4 Sep 2013

Penahanan Pak Samad: Rancangan Jahat Untuk Wujudkan "Climate Of Fear"


Kibar Sang Saka Malaya tak hina Jalur Gemilang - Eekmal Ahmad

Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT) mengecam sekeras-kerasnya penahanan Sasterawan Negara A Samad Said, Hishamuddin Rais dan Adam Adli kononnya menghina Jalur Gemilang.

KsJT memandang serius penahanan ini kerana kami percaya ia sebahagian dari rekayasa jahat penguasa supaya rakyat dibelenggu climate of fear seterusnya menyebabkan kegelisahan tanpa sebab munasabah serta tidak berasaskan fakta tepat.

Rentetan isu anti Syiah, surau yang digunakan bukan Muslim di Johor, filem Tanda Putera dan kini kononnya ada yang menghina Jalur Gemilang ternyata sedang dieksploitasi penguasa untuk mengolah persetujuan rakyat serta keresahan terutamanya di kalangan Melayu-Muslim.

Komunite Seni Jalan Telawi percaya tindakan yang tidak bertanggungjawab ini adalah projek Umno-Barisan Nasional untuk mengekang orang Melayu dan rakyat Malaysia daripada pelbagai tafsiran sejarah terutamanya berkaitan kemerdekaan.

Umno-BN sememangnya mahu memonopoli tafsiran sejarah kemerdekaan supaya terus mengekalkan mitos kononnya hanya pemimpin mereka yang memperjuangkan kemerdekaan negara.

Kami difahamkan ketiga-tiga mereka Sasterawan Negara, A Samad Said, Hishamuddin Rais dan Adam Adli ditahan mengikut Seksyen 4 (1)(b) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana melibatkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam. Mereka kononnya terlibat mengibarkan sejenis bendera yang digelar Sang Saka Malaya sewaktu sambutan ambang merdeka di Dataran Merdeka.

KsJT mempersoal kebijaksanaan pemerintah dan polis yang mengandaikan mengibarkan sejenis bendera lain itu dianggap menghina Jalur Gemilang.

Apakah bendera yang digelar Sang Saka Malaya itu kini ancaman kepada negara?

KsJT menggesa polis untuk meneliti sejarah sebenar bendera tersebut, yang tidak pernah diangkat sebagai bendera alternatif kepada bendera Malaysia.

Bahkan bendera itu hanya pernah dicadangkan Angkatan Pemuda Insaf sebagai bendera Umno namun ditolak selepas kalah undi. Justeru jika ini fakta sejarahnya kenapa pihak polis menahan ketiga-tiga itu atas alasan menghina Jalur Gemilang?

Kenapa polis bertindak seolah-olah mereka sebahagian daripada Umno dan beriya-iya menjaga maruah parti pemerintah itu serta menutup liku sejarah berkaitan bendera parti tersebut?


Kami percaya mengibarkan bendera tersebut bukan satu kesalahan kerana ia sejajar dengan semangat Perlembagaan Persekutuan yang menjamin Kebebasan Bersuara dan bendera itu tidak pernah dan tidak akan mengancam kedaulatan negara.

Peristiwa ini juga adalah desakan terhadap pemerintah supaya akur kepada kenyataan bahawa generasi muda sudah muak dengan naratif sejarah sepihak yang menafikan sumbangan pejuang kemerdekaan yang punya fikrah berlainan.

Sewajarnya penceritaan sejarah kemerdekaan disemak dan sudah tiba masanya suatu naratif sejarah nasional diangkat tanpa menyisihkan fakta sejarah yang tepat.


Ambiga: Tergamak mereka layan Pak Samad begitu


Pengerusi bersama BERSIH Datuk S Ambiga mempersoal tindakan polis menahan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said pada lewat tengah malam tadi semata-mata untuk disoal siasat polis.

Polis boleh memilih masa lain untuk menyoal siasat tokoh sastera itu, katanya yang menyifatkannya tindakan tersebut sebagai satu "gangguan".

"Tergamak mereka buat begitu kepada seorang individu yang sangat dihormati.

"Perlukah ke rumah beliau pada jam 12.30 tengah malam semata-mata untuk menahannya bagi soal siasat dan membebaskannya dua jam kemudian?," soal Ambiga.

"Ia satu bentuk gangguan, dan sama sekali tidak perlu... polis tahu yang mereka tidak perlu mengganggu beliau dengan cara demikian hanya kerana perkara yang sebegitu sifatnya," katanya kepada Malaysiakini.

Bekas pengerusi Majlis Peguam itu juga menggesa Ketua Polis Negara memohon maaf kepada A Samad kerana menuduhnya menyorok daripada ditangkap.

A Samad Said yang lebih mesra sebagai Pak Samad yang juga merupakan pengerusi bersama BERSIH, menafikan dakwaan tersebut dan menyatakan beliau berada di rumah semalaman kelmarin dan tiada anggota polis datang ke rumahnya.
-mk


Pengguna internet marah Pak Samad ditahan awal pagi

Penahanan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said pada 12.40 pagi tadi mencetuskan kemarahan pengguna di laman sosial, dan kebanyakannya meluahkan rasa tidak puas hati terhadap penahanan itu.

Antara yang berang ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan tindakan polis itu sebagai biadap kerana mengheret Samad pada tengah malam.

"Tindakan biadab! A Samad Said umur 80 tahun diheret jam 12 malam?" Reaksi Anwar dalam laman Twitternya ketika mengetahui Samad ditahan .

Anwar turut menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memohon maaf kepada sasterawan negara itu.

Dalam Twitternya, Anwar berkata, menteri dalam negeri wajib mohon maaf kepada kepada Samad kerana pada usianya 80 tahun, beliau dibawa tiga polis pada jam 12 tengah malam ke ibu pejabat polis.

“Tak dapat soal siasat siang hari? Perikemanusiaan?" katanya dalam Twitter.

Tindakan polis menahan Samad turut dikritik rakan seperjuangannya dalam Bersih, Datuk Ambiga Sreenavasan yang juga Pengerusi Bersama Bersih 2.0.

"Pak Samad, Pengerusi Bersama Bersih 2.0 ditahan dan dibawa ke Balai Polis Dang Wangi. Layanan yang mengejutkan dalam menghormati sasterawan negara," memetik dari laman twitter Ambiga.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang kini berada di Sibu turut mengutuk tindakan polis.

"Penahanan yang dibuat pada polis merupakan satu kebiadapan ia mesti dikutuk oleh semua rakyat Malaysia," katanya.

Manakala seorang pengguna sosial, Radin Shamsulkamar @radins berkata dalam twitternya : "Kalau Pak A Samad Said berjalur Umno, nescaya PDRM tidak akan bertindak semustahil ini.”

Komen twitter itu turut dihantar kepada Zahid Hamidi dan Ketua Polis negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Zaim Al Amin @zaimhq : "Sasterawan negara berusia 80 tahun dibawa ke Balai Polis pada waktu malam untuk disiasat.”

Semalam, Samad ditahan polis di rumahnya di Bangsar, kira-kira jam 12.40 pagi dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur untuk membantu siasatan berhubung pengibaran bendera Sang Saka Malaya.

Sasterawan negara itu disoal siasat selama hampir dua jam selepas tiga anggota polis mengambilnya di rumah berhubung insiden pada malam ambang kemerdekaan ke-56 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

“Pak Samad dibebaskan kira-kira jam 2.30 pagi selepas keterangannya diambil,” kata aktivis, Adam Adli Abdul Halim kepada The Malaysian Insider.

Samad diwakili peguam, Latheefa Koya dan Eric Paulsen.

Latheefa memberitahu The Malaysian Insider, Samad disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan dan Seksyen 505, Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, polis turut menahan dan menyoal siasat aktivis, Hishamuddin Rais dan Adam Adli di bawah Akta Hasutan 1948 semalam.

Insiden kibaran bendera Sang Saka Malaya itu turut tersebar dalam laman sosial Youtube.

Berlaku ketegangan apabila kelibat seorang pemuda yang menjerit kepada kumpulan tersebut berkata "Itu bendera Malaysia."

Selain itu, tiga bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis berhubung insiden itu.

Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIM) dan Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul manakala Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) menggesa polis mengenakan tindakan tegas mengikut Akta Hasutan terhadap kumpulan yang mengibarkan Sang Saka Malaya.
-TMI



2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kawan2 semua adalah diingatkan jgn sekali2 mengibarkan bendera lain selain jalur gemilang nanti kena tangkap. Kalau tengok bola jgn cuba2 kibar bendera club yg disokong. Baju tertera bentuk bendera pun kalau boleh tak usah pakailah. Bendera umno boleh dimaafkan kot.

pejuang laut selatan berkata...

syria dh gunakan bom kimia bunuh rakyat, mesir guna peluru bunuh rakyat, lepas ni tak mustahil pemerintah Malaysia pulak yang guna senjata2 ni utk bunuh rakyat yg berdemonstrasi..knp? mustahil? jawapannya pasti tak mustahil sebab cara pemikiran rejim umno bn sama seperti rejim Assad di syria & rejim Alsisi di Mesir.Kpd para pejuang d malaysia sila bersedia dgn segala kemungkinan yg akan berlaku di negara kita.