16 Dis 2013

Forensik Dedahkan Mayat Pelajar Tahfiz Dibunuh, Bukan Bunuh Diri


Mayat seorang pelajar yang ditemui tergantung dalam sebuah tandas di asrama Maahad Tahfiz Kok Lanas di Kota Bharu, Kelantan tiga hari lalu dikatakan mati akibat dibunuh, bukan bunuh diri, kata sumber polis.

Menurutnya, hasil bedah siasat Jabatan Forensik Hospital Sultanah Zainab II Kota Bharu (HSZIIKB) semalam, mendapati ada kesan tikaman di perut dan pelajar itu dipercayai meninggal dunia 72 jam lalu.

Siasatan mengesahkan, mangsa yang dikenali sebagai Wan Ahmad Faris, 16, sebelum ini belajar di maahad tahfiz di Kampung Ipah, Bachok dari tingkatan satu hingga tiga, sebelum berpindah ke maahad tahfiz sekarang untuk menyambung pengajian di tingkatan empat.

Seorang bapa yang enggan namanya dikenali berkata, dua anaknya mengenali rapat mangsa dan tidak percaya arwah bunuh diri.

"Hari Isnin lalu, mereka main bola bersama-sama dan kemungkinan besar arwah meninggal dunia hari Selasa kerana pada hari itu adalah cuti. Ibu bapa datang menjemput anak masing-masing termasuk saya mengambil dua anak pada petang hari berkenaan.

"Saya juga mengenali ibu mangsa yang juga seorang jururawat berpengalaman selama 20 tahun. Ibu arwah memberitahu saya, kalau bunuh diri sudah tentu mayat dalam keadaan mengerikan seperti lidah akan terjulur keluar.

"Tetapi dalam kes ini, lidah tidak keluar. Jadi, arwah mungkin dibunuh dan digantung dalam bilik air. Malah, isteri saya pun sudah cakap dengan warden asrama supaya tidak perlu buat andaian yang boleh mengaibkan arwah dan keluarganya,” katanya.

Rabu lalu, Maahad Tahfiz Kok Lanas gempar dengan penemuan mayat seorang pelajar lelaki tergantung di sebuah tandas di asrama itu.

Kejadian itu sudah pun disiasat oleh polis dan sehingga kini belum ada kenyataan rasmi mengenai penemuan mayat itu, apakah ia pelajar sekolah berkenaan atau pun individu luar.

Berita mengenai penemuan mayat di maahad tahfiz itu sudah tersebar luas dalam laman sosial Facebook sejak malam Selasa, walaupun ada malumat mengatakan mayat itu sudah dikenalpasti identitinya, tetapi ia tidak boleh dihebahkan selagi tidak ada kenyataan rasmi daripada polis.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Dr. Mohd Fadzli Hassan berkata, mayat lelaki yang ditemui tergantung dalam bilik tandas asrama maahad tahfiz itu adalah pelajar tingkatan empat yang berasal dari Pasir Mas.

Mayat itu, katanya, telah dibawa ke bilik mayat (Forensik) HSZIIKB untuk dibedah siasat dan pegawai Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan keluarga mangsa ikut sama ketika mayat dihantar ke hospital.

"Saya akan membuat kenyataan rasmi sebaik sahaja polis selesai membuat siasatan berhubung kejadian itu. Orang ramai diharap bersabar menanti pengumuman rasmi dan dimohon tidak membuat sebarang andaian sendiri bagi menghormati keluarga mangsa dan penyiasatan. - MalaysiaGazette


Adik usia 2 tahun lihat abang tergantung


MARAN - Seorang ibu yang sedang menikmati makan malam tidak menyangka rengekan anak bongsu berusia dua tahun rupa-rupanya ingin memberitahu melihat abangnya tergantung di ruang tamu rumah mereka di Kampung Luit, dekat sini.

Percakapan pelat anak kecil itu dengan isyarat tangan di leher pada mulanya tidak diendahkan, namun diulangi beberapa kali sehingga menarik perhatian ibunya.

Menurut ibu berusia lingkungan 40-an itu, anak sulungnya yang baharu pulang dari rumah rakannya kira-kira jam 9.45 malam memberitahu mahu menghubungi isterinya di Kuala Lumpur.

Katanya, lalu dia mengizinkan anaknya menggunakan telefon bimbitnya bagi tujuan tersebut.

“Mereka baru enam bulan berkahwin dan kebetulan isterinya sekarang berada di Kuala Lumpur. Ketika mereka berbual melalui telefon, mereka bertengkar.

“Dia kemudian memberi telefon kepada saya dan suruh saya dengar sendiri apa yang diperkatakan isterinya sebelum beredar ke ruang tamu,” katanya.

Bagaimanapun, talian telefon tersebut diputuskan oleh isteri si mati sebaik mengetahui ibu mertuanya berada di talian.

Tidak lama kemudian, anak bongsunya berusia dua tahun itu yang dipercayai mengikut si mati ke ruang tamu kembali ke dapur.

“Dia datang ke arah saya dan cakap ‘ma, abang-abang’ dengan tangan tunjuk di leher tetapi saya tidak mengendahkan.

“Apabila banyak kali dia ulang dan merengek-rengek, lalu saya ikut ke ruang tamu sebelum terkejut melihat jasad anak sulung saya tergantung dengan tali di leher. Hanya jeritan terkejut mampu keluar dari mulut saya,” katanya.

Seorang saudara yang berada di rumahnya bertindak menurunkan anaknya itu yang sudah nyawa-nyawa ikan, namun tidak lama kemudian anaknya menghembuskan nafas terakhir.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Pemangku Deputi Superintedan Sulaiman A Hamid mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan sedang dilakukan.

Mayat si mati dibawa ke Hospital Jengka untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga.
-SH


6 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Alhamdullilah, lega rasanya dpt berita allahyarham mati dibunuh BUKAN bunuh diri, kerana maruah krebiliti Maahad Tahfiz akan tercemar jika pelajarnya bunuh diri.
Alfatihah!

Tanpa Nama berkata...

Minta kerjasama pelajar sekelian solat hajat dan baca Yaa Siin mohon kepada Allah supaya diberi petunjuk dalam menyelesaikan masaalah ini.....

Tanpa Nama berkata...

cuba teliti kain yg digunakan. kalau gantung diri rasanya tak boleh mati mcm sebab jerutan leher tak berlaku. kedudukan mangsa pun mcm digantung oleh orang lain dan bukannya menggantung diri sendiri.

Tanpa Nama berkata...

Beginilah acara akhir zaman tahap pembunuhan tahap tidak dapat dibendung lagi Islam sahaja yang dapat selesai semua ini.

Tanpa Nama berkata...

Orang yang mengatakan Allayarham bunuh diri sememangnya telah mengaib dan membuat fitnah kepada yang meninggal, keluarga, sekolah dan agama. Terlalu cepat gatal mulut..

Tanpa Nama berkata...

saya berpandangan kes ini adalah serious dan pihak berkuasa perlu siasat dgn detail bukan sahaja ttg murid ttp juga warga kerja sekolah dan warga sekitar termasuk aktiviti tidak sihat yg sering berlaku di sekolah dan luar sekolah yg membabitkan pelajar sekolah tersebut...saya sendiri ada pengalaman dimana anak saya mula terlibat dgn dadah apabila mula bljr disebuah sek agama di kelantan. niat saya utk dptkan didikan terbaik dikelantan lebur krn pd sangkaan saya sek dikelanta lebih baik berbanding di sekitar kuala lumpur. ttp malangnya pengaruh dadah dikelantan sebenarnya lebih kuat berbanding ditmpt2 lain. ini pdgn saya...bljr dari pengalaman lampau