2 Jul 2012

Himpunan Hijau Perlu Diteruskan!

Himpunan Hijau Ke Putrajaya perlu diteruskan sehinggalah pengumuman pilihanraya umum ke 13 dilakukan oleh Perdana Menteri.

Ia adalah untuk mengekalkan momentum sambutan rakyat terhadap Pakatan Rakyat amnya dan PAS khususnya di dalam usaha untuk mempastikan bahawa UMNO BN dapat ditumbangkan di dalam PRU yang akan datang ini

Setakat ini beberapa buah negeri sudah mengadakan Himpunan Hijau iaitu Kedah, Perak, Melaka, Pulau Pinang, Johor, Pahang dan Terengganu dimana kehadiran di semua negeri mencecah ke angka 20,000.

Satu rahmat dan hikmah yang besa dan nyata apabila Najib tidak jadi untuk membubarkan parlimen di dalam waktu yang terdekat kerana ia memberi ruang dan kesempatan kepada Pakatan Rakyat menggembelengkan seluruh tenaga dan sokongan rakyat bagi memperkukuhkan iltizam untuk menawan Putrajaya.

Malah, Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini pernah menyatakan, alasan Najib kononnya untuk menunggu mandat lima tahun sebelum mengadakan pilihan raya umum (PRU) ke-13 menggambarkan 'ada sesuatu' yang belum meyakinkan presiden Umno itu.

Mengulas lanjut 'ketakutan' Najib itu, Tuan Guru yang juga Menteri Besar Kelantan tidak menolak kemungkinan ianya disebabkan kebangkitan rakyat yang kini semakin ramai menyokong Pakatan Rakyat.

Mengulas Himpunan Hijau yang berlansung di Johor kelmarin, Tuan Guru menyatakan belum pernah lagi sebegitu ramai menghadirinya di negeri Johor.

"Ini membuktikan kesedaran dan gelombang perubahan itu wujud," tambahnya.

GB ingin tegaskan di sini, sekalipun sebelum ini pihak berkuasa menyatakan bahawa perhimpunan aman sering dikaitkan dengan hal-hal yang mencemarkan seperti berlakunya keganasan dan seumpamanya, namun, PAS telah membuktikan di dalam kesemua Himpunan Hijau yang telah dijalankan, tidak ada satu insiden pun yang menunjukkan wujud sebarang kekecohan sekalipun bilangan peserta Himpunan Hijau mencecah angka ribuan rakyat.

Ia juga membuktikan bahawa perhimpunan rakyat seperti Bersih dan Himpunan Hijau itu tidak sedikit pun menimbulkan ancaman terhadap keselamatan awam seperti yang digembar-gembur dan di momokkan jika tiada sebarang provokasi dan campurtangan dari mana-mana pihak.

Justeru itu tiada sebab untuk kita berhenti dari mengadakan Himpujan Hijau lagi.

Malah langkah itu wajar apabila kerajaan memekakkan telinganya terhadap tuntutan-tuntutan yang telah dilakukan untuk pilihaya bersih, telus dan adil melalui siri himpunan BERSIH yang telah kita sertai.

Yang takut dengan Himpunan Hijau sekarang ini ialah UMNO dan sekutu-sekutunya!

Himpunan Hijau langkah gagah PAS ke Putrajaya

Tiada sebab untuk PAS menoleh kebelakang. Tiada sebab untuk PAS berasa dirinya lemah. Tiada sebab untuk PAS berasa ianya masih belum mendapat sokongan kukuh orang Melayu.

PAS berada dalam pentas politik sudah lama. Berada di tahap yang begitu matang, bukan alasan PAS harus berbangga atau sebaliknya.

Sebagai sebuah parti yang mengasaskan perjuangannya dengan asas Islam, PAS yakin dengan janji Allah. Janji Allah bahawa golongan Islam akan mencapai kemenangan menewaskan golongan yang ingkar.

Kemenangan akhirnya akan berpihak kepada Islam. Justeru, PAS yakin bahawa akidah yang PAS pegang adalah benar, perjuangan yang PAS dukungi badalah benar. Dan PAS yakin bahawa persefahaman yang PAS wujudkan bersama-sama parti rakan dalam Pakatan Rakyat adalah bertepatan dengan Islam.

Ianya berasaskan kepada tahaluf siyasi yang dirangka mengikut kaedah syarak.

PAS yakin bahawa pendekatan PAS dalam persoalan politik selama ini, adalah pendekatan yang benar, pendekatan yang diredhai Allah SWT kerana ianya berasaskan kepada hujah nas dan syarak.

Justeru, seluruh kepimpinan, ahli dan penyokong PAS, tidak harus berasa gentar, tidak harus berasa goyah dengan dakwaan bahawa persefahaman kita dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat tidak bertepatan dengan kehendak agama.

Himpunan Hijau menuju ke Putrajaya pada 1 Jun 2012 di Stadium Darul Aman, Alor Setar adalah bukti segala-galanya.

Ianya membuktikan bahawa, PAS adalah sebuah parti Melayu-Islam yang terbesar dalam negara. Ianya bukti PAS adalah parti yang kuat dan mendapat sokongan besar rakyat, khususnya dari kalangan orang-orang Melayu.

Himpunan Hijau yang berjaya menghimpunkan ratusan ribu pemimpin, ahli dan penyokong, membuktikan bahawa PAS bukannya parti yang calang-calang untuk di pandang enteng.

Himpunan Hijau merupakan iltizam seluruh kepimpinan dan penyokong PAS, bahawa tekad utama mereka adalah untuk menumbangkan Umno-Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Himpunan Hijau membuktikan bahawa PAS berada di dalam gelanggang politik dalam keadaan gagah dan bersedia untuk mengharungi segala rintangan dan badai.

Manakala lawannya Umno-BN, tidak harus menafikan bahawa mereka berasa amat gerun dengan kekuatan PAS, serta kesepaduan Pakatan Rakyat, sehingga ada pemimpin mereka yang mengatakan bahawa PRU ke-13 ini, merupakan penentu hidup mati Umno.

Bagi PAS, orang-orang PAS yang sama tekadnya dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, azam PAS pada PRU ini, tidak dapat tidak adalah untuk menumbangkan Umno-BN.

Tiada istilah hidup buat Umno dalam politik Malaysia. Tiada jalan lain untuk memulihkan demokrasi, memulihara sistem politik, menyelamatkan negara dari kebangkrapan, selain melenyapkan Umno dari tampuk kuasa dalam negara.

Keyakinan rakyat, yang memberi kepercayaan kepada PAS serta rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat menguasai lima negeri pada PRU 2008, terus subur dan mekar.

Keyakinan dan kepercayaan rakyat bahawa PAS dan Pakatan Rakyat berjaya menjalankan urustadbir negeri dengan baik dan cemerlang, tidak sesekali dapat digoyahkan Umno-BN.

Pemimpin-pemimpin Umno-BN yang tidak berhenti-henti menyerang Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor dianggap sebagai 'riuh murai, tetapi ekor bersepah dengan najis' apabila, negeri-negeri di bawah pentadbiran mereka jatuh terjelepuk ke lembah kebangkapan.

Dabik dada mereka bahawa merekalah parti pentadbir yang baik sudah tidak kedengaran, ego mereka bahawa mereka pandai mengurus ekonomi negeri dan negara sudah dipadamkan. Yang tinggal bagi Umno-BN, hanyalah politik air liur dan retorik palsu.

Semakin bongkak mereka melaung, semakin banyak salahlaku, penipuan, rasuah, skandal dan penyelewengan pemimpin-pemimpin Umno-BN terbongkar satu persatu.

Manakala negeri-negeri yang dikuasai PAS seperti di Kelantan, sudah menjangkau 22 tahun, sehingga hari ini diisytihar bebas dari rasuah. Selama empat tahun pemerintahan di Kedah, juga bebas rasuah. Samalah seperti di Selangor dan di Pulau Pinang.

Justeru kita amat yakin bahawa fenomena kebangkitan rakyat pada PRU 2008 dan perjuangan bersama Pakatan Rakyat adalah suatu kebenaran, yang bakal memacu kepada perubahan besar dalam negara pada PRU ke 13 nanti.

Ia adalah peluang terbaik rakyat untuk menumbangkan BN dan menggantikannya dengan Pakatan Rakyat, dengan PAS, salah sebuah parti utama yang menunjangi kerajaan baru Malaysia. Hidup Islam! Hidup PAS!
-Mohd Rashidi Hassan


6 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

saya bersetuju dengan kenyataan GB di atas.

Himpunan Hijau ke Putrajaya perlu diteruskan. Usaha layan suara-suara hipokrit yang meminta Himpunan Hijau dihentikan konnya ia akan melambatkan pilihanraya dipanggil.

PAS perlu bijaksana menggunaakn setiap ruang dan peluang yang ada untuk mengukuhkan azam di dalam perjuangannya menegakkan kebenaran dan keadilan.

SEMBOYAN KE PUTRAJAYA TELAH BERBUNYI.

TERUSKAN PERJUANGAN, JANGAN BERHENTI DI TENGAH JALAN!

Obat Tradisional Tekanan Darah Tinggi berkata...

Bagus infonya , bermanfaat banget

abuamir berkata...

Himpinan hijau perlu diadakan dari semasa ke semasa utk menjana kekuatan jemaah dan perpaduan serta derma dari ahli utk mengerakkan jentera pilihanraya. Anak muda adalah target kita utk memberikan ilmu dan wawasan kita dari anasir sesat umno terutama JOM heboh dll.

Ceramah juga satu kaedah kita memperkenalkan pemimpin yg akan kita lantik sebagai calon supaya dikenali rakyat. Kita tiada media spt TV,akhbar harian utk perkenalkan mereka. Dgn himpunan ini juga akan mendekatkan lagi pemimpin dgn ahli bawahan serta penyokong secara senyap atau bukan ahli.

Gerak kerja peringkat cawangan, kawasan dan bahagian mesti di teruskan secara sistematik dan berhemah sehingga PRU13. InsyaAllah kita akan ke Putrajaya....

Tanpa Nama berkata...

teruskan himpunan hijau keputrajaya berterusan tanpa noktah hingga PRU13

Tanpa Nama berkata...

Ana mencadangkan Himpunan ke Putrajaya ini diteruskan ke setiap negeri. Kemudian selepas hari raya adakan penutup himpunan hijau di stadium Bukit Jalil. Selepas itu buka semula dengan himpunan Pakatan Rakyat ke Putrajaya (melibatkan semua Parti) kemudian terus buat di negeri2 secara terancang dan sistematik sehinggalah parlimen dibubarkan. semangat rakyat perlu terus digembleng...

Tanpa Nama berkata...

kami mahasiswa dan pemuda sokong penuh himpunan hijau keputrajaya dan kemenara gading