14 Mei 2015

Enggan Jawab Pinjaman RM3.6 Bilion, Bukti 1MBD Tidak Telus..


1MDB enggan ulas, anggap pinjaman RM3.6 bilion ‘perkara sulit’

1Malaysia Development Berhad (1MDB) enggan memberi sebarang komen mengenai status pinjaman AS$975 juta (RM3.6 billion) daripada konsortium 6 bank luar negara, dengan memberi alasan ia merupakan "perkara perbankan sulit".

Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dalam jawapan balas emel kepada The Malaysian Insider tentang persoalan tersebut, bagaimanapun, memberi jaminan maklumat selanjutnya akan diberi apabila mereka berupaya melakukannya.

"Kami sedar tentang laporan media dan kenyataan berhubung pinjaman yang diambil 1MDB pada September 2014. Walaupun kami ingin memberi maklum balas terperinci, ia berkait dengan perkara perbankan yang sulit, menghalang kami daripada memberi komen tentangnya buat masa ini. Bagaimanapun, kami berniat mengumumkan kepada pasaran sebaik kami boleh lakukannya," katanya.

Akhbar Business Times dari Singapura hari ini melaporkan 6 bank diketuai Deutsche Bank mula "gelisah" dan mahu syarikat itu menyelesaikan hutangnya.

Ini kerana pinjaman itu dicagarkan menerusi AS$1.103 bilion milik anak syarikat 1MDB, Brazen Sky, wang yang kini disimpan di sebuah bank swasta Switzerland di Singapura, BSI Singapore Bank.

Akhbar perniagaan itu memetik sumber berkata dokumen cagaran Brazen Sky didakwa "tidak lengkap" kerana tidak memenuhi syaratnya, dan ini membolehkan konsortium bank tersebut menuntut hutang lebih awal sebelum akhir Ogos.

"Apa yang pada awalnya dianggap sebuah pinjaman yang bersandarkan cagaran yang amat ketat kini membimbangkan bank," kata sumber dipetik akhbar itu.

Semalam, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mendedahkan menerima maklumat yang syarikat dana pelaburan negara bermasalah itu menyenaraikan akaun yang "diragui" di dalam BSI Singapore sebagai cagaran.

Beliau berkata sekiranya ini benar, 1MDB mungkin terpaksa menggunakan peruntukan awam untuk menepati tarikh akhir pada September, memandangkan akaunnya di BSI dilaporkan tidak mempunyai wang.

Pada 22 April, laman Sarawak Report berkata akaun 1MDB dalam BSI hanya mengandungi "aset kertas" dan "nilai sebenarnya tidak dapat dikenalpasti".

"Pinjaman sebesar ini semestinya akan mempunyai cagaran. Maklumat yang saya terima adalah cagaran untuk pinjaman ini adalah wang di dalam akaun BSI Singapore, yang dilaporkan sebagai tidak wujud," kata Rafizi.

Kritikan semakin memuncak terhadap syarikat pelaburan yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan dan ditubuhkan pada 2009 itu, selepas hutangnya mencecah RM42 billion.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah sebelum ini mendedahkan Putrajaya meluluskan kemudahan pinjaman RM950 juta untuk 1MDB, di mana RM600 juta sudah pun digunakan.

Isu 1MDB bertambah sengit berikutan pendedahan Sarawak Report, yang menambah tekanan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan mencetuskan tuntuan dari ahli politik pembangkang, pemimpin Umno veteran dan badan anti-rasuah supaya siasatan mendalam dilakukan. -TMI


Pemimpin Umno gesa 1MDB jangan membisu isu tuntutan hutang RM3.4 bilion

1Malaysia Development Berhad (1MDB) terus menerima tekanan berhubung kedudukan kewangannya apabila Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (gambar) menggesa pengurusan syarikat itu menjawab segera laporan media ia perlu segera membayar balik AS$975 juta (RM3.52 bilion) kepada 6 bank.

"Saya menggesa pengurusan 1MDB menjawab dahulu isu yang dilaporkan oleh pihak media ini.

"Tempoh mutakhir ini bukan waktunya untuk 1MDB berdiam diri dan membisu.

"Tidak ada istilah 'elegant silence' dalam isu seperti ini," kata Reezal dalam kenyataannya.

Akhbar Business Times dari Singapura hari ini melaporkan 6 bank diketuai Deutsche Ban kini menuntut 1MDB menjelaskan hutang RM3.52 bilion, 4 bulan sebelum tarikh akhir penyelesaiannya.

Ia berikutan pinjaman itu dicagarkan menerusi AS$1.103 bilion milik anak syarikat 1MDB, Brazen Sky, wang yang kini disimpan di sebuah bank swasta Switzerland di Singapura, BSI Singapore Bank.

Reezal berkata kelewatan 1MDB dalam menjawab isu yang dilontarkan terhadap mereka merupakan sesuatu yang "sangat tidak bertanggungjawab".

"Saya cukup yakin, sebagai kumpulan 'profesional', pengurusan kanan 1MDB ada jawapan kepada persoalan-persoalan yang ditimbulkan ini.

"Sayangnya, mereka tidak mengambil tindakan yang cepat dan gemar melihat persepsi buruk terbina terlebih dahulu," katanya.

Katanya, sikap 1MDB bakal memburukkan Barisan Nasional (BN) di mata rakyat.

"Selagi mereka lewat membuat tindakan, selagi itulah isu 1MDB 'bernanah' di mata rakyat, sekali gus mencabar wibawa dan integriti kerajaan.

"Ada ungkapan, 'Beritahu perkara sebenar, atau ada orang lain yang buat begitu'.

"1MDB mesti lebih pantas menjawab isu," katanya.
-TMI


4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Hangky Pangky betul dia orang ni..hilang rasa hormat terhadap mereka...

Tanpa Nama berkata...

.

Kalau lah Rafizi dah dedah tak ada lagi dah istilah 'perbankan sulit' yang ada istilah 'perbankan putar-belit'.

Mana ptofessional nya 1MDB kalau pandai merancang melabur dengan berhutang?

Tapi nak salahkan pengurusan pun tak boleh sebab dia orang kena dapatkan nasihat dari Najib dulu.

Tanpa Nama berkata...

.

Kita kena beri peluang kepada Najib yang jadi PM secara demokrasi untuk melingkupkan negara dengan hutang.

Pemimpin UMNO sendiri dah bersuara kecut perut dengan masalah hutang masih ada juga ulamak yang bagi sokongan membabi buta.

bat8 berkata...

Yang lebih penting kita nak dengar ulasan, analisis dan cadangan dari ulamak UG mengenai 1MDB ni dari perspektif Islam. Selama ini tugas ini dibuat oleh puak2 jebon terutama j3bon Dr Zulkefly Ahmad. Agaknya jebon2 dah insaf diri kerana mereka xlayak untuk bercakap bgi pihak PAS , tak syarie sebab mereka bukan dari golongan ulamak.

Bukan kita je nak dengar tetapi perwakilan ke Muktamar PAS 61 Jun ini kerana dengar kata puak tok lebai PAS akan kuasai PAS selepas Jun ini dan semua jebon-jebon akan dihalau keluar.

Jadi tok lebai UG kena mulalah berlatih untuk bercakap isu-isu diluar bidang ugama seperti ekonomi,kewangan, perdagangan antarabangsa, isu alam sekitar, undang-undang dll kerana mereka pula kena ambil alih kerja jebon2 selama ini. Jebon2 dah kena halau semua.