28 Mac 2015

Sekretariat #KitaLawan Dakwa IGP Tipu Untuk Tutup Keganasan Polis


Sekretariat #KitaLawan menyifatkan Ketua Polis Negara,Tan Sri Khalid Abu Bakar menipu rakyat untuk menutup keganasan yang dilakukan pihak polis terhadap peserta duduk bantah kempen itu.

Di laman twitternya, Khalid mendakwa perserta perhimpunan aman di Dataran Merdeka malam semalam bertindak ganas dan membelasah penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur(DBKL).

“Sekretariat #KitaLawan menafikan tuduhan liar beliau bahawa anak muda yang duduk bantah secara aman di Dataran Merdeka telah bertindak ganas terhadap penguatkuasa DBKL.

“Ini jelas membuktikan bahawa IGP menipu dan cuba menghasut rakyat di Twitter bahawa anak muda #KitaLawan bertindak ganas.

Bukti-bukti di tempat kejadian jelaslah menunjukkan bahawa anak muda yang berhimpun secara aman telah dikasari,” katanya.

Menurut sekretariatnya, terdapat bukti rakaman video di facebook yang menunjukkan polis menggunakan kekerasan dan bertindak ganas termasuk memukul peserta dan menarik mereka secara kasar.

“Rakaman video juga menunjukkan bahawa peserta telah meminta individu-individu yang tidak dikenali (dipercayai polis tidak berpakaian uniform) yang menyerbu ke arah orang ramai untuk menunjukkan kad kuasa mereka. Namun, mereka enggan berbuat demikian.

“Sebaliknya mereka bertindak ganas dengan menumbuk Chang Lih Kang, ADUN Teja serta bertindak kasar dan memukul orang ramai yang cuba melindungi Chang Lih Kang dan Tan Kar Hing,” katanya.

Oleh itu katanya, IGP perlu dipecat untuk menjaga nama baik pasukan polis dan #KitaLawan akan terus memperjuangkan isu rakyat walaupun ditekan.

“Dengan pendedahan penipuan ini, IGP wajar dipecat dengan segera demi menjaga nama baik dan maruah pasukan polis.

“Kami tidak mampu untuk berdiam diri melihat harta negara terus dirompak sedangkan rakyat ditindas dan yang berkuasa terus menyalahgunakan kuasa untuk menghukum dan menyekat rakyat daripada terus bersuara.

“Kekerasan yang digunakan juga seolah-olah untuk menutup suara rakyat yang menentang pelaksanaan cukai GST. Namun ugutan dan tindakan kasar mereka tidak akan melemahkan semangat anak muda,” katanya dalam satu kenyataan media.

Sekretariat itu turut mengajak semua rakyat untuk bersama hadir pada malam 27 Mac 2015 di Dataran Merdeka untuk Ceramah Rakyat Menentang GST serta himpunan #KitaLawan yang dijadualkan berlangsung 28 Mac 2015.

Susulan daripada kekecohan tersebut, 6 orang peserta telah ditangkap iaitu Tan Kar Hing (ADUN Simpang Pulai), Chang Lih Kang (ADUN Teja), Michael Tamil AL, Gan Zhi Mou, Chee Chu Sang dan Yong Ming Chong. -KeadilanDaily


Polis: Peserta himpunan pukul pegawai DBKL

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainol Samah berkata pasukannya menahan aktivis yang menyertai perhimpunan duduk bantah malam tadi selepas kejadian seorang pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dipukul.

Katanya, para pegawainya menyaksikan kejadian tersebut dan terus bertindak menahan enam orang peserta berkenaan, termasuk dua orang ADUN.

Zainol tidak menamakan mana-mana individu namun difahamkan, dua wakil rakyat itu ialah ADUN Simpang Pulai, Tan Kar Hing dan Chang Lih Kang (Teja).

Zainol berkata seramai antara lima hingga 10 orang pegawai DBKL pada masa itu sedang menurunkan dan merampas kain rentang yang mengandungi slogan anti ketua polis negara, Tan Sri Khalid Ibrahim.

“Pegawai DBKL itu dihalang dari berbuat demikian dan seorang daripada mereka dipukul oleh peserta perhimpunan sehingga salah seorang daripada pegawai itu cedera di muka, hidung dan tangan,” katanya.

Pakaian seragam pegawai berusia 45 tahun itu juga terkoyak dalam kejadian itu.

Bagaimanapun, aktivis Kita Lawan bagaimanapun menuduh polis berbohong mengenai kejadian itu.

Sekretariatnya dalam satu kenyataan menafikan bahawa aktivis mereka bertindak ganas ke atas penguatkuasa DBKL itu.

"Rakaman video oleh saksi mata jelas menunjukkan polis menggunakan kekerasan dan bertindak ganas, termasuk memukul peserta dan menangani mereka dengan kasar," kenyataan itu dipetik.

Seramai enam orang individu yang ditahan itu kemudiannya dibawa ke balai polis Jinang.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam, serta Seksyen 353 kerana menggunakan kekerasan untuk menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Sekiranya sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara dua tahun, denda, atau kedua-duanya.
-mk


2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Fitnah itu sudah menjadi sebahagian dari kehidupan mereka. Makan sumber dari hasil fitnah untuk menyara kehidupan keluarga. Jawablah di dalam kubur dan di akhirat nanti.

Anti Fitnah berkata...

Apabila seseorang itu tidak mahu hidup mulia sebagai seorang manusia tapi lebih suka menjalani kehidupan seekor anjing ...............