangan untuk memasuki kawasan Masjid Tok Guru di mana jenazah dijangka akan disolatkan di situ.

Antara yang dilihat tiba dengan penerbangan awal dari Kuala Lumpur ialah ahli jawatankuasa PAS pusat Dzulkefly Ahmad dan Hanipa Maidin.