14 Feb 2012

Tubuh Suruhanjaya Siasat Daftar Pemilih Meragukan, S'ngor Tertinggi Pertambahan Pengundi

Pakatan desak SPR batal daftar 42,000 pemilih ragu

PETALING JAYA, 13 Feb: Pakatan Rakyat mendesak agar Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) membatalkan pendaftaran 42 ribu nama pemilih yang baharu kerana tidak didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada satu sidang media selepas mesyuarat Pakatan Rakyat di Ibu Pejabat PKR, di sini petang ini berkata, nama-nama tersebut telah menimbulkan keraguan apabila ia tiada maklumat di dalam JPN. Hadir sama ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

"Kita hari ini telah mengambil pendekatan berhubung status 42 ribu nama pendaftar baru yang telah dikenal pasti meragukan agar SPR menghapuskan segera nama-nama tersebut sebelum pilihan raya akan datang.

"Kebimbangan ini ditimbulkan kerana setelah pemeriksaan dilakukan di JPN kita dapati tiada maklumat diperolehi berhubung dengan nama-nama pemilih yang telah didaftarkan itu," jelasnya.

Tambahnya lagi, penambahan daftar pemilih secara mendadak berlaku di Selangor, malah di Wilayah Persekutuan juga terdapat enam ratus pemilih yang telah didaftarkan di alamat yang sama.

"Kita menggesa agar semua pihak diberi tanggungjawab meneliti senarai daftar pemilih baru kerana kita tidak mahu wujud penipuan dalam daftar pemilih demi untuk memberi kemenangan kepada Barisan Nasional.

"SPR perlu telus dalam melakukan sesuatu tugas dan mereka tidak perlu tunduk kepada pihak lain," katanya yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Anwar turut memberitahu, Pakatan Rakyat juga bersetuju agar satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi meneliti kembali status kewarganegaraan yang telah diberikan kepada pendatang asing.

"Kita mahu suruhanjaya diwujudkan segera bagi meneliti kembali hak kewarganegaraan yang diberikan kepada pendatang asing bagi menilai sama ada ia layak ataupun tidak.

"Penubuhan ini perlu kerana kita dapati terlalu banyak nama-nama yang meragui dan dalam masa yang sama kita tidak mahu sebagai agenda politik kerajaan Barisan Nasional maka negara ini mudah tergadai melalui pemberian status warganegara," kata beliau lagi.

Ketua Umum PKR itu turut menekankan wakil Pakatan Rakyat di dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) akan terus mendesak PSC agar SPR lebih bersikap telus serta membatalkan senarai nama tersebut sebelum tibanya pilihan raya umum akan datang. -HD

Anwar: Pertambahan mendadak pengundi di Selangor mencurigakan

PETALING JAYA, 13 Feb — Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata terdapatnya kecurigaan dalam pertambahan mendadak bilangan pengundi di sesetengah kawasan di negeri ini sejak 2008. Penasihat PKR itu menjelaskan, antara kawasan yang mengalami kadar kenaikan ketara adalah di kawasan Subang, Kota Raja, dan Puchong.

"Berdasarkan kajian analisis terperinci Pakatan Rakyat (PR) terdapatnya pertambahan mendadak bilangan pengundi di sesetengah kawasan yang mencurigakan.

"Pengundi di Subang bertambah sebanyak 35 peratus, daripada sejumlah 84,000 ribu kepada 114,000, Kota Raja mengalami peningkatan 29.5 peratus, dan Puchong mengalami peningkatan sebanyak 25 peratus daripada tahun 2008," katanya, namun tidak mendedahkan butiran lanjut berkenaan peningkatan tersebut.

Sehubungan itu, Anwar turut menuntut SPR melaksanakan penyiasatan terperinci terhadap sejumlah 42,000 senarai nama yang meragukan di dalam senarai daftar pemilih yang tidak mendaftar dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Sehingga Oktober 2011, sejumlah 42,000 senarai nama meragukan terdapat dalam senarai daftar pemilih dan kebanyakan mereka ini berumur antara 90 hingga seratus tahun dan tidak berdaftar dengan JPN.

"Sekiranya perkara itu tidak di atasi segera, Pakatan Rakyat mendesak SPR supaya tidak melaksanakan pilihan raya sehinggalah siasatan selesai," jelasnya lagi dan menambah, pembangkang turut mendesak SPR menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat warga asing yang diberi kerakyatan.

"Perkara itu bukan hanya isu di Sabah, bahkan masalah peringkat nasional. Sehubungan itu, PKR mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mewujudkan suruhanjaya dan sahkan status mereka yang layak sebagai warganegara dan pengundi sebelum pilihan raya akan datang," tegasnya.

Menurut beliau, yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, tiga pemimpin PR yang berada di dalam Jawatankuasa Khas Parlimen berkenaan penambah baikan pilihan raya (PSC) akan memainkan peranan mendesak SPR menjalankan semakan yang lebih telus dan pendaftaran secara automatik supaya data pengundi dapat disemak dengan lebih teliti.

"Azmin Ali, Anthony Loke, dan Dr Hatta Ramli akan bertanggungjawab mendesak SPR bagi memperbaiki perkara ini sebelum pilihan raya dilaksanakan," katanya lagi.
-TMI


Daftar Pemilih Diragui, SPR Wajar Batal Pilihanraya

PETALING JAYA 13 FEB: Pilihanraya Umum Ke-13 wajar dibatalkan sekirannya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal mengambil sebarang tindakan berhubung daftar pemilih yang dilihat semakin hari semakin meragukan.

Gesaan itu dibuat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara yang bersikap berpeluk tubuh walaupun setahun perkara ini dibangkitkan, sekaligus menguatkan dakwaan wujudnya unsur 'khianat'.

Menurut Anwar sejak Oktober 2011, sejumlah 42,000 dalam daftar pemilih diragui tidak didaftarkan dengan JPN.

"Oleh itu, kami menggesa SPR harus batalkan pilihanraya ini, kebanyakannya yang didaftarkan itu berumur lebih 90 tahun dan 100 tahun," kata Anwar ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini hari ini.

Prihatin dengan perkembangan yang membimbangkan ini, Anwar memberi contoh analisis pertambahan pengundi di negeri Selangor.

"Di Selangor umpamanya, berdasarkan analisis terperinci, beberapa kawasan Parlimen, berlaku pertumbuhan (pengundi) mendadak, Subang umpamanya, pertumbuhan pemilih 35 peratus daripada 84,000 kepada 114,000.

"Kota Raja 29.5 peratus, penambahan 21,000, Puchong 25 peratus, soal daftar pemilih itu perlu dijelaskan, tapi ini keupayaan pembangkang meneliti kerana kecurigaan terhadap kebebasan integriti atau kewibawaan SPR," katanya yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Tegas beliau, sebagai badan bertanggungjawab, SPR dan JPN perlu teliti dengan urusan kerja mereka supaya tidak timbul isu berbangkit.

"Sebab itu perlu ada mekanisma yang lebih telus, pendaftaran lebih sistematik dan makluman awal diberikan kepada semua pihak supaya dapat disemak dengan teliti.

"Dibangkitkan juga perpindahan pengundi Wilayah Persekutuan yang salah di segi undang-undang iaitu 600 pemilih dipindahkan ke alamat yang sama, ada masalah di sini.

"Jawatankuasa Parlimen Terpilih (PSC), Azmin (Ali), Dr Hatta (Ramli) dan Anthony Loke akan terus hadir dan mendesak supaya hal ini dibaiki sebelum pilihanraya akan datang,"ujarnya.

Terdahulu, perkara tersebut dibangkit apabila daftar pemilih SPR mengandungi lebih 1000 senarai pengundi berusia lebih 100 tahun di Perak.
-tvsnews




1 ulasan:

MNazri berkata...

UMno/BN sudah terdesak utk merampas Selangor. Mereka sanggup utk membuat apa sahaja- by hook or by crook.

Aku tak terkejut jika mereka terlibat dgn penipuan pilihanraya.. Dah sebati dgn diorg