22 Nov 2009

Keropok Lekor Masih Selamat Dimakan Semasa Masih Panas

Semua produk keropok termasuk keropok lekor yang dipasarkan di Terengganu masih selamat untuk dimakan, namun pengguna perlu memastikan ia dimasak sepenuhnya terlebih dahulu dan dimakan semasa masih panas.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nordiyanah, berkata pengguna tidak digalakkan memakan keropok yang sudah sejuk walaupun telah digoreng atau direbus di kedai sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak jangkitan penyakit taun.

"Keropok lekor dan keropok keping di negeri ini masih selamat untuk dimakan, tetapi bagi keropok lekor yang dibeli bungkus, sebaiknya apabila pulang ke rumah, ia hendaklah dimasak semula dan dimakan semasa ia masih panas.

"Ini kerana kita bimbang semasa proses pembungkusan ia juga terdedah dengan pencemaran terutama jangkitan kuman yang menyebabkan taun," katanya di sini, hari ini.

Pihaknya juga tidak mengeluarkan sebarang arahan melarang atau menarik balik bahan makanan kegemaran ramai itu yang telah diedarkan di pasar-pasar kerana ia bukan tidak boleh dimakan, cuma perlu dimasak semula dengan sempurna.

Beliau diminta mengulas kebimbangan sesetengah pihak untuk makan keropok terutamanya keropok lekor setelah produk itu dikenalpasti sebagai salah satu punca penularan wabak taun di negeri itu sekarang.

Persatuan Pengguna Terengganu juga dilaporkan menyarankan orang ramai tidak membeli keropok lekor atau keropok berasaskan ikan buat sementara waktu bagi mengelak jangkitan taun.

Kementerian Kesihatan semalam mengesahkan penggunaan ikan yang dicemari kuman ''Vibrio Cholera'' untuk pembuatan keropok sebagai antara punca penularan wabak taun sejak beberapa minggu lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai semalam berkata, ikan berkenaan diperoleh dari negara jiran Thailand, berkemungkinan dibawa masuk ke negeri itu melalui Kompleks Perikanan Chendering yang membekalkan ikan ke daerah Kuala Terengganu dan Marang.

Selain keropok, sampel ayam mentah yang diambil dari Pasar Borong Gong Pauh di Wakaf Mempelam dan sampel swab di dua kilang ais di negeri itu juga didapati positif mengandungi kuman berkenaan.

Berikutan itu, dua kilang berkenaan telah diarahkan ditutup selain beberapa premis lain termasuk 11 kilang ais dan kedai-kedai makan.

Dr Nordiyanah berkata, mana-mana kilang yang mematuhi syarat penyediaan makanan yang ditetapkan, masih boleh beroperasi seperti biasa.

Tanpa mendedahkan statistik terbaru jangkitan taun di Terengganu, beliau menasihatkan orang ramai supaya mementingkan kebersihan terutama dalam aspek pemakanan.

"Sekali lagi kita ingin mengingatkan penduduk yang mengalami simptom penyakit taun, iaitu cirit-birit dan muntah terutama selepas makan untuk mendapatkan rawatan segera, mengamalkan kebersihan diri, tidak makan di restoran atau gerai yang diragui tahap kebersihannya dan tidak minum air yang tidak dimasak," katanya.

Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya tidak bermain air pada musim banjir bagi mengelak dijangkiti penyakit itu dan pelbagai penyakit bawaan air.

"Kita bimbang apabila banjir berlaku kerana ia mengandungi kuman setelah air berkenaan tercemar apabila ia bercampur dengan pelbagai najis," katanya. -Bernama

PAS Yakin PR Akan Terus Berkuasa

Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) yang menerajui beberapa negeri selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-12 lalu diyakini dapat meneruskan perkhidmatan kepada rakyat dengan lebih baik pada masa depan.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, ini berikutan ketelusan pentadbiran sedia ada sekarang berupaya menunjukkan kepimpinan yang baik dan bebas penyelewengan.

“Buktinya sehingga kini belum ada pihak termasuk pendedahan melalui akhbar penyelewengan yang dilakukan sama ada oleh pemimpin parti atau kalangan pemerintah negeri yang dikuasai PR.

“Ini menunjukkan kita sememangnya mengamalkan pentadbiran yang telus dalam semua bidang dalam usaha untuk memberi keselesaan kepada rakyat,” katanya ketika merasmikan Majlis Sambutan Jubli Emas Pas Jerai di Dewan Orang Ramai di sini, semalam.

Menurutnya, punca utama tidak berlakunya penyelewengan ini adalah kerana semua pemimpin di negeri Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang mengamalkan perbelanjaan berhemah.

“Ketelusan yang menjadi amalan semua pemimpin PR dalam mentadbir negeri masing-masing turut meyakinkan rakyat bahawa mereka tidak terlibat dengan perbuatan rasuah.

“Malah perbelanjaan berjimat cermat kesemua kerajaan negeri tersebut berjaya mengurangkan 30 peratus perbelanjaan mentadbir yang kemudiannya boleh pula digunakan untuk membantu rakyat dalam bentuk yang lain pula,” katanya.

Salahuddin berkata, PR tidak akan menyembunyikan mana-mana pemimpinnya yang didapati menyalah guna kuasa termasuk mengenakan tindakan tegas jika didapati bersalah oleh mahkamah.

“Kita bukan sahaja ingin melihat pemimpin bersih tetapi mereka mesti tunjukkan perjuangan yang dibawa adalah untuk membantu rakyat, bukan kerana kepentingan peribadi," katanya. -SH

Keropok Lekor Punca Taun Di Terengganu

Penggunaan ikan dicemari sejenis kuman dinamakan ‘vibrio cholera’ dalam keropok dikenal pasti sebagai salah satu punca menyebabkan berlakunya penularan penyakit Kolera atau taun di Terengganu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, berdasarkan keputusan ujian ke atas sampel ikan yang diambil dari dua kilang keropok di Kuala Terengganu, pihaknya mendapati ia positif ‘vibrio cholera'.

Menurutnya, keputusan itu memberi gambaran bahawa kemungkinan ikan digunakan tercemar dengan ‘vibrio cholera’ dari Thailand ketika didaratkan melalui Kompleks Perikanan Chendering yang membekalkan ikan ke daerah ini dan Marang.

“Selain itu, keputusan makmal terhadap beberapa sampel termasuk ayam mentah dari Pasar Borong Gong Pauh, Wakaf Mempelam dan swab paip bocor kilang ais juga didapati positif kuman tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menziarahi pesakit taun yang menerima rawatan di Wad Isolasi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini semalam.

Tiong Lai berkata, sejak wabak tersebut menular di Terengganu, Jabatan Kesihatan Negeri telah melakukan pemeriksaan terhadap 115 premis makanan seluruh negeri ini dan daripada jumlah itu, 20 premis terpaksa ditutup.

Katanya, 11 kilang ais, empat kilang keropok dan lima premis makanan terbabit diarahkan tutup di bawah Akta Makanan 1983 selama 10 hari setelah sampel makanan diambil disahkan positif kuman menyebabkan taun.

Kita arahkan mereka tingkatkan kebersihan premis masing-masing dan jika mereka mematuhi peraturan serta standard ditetapkan, pengusaha boleh memohon agar kilang terbabit dibuka semula,” katanya.

Beliau memberitahu, sebanyak 85 mangsa kes cirit-birit (Acute Gastroenteritis-AGE) telah pun dimasukkan kes wad Isolasi kelmarin menjadikan jumlah keseluruhan kes AGE ke wad adalah 621 kes.

Menurutnya, sehingga jam 7 pagi kelmarin seramai 482 mangsa iaitu 322 pesakit disyaki mengalami AGE, 138 kes yang disahkan mengalami kolera atau taun dan 22 pembawa wabak tersebut masih lagi dirawat di HSNZ.

“Lebih 90 peratus kes melibatkan Kuala Terengganu dan bagi memberi kesedaran orang ramai mengenai wabak ini, sebanyak 130 sesi pendidikan kesihatan dijalankan di kawasan terlibat dengan jangkitan taun.

“Selain itu, saya juga menasihatkan orang awam supaya jangan ambil mudah sekiranya mengalami cirit birit berterusan dan muntah kerana kegagalan mendapatkan rawatan dengan segera boleh membawa maut,” katanya. -SH

Ekoran Keputusan Tidak Rasional, Mahfuz Desak Rombak SPR

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menyatakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hendaklah dirombak setelah mahkamah tinggi menyifatkan suruhanjaya itu tidak rasional dan bertindak bertentangan dengan undang-undang.

"Lembaga dan struktur SPR hendaklah dirombak apabila mahkamah tinggi menyifatkannya tidak rasional.

"Rakyat dan sistem demokrasi negara ini tidak sepatutnya berhadapan dengan SPR yang disifatkan tidak rasional oleh mahkamah," tulis bliau di dalam blognya.

Dalam keputusannya, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Alizatul Khair Osman membatalkan keputusan SPR sebelum ini yang menetapkan bahawa Datuk Abu Hassan Sarif masih merupakan wakil rakyat bagi Kota Siputeh dan kerusi DUN itu tidak kosong, tambahnya lagi.

Menurut Mahfuz, hakim tersebut menyifatkan SPR melakukan tindakan-tindakan yang tidak rasional dan bertentangan dengan undang-undang ketika membuat keputusan itu.

SPR membuat keputusan tersebut setelah Speaker DUN Kedah Datuk Dr Abdul Isa Ismail menetapkan bahawa Abu Hassan bukanlah wakil rakyat berikutan kegagalannya menghadiri dua persidangan DUN berturut-turut iaitu pada 19 April dan 9 Ogos tahun ini, dan kerusi itu adalah kosong.

"Saya ingin menyifatkan keputusan mahkamah itu menghakiskan lagi keyakinan umum terhadap SPR.

"SPR tidak dapat lari dari imej pro-Barisan Nasional (BN) dan berkerja untuk kepentingan BN,"

Saya berharap rakyat dapat mengekalkan sokongan terhadap usaha menamatkan pemerintahan BN.

"Jika pemerintahan BN dapat ditamatkan, kita akan pastikan SPR bebas dari cengkaman kuasa parti yang memerintah dan suruhanjaya tersebut akan diletakkan di bawah jawatankuasa khas Parlimen," ujar Mahfuz.


Bedah Siasat Beng Hock Selesai - Dgn Video

Bedah siasat kali kedua yang dijalankan ke atas mayat mantan Setiusaha Politik Exco Kerajaan, Teoh Beng di Hospital Sungai Buluh yang bermula jam 1 petang tadi selesai dua jam kemudian.

Bagaimanapun tiada sebarang keputusan dikeluarkan berhubung bedah siasat berkenaan.

Adik mendiang, Teoh Lee Lan berkata, pihaknya juga tidak mendapat apa-apa maklumat berhubung keputusan bedah siasat pada kali ini dan hanya menunggu sehingga inkues pada 9 disember ini.

“Bila laporan dijangka keluar kita pun tidak tahu, boleh tunggu dalam inkues pada 9 Disember ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang medianya selepas bedah siasat tamat jam 3.15 petang tadi.

Lee Lan mewakili keluarga turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pakar patologi dari Thailand yang dilantik kerajaan negeri, Dr Ponrtip Rojanasunan kerana bertindak sebagai pemerhati dalam bedah siasat kali ini.

“Kita sangat berterima kasih kepada Dr Porntip kerana datang bantu menyelia bedah siasat dan kita akan sabar menunggu keputusan laporan yang akan dikeluarkan,”katanya.

Menurutnya mendiang Beng Hock akan ditanam semula 24 November ini di Taman Peringatan Nirvana, Semenyih.

Sementara itu peguam mewakili keluarga Teoh, Gobind Singh Deo dan Dr Porntip terlebih dahulu meninggalkan hospital berkenaan tanpa bertemu media.

Beng Hock ditemui mati pada 16 Julai lalu selepas disoalsiasat selama 10 jam tanpa henti oleh pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Pihak berkuasa mendakwa mangsa telah membunuh diri, namun pakar patologi antarabangsa dari Kementerian Keadilan Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand menemui kesan cekik pada leher dan retakan pada tengkorak mendiang yang konsisten dengan kesan pukulan.

Lebih menyayat hati apabila mangsa yang bakal menjadi ayah kepada seorang anak ini ditemui mempunyai kesan cedera pada dubur, dipercayai ditusuk dengan suatu objek.


Husam Tak Letak Jawatan, Hanya Utusan Yang Menggatal

Datuk Husam Musa menyifatkan laporan muka depan sebuah akhbar mingguan hari ini mengenai khabar angin yang beliau berhasrat meletakkan jawatan dalam parti dan kerajaan sebagai satu 'gurauan' media.

Malah Husam berkata, tidak ada apa yang perlu beliau nafikan mengenai laporan tersebut kerana isu itu langsung tidak berbangkit.

"Bagaimana saya nak nafi atau nak sangkal, sedangkan ia tidak wujud.

"Kalau benda (isu) itu ada bolehlah saya nafi, ini tak ada... jadi tak boleh nak nafilah," katanya kepada mStar Online hari ini.

Mingguan Malaysia hari ini dalam laporan muka depannya menyebut, Husam mahu melepaskan semua jawatannya dalam parti dan kerajaan negeri tetapi keputusannya tidak dipersetujui oleh Mursyidul Am PAS,yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurut laporan itu lagi, Nik Aziz sebaliknya dikatakan memberi cuti selama lima hari kepada Husam untuk berehat dan menenangkan fikiran.

Isu mengenai hasrat Husam untuk meletakkan jawatan itu dikaitkan dengan pergolakan yang berlaku di Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang menyaksikan pemecatan pegawai perhubungan korporatnya, Syed Azidi yang lebih dikenali sebagai bloger kickdefella selepas berlaku dakwaan dan tuduh menuduh berhubung penyalahgunaan kuasa menantu Nik Aziz yang juga ketua pegawai operasi PMBK, Abdul Ariffahmi Rahman.

Dakwaan itu telah mendorong Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan ke atas PMBK. Dan Husam dikatakan tidak berpuashati dengan pemecatan Syed Azidi.

Sumber akhbar berkenaan juga menyebut dalam tempoh cuti tersebut, Husam akan menjalani pembedahan tulang belakang yang ditangguhkan sejak dua bulan lalu.

Mengulas mengenai perkara itu, Husam berkata: "Cuti? Cuti apa pula? Saya tak tahu apa-apa pun, nampaknya sumber akhbar berkenaan lebih tahu daripada saya.

"Mengapa pula nak bedah tulang belakang saya? Bukannya ada bengkok... Alhamdulillah saya sihat saja."

Jelas Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan itu lagi, sehingga kini beliau tidak dimaklumkan mengenai arahan cuti oleh Nik Abdul Aziz seperti yang dilaporkan itu.

"Saya tak tahu, hari ini kalau tak silap Tok Guru (Nik Abdul Aziz) ada majlis, kamu pergi tanya beliau sendiri... kalau tak dapat, pergi tanya pihak akhbar berkenaan.

"Buat masa ini saya tak bercuti, saya akan bertugas macam biasa, saya sihat," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak akhbar berkenaan kerana menyiarkan laporan seumpama itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu berkata: "Tengoklah nanti macam mana, hari ini hari Ahad, saya nak berehat... keluar makan-makan dulu."

Sebelum ini Datuk Nik Abdul Aziz telah menafikan Datuk Husam akan melepaskan jawatan dalam parti dan kerajaan negeri itu.

Mursyidul Am PAS itu juga menolak dakwaan perkembangan terbaru itu sebagai berlaku episod terbaru perpecahan dan kekusutan dalam parti itu.

Beliau menyifatkan tindakan sebuah akhbar harian yang menyiarkan laporan itu hari ini sebagai usaha untuk memecahbelahkan PAS dan melariskan jualan akhbar berkenaan.

"Saya baru baca sebuah akhbar rasa terlalu amat terkejut dengan siaran tajuk Husam letak jawatan, walaupun ada tanda soal," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Laporan itu memetik beberapa sumber sebagai berkata hasrat Husam itu bagaimanapun tidak dipersetujui oleh Nik Abdul Aziz yang sekali gus memberikan Husan cuti lima hari bermula hari ini untuk berehat dan menenangkan fikirannya.

Nik Aziz berkata laporan akhbar berkenaan sama sekali tidak benar dengan memetik sumber termasuk daripada blog tertentu yang kononnya mempunyai maklumat Husam akan melepaskan jawatan berikutan kemelut dalaman Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Nik Abdul Aziz yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan berkata jika benar sekali pun Husam mahu meletakkan jawatan, beliau sama sekali tidak akan membenarkan perkara itu berlaku.

Beliau berkata kerajaan negeri sangat memerlukan khidmat dan buah fikiran Husam kerana sepanjang perkhidmatannya, Husam banyak membuat rundingan dengan kerajaan Pusat termasuk mengenai tanah dengan Felda, Felcra dan terbaru tuntutan royalti petroleum.

"Mengapa orang kita tidak tahu menilai orang yang berguna (seperti Husam)," katanya.

Ketika ditanya sama ada benar Husam pernah menyatakan hasratnya untuk melepaskan jawatan baik dalam parti mahu pun kerajaan, Nik Abdul Aziz berkata: "Tak ada... sayapun tak terfikir dia nak berhenti. (Ini pandai-pandai akhbar) nak bawa berita panas supaya orang beli akhbar".

Nik Abdul Aziz berkata Husam sememangnya ada menemuinya di pejabat dua hari lepas dan hanya memaklumkan bahawa beliau dinasihati oleh doktor agar mendapat rawatan di hospital kerana mengalami masalah sakit tulang belakang.

"Masalah nak berundur tak berundur, langsung tidak timbul baik dalam kepala dia atau saya," katanya.

Beliau berkata tindakan akhbar menyiarkan laporan itu sebenarnya mengguriskan hati orang yang dalam keadaan sakit.



Pengekor Pornthip Jangan Jadi Pengecut - Gobind

Bedah siasat kedua keatas mayat Setiausaha Politik Exco Selangor yang maut dibawah pengawasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bermula jam 1 tengahari tadi.

Bedah siasat dijalankan di Hospital Sungai Buloh, dan bermula sejurus selepas pakar patologis terbabit mengambil imbasan X-Ray dan CT keatas tinggalan mendiang.

Bedah siasat kali ini dikelolakan oleh ketua patologis di Hospital Sungai Buloh Dr shahidan Mr Noor dan dibantu oleh Dr K Saravanan.

Kerajaan negeri Selangor diwakili oleh pakar patologis antarabangsa Dr Pornthip Rojanasunand manakala SPRM diwakili oleh Prof. Dr Peter Vanezis dari United Kingdom.

Patologis dari pembedahan pertama Dr Khairul Azman Ibrahim dan Dr Prashant Naresh Samberkar turut menyertai bedah saisat ini.

Mayat Teoh Beng Hock disemadikan di Taman Peringatan Nirvana, Semenyih, dan selamat digali semula tengahari semalam untuk dibawa ke Hospital Sungai Buloh.

Bercakap kepada wartawan awal pagi tadi, peguam keluarga mangsa, Gobind Singh Deo mengumumkan pihak keluarga mahu bedah siasat dilakukan dengan lebih teliti, dan demikian itu bedah siasat hari ini dijangka mengambil masa 3 hingga 5 jam.

"Perbincangan bermula sekitar jam 10 pagi hingga 11 pagi. Sekitar jam 11 pagi pihak hospital memulakan prosedur mengambil imbasan x-ray dan CT. Kami jangka bedah siasat bermula sekitar jam 12 tengahari," kata Gobind di Kafeteria Hospital Sungai Buloh.

“Kita mahu keadaaan mereka tidak ditekan dengan satu had masa jadi kita beritahu masa bukan satu isu selagi mereka sedia bekerjasama supaya bedah siasat ini dijalankan secara rapi untuk tentukan semua aspek yang ditimbulkan dapat diselesaikan dalam bedah siasat ini,” katanya.

Pihak keluarga mangsa memohon mahkamah supaya mayat Teoh Beng Hock digali semula dan dibedah siasat bagi merungkai misteri kematian mendiang.

Permohonan ini dibuat dengan penemuan terbaru Dr Pornthip Rojanasunand yang mendakwa ada 80 peratus kemungkinan mangsa dibunuh.

Penemuan ini diumumkan berdasarkan kepada kecederaan yang ditemui sekitar leher, dubur dan tengkorak mendiang.

“Kehadiran Dr Porntip untuk melihat bedah siasat yang akan tertumpu pada isu yang dibangkitkan pada inkues terdahulu. pada hari ini bedah siasat dijalankan oleh Dr Shahidan, kalau ada tempat atau pekara yang beliau ingin penjelasan beliau boleh minta penjelasan dan penelitian mendalam dibahagian tersebut untuk dapat keputusan pasti,”katanya.

Dr Pornthip mengadu diekori beberapa kenderaan sejak dua hari lalu sehingga ke hotel penginapannya dan Nirvana Memorial Park semalam.

"Semalam beliau mengadu diekori. Polis bertindak pantas dan kami hargai kerjasama ini. Sesiapa yang mengekorinya sila tampil, beritahu dari mana dan mahu apa dari Pronthip. Jangan jadi pengecut," kata Gobind.


Gobind Singh Deo menggesa individu-individu misteri yang mengekori Dr Pornthip supaya tampil ke hadapan. -TVS



Jadikan Negeri Dikuasai PR Model Pentadbiran Mapan

Sistem politik dwi-parti akan hanya punyai kredibiliti jika Pakatan Rakyat berjaya menjadikan negeri-negeri yang ditadbirnya sebagai pemangkin urus tadbir yang cemerlang, dan pembela golongan miskin.

Sehubungan itu, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menggesa gagasan itu supaya bertungkus-lumus memastikan Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan menjadi contoh model pentadbiran mapan untuk diteladani Barisan Nasional.

"Kerajaan negeri perlu menunjukkan teladan melalui dasar-dasar yang dirumuskan. Dasar yang memberi penekanan kepada urustadbir yang baik, kepedulian kepada yang lemah, dan memelihara sumber alam dan bumi," kata Anwar.

Mantan Timbalan Perdana Menteri ini berkata demikian dalam ucaptama di simposium 'Pakatan Rakyat dan Pembikinan Sistem Dua Parti' di Kuala Lumpur hari ini. Anwar Ibrahim menegaskan keputusan PRU-12 lalu menunjukkan rakyat mahu sistem kerajaan dipulihkan, dan bukannya salinan pendua kerajaan Umno-BN.

"Kini sudah ada ruang untuk Pakatan Rakyat melalui kerajaan-kerajan negeri dibawah pentadbiranya untuk mengetengahkan agenda reformasi, dan memastikan kesilapan lalu dibawah pentadbiran leaps tidak berulang lagi," kata Anwar.

Simposium anjuran Institut Kajian Dasar ini membincangkan persoalan sistem dwi-parti yang menjadi buah-bicara masyarakat hari ini. Membincangkan kewajaran sistem dwi-parti di laksanakan di Malaysia, wacana ini turut disertai oleh pakar Perlembagaan Profesor Dr. Abdul Aziz Bari, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat Sivarasa Rasiah dan Exco Kelantan Husam Musa.

Membicarakan soal sistem dwi-parti, Anwar berkata idea ini bukanlah sesuatu yang baru di negara kita. Bahkan, sistem dwi-parti yang kita kenal hari ini adalah olahan dari konsep kerajaan berteraskan parti pemerintah dan parti pembangkang.

Dalam ucapannya beliau menambah, pembentukan sistem dwi-parti gagal dizahirkan kerana dihalang oleh institusi kerajaan yang parah dalam rasuah, dan perilaku pemerintah yang sewenang-wenang mencabul sistem demokrasi negara.

"Idea sistem dua parti ini hangat perkatakan sejak tahun lepas. Bahkan sambutan yang diterima idea dwi-parti ini begitu besar seraya mencadangkan kewujudan gagasan parti kedua mampu memulihkan demokrasi negara," kata Anwar.

Namun rakyat terus berharap, sehubungan itu Anwar menyeru Pakatan Rakyat untuk tidak menghampakan aspirasi rakyat dan komited kepada piawaian urustadbir kerajaan yang tinggi.

"Di negeri-negeri Pakatan Rakyat, kita perlu tunjukkan keadilan, dan dasar keterbukaan yang menghormati hak asasi rakyat seluruhnya dan hak individu setiap warganegara," kata Anwar.

Anwar dalam ucapannya menambah keutamaan hari ini bukanlah untuk memaksakan pembentukan sistem dwi-parti keatas rakyat Malaysia, sebaliknya penekanan harus diberi kepada menjamin kebajikan rakyat di negeri-negeri Pakatan Rakyat dalam iklim pengurusan ekonomi cermat dan berhemah.

Anwar menyorot perhatian hadirin kepada siri-siri pencabulan tidak bertanggungjawab oleh sekumpulan elit manusia yang mahu kekal sebagai kuasa politik dominan di Malaysia.

Pemimpin reformasi ini mengingatkan Pakatan Rakyat bahawa masih banyak perkara yang perlu dilakukan sekiranya Pakatan Rakyat mahu menjayakan sistem dwi-parti ini, terutama sekali apabila berhadapan dengan jentera gergasi kerajaan Pusat. -TVS



PAS Perlukan Reformasi

Perubahan kepimpinan UMNO daripada Dr Mahathir kepada Pak Lah seterusnya kepada Dato Najib tidak dapat menyelesaikan masalah kerana sistem UMNO itu sendiri perlu dimusnahkan. Begitu juga dengan PAS, perpindahan kepimpinan TG Haji Hadi kepada Ustaz Azizan sendiri belum tentu dapat menyelesaikan masalah kerana sikap tidak puas hati akan sentiasa ada.

Seminar, mesyuarat khas hatta EGM belum tentu dapat menyelesaikan masalah kepimpinan PAS.Begitu juga pertarungan antara golongan profesional vs ulama. Ia tidak dapat diselesaikan dengan perubahan kepimpinan.

Kepimpinan Institusional: Memperkasakan Majlis Syura Ulama.

PAS bakal kehilangan kepimpinan 3 serangkai TG Fadzil Noor, TG Nik Aziz dan TG Haji Hadi. Kepimpinan yang bergantung kepada kekuatan individu bakal mengucar-kacirkan jemaah jika pemimpin berkarisma ini meninggal dunia. Inilah yang berlaku kepada Ikhwanul Muslimin yang berkrisis kerana kematian Imam Hassan al Banna. Krisis ini menyebabkan kepimpinan Ikhwanul Muslimin pincang sehingga dilakukan proses pembersihan dimana tokoh-tokoh yang bertaqwa dan istiqamah seperti Sayid Sabiq dan Salah Asmawi terpaksa dipecat kerana enggan akur keputusan jemaah.

Pengajaran inilah yang perlu diteladani oleh PAS dengan memperkasakan Majlis Syuro Ulama yang dilihat sebagai kepimpinan institusional yang berasaskan kekuatan kolektif bukannya karisma seseorang pemimpin.

Majlis Syuro Ulama seharusnya mempunyai 24 orang ahli. Ahli MSU dipilih oleh Muktamar Agung dan dipegang selama 5 tahun. Ahli MSU perlu menjadi ahli PAS sekurangnya selama 3 tahun dan hadir usrah. Usia melebihi 40 tahun dan bercirikan ulama. Muktamar mempunyai hak untuk memilih ulama-ulama mengikut citarasa mereka sama ada ulama progresif, ulama deoband, ulama azhar atau apa jenis ulama. Satu yang perlu diingatkan bahawa MSU adalah otak jemaah.

Dewan Ulama dan Intelektual harus memilih 2 orang ulama bagi wakilnya. Begitu juga Dewan Pemuda, Dewan Penyokong PAS dan Dewan Muslimat perlu memilih dua orang ulama untuk mewakili dewan masing-masing. Kemudian Mursiydul Aam mempunyai hak melantik 3 orang ulama pilihannya.

Kemudian ahli MSU akan melakukan undi rahsia bagi melantik jawatan Mursyidul Aam, Timbalan Mursyidul Aam dan Naib Mursyidul Aam.

Kemudian barulah MSU melantik Presiden (lebih sesuai dikenali sebagai Setiausaha Agung, dimana SUA memainkan peranan penting dalam parti DAP, PBB dan Hizbullah). Kemudian Presiden membentuk AJK Pusat PAS dan dibawa ke MSU untuk diluluskan.

Seperti cadangan Pak Subky Latif, Pasukan Presiden ini akan diKPIkan setiap 3 tahun oleh MSU dan muktamar. Jika gagal, lantikkan lain perlu dibuat.

Presiden akan menjadi pimpinan utama parti bersama Mursyidul Aam dan Timbalan Mursyidul Aam. Presiden juga secara automatik dilantik sebagai ahli MSU tetapi tidak layak membuat keputusan atau mengundi.

Mursyidul Aam akan mengetuai Lujnah Politik dan berkuasa melantik Pesuruhjaya PAS Negeri. Timbalan Mursydul Aam akan mengetuai Majlis Tarbiyyah Jemaah dengan bantuan Dewan Ulama dan Intelektual, manakala Naib Mursyidul Aam akan menguruskan persoalan luar negara dengan bantuan Lujnah Antarabangsa PAS Pusat.

Pada masa sekarang MSU bagaikan tidak berkuasa. Jika Mursyidul Aam bersuara, timbullah pertentangan pendapat diantara Mursyidul Aam dengan Presiden seakan-akan PAS ada dua nakhoda. Dengan adanya penstrukturan ini, Mursyidul Aamlah insan paling berkuasa dalam jemaah. Presiden harus taat kepada Mursyidul Aam, Mursyidul Aam harus mentaati kepada MSU. MSU harus akur dengan Muktamar.

Jawatan Menteri Besar

Bagi negeri Pakatan Rakyat, jawatan Menteri haruslah dipegang selama 3 penggal. Satu penggal tiga tahun agar monopoli kuasa dan penyelewengan atas diatasi.

Pelantikan Menteri Besar haruslah dicalonkan oleh Dewan Harian PAS Negeri dan dilulus secara bersama oleh Dewan Ulama dan Intelektual Negeri. Nama Calon seramai 3 orang tersebut akan dibawa ke MSU dan dibincangkan. Hanya MSU berhak melantik nama Menteri Besar.

Dewan Ulama dan Intelektual

Dewan Ulama PAS harus direformasi dimana ulama dan intelektual bukan bidang agama harus bersatu dalam satu dewan. Kita mahu ulama bergabung dengan intelektual sehebat Syed Naquib al Attas, Prof Aziz Bari, Dr Siddiq Fadzil dan lain-lain. Dewan Ulama dan Intelektual bakal meruntuhkan pemikiran sempit para ulama.

Dewan Penyokong PAS: PAS sebagai parti berbilang kaum.

Dengan adanya Dewan Penyokong PAS, PAS secara rasminya menjadi parti berbilang kaum dan agama. Ahli Dewan Penyokong PAS layak memegang semua jawatan jemaah kecuali ahli MSU. Walaubagaimanapun Dewan Penyokong PAS ada hak memilih 2 orang ulama sebagai wakil mereka dalam MSU.

Usrah: Kelayakkan Bertanding Jawatan Yang Dipertuan Kawasan

Usrah harus diubah silibusnya dengan kemasukkan non muslim dalam usrah. Apapun unsur tafsir, tilawah, hadith dan sirah perlu dikekalkan. Naqib perlu terdiri daripada kalangan muslim atau ustaz.

Sesiapa yang nak bertanding jawatan tertentu peringkat kawasan harus menghadiri usrah dengan jumlah tertentu.

Setiap ahli diwajibkan usrah. Bahagikan keahlian kepada 2 iaitu ahli biasa(yang tidak hadir usrah) dan ahli usrah. Hanya ahli usrah PAS yang layak bertanding peringkat kawasan.

Usrah Khas Naqib

Usrah naqib perlu dilangsungkan oleh ulama-ulama, wakil Dewan Ulama dan Intelektual.

Majlis Tarbiyyah Jemaah

Majlis ini diketuai oleh Timbalan Mursiydul Aam. Dianggotai oleh wakil Dewan Pemuda, Muslimat dan Dewan Ulama dan Intelektual. Manakala Dewan Penyokong PAS akan menghantar dua orang ulama untuk mewakili mereka. Ahli Majlis Tarbiyyah Jemaah diwajibkan Islam.

Hanya Majlis ini berperanan dalam urusan tarbiiyah. Tugas utama ialah menyeragamkan usrah dan urusan tarbiyyah. Dengan adanya majlis ini, pemikiran ahli PAS akan dibersihkan daripada elemen luar termasuk UMNO, JIM dan jemaah lain.

Jawatankuasa Displin Jemaah

Diketuai oleh mantan pimpinan MSU. Tugas sebagai pemantau disiplin ahli.

Seminar Khas Sempena Muktamar

Seminar ala muktamar ABIM ini penting bagi menjana pemikiran ahli. Ahli juga diajak berdiskusi dan berbincang bagi menghasilkan jalan untuk menyelesaikan permasalahan jemaah

Konklusi

Inilah sedikit cadangan ringkas reformasi yang perlu dilakukan oleh PAS dari hamba yang daif ini. Reformasi ini penting supaya PAS terus wujud sebagai jemaah yang utuh. Diharapkan pihak berkuasa PAS memulakan langkah agar ia tidak parah. -duniatabligh

21 Nov 2009

Ikan Berkepala Buaya - Ada Bersama Kita.

Penemuan ikan berkepala buaya oleh dua saudara mengemparkan masyarakat di sekitar kawasan ini menyebabkan rumah mereka tidak henti dikunjungi tetamu.

Mohd Shaiful Azhar Amin, 16 dan Mohd Razali, 25 menemukan ikan itu di Sungai Klang berhampiran Jalan Enggang yang berhadapan dengan Kilang Texas dekat sini pada pukul 6 petang, kelmarin.

Penemuan ikan itu menimbulkan pelbagai persoalan dari mana datangnya spesis ikan yang pelik ini.

Menurut Shaiful, dia dan Razali baru sahaja habis bermain bola dan memancing sememangnya menjadi hobi mereka berdua.

“Pada petang itu, saya dan Razali tidak berhajat untuk memancing tetapi sudah menjadi rutin harian ke sungai itu untuk memancing atau melihat orang memancing. Ketika saya duduk di tepi tebing sungai saya melihat seolah-olah ada biawak yang menggelupur di celah daun di tebing sungai itu,” katanya.

Katanya, Razali yang turun melihat memberitahu, bahawa itu adalah ikan, dan dia turun ke tebing untuk membantu Razali menangkap ikan itu.

“Saiznya juga besar, kepalanya seakan-akan kepala buaya tetapi badannya seperti ikan dan ia juga mempunyai dua pasang sirip,” katanya yang berasal dari Ipoh.

Kedua-dua saudara ini masih tiada sebarang cadangan apakah yang akan dibuat dengan ikan ini, tetapi mula menyayanginya kerana ini merupakan satu pengalaman yang menarik buat mereka.

Sementara itu, Ibu Shaiful, Zaleha Dollah berkata, anaknya memang gemar memancing sehinggakan ada jiran yang membeli ikan yang dipancingnya.

“Pada petang itu, saya sangat bimbang kerana sehingga Maghrib mereka tidak pulang lagi, dan sama sekali tidak menyangka yang mereka menemukan ikan yang pelik,

“Selalunya dia akan membawa pulang ikan Talapia dan jika ada permintaan, Shaiful akan menjualnya dengan harga RM5 satu kilogram,” jelasnya. -SH

Ulasan GB

GB, seperti sebahagian sahabat-sahabat semua, suka merenung tentang "hakikat" sesuatu yang tersurat.

Ikan berkepala buaya - satu isyarat dari Allah tentang kehadiran makhlukNya yang luarbiasa.

Ikan adalah manusia-manusia di lautan syariat sementara buaya adalah reptil bertubuh besar menghuni habitat perairan tawar seperti sungai, danau, rawa dan lahan basah lainnya. Buaya dapat bergerak dengan sangat cepat pada jarak pendek, bahkan juga di luar air. Buaya menyerang mangsanya dengan cara menerkam sekaligus menggigit mangsanya itu, kemudian menariknya dengan kuat dan tiba-tiba ke air.

Ikan berkepala buaya - sungguh dasyat. Dia ada di kalangan manusia. Ada di dalam kalangan kita juga. Badannya bersama-sama jemaah, tetapi kepalanya tak sama dengan kita. Kepalanya serupa musuh yang suka membaham. Dan kisah ini tidak jauh, di negeri Selangor adanya.

Anda kajilah sendiri di dalam politik kontemporari ini tentang petunjuk yang Allah bagi itu.. sepastinya dengan meminta petunjuk dariNya juga.

Berangkat dari penegasan Allah dalam surah Ali Imran ayat 191 yang menegaskan “orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka”.

Ayat tersebut lebih lanjut menegaskan bahawa manusia dengan segala penelitiannya tentang alam semesta ini akan memberikan nilai kesempurnaan bagi Penciptanya, iaitu Allah. Maka, manusia harus mahu meneliti dengan memahami ingatan Allah tentang apa saja, termasuk tentang alam semesta agar memperoleh keyakinan yang sempurna terhadap keagungan dan kesempurnaan Allah dengan segala ciptaannya.

I’tibar yang paling besar adalah, Allah sentiasa memberi petunjuk kepada kita termasuk hal-hal yang kita tempuhi di dalam hidup sehari-hari. Kerana sesungguhnya Allah punya peringatanNya tersendiri yang tidak sia-sia di dalam setiap kejadianNya.

Kubur Teoh Digali Semula, Bedah Siasat Rungkai Misteri Kematiannya

Mendiang Teoh Beng Hock hari ini digali semula dengan selamat setelah lebih 4 bulan dikebumikan di Taman Peringatan Nirvana, Semenyih pagi tadi.

Misteri kematian Teoh bakal dirungkai tidak lama lagi apabila operasi bedah siasat kedua dijangka bermula esok hari kira-kira jam 9.30 pagi di Hospital Sungai Buloh.

Satu upacara keagamaan diadakan terlebih dahulu seawal jam 9.00 pagi sebelum berjaya dikeluarkan selepas 2 jam penggalian.

Pihak keluarga memohon para hadirin dan wakil media memakai pakaian gelap sepanjang upacara.

Sebaik sahaja mayat Teoh berjaya dikeluarkan, wakil keluarga, forensik, polis dan pakar patologi membuat pengecaman mayat terlebih dahulu sebelum dibawa keluar ke Hospital Sungai Buloh.

“The body of Teoh Beng Hock was safely exhumed this morning, the process took about 2 hours. So far as i’ve been asked whether not the condition of the body is good as far as I can tell, im a lawyer, it look that it like was very good condition”, kata Gobind Singh Deo. Peguam Gobind Singh Deoh berkata demikian selepas upacara selesai diadakan. Upacara penggalian dibuat secara tertutup.

Kawasan dilitupi kain putih setinggi 3 meter menghalang pihak media daripada membuat liputan.

Bagaimanapun setelah selesainya upacara tersebut, hanya kelibat keranda Teoh sahaja kelihatan dengan dibaluti pembalut plastik lut sinar dan ditandai bagi melindungi bukti mahkamah daripada dicemari. Hadir sama Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, Ronnie Liu dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Sementara itu, Gobind menambah kehadiran pakar patologis antarabangsa Dr Pornthip Rojanasunand pada upacara pagi tadi amat penting bagi memantau proses penggalian semula mayat Teoh sebelum dibawa keluar ke Hospital Sg. Buloh.

Di samping itu, Gobind turut dimaklumkan bahawa pihak hospital dijangka membuat pengimbasan x-ray dan CAT Scan terhadap mayat Teoh sebaik sahaja tiba di hospital hari ini.

“The Sg Buloh has informed us that they will conduct x-ray and also scan today, so we will be in hospital later on, we will have representative of ours in all the time. We just want to have second x-ray done just to look again the injuries in point of brackage bones and fractures and things like that and those important areas we should look as well, I think they have to do second post mortem which is complete, maknanya they have to do whole thing”, jelas Gobind.

Kata Gobind lagi, sepasukan doktor pakar patologi dari Jabatan Forensik, Hospital Sg Buloh yang diketuai oleh Dr Shahidan dijangka melakukan bedah siasat esok.

Gobind bagaimanapun kecewa apabila pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia gagal menghantar sama ada wakil mahupun pakar pada upacara tersebut. Jelasnya, kehadiran mereka penting bagi mengelak tanggapan negatif daripada masyarakat.

“Sangat berat hati tapi kena buatlah untuk cari kebenaran. Harap bedah siasat kali ini kebenaran akan terdedah. Saya harap pada semua pakar patologi lebih profesional, boleh diharapkan, dan berpengalaman bagi mencari kebenaran dan sepertimana yang saya tahu tanggungjawab patologi ini adalah untuk mencari kebenaran dan saya bercakap bagi pihak mendiang, jadi saya berharap semua patologi bersikap seperti ini”, jelas Teoh Lee Lan, adik mendiang ketika diminta mengulas operasi penggalian semula kubur dan bedah siasat semula ke atas Teoh Beng Hock.

“I hope the that latest further autopsy and find out the truth of the mysterious death Teoh Beng Hock and those responsible to be caught for the justice”, kata Penasihat DAP, Lim Kit Siang kepada pemberita.

“Bagi pihak kerajaan negeri, kita mengucapkan terima kasih hari ni ramai penyokong-penyokong datang, untuk memastikan proses hari ni adalah baik dan tiada hal, kita memang mengharapkan autopsy yang kedua ni dapat mengenalpastikan siapa yang mendiang kerana kita tidak boleh menghadapi kes seumpama Teoh Beng Hock”, kata Exco Selangor, Ronnie Liu yang ditemui pada upacara pagi tadi. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN



SPRM Perlu Hentikan Bersandiwara

Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan enam anggota Pemuda Umno Bahagian Kota Tinggi pada Jumaat dilihat hanya sebagai sandiwara SPRM untuk memulihkan imej setelah tercalar teruk ekoran keputusan mahkamah yang tidak membenarkan SPRM melakukan siasatan di luar waktu pejabat seperti yang lazim dilakukan oleh SPRM.

Ia bukan satu tindakan yang jujur kerana sebelum ini sudah berlaku kejadian seumpama itu apabila kredibiliti SPRM merudum dengan teruk, mereka melakukan penahanan seorang ADUN UMNO Terengganu, kerana disyaki menerima rasuah berjumlah RM20,000.

Tetapi selepasnya, apa yang berlaku?

Tiada sebarang pun tindakan diambil.

Hal yang sama juga bakal berlaku ke atas enam anggota Pemuda Umno Bahagian Kota Tinggi yang ditahan. Keenam-enam suspek berusia antara 30 dan 40 tahun, ditahan pada pukul 2 pagi di rumah bekas anggota jawatankuasa sayap itu selepas didakwa cuba memujuknya agar menarik semula peletakan jawatannya dengan menawarkan RM40,000.

Justeru itu dakwaan Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman bahawa tindakan SPRM itu kononnya tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam menjalankan tugas mereka adala hanya sebagai satu usaha untuk membersihkan nama SPRM yang telah diketahui umum melaksanakan siasatan berpilih, tidak telus, kejam serta tidak profesyenal.

Kota Siputeh Bakal Menjadi Kota Sihitam?

Tindakan Bekas ADUN Kota Siputeh dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) membuat rayuan ke mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar amat membimbangkan akan menambah parah penghormatan rakyat dan dunia terhadap institusi kehakiman Malaysia.

Keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar telah mengesahkan kerusi DUN Kota Siputeh kosong berikutan ADUNnya, Abu Hasan Sharif hilang kelayakan sebagai ADUN setelah gagal hadir ke ersidangan DUN dua kali bertutur-turut tanpa memaklumkan dan kebenaran speaker.

Memperdebatkan perkara berkaitan keputusan speaker DUN dan Parlimen di mahkamah adalah tindakan yang mencabul demokrasi berparlimen ala westen Master dan boleh menggugat kepercayaan awam terhadap mahkamah.

Ini kerana mahkamah sebagai badan kehakiman tidak boleh mencampuri urusan badan eksekutif, begitulah sebaliknya. Kedua badan ini dalam kuasa berbeza. Demikian ditegaskan oleh Ahli MPT KeADILan juga bekas Ketua Perhubungan KeADILan Sabah, Hj Ansari Abdullah yang telah 30 tahun lebih terlibat sebagai pengamal undang-undang.

Menurut Hj Ansari, apabila badan eksekutif seperti DUN atau Parlimen membuat keputusan, maka SPR kena akur dan hormati keputusan yang telah dibuat oleh Speaker Dewan yang melaksana kuasa di bawah arahan tetap standing order.

Beliau kecewa apabila melihat Speaker DUN Perak dan Kedah terpaksa turun naik mahkamah untuk mempertahankan keputusan mereka. Sepatutnya perkara ini tidak akan berlaku sekiranya semua pihak terutama SPR menghormati bidang kuasa masing-masing.

Namun demikian, beliau menganggap keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar tepat kerana mengembalikan kuasa pemutus kepada speaker DUN dan mengikut undang-undang sedia ada. Hj Ansari juga menyokong penuh kenyataan Tengku Razaleigh Hamzah berhubung tindakan-tindakan yang mencemar institusi kehakiman.

Institusi kehakiman kita terus merudum semenjak pemecatan Tun Salleh Abas pada tahun 1988 dan telah mendapat teguran pedas Bapa kemerdekaan Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra yang menyatakan tahun 1988 merupakan tahun terburuk dalam institusi kehakiman semenjak merdeka. Keputusan-keputusan mutakhir ini juga menunjukan bagaikan ada campurtangan dalam membuat keputusan.

Kes Video Linggam, Menteri Besar Perak, ADUN katak Perak dan Persiangan memperlihatkan keputusan akan menyebelahi BN sekiranya kes dibawa ke mahkamah Rayuan. Tidak mustahil kes Kota Siputeh akan menjadi seperti kes Persiangan dan akan menambah hitamkan lagi institusi kehakiman. -FAIZAL OKADAU (sabahkini)

Sidang DUN Negeri Sembilan Kecoh

Hari pertama Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ke-12, di sini semalam ‘panas’ seketika apabila berlaku dua babak pertikaman lidah antara wakil rakyat pembangkang dan Barisan Nasional (BN).

Kedua-dua insiden berlaku berikutan rasa tidak puas hati pakatan pembangkang kerana tidak dibenarkan mewakilkan soalan pada sesi soal jawab dan usul untuk membahaskan kejadian banjir yang berlaku di Temiang, baru-baru ini ditolak.

Kekecohan bermula apabila Ketua Pembangkang, Loke Siew Fook (DAP – Lobak) bangun dan meminta supaya soalan membabitkan penilaian prestasi anggota Exco Kerajaan Negeri yang sepatutnya dikemukakan Rashid Latiff (PKR – Ampangan) diwakilkan kepada beliau kerana Rashid tidak dapat hadir dengan makluman.

Katanya, walaupun Rashid tidak hadir, beliau berhak bertanyakan soalan bagi pihak ADUN Ampangan berdasarkan penggiliran soalan seperti tertera dalam buku soal jawab.

Permintaan Siew Fook itu bagaimanapun ditolak Speaker DUN, Datuk Razak Mansor dengan alasan, soalan tersebut boleh dibangkitkan pada hari lain, seterusnya memberi laluan kepada Aminuddin Harun (PKR – Sikamat) untuk mengemukakan soalan lain.

Datuk Aziz Shamsudin (BN – Palong) kemudian mencelah dengan menyifatkan permintaan Siew Fook itu membuang masa dan meminta undian dilakukan.

Siew Fook yang masih tidak berpuas hati menyifatkan keputusan Speaker itu sebagai tidak adil sambil merujuk buku peraturan persidangan dewan yang membolehkan soalan diwakilkan kepada ADUN lain.

Razak bagaimanapun menjelaskan, mengikut peraturan, beliau mempunyai kuasa untuk memanggil mana-mana ADUN mengemukakan soalan dan bukan berdasarkan kepada buku soal jawab seperti yang didakwa Siew Fook.

Berikutan itu, berlaku pertikaman lidah antara beberapa wakil rakyat pembangkang dan BN yang turut mencelah sehingga keadaan ‘kecoh’ menyebabkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan (BN – Rantau) bangun memberi penjelasan.

“Tujuan Speaker (adalah untuk) mengendalikan mesyuarat. Jangan mendesak Speaker. Speaker mempunyai (kuasa) bila mahu bertanyakan soalan,” kata Mohamad.

Sementara itu, selang beberapa minit selepas itu, sekali lagi kekecohan berlaku sebaik saja sesi soal jawab selesai apabila Ng Chin Tsai (DAP – Temiang) bangun dan memohon supaya kejadian banjir di kawasannya sebelum ini dibahaskan dalam dewan.

Permintaan itu mendapat bantahan Aziz dan meminta Speaker tidak melayan usul tersebut.

Speaker kemudian membuat keputusan menerusi undian secara mengangkat tangan, bagaimanapun mendapat bantahan Cha Kee Chin (DAP – Bukit Kepayang) yang mahu supaya undian dilakukan selepas Chin Tsai selesai membentangkan usul tersebut. -SH

PKR Kuala Krai Tidak Bubar

Pengerusi Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kelantan, Saifuddin Nasution berkata, pihaknya akan membuat perjumpaan dengan semua peringkat cabang dan ranting parti tersebut di negeri ini susulan tindakan keluar parti yang dibuat oleh pimpinan Kuala Krai Selasa lalu.

Beliau yang baru mengambil alih kepimpinan negeri berkata, perjumpaan tersebut penting untuk mencari persamaan di antara pemimpin parti selain daripada menyelesaikan isu yang berbangkit dalam kalangan anggota cabang dan ranting peringkat negeri.

Saifuddin berkata, krisis yang berlaku tersebut adalah kecil dan tidak menjejaskan semangat anggota untuk meneruskan perjuangan parti.

“Dalam kes ini, hanya Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang berhak untuk membubarkan sesuatu bahagian, jadi bahagian Kuala Krai tidak dibubar sebaliknya ahlinya sahaja yang bertindak keluar parti,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Pemangku Ketua PKR Kuala Krai, M Amavasay bersama dengan ahli jawatankuasa termasuk Pemuda, Naib Ketua Wanita dan empat Ketua Cawangan mengumumkan keluar parti setelah hilang kepercayaan terhadap Kerajaan Negeri dan PKR kerana gagal memperjuangkan nasib kaum India.

Amavasay berkata, beliau yakin kesemua ahli PKR di bahagian ini yang kini berjumlah seramai kira-kira 1,500 orang akan turut mengikut jejak langkah yang dilakukan oleh pihaknya.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, beliau tidak gusar dengan krisis yang dihadapi oleh kepimpinan PKR Kuala Krai memandangkan parti itu telah melalui banyak pengalaman anggota parti yang mengambil tindakan sama.

“Dalam PKR, bukan sahaja ahli, tetapi Timbalan Presiden, Dr Chandra Muzaffar, Ketua Pemuda Ezam Mohd Nor dan ramai lagi nama-nama besar yang telah bertindak keluar parti, namun seperti dapat dilihat kini PKR semakin kuat dan bukannya lemah, buktinya kita sekarang mempunyai 31 kerusi Parlimen berbanding dahulu.

“Oleh yang demikian, saya tidak menjangkakan bahawa tindakan beberapa orang individu terbabit akan melumpuhkan PKR, apa pun saya mengucapkan terima kasih kepada mereka yang banyak menabur budi kepada parti ini,” katanya.

Dalam masa yang sama, Saifuddin berkata, pihaknya tetap meneruskan pendekatan melalui perbincangan dan perundingan seperti mana yang digunakan sebelum ini bagi menyelesaikan isu-isu berbangkit dalam kalangan anggota parti. -SH