30 Mac 2012

Akta Lapuk Denda RM25 Perlu Dipinda Segera

Banyak pihak di negara ini mahu Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dipinda memandangkan beberapa kesalahan serta bentuk hukuman yang terkandung dalam akta tersebut dianggap sudah tidak realistik dan tidak sesuai diguna pakai pada masa kini.

Gambar: PENARI tiang yang ditahan polis menjalani ujian alkohol di Nilai Sabtu lalu.

Malah, bagi sesetengah daripada mereka, hukuman denda sebanyak RM25 yang dikenakan terhadap tiga wanita beragama Islam kerana berkelakuan kurang sopan dengan melakukan aksi tarian tiang di sebuah pusat hiburan di Nilai, Negeri Sembilan pada Sabtu lalu dianggap tidak setimpal dengan kesalahan yang mereka lakukan.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainal Rijal Abu Bakar berkata, peruntukan undang-undang itu tidak realistik kerana kesalahan tersebut dianggap serius tetapi pesalah hanya dikenakan hukuman denda tidak lebih RM25 atau penjara maksimum selama 14 hari.

Menurut beliau, hukuman yang dikenakan itu tidak setimpal dengan kesalahan moral yang dilakukan bagi mengatasi masalah sosial dan keruntuhan akhlak yang disifatkan semakin berleluasa pada masa ini.


“Jika hukuman itu dijatuhkan bertujuan untuk mendidik dan memberi pengajaran kepada pesalah, matlamat itu tidak dapat dicapai kerana denda yang dikenakan terlalu rendah.

“Pesalah tidak akan mengambil serius kesalahan mereka dan berkemungkinan mengulangi kesalahan yang sama pada masa hadapan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam. -kosmo

Menari 10 minit dapat RM250, denda cuma RM25

KUALA LUMPUR, 29 Mac: Hukuman RM25 yang dikenakan kepada tiga pesalah wanita atas tuduhan melakukan tarian tiang di atas pentas dengan pakaian kurang sopan di tempat hiburan awam di bawah akta Seksyen 21 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 adalah tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan oleh mereka.

Sehubungan itu, Persatuan Belia Islam National (Pembina) berasa kesal dengan hukuman yang tidak setimpal dikenakan kepada si pesalah memandangkan nilai hanya RM25 adalah nilai yang sangat sedikit sedangkan mereka boleh menerima bayaran sehingga RM250 dalam masa 10 minit.

“Hukuman yang benar-benar setimpal harus dikenakan terhadap perbuatan yang sangat keji ini, ditambah dengan persembahan yang mengghairahkan bahkan berpakaian sangat seksi,” kata Naib Presiden II Pembina, Abdul Hakim Adzman.

Pembina juga, tegasnya mahu hukuman yang keras dan setimpal juga perlu dikenakan kepada pengusaha premis dan servis tarian, pengunjung yang beragama Islam yang mengunjungi premis tarian itu dan pihak-pihak yang mengeksploitasi wanita sebagai objek seks sama ada untuk mengaut keuntungan mahupun untuk memuaskan nafsu.

Beliau dalam satu kenyataan menegaskan, kesemua perbuatan itu dilarang keras oleh agama Islam.

“Dengan itu, diharapkan pihak berkuasa agar mengambil tindakan serius termasuk mengambil tindakan undang-undang kepada pengusaha premis seperti menarik balik lesen perniagaan dan hukuman yang setimpal dan hukuman yang lebih berat perlu dikenakan kepada penari-penari tiang agar selepas ini mereka yang beragama Islam tidak lagi berani melakukan aksi ini lagi.

“Diharapkan dengan hukuman tersebut, mereka benar-benar insaf dan kembali ke jalan yang lurus. Semoga Allah sentiasa memberikan hidayah kepada mereka yang benar-benar bertaubat,” ujarnya.

Akhir sekali, kata beliau Pembina juga menyeru kepada golongan beliawanis supaya mengukuhkan pegangan agama dan jati diri serta memelihara maruah diri.

Beliau menambah, masyarakat juga harus mempertingkatkan usaha memberi kesedaran kepada anak-anak gadis agar tidak terjebak dengan gejala-gejala yang merosakkan diri demi hidup mewah.
-HD


Laporan sebelum ini
klik untuk baca




5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Mana hasang Ali ni

Tanpa Nama berkata...

Kesimpulannya nilai agama Islam di Msia ni hanya sekitar RM25 hingga RM250 sahaja. Kepada negara RM25, kepada rakyat RM250. Bolehkah kita mengatakan bahawa M'sia bukan negara Islam tetapi negara yang berpenduduk beragama Islam?

Makin jauh tersasar....

Tanpa Nama berkata...

inilah akibatnya kalau pegawai2 atasan tidak buat keje...dok sibuk dgn politik aje....waalahualam

Tanpa Nama berkata...

aduyai... saman u sbab ltak knderaan dlm kawasan fakulti pn lg mahal okeh!!!xmunasabah lgsg!!!

Tanpa Nama berkata...

tu lah undang2 malaysia..tgk penari pun senyum je...