26 Mei 2010

AMK Perak – Dedah Konspirasi ‘Sogok Wang’ Untuk Keluar Parti

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak mengesan wujud percubaan untuk memancing beberapa pimpinan dan bekas Exco AMK Negeri untuk melompat parti dengan taktik kotor berupa sogokan wang dan tawaran projek.

Perkara ini didedahkan oleh Ketua AMK Negeri Abdul Yunus Jamhari yang mendakwa taktik kotor ini diketuai bekas Ketua AMK Cabang Parit Faizal Effandi Hashim dengan membuat panggilan telefon atau khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi tujuan tersebut.

Menurut Abdul Yunus, tindakan Faizal ini adalah manifestasi di atas kekecewaannya ekoran tidak dilantik menggantikan tempat Anuar Zakaria yang meletakkan jawatan pada penghujung 2009.

"Berikutan itu beliau (Faizal) mula menabur fitnah memburukkan parti dan menimbulkan kacau bilau dikalangan anggota AMK," kata beliau pada sidang media di Wisma Keadilan di sini hari ini.

Abdul Yunus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau mendakwa wujud penglibatan Jamaluddin Mohd Radzi, wakil rakyat Behrang dari PKR yang melompat parti, memperalatkan Faizal sebagai orang perantaraan.

Tawaran imbuhan yang lumayan

"Jamaluddin memperalatkan Faizal untuk memancing anggota-anggota AMK dengan tawaran imbuhan yang lumayan," terang beliau.

Beliau mendedahkan satu perjumpaan sulit diatur oleh Faizal pada 22 Mei lalu di salah sebuah kondominium di Ipoh yang dihadiri oleh Jamaluddin serta beberapa anggota AMK.

"Dari maklumat dalaman yang diperolehi butiran perbincangan adalah berkisar tentang keperluan meninggalkan perjuangan PKR dan kaedah untuk keluar parti.

"Sebelum pulang anggota AMK yang terlibat telah diberikan wang saku RM300.00 seorang," kata beliau yang mendedahkan konspirasi tersebut.

Tambah beliau, AMK mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak bermaruah itu dan akan membuat laporan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Ini jelas melanggar undang-undang negara dan setelah beberapa bukti dan saksi diperoleh kita akan buat laporan kepada pihak polis dan SPRM," katanya.

Lembaga Disiplin Parti

Sementara itu, Abdul Yunus memberitahu AMK juga telah menyiapkan laporan berkaitan untuk dihantar kepada Setiausaha Agung dan Lembaga Disiplin Parti agar tindakan tegas segera diambil sebagai peringatan dan langkah pembersihan dari elemen ‘lompat parti’ yang cukup negatif ini.

Beliau menyifatkan tindakan konspirasi bersama Umno ini dilihat sebagai usaha yang sia-sia kerana umum mengetahui wakil rakyat yang melompat parti mempunyai masalah peribadi dan kewangan yang serius.

Maka sokongan wakil rakyat tersebut kepada Umno tidak mampu menggembalikan sokongan rakyat terhadap Umno.

"Umum mengetahui mereka (wakil rakyat yang lompat parti) mempunyai masalah peribadi dan kewangan yang serius. Maka sokongan mereka terhadap Umno “ibarat sokong membawa rebah”.

"Ini kerana imej yang sedemikian tidak mampu melonjak kembali sokongan terhadap Umno setelah rakyat menolak mereka dalam pilihanraya umum yang lalu dan dalam siri-siri pilihanraya kecil yang berikutnya," kata beliau.

"Kehadiran ramai pimpinan AMK Negeri termasuk yang telah membuat pendedahan pada hari ini membuktikan bahawa AMK Negeri Perak tetap kuat dan setia bersama PKR.

"Kita sedar perjuangan kita selama ini bukanlah berdasarkan kepentingan peribadi ataupun amalan politik kolot warisan budaya Umno tetapi atas rasa tanggungjawab terhadap negara," katanya.

Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Timbalan AMK Negeri Chan Ming Kai, Naib Ketua PKR Negeri A Ganeson dan Setiausaha PKR Negeri Anuar Zakaria.

Berikut ialah laporan mereka yang membuat pengakuan:

* Abdul Jamil b. Abdul Halim – Ketua AMK Sungai Siput Pada 18 Mei 2010 (Selasa) telah menerima panggilan telefon daripada Faizal memujuk untuk keluar parti dan menawarkan sejumlah wang. Beliau akan mengaturkan pertemuan dengan para pemimpin Umno dalam waktu terdekat.

* Yahya b. Sijari – Ketua AMK Bagan Datoh Pada 18 Mei 2010 (Selasa) telah menerima sms daripada Faizal memujuk untuk keluar parti dengan mengatakan inilah peluang terbaik untuk mencari kesenangan untuk diri sendiri.

* Mohd Uzaimi b. Mohd Yusof – Ketua AMK Gerik Sekitar Mac 2010 telah menerima panggilan telefon dan sms daripada Faizal memujuk untuk keluar parti dan menawarkan projek. Beliau akan mengaturkan pertemuan dengan pemimpin Umno dalam waktu terdekat.

* Mohd Yusri b. Yaacob – Ketua AMK Lumut Pada 19 Mei 2010 (Rabu) telah menerima panggilan telefon dan sms daripada Faizal memujuk untuk keluar parti dan menawarkan sogokan wang. Beliau akan mengaturkan pertemuan dengan para pemimpin Umno dalam waktu terdekat.

* Azzemi b. Adnan – Ketua AMK Tapah Sekitar Mac 2010 telah menerima panggilan telefon dan sms daripada Faizal memujuk untuk keluar parti dan menawarkan sogokan wang.

* Manichalvan a/l Muniandy – Bekas Ketua AMK Beruas Pada 18 Mei 2010 (Selasa) telah menerima panggilan telefon daripada Faizal memujuk untuk keluar parti dan menawarkan sogokan wang. -FMT

Tidak Ada Undang-Undang Bolehkan Raja Petra Dibicarakan di UK

Tidak ada peruntukkan undang-undang yang membolehkan Kerajaan Malaysia membicarakan bloger Raja Petra Raja Kamarudin di Britain walaupun penulis itu sendiri mahukan begitu, demikian menurut Naib Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee.

Katanya, Raja Petra perlu dibawa balik ke Malaysia untuk dibicarakan. Dan untuk berbuat demikian, perlulah dilihat terlebih dahulu sama ada wujudnya perjanjian penyerahan balik (extradition) di antara kedua-dua buah negara.

Itu pun, kata Lim, bergantung kepada sejauh manakah Kerajaan Britain merasakan wujudnya keperluan untuk mereka menyerahkan Raja Petra kepada Kerajaan Malaysia. Salah satu daripada faktor yang biasanya akan dipertimbangkan oleh Kerajaan Britain ialah sama ada orang yang mereka serahkan itu akan mendapat perbicaraan yang adil.

Hujung minggu lalu, Raja Petra telah muncul dalam satu forum di London dan mencabar Kerajaan Malaysia supaya membicarakannya di United Kingdom. Ini kerana katanya, adalah menjadi tanggungjawab pihak berkuasa untuk membuktikannya bersalah dan bukanlah sebaliknya.

Raja Petra kini berhadapan dengan dua waran tangkap kerana gagal hadir pada perbicaraan yang melibatkan kes hasutan pada April dan Mei tahun lalu.

Dalam pada itu, peguam Norman Fernandez turut bersependapat dengan Lim bahawa Raja Petra memang tidak boleh dibicarakan di United Kingdom.

"Tidak ada peruntukkan yang membolehkan dia dibicarakan oleh Kerajaan Malaysia di United Kingdom. Dia bukanlah seorang penjenayah perang...," ujar Fernandez.

Oleh itu, kata Fernandez, kenyataan Raja Petra hanyalah untuk mempersendakan Kerajaan Malaysia selepas dia berjaya meloloskan diri keluar dari Malaysia.

Malah kata Fernandez lagi, tidak ada siapapun yang tahu apakah status Raja Petra di negara tersebut.

"Jika dia masuk dengan pas pelawat, bermakna kehadirannya di negara itu hanyalah terhad untuk waktu-waktu tertentu sahaja atau dia mungkin memasuki Britain dengan menggunakan dokumen khas atau sebagai seorang pelarian...," kata Fernandez lagi.


Cabaran RPK kepada kerajaan: Buktikan saya bersalah di UK!

Raja Petra Kamarudin (RPK) akhirnya muncul di BPP Law School, London untuk mencabar kerajaan Malaysia agar membuktikan beliau bersalah di United Kingdom, tetapi bukan mengurungnya dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Kalau mereka nak main, main ikut peraturan saya! Bak pepatah, kalau nak tumbangkan musuh, ajak dia main di gelanggang kita. Gelanggang saya di sini, United Kingdom!" Demikianlah kata-kata RPK sambil berseloroh ketika dijemput oleh Solicitor’s International Human Rights Group untuk berucap di BPP Law School, semalam.

Semasa menjawab soalan dari bawah pentas, RPK mendakwa sebaik sahaja beliau dibebaskan pada Februari tahun lalu, pendakwa raya telah memohon agar mahkamah menggugurkan penghakiman tersebut. Namun, permohonan itu tidak terjawab sehingga kini. RPK menjangka dirinya mungkin ditahan semula.

RPK berkata dirinya sanggup berdepan dengan pendakwaan pada bila-bila masa, tetapi enggan melayan seandainya beliau perlu dikurungkan di bawah ISA.

Biarpun RPK pernah dicabar untuk pulang ke mahkamah Malaysia dan membuktikan dirinya tidak bersalah, beliau tetap berkeras, "Penuntut fakulti perundangan tahun pertama juga tahu bahawa tanggungjawab pendakwa raya adalah untuk membuktikan tertuduh bersalah, bukannya tertuduh membuktikan dirinya tidak bersalah. Kalau mereka ingin membuktikan saya bersalah, datanglah ke mahkamah UK!"

Salah seorang hadirin membandingkan situasai antara RPK dengan Ketua Pembangkang Parlimen Anwar Ibrahim, "Kamu dan Anwar Ibrahim berdepan dengan keadaan yang sama. Seorang memilih untuk terus berada dalam negara, seorang lagi memilih untuk terbang ke London. Siapakah pula antaranya yang lebih mungkin untuk mengelakkan diri dari malapetaka?"

Secara terus terang RPK mendakwa Anwar Ibrahim telah bertekad untuk menetap di Malaysia dan menentang sehabis-habisnya, kerana Anwar Ibrahim ingin menjadi Perdana Menteri seterusnya. Namun, RPK menyatakan bahawa dirinya tidak berniat untuk menjadi ahli politik.

London telah menjadi medan perang antara kerajaan dan pembangkang di Malaysia, lantaran populasi warga Malaysianya yang agak tinggi. Ahli politik Malaysia seperti Menteri Besar Negeri Perak Zambry Abd Kadir, Anwar Ibrahim, Mohd Nizar Jamaluddin dan lain-lain lagi pernah mendarat di kota antarabangsa ini untuk memberi ucapan politik. Kini, blogger terkenal di Malaysia, RPK turut tampil berkongsi pengalaman dirinya ketika ditahan di bawah ISA.

ISA bukan warisan penjajah British

RPK menafikan bahawa ISA adalah akta yang diwarisi daripada penjajah British, ketika beliau memulakan ucapannya. ISA diluluskan selepas tiga tahun negara kita mencapai kemerdekaan. RPK menambah, ISA dibentangkan oleh bekas PM Abdul Razak pada tahun 1960 (TPM ketika itu), dibantah oleh pemimpin Parti Progresif Rakyat, D. R.Seenivasagam.

Abdul Razak ketika itu memujuk D. R.Seenivasagam dengan alasan bahawa ISA diperlukan untuk menangkis serangan komunis, namun ISA kini telah menjadi alat kerajaan untuk menekan mereka yang berbeza pandangan dan menakut-nakutkan pegawai kerajaan, kata RPK.

Menurut RPK, OKT (orang kena tahan) akan diasak dengan pelbagai tuduhan dalam tempoh penahanan 30 hari pertama, malah berdepan dengan ancaman agar OKT mengaku salah. RPK berkata surat pengakuan salahnya setebal 200 muka surat, antaranya termasuklah "membunuh Presiden Kennedy". Beliau akan dibebaskan seandainya mengaku bersalah, dan meletakkan tandatangan pada setiap muka surat, untuk 30 salinan surat pengakuan yang setebal 200 muka surat.

30 hari kemudiannya, OKT akan diseksa, supaya berpaling tadah untuk menyokong kerajaan. Malah, OKT akan digoda dengan pangkat, wang, rumah banglo dan sebagainya. RPK membahagikan OKT kepada dua kategori, iaitu sebahagiannya akan menerima ganjaran setelah kompromi. Selebihnya pula akan diarah untuk terus kekal dalam pembangkang sebagai "trojan horse" BN. Kuda Trojan ini akan mencetuskan perselisihan dalam pembangkang untuk mencungkil rasa benci pengundi, malah RPK terus menyindir bahawa Zulkifli Nordin adalah antara yang terjatuh dalam kategori ini.

Disambut dengan penghormatan

Selain itu, RPK juga mendedahkan penyeksaan yang berlaku ketika penahanan di bawah ISA. Ketika mengulas pilihan raya kecil yang berlangsung di Malaysia setelah dibangkitkan oleh hadirin, RPK berkata pertubuhan antarabangsa harus menghantar pemerhati untuk memantau perjalanan PRK di Malaysia, yang mana penyelewengannya semakin berleluasa.

Ceramah ini diadakan pada jam 2 petang di London, semalam, menarik kehadiran antara 300 hingga 400 orang. Hadirin berdiri dan menyambut ketibaan RPK dengan tepukan gemuruh. Malah, ada yang meminta tandatangan RPK selepas ceramah tersebut. -MR

Anak Samy Vellu: UMNO Gunakan Pembunuhan Politik Pecahbelahkan MIC


S. Vell Paari, anak Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu mempertahankan tuduhannya kelmarin bahawa Umno menjadi punca kepada masalah dalam MIC termasuk kini menyokong kempen puak anti-Presiden MIC.

“Apa yang saya perkatakan adalah isi hati orang bukan Melayu, dalam hal ini yang membabitkan ahli-ahli MIC dan masyarakat India... untuk itu, jika Tan Sri Muhyiddin mengatakan saya biadap, saya dilabelkan biadap, biarkan,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider di Australia.

“Saya masih berpegang kepada apa yang saya cakap (kelmarin),” kata beliau ringkas tengah malam tadi.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tuduhan yang dilemparkan oleh Vell Paari kononnya Umno menjadi punca kepada masalah dalam MIC, sebagai sesuatu yang biadap.

Timbalan Presiden Umno menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu dan meminta Vell Paari, anggota terbaru yang dilantik menyertai Jawatankuasa Kerja Pusat MIC, supaya menghentikan tindakan tidak bertanggungjawabnya itu.

“Umno ingin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan oleh anak Samy Vellu itu. Ia adalah sesuatu yang biadap,” katanya.

Vell Paari mendakwa Umno menggunakan pendekatan “pembunuhan politik” untuk memecahbelahkan MIC.

Mengulas lanjut pendiriannya ketika dihubungi pagi ini, Vell Paari berkata, beliau tiada masalah untuk memohon maaf kepada kepimpinan Umno jika apa yang diperkatakan itu sesuatu yang salah dan dibuat secara sembarangan dan tanpa alasan munasabah.

“Saya seorang yang berpendirian untuk mengatakan sesuatu itu betul jika betul, dan jika salah tetap salah... oleh itu jika ada kesilapan, saya akan mengaku ia sebagai satu kesilapan, dan akan memohon maaf.

“Begitu juga dalam keadaan ini, jika apa yang dikatakan itu (tuduhan ke atas Umno) adalah salah, adalah kesilapan, saya sanggup memohon maaf. Tetapi kita kena tahu apa yang sebenarnya berlaku sepanjang dua tahun lalu?” kata beliau sambil menambah, wujud banyak perkara yang menyinggung dan menguris perasaan ahli-ahli MIC dan masyarakat India.

“Adakalanya perkara-perkara itu menyebabkan wujud satu persepsi MIC tidak berbuat apa-apa sehingga mereka mendakwa kepimpinan tidak buat kerja,” katanya.

Sambil mendakwa reaksi Umno dan pemimpin parti itu sejak dua hari lalu sebagai sesuatu yang memang telah dijangkakan, Ketua Pegawai Eksekutif Maika Holdings ini, sayap pelaburan MIC itu menambah, “mereka hanya tersinggung dengan satu perkataan yang saya gunakan iaitu Umno menjadi punca kepada masalah dalaman MIC.”

“Saya minta mereka, tolonglah... mereka perlu meletakkan diri mereka dalam kasut MIC dan melihat isu yang berlaku dari perspektif MIC,” katanya.

“Tolong lihat pada keperitan dan keseksaan yang masyarakat India lalui apabila kerajaan melaksanakan sesetengah dasar yang tidak adil... saya lihat pada perkara-perkara ini yang tidak menfaatkan masyarakat India... jadi saya menyampaikan apa yang terpendam dalam hati mereka,” katanya.

Melabelkan orang India pendatang, pengemis.... bukankah ini semua menyinggung perasaan mereka? Adakah mereka datang ke sini (Malaysia) sebagai pengemis?

“Jangan pandang sepi undi masyarakat India, yang mula kembali kepada BN,” katanya lagi.

“Jika perkara ini tidak diambil kira, jangan salahkan kami apabila mereka mengundi pihak lain (dalam pilihan raya),” kata beliau.

“Saya tidak berminat untuk apa-apa jawatan dalam politik,” katanya menjawab dakwaan bahawa beliau adalah pihak yang ada kepentingan dalam parti dan sebab itu membuat tuduhan sedemikian.

Vell Paari menambah, sepanjang dua tahun lalu “banyak pihak luar telah dibenarkan menggunakan nama Umno dan Perdana Menteri untuk menyerang MIC dan kepimpinannya.

“Laporan-laporan media khususnya media online dengan jelas menggunakan nama Umno sejak dua tahun lalu, mereka menyerang kami (MIC)... mengapa Umno tidak muncul dengan menafikan dakwaan-dakwaan sedemikian?

“Umno diam apabila wujud laporan-laporan macam itu, menyebabkan orang ramai membuat persepsi bahawa Umno di belakang mahu menjatuhkan ayah saya (Samy Vellu) dari MIC.

“Mengapa sekarang apabila saya mengatakan Umno digunakan (oleh kumpulan Mugilan), mereka marah dengan saya
... oleh itu, sekali lagi saya hendak mengatakan bahawa jika dakwaan saya itu tidak betul, saya sedia memohon maaf.

“Sekarang Tan Sri Muhyiddin sudah menafikan Umno tidak terlibat, bagus... oleh itu, apa yang saya mahukan ialah mereka telah menafikan perkara ini dari dulu lagi, yang ia tidak terlibat sebagaimana dilaporkan oleh media dan orang-orang tertentu sebelum ini,” katanya.

Mengenai pandangan bahawa beliau menyerang Umno kerana merupakan anak kepada Presiden MIC, Vell Paari berpendapat, “hanya saya, sebagai seorang anak (lelaki), faham sumbangan dan cabaran dilalui oleh ayah saya (Samy Vellu) dalam memimpin MIC.”

“Apakah saya seorang anak tidak boleh mempertahankan ayah saya? Apabila Tun Dr. Mahathir diserang, siapa yang mempertahankan beliau, anak beliau (Datuk) Mukhriz, siapa yang keluar parti (Umno) bersama Dr. Mahathir? Anak dan isteri beliau.

“Jadi, hanya seorang anak yang berada dekat dengan mereka (ayah) dan faham perjalanan politik ayah mereka,” katanya lagi.

Malah Vell Paari juga menyenaraikan alasan keperitan dilalui MIC apabila Umno dikatakan mahu meletakkan V. Mugilan yang dipecat minggu lalu sebagai calon pilihan raya kecil di Hulu Selangor berbanding Timbalan Presiden MIC Datuk G. Palanivel yang disyorkan oleh MIC.

Selain itu katanya, Menteri Sumber Manusia Datuk Dr. Subramaniam yang juga Naib Presiden terpaksa melalui situasi sunggguh ‘sukar’ apabila kerajaan memutuskan mengubah sistem pengambilan subjek peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“MIC, Palanivel dan Subramaniam... semua melalui situasi yang pahit, tetapi mereka tidak faham kedudukan kami,
” katanya.

Dasar baru mengehadkan subjek peperiksaan SPM didakwa menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan masyarakat India. -TMI

Gantung ADUN : BN Bakal Dihukum Di Sarawak

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin bertolak dengan jet dari Kuantan sesudah merasmikan Hari Guru Peringkat Kebangsaan menjelang senja, ke bandar 270,000 penduduk itu.

Tetapi beliau tidak pun menjejakkan kaki ke Dewan Suarah, tempat undi dijumlahkan dan pemenangnya diisytiharkan. Hasrat beliau tentu untuk meraikan kemenangan BN yang benar-benar ingin membuktikan bahawa kepemimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang turun berkempen tiga kali, diterima oleh rakyat.

RM400 juta ditaburkan

Namun, Muhyiddin difahamkan bertolak balik ke Kuala Lumpur sebelum jam 9 malam sesudah mengetahui bahawa calon DAP, Wong Ho Leng mendahului calon Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Robert Lau Hew Yiew.

Keyakinan BN untuk memenangi kerusi itu bukan tidak berasas, mengambil kira jumlah wang yang disalurkan dan janji yang ditaburkan kepada pengundi. Dikatakan lebih RM400 juta dijanjikan untuk pelbagai projek pembangunan bagi menakluki minda dan jiwa pengundi.

Pada hari terakhir sebelum hari mengundi 16 Mei lalu, pemimpin BN mendapat maklumat daripada risikan dan instrumennya bahawa calon mereka masih mendahulu DAP sekitar satu peratus.

Presiden SUPP Tan Sri George Chan Hong Nam dan pemimpin BN Sarawak menyifatkan kekalahan itu sebagai kekalahan kecil. Bagi mereka, seekor ayam yang berkokok tidak semestinya menandakan hari akan siang.


Mereka menasihati DAP supaya tidak terlalu yakin dan angkuh dengan kemenangan itu. Bagi BN, itu bukan bermakna bahawa kunci ke Petrajaya dan Putrajaya akan terlepas daripada tangan mereka.

Bagi DAP kemenangan itu memberi keyakinan dan semangat tinggi untuk melebarkan pengaruhnya dalam pilihan raya negeri nanti. Dalam pilihan raya lalu DAP mememenangi kerusi di bandar Kuching, Meradong dan Bukit Assek, Sibu.

Seterusnya, Miri?

DAP menyimpan azam tinggi untuk menakluki kerusi negeri dan Parlimen di Miri yang sejak sekian lama menjadi kubu kuat BN. Tetapi dengan trend dan pola pengundian yang diperlihatkan di Sibu, terutama dalam kalangan pengundi Cina, dapatkah SUPP, parti tertua Sarawak itu terus dengan keyakinan bahawa Miri akan terus dikuasainya?

Dari segi pecahan undi, pengundi Cina menyumbang sebanyak 66.7 peratus daripada jumlah pengundi berdaftar di Sibu. Dalam pilihan raya kecil lalu, terdapat peningkatan yang ketara, daripada 62 peratus pada pilihan raya umum 2008 kepada 69 peratus menyokong DAP.

Mati-matian pemimpin SUPP dan pemimpin negeri mengatakan bahawa trend di Hulu Selangor dan di Semenanjung tidak mungkin berlaku di Sibu dan Sarawak. Kekalahan di Sibu merupakan tamparan hebat kepada SUPP dan pimpinan Ketua Menteri. Bagi SUPP, ia merupakan pil pahit yang perlu ditelannya menjelang pilihan raya negeri.

Mereka lupa bahawa pengundi Cina di Sarawak sebenarnya mendahului pengundi Cina di Semenanjung apabila enam kerusi bandar dikuasai SUPP terlepas ke tangan DAP pada 2006.

Mereka bagai tersentak apabila pengundi Cina langsung tidak mempedulikan rayuan dan gula-gula yang dihulurkan oleh Najib menjelang pilihan raya, termasuk bantuan RM18 juta kepada sekolah Cina dan sekolah menengah bantuan Methodist.

Mac, April 2011 - Pilihan Raya Sarawak?

Bagi mereka, bantuan itu adalah hak mereka, dan datang terlalu lewat ketika banyak lagi sekolah serupa tidak menerima bantuan di seluruh Sarawak.

Peningkatan sebanyak 4 peratus undi di kalangan orang Iban juga bukanlah sesuatu yang signifikan dan dapat dibanggakan sangat jika diambil kira jumlah menteri dan pemimpin politik BN yang turun ke bawah dan jumlah peruntukan yang disalurkan di kalangan penghuni rumah panjang ketika tempoh berkempen.

Kemenangan DAP menyebabkan SUPP semakin risau akan nasibnya dalam pilihan raya negeri yang kini perlu dianjakkan.

Besar kemungkinan pilihan raya Sarawak diadakan sekitar bulan Mac atau April tahun depan. Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang menjadi Ketua Menteri sejak 29 tahun lalu, dan baru meraikan hari jadi ke-74 pada 21 Mei lalu, tidak akan berani mengambil risiko parti BN itu terus dilibas oleh DAP.

Ketua Menteri paling lama memerintah di Malaysia itu ingin membuktikan bahawa kepemimpinan beliau terus diterima oleh 2.5 juta rakyat Sarawak, dan kegagalan BN memenangi sebarang kerusi bukan petanda bahawa rakyat benci kepada beliau biarpun terdapat kain rentang di Sibu yang berteriak 'Undi SUPP=Undi Taib' dan 'Bye-bye to Taib's Dynasty'.

Mungkinkah SUPP akan dicampakkan oleh masyarakat Cina sama seperti MCA dan Gerakan di Semenanjung? Jika parti yang ditubuhkan pada 1959 itu gagal mmembaiki kelemahannya dan gagal memenuhi aspirasi masyarakat Cina, jangan hairan ia akan menerima padah.

SUPP bakal menghadapi tentangan sengit di kerusi bandar dan berdepan dengan kekalahan di beberapa kerusi lain termasuk di Pelawan, Sarikei dan Dudong. Dalam pilihan raya negeri 2006, SUPP hanya menang tipis di kerusi terbabit.

Jika perkara ini berlaku, DAP dapat menambahkan jumlah kerusi kepada sembilan dalam pilihan raya negeri yang dijangka semakin sengit berbanding 2006.

Dalam pilihan raya itu nanti, BN berdepan dengan pati komponan Pakatan Rakyat yang bersatu, terdiri daripada DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dan PAS.

Semua kerusi pasti ditandingi, berbeza daripada sebelumnya apabila sebahagian kerusi dimenangi tanpa bertanding. Dengan kerjasama dan persefahaman parti komponen Pakatan Rakyat, BN tidak mungkin diberi laluan mudah. SUPP yang dibelenggu masalah kepemimpinan dan intrig dalaman dijangka gagal menyelesaikan masalah itu dan membaiki imejnya dalam tempoh singkat.

Kini, Pakatan Rakyat semakin mendapat momentum sesudah wakil rakyatnya, Dominique Ng (PKR-Padungan) dan Chong Chien Jen (DAP-Kota Sentosa) digantung selama 12 bulan daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak minggu lalu. Seorang lagi ADUN Ting Tze Fui (DAP- Meradong) bakal menerima nasib yang sama.

Meskipun Wong Ho Leng pengerusi DAP negeri menyifatkan tindakan itu sebagai balas dendam terhadap keupayaan DAP memenangi kerusi Sibu, namun ia tidak lebih sebagai percubaan untuk menyekat suara lantang pemimpin pembangkang daripada mengkritik dasar kerajaan di bawah pimpinan Taib.

Dengan tindakan keras diambil terhadap wakil pembangkang itu, ia sebenarnya hanya menguntungkan DAP kerana masyarakat Cina tidak suka wakil mereka diperlakukan sedemikian. Isu itu hanya akan menyemarakkan kemarahan pengundi Cina yang tentu akan terus menyokong calon DAP. Justeru, jangan hairan, sekali lagi SUPP akan dihukum keras oleh pengundi Cina di bandar dalam pilihan raya negeri nanti. -mk

Penulis ialah pensyarah kanan di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) yang pernah menjadi pengetua sekolah. Beliau juga pernah menjadi ketua editor akhbar dan menulis lebih 50 buku serta 1,500 artikel yang disiarkan dalam pelbagai akhbar dan majalah tanah air. Beliau merupakan penerima Anugerah Buku Negara pada 2005 dan Penerima Anugerah Buku Unimas pada 2007.

Bidang kepakarannya ialah media dan politik. Penganalisis politik di Universiti Malaysia Sarawak ini memperoleh PhD daripada Universiti Malaya pada 2008. Dalam pilihan raya kecil Sibu baru-baru ini, komen beliau banyak diminta oleh stesen TV dan akhbar tempatan dan nasional.


25 Mei 2010

Lesen Judi: Ulamak UMNO Sebagai Syaitan Bisu

Lesen Judi : UMNO/BN Langgar hukum Syarak!

Meluluskan lesen judi ini adalah simbol kehancuran nilai kehidupan yang paling asas, iaitu dengan meruntuhkan lambang ketaatan kepada Allah dan dengan sengaja mempamerkan keangkuhan terhadap hukum Allah

Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din menyifatkan kelulusan lesen judi oleh pemimpin Umno-BN sebagai suatu keputusan yang amat malang bagi masyarakat Melayu dan Islam di negara ini.

"Apabila usaha yang dilakukan untuk mengajak ummah kepada nilai murni khususnya penerapan nilai Islam telah berkecai apabila kerajaan dengan rasa tidak bertanggunggjawab meluluskan lesen judi tersebut.

"Perkara sebegini ingin dipandang remeh oleh sebahagian orang, tetapi ianya amat besar kepada umat yang berjiwa besar, menghormati dan menjunjung hukum Allah," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.

Dr Haron menyifatkan tindakan tersebut merupakan simbol kehancuran nilai kehidupan yang paling asas, iaitu dengan meruntuhkan lambang ketaatan kepada Allah dan dengan sengaja mempamerkan keangkuhan terhadap hukum Allah.

Perlu difahami bahawa keruntuhan akhlak yang sepatutnya menjadi fokus pemerintah di saat gejala sosial dan perlakuan yang menunjukkan rendah moral manusia telah ditambah dengan perkara sebegini tambah beliau.

Tindakan tersebut akan menjadikan kehidupan manusia lebih parah.

"Judi adalah satu amalan yang ditolak oleh semua agama malah oleh seluruh masyarakat manusia yang menghormati nilai keharmonian hidup berumahtangga.

"Walau apa pun alasan, kita tetap tidak boleh lari daripada hukum Allah. Kita perlu memahami membiarkan perkara yang haram tinggal haram dengan memejamkan mata itu berbeza dengan menghalalkan yang haram".

"Menghalalkan perkara yang haram dengan sengaja boleh menjejaskan akidah dan keimanan kita. Seolah-olah manusia itu lebih pandai dari Allah," jelas Dr Haron Din.

Sementara itu, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Hashim Yahaya ketika dihubungi menyifatkan tindakan kelulusan lesen judi tersebut tidak menggambarkan pentadbiran sebuah negara Islam.

"Tindakan tersebut bercanggah dengan hukum syarak. Dalam Al-Quran dan hadis jelas mencatitkan perkara yang jelas haram antara lain adalah judi, arak dan zina," katanya.

Hashim menyeru kepada NGO Islam dan pertubuhan tanpa mengira latar belakang politik dan pendirian untuk bangkit dan membantah kelulusan lesen judi tersebut.

Kata beliau ini jelas mencemarkan nama Malaysia yang dikenali sebagai negara Islam contoh.

"Jika kita tidak membantah, seolah-olah kita bersetuju dan bersekongkol dengan tindakan tersebut. Kalau unsur judi yang tersembunyi pun kita bantah, apatah lagi yang diadakan secara terang-terangan dan lesen diberikan secara rasmi" katanya lagi.

Beliau mencadangkan kepada Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan untuk mengeluarkan kenyataan dan pendirian mereka dalam isu ini.

Beliau turut memohon kepada Majlis Raja-Raja untuk bersidang dan membincangkan perkara ini kerana ia memberikan kesan langsung kepada kehidupan umat Islam.

"Sebagai penaung kepada orang Melayu dan ketua Islam, Majlis Raja-Raja diharap dapat memberikan pembelaan kepada orang Islam," kata Hashim.

Beliau optimims bahawa pembatalan lesen judi tersebut akan dipersetujui oleh ramai pihak.

"Bahkan ramai orang bukan Islam yang turut menentang cadangan usaha tersebut", katanya lagi. -sk


Ulasan GB

Kepada ulamak-ulamak UMNO, ketara sangat mereka pengecut dan bacul untuk menegakkan kebenaran. Mereka penjilat dan mereka adalah perosak agama. Mereka pengampu dan pembodek kepada Bapa Judi.

Nabi Saw bersabda:

“Orang yang berdiam diri dari kebenaran (tidak mahu mengingatkan atau berusaha membuat perubahan), adalah seperti syaitan yang bisu.” [HR. Al Hakim]



UMNO MIC Bergasak. Samy Vellu Akan Pecat Muhyiddin Juga?

Krisis antara UMNO dan MIC bertambah buruk hari ini apabila anak Datuk Seri Samy Vellu menuduh UMNO sebagai mendalangi kempen untuk membunuh kerjaya politik ayahnya.

Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin pula menyifatkan dakwaan oleh S Vell Paari itu sebagai biadap dan meminta Samy supaya menasihati anaknya.

Pertikaman lidah antara UMNO dan MIC itu adalah yang terburuk dalam sejarah Barisan Nasional dan mencerminkan ketidakstabilan yang semakin ketara dalam gagasan itu.

Samy Vellu menjadi sasaran beberapa kerat pemimpin MIC yang mendesak beliau supaya meletakkan jawatan setelah menerajui parti itu sejak tahun 1974.

Pergeseran antara UMNO dan MIC pula semakin buruk apabila Perdana Menteri Najib Razak menolak calon pilihan parti itu untuk bertanding pada pilihanraya kecil Hulu Selangor bulan lalu.

Ini kali pertama Umno masuk campur dan menentukan calon yang mana harus diletakkan oleh MIC. Tindakan itu dilihat sebagai mengaibkan Samy di samping mengundang kritikan terhadap kepimpinannya.

Beberapa orang yang mengkritik Samy kemudian menubuhkan Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) bagi memaksa beliau berundur sebagai presiden MIC.

Vell Paari anak kepada Samy semalam membuat kenyataan terbuka bahawa gerakan itu turut didalangi oleh UMNO dan mendedahkan bahawa UMNO telah lama mendominasi parti-parti komponen lain dalam BN.

“Umno akan menentukan siapa memimpin MIC jika pihak luar tak henti campurtangan dalam urusan dalaman MIC” ujar Vell Paari.

Vell Paari mendakwa Umno menggunakan pendekatan "pembunuhan politik" untuk memecahbelahkan MIC.

Dalam reaksi kilas, Muhyiddin menyifatkan Vell Paari sebagai biadap kerana menuduh Umno cuba menjatuhkan ayahnya.

"Umno ingin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan oleh anak Samy Vellu itu. Ia adalah sesuatu yang biadap”ujat Muhyiddin.

Timbalan perdana menteri menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu dan meminta Vell Paari supaya menghentikan tindakan tidak bertanggungjawabnya itu.

Muhyiddin juga meminta Samy Vellu supaya menasihatkan anaknya supaya tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan sensitiviti parti-parti komponen BN yang lain.

"Samy Vellu boleh nasihatkan anaknya” tambahnya lagi. -TVS

Jika Benar Begitu, Sahihlah Dia Bapa Judi

Tukar tanah KTMB dengan tapak perjudian?

Belum selesai isu judi bola sepak, Datuk Seri Najib Razak telah bersetuju untuk menyerahkan tanah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Singapura kepada syarikat usahasama dan digantikan dengan tanah di kawasan perjudian Singapura iaitu di Marina Bay.

Alasan yang digunakan adalah, tanah ini mungkin akan ditukar ganti dengan tanah yang lebih bernilai dan mudah dimajukan apabila Malaysia dan Singapura menubuhkan sebuah syarikat usaha sama sebelum 31 Disember 2010 ini.

Namun, Marina Bay adalah tapak perjudian yang dijangka menjadi resort perjudian yang terbaik di dunia.

Semalam Perdana Menteri Najib telah menandatangani perjanjian itu dalam retreatnya dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.

Melalui perjanjian itu, Malaysia menyerahkan tanah KTMB itu kepada satu syarikat milik bersama antara Malaysia dan Singapura.

Padahal, sejak sekian lama Malaysia berpendirian, tanah itu adalah milik penuh KTMB kerana ia telah dimiliki syarikat itu sejak Singapura berada dalam Malaysia lagi.

Kedua-dua negara, katanya, bersetuju untuk menubuhkan M-S Pte. Ltd. bagi tujuan membangunkan tanah-tanah milik KTMB di Tanjong Pagar, Kranji, Woodlands dan Bukit Timah di sini.

Najib berkata, Khazanah Nasional Bhd. akan menguasai 60 peratus kepentingan dalam syarikat terbabit manakala baki 40 peratus lagi dimiliki pihak Singapura melalui Temasek Holdings Ltd.

Tanah yang dikatakan bernilai itu adalah di Marina Bay iaitu kawasan yang terletaknya Marina Bay Sands Casino Resort.

"Marina Bay Sands dijangka akan menjadi resort perjudian yang terbaik di dunia," tulis Tom Jones, Staff Editor, CasinoGamblingWeb.com dalam tulisannya 25 April baru-baru ini.


Sementara itu, PAS menyelar tindakan perdana menteri itu yang seolah oleh tidak pernah belajar dari beberapa kesilapan kerajaan berhubung isu penyerahan kawasan dan kedaulatan negara kepada negara luar.

Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata, PAS tetap berpendirian bahawa kesemua tanah KTMB itu adalah hak mutlak Malaysia, dan Singapura tiada hak ke atasnya.

"Kita mempertahan Tanjung Pagar itu dari sudut sejarahnya, faktanya adalah sebahagian hak Malaysia dan tidak boleh dibahagi-bahagi," katanya.

Najib katanya perlu lebih telus dan terbuka menjelaskan kepada rakyat berhubung tujuan di sebalik pemberian 40 peratus kepada Singapura itu.

Ini kerana, rakyat katanya tidak mahu kedaulatan negara terus digadai kepada negara luar seperti apa yang berlaku terhadap dua blok minyak, L dan M yang diserah kepada kerajaan Brunei sehingga merugikan negara.

Malaysia juga jelasnya, telah kecundang dalam menuntut hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih dan isu pangkalan TLDM Woodlands.

"Kita tidak tahu apa yang Najib deal dengan perdana menteri Singapura dan rakyat tidak mendapat penjelasan lanjut, sepatutnya ia diperhalusi.

"Ini bukan soal hak tanah, tapi soal kedaulatan dan maruah negara," katanya lagi.

Katanya lagi, Najib sewajarnya ingat sejarah Umno melepaskan Singapura yang dahulunya sebahagian dari Malaysia di zaman Tunku Abdul Rahman menjadi perdana menteri ekoran kegagalan menangani krisis dalaman dengan Lee Kwan Yew. - harakahdaily




Khairy Bersiap Untuk Jadi Menteri Pertahanan?

Khairy tamat latihan askar wataniah

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin hari ini menamatkan latihan sebagai askar Wataniah selepas menjalani latihan ketenteraan selama sebulan di sekitar Negeri Sembilan dan Johor.

Menurut Khairy, penyertaannya dalam pasukan simpanan tentera darat itu semata-mata untuk berkhidmat kepada negara dan bukan disebabkan dorongan politik.

Bercakap kepada pemberita selepas lulus sebagai askar Wataniah dalam majlis perbarisan Tamat Kursus Asas Perajurit Muda Siri 1/2010 Rejimen 508 Askar Wataniah, Khairy berkata beliau mempelajari banyak perkara semasa dalam latihan itu dan berharap dapat menarik golongan muda tanpa mengira fahaman politik untuk menyertai askar Wataniah.

Turut hadir menyaksikan Khairy dan seramai 87 orang dalam skuadnya berbaris ialah mentuanya Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Jeanne Abdullah.

Khairy berkata walaupun sebelum ini beliau ditawarkan untuk mendapat pangkat Mejar Kehormat (tanpa proses latihan) tetapi berpendapat sebagai orang muda dan mempunyai sedikit stamina, beliau mahu menyertai Wataniah dan turut menjalani latihan tentera.

- Bernama

Isu Tanjong Pagar : AMK Desak Najib Jelaskan Di Parlimen

PM Perlu Perjelas Isu KTMB Tanjong Pagar Di Parlimen

Angkatan Muda Keadilan Selangor mendesak Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak memberi penjelasan di Parlimen isu tanah Keretapi Tanah Melayu Berhad di Tanjong Pagar yang akan berpindah ke Woodlands. Kita menuntut Perdana Menteri menjelaskan butiran perjanjian bersama PM Singapura, Lee Hsien Loong agar rakyat dimaklumkan isu berkenaan dengan ini dengan jelas dan munasabah.

AMK Selangor melihat seolah-olah Perdana Menteri mudah ‘tunduk melutut’ kepada permintaan negara-negara luar dalam isu hak dan kedaulatan negara yang bakal merugikan masa hadapan negara. Dalam isu KTMB ini,kita melihat seolah-olah Perdana Menteri tunduk dengan tekanan Singapura apabila dengan mudahnya sanggup bersetuju dengan perpindahan KTMB dari Tanjung Pagar ke Woodlands dengan beralasan tanah seluas 12 hektar (29.65 ekar) akan diserahkan kepada sebuah syarikat usahasama yang ekuitinya 60% Malaysia dan 40% Singapura.

Luas asal tanah rezab KTM termasuk laluan keretapi dan stesen di Tanjung Pagar adalah 200 hektar atau 494 ekar (mengikut Singapore Railway Transfer Ordinance 1918) dengan tempoh pajakan selama 999 tahun. Menjelang hujung tahun ini satu syarikat yang diberi nama M-S Pte Ltd yang akan ditubuhkan yang kononnya 60% milik Malaysia dan 40% milik Singapura. Apakah berbaloi Malaysia akur dengan persetujuan ini dalam masa pendek dan panjang?

AMK Selangor mempersoalkan penubuhan syarikat ini berkenaan pegangan ekuiti tersebut di mana pada masa akan datang yang mudah dibeli oleh pihak Singapura kelak melalui Temasek Holdings Limited. Malahan sebelum ini Malaysia yang sudah pun kehilangan hak kedaulatan Pulau Batu Putih dan isu pangkalan TLDM Woodlands. Kali ini sekali lagi negara bakal kerugian besar terhadap potensi masa hadapan yang tidak dapat dikenalpasti dan dinilai pada masa sekarang.

AMK Selangor juga melihat keputusan perpindahan KTMB ke Woodlands Train Checkpoint pada 1 Julai 2011 dan kemudian ke Johor menjelang 2018 adalah agenda terancang Singapura secara berperingkat ‘menghalau’ hak dan kedaulatan Malaysia sedikit demi sedikit yang kelak merugikan negara. Perkara ini ada disebut dalam kenyataan media bersama antara kedua-kedua Perdana Menteri pada 24hb Mei 2010 lepas.

“For the convenience of commuters, the rapid transit system link will have a single co-located CIQ facility in Singapore with the exact location to be determined later. It is targeted that the proposed rapid transit system link will be operational by 2018. Thereafter Malaysia may consider to relocate the KTMB Station from Woodlands to Johor.”

AMK Selangor juga menggesa Perdana Menteri memberi penjelasan di Parlimen pertemuan beliau bersama Perdana Menteri Singapura perkara-perkara yang dibincangkan yang perlu diketahui oleh rakyat. Kita tidak mahu, media-media hanya mengumumkan perkara-perkara yang positif tetapi pada realitinya menenggelamkan isu-isu yang amat penting berkenaan hak dan kedaulatan negara.

AMK Selangor menggesa agar kerajaan bertegas dan tidak mudah tunduk kepada negara luar khususnya yang melibatkan hak dan kedaulatan negara. Rakyat tidak sanggup melihat negara kerugian besar di masa hadapan akibat kegagalan Perdana Menteri masakini melihat dan berpandangan futuristik membuat keputusan tepat dan terbaik untuk negara.

Kita menggesa agar rakyat bangkit mempersoalkan kewajaran keakuran kerajaan Malaysia berkenaan isu-isu dengan Singapura mutakhir ini. Kita mahu hak dan kedaulatan negara tidak mudah tergadai dan digadai kepada negara luar dengan mudahnya. Negara ini adalah hak, amanah dan tanggungjawab kita semua bersama-sama.

Mohd Ezli Mashut
Ketua Penerangan AMK Selangor

Syarikat Kroni Noh Omar Monopoli Benih Padi, 300 Demo Depan BERNAS

Ahli Dewan Undangan Negeri Sekinchan, Ng Swee Lim mendakwa dua buah syarikat yang dikatakan mempunyai kaitan dengan Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar memonopoli bekalan benih padi menyebabkan beban harga kepada golongan petani.

Sehubungan itu petani yang marahkan kegiatan tidak bermoral dua buah syarikat tersebut akan mengadakan protes di kilang BERNAS Sekinchan terhadap Beras Padi Nasional bagi menyatakan bantahan mereka.

Menurut Swee Lim yang dihubungi Suara Keadilan harga padi musim ini merosot secara mendadak daripada RM1,380 setan kepada RM1,150 setan.

"Harga pasaran beras di kedai runcit dan pasar raya tidak turun tetapi Bernas membeli padi daripada petani di sini dengan harga yang murah.

"Di sini, Bernas adalah satu-satunya agen yang dibenarkan oleh kerajaan, jadi petani tidak mempunyai pilihan.

"Tahun ini, Bernas mengimport beras dengan harga yang lebih murah menyebabkan harga padi yang dibekalkan petani kepada Bernas merudum," kata beliau.

Tambahnya, tindakan syarikat tersebut membuat golongan petani tertekan kerana terbeban dengan harga padi yang lebih tinggi pada tahun lepas.

Swee Lim juga mendakwa tindakan Noh yang juga merupakan Ahli Parlimen Tanjung Karang memberikan kuota hak benih padi kepada syarikat kepunyaan kroninya juga mendatang kemarahan petani.

Dua syarikat ialah Haji Mat Nor Sendirian Berhad (Ahli Jawatankuasa Umno Tanjung Karang) dan Kejora Desa Sendirian Berhad (rakan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin).

"Sebelum ini dua syarikat tersebut diberikan 5,000 tan benih tetapi selepas Noh dilantik sebagai menteri, mereka diberikan 17,000 tan sedangkan kapasiti benih padi yang mampu mereka hasilkan hanya 5,000 ke 6,000 tan padi sahaja," kata beliau.

Swee Lim berkata demonstrasi itu juga akan mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya meminta Noh meletak jawatan sebagai Menteri Pertanian dan Asas Tani kerana didakwa telah menyeleweng kuota benih padi serta tidak menjaga periuk nasi petani yang bergantung kepada hasil penjualan padi kepada Bernas.

Seramai 300 orang petani dijangka akan menghadiri bantahan tersebut. -SK


Harga Padi Merudum, Petani Berdemontrasi Depan Bernas

TANJONG KARANG 25 MEI: Kira-kira 300 petani yang mengadu terbeban dengan kenaikan harga benih padi, mengadakan demontrasi di depan kilang Beras Padi Nasional (Bernas), Sekinchan di sini, pagi ini.

Mereka menyalahkan Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar yang dianggap sebagai punca berlaku kenaikan harga benih padi yang didakwa terlibat dalam menetapkan kuota kepada dua syarikat kroni.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekinchan, Ng Swee Lim berkata, harga padi musim ini merosot mendadak daripada RM1,380 setan kepada RM1,150 setan.

"Sebelum ini, dua syarikat itu diberi 5,000 tan benih padi tetapi selepas Noh menjadi menteri, mereka memperoleh 17,000 tan sedangkan kapasiti benih padi yang mampu dihasilkan mereka hanya 5,000 ke 6,000 tan padi," katanya.

Demonstrasi itu juga mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya meminta Noh meletak jawatan sebagai Menteri Pertanian dan Asas Tani kerana didakwa menyeleweng kuota benih padi. -TVS


kABAR Era Pakatan Ada Permit, KDN Rampas Semborono

Ketua pengarang akhbar Kabar Era Pakatan hari ini menyangkal kenyataan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menyebut tabloid tersebut diterbitkan tanpa permit penerbitan.

Mat Zahari Ali (kiri) berkata permit bagi akhbar terbitan Damak Media itu diperolehi untuk akhbar dengan nama 'Kabar' bagi tempoh satu tahun bermula 28 Disember 2009.

Jelasnya, "Era Pakatan" hanya merupakan motto bagi penerbitan tersebut dan perkara ini dinyatakan dalam sepucuk surat kepada KDN pada 29 Apr lalu.

KDN bagaimanapun bertindak merampas sebanyak 6,108 naskah akhbar tersebut, berdasarkan aduan awam dan laporan polis.

Mat Zahari bagaimanapun tidak yakin dengan alasan tersebut dan mendakwa tindakan rampasan itu dibuat atas "arahan pihak atasan."



KDN Rampas Akhbar Kabar Era Pakatan

Tindakan Bahagian Penerbitan Kementerian Dalam Negeri di Perak dan Selangor pada 22 Mei lalu merampas 3,000 naskhah akhbar alternatif Kabar Era pakatan memburukkan lagi rekod kebebasan media Malaysia.

Sebelum ini dua stesen televisyen ntv7 dan tv2 telah ditekan agar menghentikan atau tidak menyiarkan program yang dianggap merugikan kerajaan BN.

Menurut Ketua Pengarang KEP Mat Zahari Ali berkata alasan yang diberikan tidak spesifik dan membingungkan pemilik dan editor akhbar KEP.

"Rampasan dibuat kerana tajuk akhbar tidak sama dengan tajuk permit, juga pertukaran permit dari Konsep kepada Kabar tanpa memberitahu KDN serta terdapatnya laporan kepada unit penerbitan KDN oleh pihak tertentu.

"Kami tidak tahu mana satu alasan sebenar yang mewajarkan tindakan KDN ke atas KEP. Dahulu kami menggunakan permit Konsep dan permit itu tamat tempoh. KDN beri amaran akan merampas akhbar. Namun apabila kami tukar kepada permit baru akhbar tetap dirampas juga.

"Saya dihubungi oleh pegawai KDN mendakwa tajuk KEP tidak sama dengan yang tertulis dalam mock up ( nashkah contoh permohonan permit). Perkataan Erapakatan tidak ada. Hakikatnya akhbar lain pun tidak meletakkan tagline mereka ketika memohon permit.

"Kami juga menerima dakwaan terdapat laporan tertentu dalam akhbar yang menyentuh pimpinan BN. Tetapi akhbar harian pro-BN melakukan serangan yang lebih hebat ke atas pemimpin pembangkang. Malah memfitnah mereka. Mengapa KDN tidak mengambil tindakan,"katanya kepada Suara Keadilan.

Tambahnya, tindakan KDN ke atas KEP agak agreasif selepas akhbar terbabit menyiarkan kes kapal selam Scorpene (KD Tunku Abdul Rahman) yang membabitkan PM Najib Razak serta Razak Baginda yang sedang disiasat oleh seorang peguam Peranchis sebagai berita muka depan pada April lalu.

"Sebelum ini ketika kami siarkan isu APCO pegawai KDN pernah pergi ke kilang cetak. Tetapi apabila kita siarkan gambar PM Najib pada muka depan maka berlaku rampasan dalam jumlah yang banyak,"sambungnya.

"Rampasan seperti ini amat tidak demokratik dan menyekat kebebasan media. Tidak sepatutnya akhbar disekat, kerana selain akhbar rakyat ada internet. Sekat macam mana pun berita dan maklumat tidak boleh dihalang daripada tersebar,"ujarnya.

Akhbar Kabar Era Pakatan diterbitkan sejak September 2009. Asalnya ia menggunakan permit Konsep sehingga Mac 2010 dan bertukar kepada permit Kabar pada April lalu yang mempunyai tempoh sah sehingga Disember 2010. -SK



Stesen KTMB Ke Woodlands, Pemimpin BN Andaikan Rakyat Malaysia Bebal

Pindah Stesen KTMB Ke Woodlands, Ulang Penukaran Limbang Dengan Blok Minyak

Pakatan Rakyat hari ini menggesa kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan manfaat di sebalik pertukaran enam bidang tanah di Tanjong Pagar dengan dua kawasan di Singapura.

Bagaimapun, keputusan yang dicapai oleh Najib dengan rakan sejawat dari Singapura, Lee Hsien Loong itu dikhuatiri berakhir seperti krisis di wilayah Limbang.

"Kami, setelah berlakunya pertukaran di Limbang iaitu dua blok L dan M di perairan Sabah dan Sarawak, cukup khuatir dan mahu persoalan ini dilihat daripada perspektif menyeluruh," katanya kepada TV Selangor.

Najib hari ini bersetuju memindahkan stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tanjong Pagar ke Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands (WTCP) menjelang 1 Julai 2011.

Malaysia juga akan menempatkan kemudahan kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ) kereta apinya di WTCP.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzufkefly Ahmad mengingatkan Najib betapa era ‘hanya pemimpin tahu semua perkara’ sudah berakhir.

Dalam erti kata lain, beliau berkata, kerajaan harus menilai dan mengambil kira pandangan pihak lain dalam memastikan kedaulatan dan kepentingan negara tidak dikesampingkan begitu sahaja.

"Era pemimpin tahu sudah berlalu, lebih-lebih lagi dalam membuat keputusan yang bersabit dengan kedaulatan, kepentingan, negara dan rakyat. Jadi, jangan mudah-mudah dilakukan tanpa analisis, tanpa kajian mendalam," katanya.

Kata Dr Dzul, Najib harus telus dan terbuka dalam soal perjanjian yang termeterai antara kerajaan Malaysia dan Singapura. -TVS

24 Mei 2010

Dah Dijangkakan : Mahkamah Tolak Permohonan Sivakumar

Mahkamah Tolak Permohonan Sivakumar Semak Keputusan 3 ADUN Lompat Parti

PUTRAJAYA 24 Mei - Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak Pakatan Rakyat, V Sivakumar untuk menyemak semula keputusan yang dibuat mahkamah tersebut sebelum ini yang membenarkan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri yang keluar parti menjadi wakil Bebas mengekalkan kerusi masing-masing.

Keputusan panel tiga hakim juga mengesahkan bahawa speaker tidak mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan kerusi berkenaan kosong.

Sivakumar ketika dihubungi Suara Keadilan berkata keputusan mahkamah hari ini mentafsirkan speaker tidak mempunyai kuasa di bawah Perkara 63 Undang-undang Tubuh Negeri Perak sebaliknya yang mempunyai kuasa adalah Suruhanjaya Pilihan Raya.

"Perkara ini telah dirujuk oleh Mahkamah Tinggi ke Mahkamah Persekutuan yang telah menetapkan keputusan yang mempunyai kuasa membuat keputusan adalah SPR.

"Mahkamah Persekutuan juga dalam hujahnya berkata speaker tidak mempunyai kuasa untuk mentafsir Perkara 63 Undang-Undang Tubuh Negeri Perak," kata Sivakumar.

Menurutnya lagi, keputusan hari ini oleh tiga panel hakim itu juga menganggap mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 April lepas.

"Keputusan yang dibuat mahkamah itu juga tidak boleh ditarik balik," tambahnya lagi.

Pada 9 April tahun lepas, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff mengisytiharkan Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Kapt (B) Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang) sebagai anggota Dewan Undangan Negeri bagi ketiga-tiga kawasan.

Osman dan Jamaluddin, bekas anggota KEADILAN Perak dan Hee daripada DAP, meninggalkan parti masing-masing untuk menjadi wakil rakyat Bebas yang menyokong Barisan Nasional, sehingga membawa kepada kejatuhan kerajaan negeri Pakatan Rakyat Perak.

Panel itu juga memutuskan bahawa SPR adalah badan yang berhak mengisytiharkan kekosongan sesebuah kerusi di Perak, dan bukannya speaker DUN Perak iaitu Sivakumar.

Mahkamah tersebut juga, pada 8 April tahun lepas, telah memutuskan bahawa ia mempunyai bidang kuasa mendengar kes ketiga-tiga wakil rakyat yang dirujuk secara langsung kepadanya dari Mahkamah Tinggi Ipoh mengikut Perkara 63 Perlembagaan Perak berhubung isu perlembagaan iaitu siapa yang berkuasamengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Perak.

Menerusi notis usul yang difailkan pada 19 April lepas, Sivakumar mendakwa beliau berhak, di bawah undang-undang, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Persekutuan bertarikh 9 April yang terbatal kerana dibuat tanpa bidang kuasa.

Ketika mencabar keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung isu bidang kuasa, Sivakumar berkata mahkamah tersebut telah secara tidak selaras dengan perlembagaan atau kaedah-kaedah prosedur, menganggap ia mempunyai bidang kuasa untuk mendengar perkara itu.

Beliau mendakwa Mahkamah Persekutuan telah tersalah tafsir Perlembagaan Persekutuan apabila memutuskan bahawa undang-undang di bawah Perlembagaan Perak adalah undang-undang Persekutuan yang membolehkan bidang kuasa diberikan kepada Mahkamah Persekutuan menerusi Perkara 121(2)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Sivakumar juga berkata satu lagi kes di mana speaker lawan SPR akan diputuskan di Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur, Khamis ini. -SK

Ulasan GB

Kan GB dah tulis dulu,

Ada beberapa kes terpilih yang mana Pakatan Rakyat atau mana-mana individu yang melawan institusi kerajaan akan PASTI ditewaskan apabila ianya sampai ke penal Mahkamah Persekutuan. Diantaranya kes Perak, kes liwat DSAI, kes melibatkan SPRM, kes melibatkan SPR, kes melibatkan PDRM.

Buka semula penghakiman kes-kes berkenaan Mahkamah Persekutuan, jika anda rasa GB tidak berkata benar.

Dan ingat juga kes correct, correct, correct. Si hakim bedebah yang membaca kertas penghakiman yang disediakan oleh peguam yang terlibat di dalam kes yang dibicarakan masih lepas bebas dan tidak diambil sebarang tindakan.


MIC Tuggang Langgang, Samy Vellu Cantas 2 Anggota CWC

Datuk Seri S. Samy Vellu meneruskan tindakan mencantas penentangnya dengan memecat dua lagi pemimpin hari ini — kali ini membabitkan anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) yang dipilih.

K.P. Samy dan G. Kumar Aamaan dikeluarkan surat pemecatan daripada Presiden MIC hari ini.

Dengan keputusan drastik itu, Samy Vellu yang menggunakan kuasa sebagai presiden untuk memecat mereka, empat orang telah dipecat dalam dua minggu ini.

Dua yang dipecat sebelum ini ialah Ketua MIC Bahagian Petaling Jaya Selatan V. Subramaniam atau lebih dikenali sebagai Bharat Maniam dan Timbalan Ketua Pemuda MIC V. Mugilan.

Mugilan dipecat Khamis lalu.

Samy Vellu memecat Samy dan Kumar ketika Bharat Maniam membuat rayuan berhubung pemecatannya hari ini.

Mugilan juga memutuskan untuk membuat rayuan hari ini.

Ketika dihubungi 6 petang tadi, Samy mengesahkan menerima surat pemecatan.

“Saya baru sahaja menerima surat... saya dipecat atas alasan membuat kenyataan meminta Datuk Seri Samy Vellu berundur segera,” kata Samy, ketua cawangan Shah Bandar, Selangor.

Samy (gambar) akan mengadakan sidang media tengah hari esok berhubung tindakan terbaru Samy Vellu ini.

“Saya memang telah menjangkakan tindakan ini. Tindakan Datuk Seri Samy Vellu kini membawa parti ke arah kehancuran, biar ahli membuat penilaian akan tindakan beliau,” kata Samy, antara beberapa pemimpin yang lantang bersuara dalam mesyuarat CWC.

“Saya sedih dengan tindakan Datuk Seri Samy Vellu ini... ini menunjukkan beliau bertindak seperti seorang diktator, tiada siapa yang boleh memberi pandangan dan bersuara,” kata Kumar.

Anggota CWC penggal pertama ini berkata, walaupun Samy Vellu mengendakan tindakan, “kami sudah mendapat tempat dalam hati rakyat.”

“Biar Tuhan mengadili Datuk Seri Samy Vellu dan biar Perdana Menteri ambil tindakan sewajarnya ke atas presiden MIC ini,” kata Kumar lagi sambil menambah, beliau telah menerima surat pemecatan kira-kira 7:15 petang ini.

Samy dan Kumar merupakan antara lima anggota CWC daripada kalangan bukan puak direstu Samy Vellu memenangi pemilihan CWC September lalu.

Samy Vellu mengambil tindakan ini dua hari selepas memberi amaran pada Konvensyen MIC Pahang di Genting Highlands bahawa beliau tahu “bagaimana hendak berurusan dengan budak-budak kecil” yang mula membuat kacau dalam parti.

Sehari selepas Samy Vellu mengumumkan pelan peralihan kuasa iaitu suku ketiga tahun depan, Mugilan membuat kenyataan terbuka meminta pemimpin veteran itu berundur segera ataupun selewat-lewatnya 31 Disember ini.

Samy dan Kumar membuat kenyataan yang serupa Jumaat lalu. -TMI


Subra: Samy Vellu sudah pecat 100,000 ahli MIC

Bekas Timbalan Presiden MIC, Datuk S Subramaniam, berkata beliau bersimpati dengan timbalan ketua Pemuda MIC Malaysia yang baru dipecat, V Mugilan tetapi menafikan mereka bekerjasama menubuhkan Gerakan Anti Samy Vellu (GAS).

subramaniam interview"Tuduhan ahli Jawatankuasa Pusat (CWC) MIC yang baru dilantik, S Vell Pari yang juga adalah anak Samy Vellu dalam sebuah akhbar berbahasa Tamil hari ini bahawa kami bekerjasama menubuhkan GAS adalah berniat jahat," kata Subramaniam.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan sambutan ulang tahun Kuil Sri Subramaniar di Serdang, dekat sini, hari ini, Subramaniam berkata, sejak berkecimpung dalam arena politik beliau tidak pernah "menikam orang dari belakang".

Katanya, beliau sedang berbincang dengan peguamnya kemungkinan menyaman Vell Pari.

Subramaniam yakin usaha Mugilan menubuhkan GAS mendesak Samy Vellu berundur akan mendapat sokongan kuat daripada akar umbi MIC di seluruh negara.

subramaniam samy vellu and mic"Bukan saja pimpinan MIC peringkat bawahan yang mahu Samy Vellu berundur malahan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir dua tahun lalu pernah menasihat Presiden MIC itu berundur," katanya.

Subramaniam mendakwa, Samy Vellu telah memecat kira-kira 100,000 ahli parti selama lebih 30 tahun beliau menjadi presiden.

"Lagi cepat pertukaran kuasa berlaku lagi baik untuk MIC," katanya. -mk

Ibu minta suruhanjaya ditubuhkan siasat kematian anak

Seorang ibu hari ini meminta satu suruhanjaya bebas ditubuhkan bagi menyiasat kematian anaknya akibat ditembak polis selepas dipercayai terlibat dengan jenayah ragut, 20 Okt tahun lepas.

Sapiah Elah, 52, dari Felda Simpang Waha, Kota Tinggi, berkata pihak berkuasa masih tidak memberikan penjelasan dan siasatan terperinci mengenai kematian anak lelakinya, Mohd Afham Arin, 18, walaupun kejadian terbabit sudah berlaku tujuh bulan lepas.

“Saya tidak berpuas hati kerana polis juga cuba menipu saya dengan mengatakan anak saya masih hidup apabila saya tiba di Balai Polis Seri Alam sedangkan dia sudah meninggal dunia akibat ditembak polis pada awal pagi, 20 Okt itu.

“Saya juga amat kesal kerana terpaksa menunggu lama untuk berjumpa Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor dan menuntut jenazah anak saya di Hospital Sultanah Aminah,” katanya kepada pemberita pada satu pertemuan yang diaturkan oleh Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Johor, di sini, hari ini.

Sapiah mendakwa Mohd Afham, yang menunggang motosikal bersama pembonceng, Mohd Firdaus Marsani, 19, seorang anak yang baik dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah sebelum ini.

Sehubungan itu, dia meminta Kementerian Dalam Negeri memandang serius kejadian terbabit dan mengharapkan suruhanjaya yang ditubuhkan itu dapat membersihkan nama Mohd Afham yang didakwa polis sebagai terlibat dengan 25 kes samun.

Sementara itu, Mohd Firdaus yang menuntut keadilan, turut menyangkal dakwaan polis yang mengatakan dia melibas pihak berkuasa dengan parang lalu menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri.

Menceritakan kejadian tembakan itu, Mohd Firdaus berkata, dia bersama Mohd Afham dikejar tiga lelaki menaiki motosikal di kawasan Taman Johor Jaya selepas selesai menikmati makan malam.

Katanya disebabkan rasa takut kerana ketiga-tiga lelaki tersebut hanya berpakaian biasa dan tidak menunjukkan kad kuasa, Mohd Afham terus memecut motosikalnya menghala ke Pasir Gudang sambil dikejar ketiga-tiga lelaki terbabit.

“Apabila tiba di satu selekoh berhampiran jambatan menuju ke Seri Alam, saya terdengar satu das tembakan dari arah belakang sebelum disusuli dua lagi tembakan lain yang menyebabkan motosikal yang kami naiki terjatuh,” katanya yang berpeluang melarikan diri selepas terjatuh di dalam semak.

Mohd Firdaus menegaskan, dakwaan mengatakan dia melibaskan parang adalah tidak benar sebaliknya kematian Mohd Afham yang merupakan pelajar Kolej Komuniti Ledang dan sedang menjalani latihan amali di Larkin, di sini, adalah disebabkan kecuaian polis dalam menjalankan tindakan.

Katanya dia sudah memberikan keterangan kepada polis mengenai kejadian itu pada Januari lepas, namun, sehingga kini masih tidak menerima sebarang maklumbalas dari pihak berkuasa. — Bernama