9 Okt 2014

[BERGAMBAR] Erina, Pemanah & Penunggang Kuda Dari Malaysia Yang Hebat


Kami mahu kenalkan anda dengan seorang gadis Melayu bertudung labuh, tangkas menunggang kuda sambil memanah ini.

Kenalkan Erina Emelina Ismail, berusia 24 tahun dan merupakan peserta Kejohanan Memanah Berkuda Antarabangsa di Kuala Lumpur.

Walaupun bertubuh kecil, beliau kelihatan gah melepaskan satu persatu anak panah mengena sasaran, sambil mengimbangi diri di atas kuda yang begitu pantas melewati trek berselekoh.

Prestasi beliau di atas “Korean track” ketika hari kedua pertandingan begitu bagus sehingga meraih pujian daripada pemanah berkuda antarabangsa yang terkenal.

“Nampaknya Malaysia mempunyai pemanah berkuda yang berbakat dan cemerlang”, kata Lukas Novotny mengulas prestasi Erina.

Novotny, yang mewakili Amerika Syarikat, adalah pemanah berkuda tersohor dan pembuat Saluki Bow. Beliau memenangi kategori “Korean Track” dan pemenang keseluruhan pertandingan.

MUKA BARU

Sebenarnya, Erina adalah muka baru dalam dunia memanah berkuda dengan hanya enam bulan latihan sebelum memasuki kejohanan ini.

“Saya hanya mula belajar seni memanah tradisional ini September tahun lepas, jadi pengalaman saya hanya setahun. Bagi memanah berkuda pula, saya hanya mula latihan April lepas”, katanya kepada Bernama ketika ditemui di Pusat Ekuestrian dan Sukan Selangor Turf Club (STC), baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau mempelajari asas berkuda ketika di universiti.

Erina, berkelulusan kejuruteraan mekatronik di Universiti Teknologi Malaysia di Skudai, Johor, juga adalah presiden Kelab Ekuin di universiti itu.

“Saya memang menggemari sukan ini tetapi terpaksa menangguhkannya setelah dua tahun berlatih untuk memberi tumpuan bagi peperiksaan akhir saya”, kata eksekutif Telekom Malaysia itu, yang menamatkan pengajian pada 2013.

Beliau mendapat tahu mengenai sukan memanah berkuda ketika di universiti namun tidak dapat menyertainya kerana kekangan logistik dan masa.

“Ketika itu kebanyakan kelas hanya diadakan di Lembah Klang. Jadi saya mengambil keputusan untuk menunggu sehingga tamat pengajian”, katanya.

PELAJAR BERDEDIKASI

Erina, yang tinggal di Shah Alam bersama keluarga, mula mencari kelas memanah tradisional setelah tamat pengajian.

Guru memanah pertama beliau ialah Mohd Azizul Idris, pengasas Pusat Sukan Memanah Tradisional Bow and Arrow di Sungai Buloh.

“Saya memang kerap ke kelas. Ada saja masa terluang, saya akan ke sana. Apabila guru memanah saya berkelapangan, saya akan mengambil peluang itu untuk belajar dengan beliau”, kata Erina.

Ketika dihubungi, Mohd Azizul berkata Erina sememangnya pemanah yang komited.

“Erina akan berusaha sedaya mungkin untuk menguasai dan memperkemas sesuatu teknik itu sehingga sempurna. Saya lihat dedikasi beliau memang tinggi berbanding ramai pelajar lain”, kata Mohd Azizul.

Sebulan selepas menjalani latihan memanah, Erina menyertai satu daripada pertandingan memanah bulanan yang dianjurkan pusat itu.

“Sungguh tidak disangka, saya memenangi tempat ketiga dalam kategori ‘moving target’ dalam pertandingan itu”, katanya.

Beliau menyertai beberapa pertandingan selepas itu untuk menambah pengalaman dan mengukur kemajuan diri.

KEMBALI BERLATIH

Selepas dua tahun ‘berehat’ Erina kembali belajar menunggang kuda bermula April tahun ini di Pangkalan Udara Sungai Besi, dengan tunjuk ajar daripada Sarjan Marshal Ajail, penunggang kuda tentera yang mahir.

“Mula-mula agak janggal memandangkan sudah lama tak menunggang kuda. Badan pun semua terasa sakit.

“Bagaimanapun, selepas beberapa kelas latihan, semuanya bertambah baik dan menjadi mudah untuk mengikuti latihan”, katanya.

Hanya selepas Marshal yakin dengan kemahiran Erina menunggang kuda, barulah beliau diperkenalkan dengan asas memanah berkuda.

“Selepas saya menunjukkan kemampuan mengimbang badan dengan baik sambil menunggang kuda, barulah beliau (Marshal) mula melatih saya cara-cara menggabungkan kemahiran memanah dengan menunggang kuda.

“Saya berlatih sekurang-kurangnya dua kali seminggu, dengan setiap sesi berlangsung kira-kira sejam”, katanya.

Selepas menimba kemahiran memanah, Erina berlatih sendiri di rumah sementara mengikuti kelas latihan menunggang kuda di pangkalan tentera udara itu.

“Saya berlatih memanah tiga hingga empat kali seminggu, dengan memberi tumpuan kepada ‘memanah pantas’ (teknik melepaskan beberapa anak panah secara berturut-turut) kerana kepantasan adalah perkara penting dalam memanah berkuda”, katanya.

Erina adalah wakil peserta wanita tunggal Malaysia pada kejohanan itu dan seorang daripada lapan peserta yang mewakili negara.

Marshal yang turut mengambil bahagian memuji persembahan cemerlang yang ditunjukkan oleh anak didiknya itu.

“Bagi seorang penunggang kuda yang baru menceburi bidang memanah berkuda, Erina menunjukkan persembahan yang amat baik yang boleh mencabar kemampuan peserta antarabangsa.

“Saya mengambil masa dua bulan untuk melatih Erina. Beliau ada kemahiran asas menunggang kuda dan ini menjadikan tugas saya lebih mudah”, katanya kepada Bernama.

SOKONGAN KELUARGA

Erina, anak sulung daripada empat beradik dan anak perempuan tunggal berkata beliau amat bertuah kerana keluarganya memberi banyak sokongan.

“Bila saya menyatakan hasrat untuk menceburi bidang memanah berkuda, ibu bapa saya memanglah berasa amat bimbang. Alhamdulillah, mereka sudah boleh menerimanya sekarang.

“Memandangkan saya pernah terlibat dalam sukan menunggang kuda, ibu bapa saya sudah tahu apa yang akan berlaku, malah mereka semakin berminat dengan bidang ini.

“Ayah saya, yang berusia 50 tahun, juga mula mengambil kelas memanah sejak bulan Januari tahun ini”, katanya.

PUTERI PAHLAWAN

Orang yang bertanggungjawab kepada penganjuran kejohanan ini di Malaysia, Sheikh Fuad Sheikh Mahmud bercakap dengan penuh bangga akan persembahan Erina pada kejohanan itu.

“Erina membuat persembahan yang hebat di sebalik hanya mempunyai setahun pengalaman dalam bidang memanah. Saya amat bangga dengan beliau dan mahu menobatkan beliau sebagai Adruja kami”, katanya.

Adruja Wijayamala Singa adalah puteri pahlawan Melayu yang hidup pada kurun ke-14. Puteri ini memimpin sepasukan pemanah lelaki dan wanita menentang tentera Siam.

Puteri ini juga dikenali sebagai Che Siti Wan Kembang yang pertama. Kisah puteri pahlawan ini ada disebut dalam catatan pengembaraan Ibnu Battuta.


Sheikh Fuad, yang turut berbakat dalam memanah berkuda, juga presiden Persatuan Memanah Berkuda Adruja dan pengasas program Learning Archery through Play (LEAP). LEAP adalah program memanah tradisional formal di Malaysia. Kedua-dua persatuan dan program itulah yang mempelopori usaha memperkasa memanah berkuda di Malaysia.

SUKAN MEMANAH SAMBIL MENUNGGANG KUDA DI MALAYSIA

Kejohanan yang diadakan di STC dari 25-28 Sept adalah sebahagian daripada Pertunjukan Kuda Antarabangsa 2014 yang dirasmikan oleh Sultan Mizan Zainal Abidin.

Ia kejohanan yang pertama seumpamanya diadakan di Malaysia.

Beberapa pemanah berkuda paling mahir dunia mengambil bahagian antaranya Kassai Lajos dari Hungary (yang memenangi kategori trek Hungary pada pertandingan ini) dan Cozmei Mihai dari Romania (pemenang trek Poland).

Seramai 35 peserta dari 20 negara menyertai pertandingan ini antaranya Austria, Kanada, China, Perancis, Jerman, Hungary, Iran, Jepun, Jordan, Luxembourg, Mongolia, Poland, Qatar, Romania, Afrika Selatan, Sweden, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Memanah berkuda adalah aktiviti yang bermula daripada disiplin memburu dan peperangan dan melibatkan kepantasan dan ketepatan.

Ia dikembangkan sebagai satu sukan pada zaman moden ini yang mana pemanah berkuda diberi markah berdasarkan kepantasan menunggang kuda serta ketepatan memanah.

Lebih banyak markah akan diberi sekiranya seorang penunggang kuda menghabiskan treknya lebih pantas daripada masa yang ditetapkan.

Bagaimanapun, sekiranya penunggang kuda mengambil masa yang lebih panjang untuk menamatkan treknya, markahnya akan ditolak.

Menurut Erina, beliau berpuas hati dengan persembahan pasukan Malaysia pada kejohanan itu.

“Kami telah membuat persembahan yang baik. Kami sememangnya menyasarkan untuk menang dan telah melakukan yang terbaik.

“Tapi kami sedar perlu berdepan dengan pemanah berkuda terbaik dunia. Itupun satu pengalaman yang amat berharga”, kata Erina. -Bernama



ULASAN GB

Melatih emosi dan fizikal untuk meletakkan target pada sasaran. Memanah sangat menitik beratkan body balancing. Maka jika pemanah emosinya tertekan, maka panahan amat mudah tersasar. Secara tidak langsung, sukan ini melatih manusia bertenang dan menstabilkan emosi.

Individu yang tidak tenang, gopoh, pemarah, kurang sabar atau kurang sihat mentalnya tidak akan menjadi pemanah yang baik. Perbuatan melenturkan anak panah di busurnya, kemudian melepaskannya perlu satu kekuatan fizikal, sukan ini juga satu latihan holistik kepada diri seseorang dari segi fizikal dan mental.

Aktiviti riadah memanah dan menunggang kuda adalah termasuk di antara riadah yang dianjurkan oleh Rasulullah saw.

Ada banyak hadith mengenainya:

Sabda Rasulullah SAW : “Lemparkanlah (lepaskanlah anak panah) dan tunggangilah (kuda).” (Riwayat Muslim)

Rasulullah SAW bersamda lagi: “Kamu harus belajar memanah kerana memanah itu termasuk sebaik-baik permainanmu.” (Riwayat Bazzar, dan Thabarani)

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari mengisahkan: “Nabi SAW melalui satu kawasan di mana sahabat sedang memanah. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya datuk kamu, Nabi Ismail adalah seorang pemanah. Memanahlah dan aku bersama Bani Fulan (salah satu kumpulan pemanah).” Lalu kumpulan satu lagi berhenti memanah. Rasulullah SAW bertanya: “Kenapa kamu berhenti memanah?” Jawab sahabat: “Bagaimana kami hendak memanah kamu berada bersama kami.” Nabi SAW menjawab: “Memanahlah, aku bersama kamu semua.” (Hadis riwayat Bukhari)

Di dalam sejarah Islam terdapat ramai serikandi Islam yang pandai menunggang kuda dan memanah. Diantaranya termasuklah Al-Khansa binti Amru yang terkenal dengan gelaran lbu para syuhada. Seorang lagi ialah Khawlah Al-Azwar, pejuang wanita islam yang begitu berani di medan perang, seorang wanita tangkas bertempur dan berkuda yang digelar bidadari besi...

Ketangkasan Khaulah telah menggemparkan angkatan muslimin dalam peperangan menentang Rom. Khaulah dengan pakaian serba hitam yang menyelubungi seluruh tubuhnya teah meluncur dengan kudanya ke tengah medan peperangan. Sekilas pandang sahaja, tiga musuh menyembah bumi. Khaulah ibarat singa lapar menerkam mangsa. Petikan: Khawlah Al-Azwar - Mujahidah Islam Sejati







IKLAN BERBAYAR

Jangan Biarkan Pasangan Anda Menderita,
Atasi Masalah Prostat & Kelemahan Zakar Dengan MEN CAPSULE.
KLIK SINI
LIKE kami di SINI





7 ulasan:

Putra IJ80 berkata...

Kita memang mempunyai ramai bakat bakat dlm apa jua bidang sukan....

Cuma bila benar benar di ketengahkan....

Selalunya hampeeh.....

Sejarah telah banyak mengajar kita....

Tanpa Nama berkata...

Alhamdullillah...

Saya amat bangga ada anak Melayu yang berjaya dalam bidang baru ini - Kuda & Memanah.

Yang terbaik . sukan ini melatih manusia bertenang dan menstabilkan emosi.

Mungkin Tuan Guru Tuan Guru dalam PAS dapat mula kan aktiviti menunggang kuda dan memanah yang dapat kawal emosi mereka yang agak lemah (sudah terbukti).

Janganlah menunggang Keldai Keldai dan menebar Jala , yang pasti Keldai Keldai akan amat ter seksa melihat gelagat Tuan Guru Tuan Guru PAS dari jawatan Presiden hingga the ahli MSU.

Tanpa Nama berkata...

pek permulaan memanah boleh beli sebijik moto kapcai.

bow and arrow adalah barangan larangan kastam.

mula berminat sejak siri tv arrow musim 1. hobi memanah adalah untuk orang kaya.

Tanpa Nama berkata...

Thank to senapang moden seperti m16, ak47, mp5 navy seal dan seumpamanya, umat islam semakin lemah dari segi fizikal kerana bergantung kpd teknologi. I guarantee andaikata pdrm dan atm sudah kehabisan senjata, diaorg akn lari bertempiaran kerana tak dpt menentang serangan musuh.

air gunung berkata...

Anon 7:48.
Panah ikan udah laaa kiteee yeeerr.
Ahli politic suka panah duit..

Tanpa Nama berkata...

Memanah moden ke? Memang mahal.Cer memanah tradisional..

OnePolar berkata...

Tanpa Nama Tanpa Nama berkata...
Thank to senapang moden seperti m16, ak47, mp5 navy seal dan seumpamanya, umat islam semakin lemah dari segi fizikal kerana bergantung kpd teknologi. I guarantee andaikata pdrm dan atm sudah kehabisan senjata, diaorg akn lari bertempiaran kerana tak dpt menentang serangan musuh.

amboi bersahaja je cakap pasukan keselamatan kita akan bertempiaran lari kalau kehabisan peluru, siap memberi jaminan lagi tu.. takpelah mungkin dia tak tahu silibus atm mahupun pdrm..
setiap anggota keselamatan negara telah diajar peperangan dr segi konvensional mahupun ala gerila.. even peluru habis sekalipun tatacara bertemput tradisional ada diajar juga..
kami tak lari dah tak berundur even setapak malah akan melangkah setapak kedepan kalau berhadapan dengan musuh..

cakap tak guna kalau ilmu didada hnya basedkan google search..
just my two cent