2 Okt 2011

Filem Hantu: Majlis Fatwa Rancang Temui PM. Pemuda PAS Pula Hilang Prinsip?

Kuala Lumpur: Majlis Fatwa Kebangsaan mahu bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi membincangkan isu lambakan filem atau drama hantu yang cukup popular sekarang kerana dikhuatiri boleh memesongkan akidah terutama di kalangan remaja Islam.

Gambar: Menonton cerita begini tidak membawa kebaikan, tidak memberi keuntungan hanya perasaan takut, lemah semangat serta tidak baik kepada negara yang memerlukan rakyat yang berpengetahuan dan bijaksana. - Syaikh Ismail Muhamad, Imam Besar Masjid Negara

Ahli Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, berkata majlis menggesa kerajaan memperincikan kawalan terhadap penerbitan filem atau drama hantu yang jelas berunsur khurafat dan mempromosi kepercayaan karut.

“Kami setuju perkara khurafat seperti ini patut dihapuskan. Kita kena bina pemikiran dan kerohanian masyarakat dengan perkara yang boleh menyumbang kepada pembangunan negara.

“Perkara ini juga sudah dibawa kepada pihak berwajib. Namun, mereka tidak peka dan kami bercadang berbincang dengan Perdana Menteri untuk menyuarakan hasrat mufti ini,” katanya kepada Berita Minggu ketika dihubungi di sini, semalam.

Mohamad Shukri yang juga Mufti Kelantan mengulas pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung berlakunya lambakan cerita hantu di negara ini yang mempromosi kepercayaan karut serta tidak membantu masyarakat menjadi produktif.

Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhamad, berkata umat Islam yang terlalu taksub dan mempercayai hantu atau makhluk selain Allah SWT, boleh menjadi syirik.

“Mereka yang syirik adalah berdosa besar sehingga segala amalan baik yang dibuatnya sebelum ini akan terhapus begitu saja hinggalah mereka bertaubat.

“Menonton cerita begini tidak membawa kebaikan, tidak memberi keuntungan hanya perasaan takut, lemah semangat serta tidak baik kepada negara yang memerlukan rakyat yang berpengetahuan dan bijaksana,” katanya.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam, Datuk Dr Maamor Osman menggesa tapisan menyeluruh yang lebih ketat patut dilakukan ke atas penerbitan dalam dan luar negara yang menolak konsep ketuhanan dan berlawanan dengan akidah serta norma masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth Production Sdn Bhd, David Teo pula berkata, penerbitan filem hantu berbentuk khayalan dan hiburan semata-mata sama seperti filem kartun atau fiksyen.

“Filem hantu untuk hiburan selain mendidik penonton. Ia bukan mempromosi kisah tahyul, sebaliknya pada masa sama nilai agama menerusi watak ustaz yang berperanan mendidik penonton secara tidak langsung.

“Sebelum ditayangkan, filem itu juga perlu melalui Lembaga Penapisan Filem (LPF) untuk menentukan sama ada sesuai untuk tontonan umum atau tidak. Jika unsur tahyul yang ditayangkan keterlaluan, babak terbabit akan dipotong dan tidak ditayangkan di pawagam,” katanya. -BH

Ulasan GB

Yang lain ok, cuma di beberapa perenggan akhir dimana penulis berita ini menanya David Teo untuk bercakap mengenal hal syirik, tahyul dan seumpamanya.

Ada skrew yang tertanggal dari kepala penulis berita di atas bila seorang bukan Islam ditanya mengenai hal menyentuh aqidah dan keagamaan.

Mengenai lambakan cerita-cerita hantu berunsur syirik, khurafat dan tahyul ini telah lama GB ulas di SINI. Petikan:

Penyemarakan unsur syirik, khurafat dan tahyul di dalam filem-filem Melayu mutakhir ini sperti cendawan tumbuh yang tidak terkawal.

Kita menjadi hairan dengan sikap berdiam diri para mufti, JAKIM dan lain-lain yang berautoriti di dalam hal-hal keagamaan di dalam negara kita. Lebih malang lagi apabila Lembaga Penapis Filem seperti menggalakkan kehadiran filem-filem tempatan yang merosakkan akidah umat Islam di negara ini.

Kita boleh saja terima jika filem itu dari dalam atau luar negara yang dihasilkan oleh mereka yang bukan beragama Islam, namun apa yang mendukacitakan ialah filem-filem berkenaan dihasilkan dan dilakonkan oleh mereka yang beragama Islam.

Apa sebenarnya agenda Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dengan penerbitan dan penayangan filem berunsur syirik itu?


Menyentuh mengenai kontroversi filem Hantu Bonceng yang dihebohkan ada beberapa perkara yang memusykilkan. Lembaga Penapis Filem melalui Pengerusinya Datuk Raja Azahar Raja Abdul Manap mendakwa JAKIM telah meluluskannya. Mana buktinya? Siapa pegawai JAKIM itu? Bila masa dilakukan pertemuaan JAKIM dan Lembaga Penapis Filem? Mana kenyataan rasmi JAKIM?

Kedua, Dewan Pemuda PAS dikhabarkan telah bertemu Ahmad Idham untuk menyelesaikan kes berkenaan. Dewan Pemuda yang sebelumnya lantang mengkritik tetiba menjadi kendur. Apakah Ketua Dewan Pemuda jenis tidak berprinsip yang terubah pendirian hanya dengan satu pertemuan?

Buktinya:

Sebelum pertemuan:
Namun filem tersebut dikecam hebat oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia kerana dalam satu adegannya, Zizan jelas menghina Rasulullah saw dengan menyebut “Ashaduanna Muhammadar ... syaitan” yang membawa maksud “Aku naik saksi bahawa Muhammad itu ... syaitan”.

Selain itu turut ditambah dengan adegan mempersendakan azan, memakai baju yang mempunyai tanda salib ke masjid dan beberapa isu tahyul seperti bogel depan hantu.

Dewan Pemuda PAS Malaysia ketika membuat teguran terhadap filem itu sejak 19 September lalu turut kesal yang teramat sangat dengan kelemahan ketara pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), sehingga membenarkan filem-filem berbaur penghinaan kepada Islam diterbitkan.
-harakahdaily


Kemudian selepas pertemuan diadakan:

Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak telah menyuarakan hasrat dan memberi penjelasan dari kedua belah pihak. Hasil dari pertemuan itu, pihak Dewan Pemuda PAS dengan Excellent Pictures telah mencapai kata sepakat dan berpuas hati dengan semua penjelasan malah sebulat suara menyelesaikan masalah berbangkit dalam suasana yang cukup mesra. ...

Dalam kesempatan ini juga, kedua- dua belah pihak memohon agar isu berkaitan ini tidak lagi diperbesarkan dan dipertikai oleh mana-mana pihak kerana isu terbabit telah diselesaikan dalam pertemuan ini. -pemudapas


Teruk punya statement! Tidak mahu diperbesarkan supaya Hantu Bonceng boleh terus ditonton oleh masyarakat dan pihak penerbit terus dapat mengaut keuntungan dengan penyiarannya? Dan Pemuda PAS tiada takut lagi untuk bersubahat dengan tayangan itu?

7 ulasan:

Yong berkata...

Teringin nak maki pemuda pas. Tapi tak boleh, nanti ibarat maki adik2 dan anak sendiri.

Cuma Yong minta sebelum bercakap tu fikior le dulu tentang kesan akan datang! Think for the future generations please!

Tanpa Nama berkata...

Saya fikir Pihak Berkuasa tak begitu susah untuk berdakwah melalui Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Penerangan di kalangan artis dan bukan Islam . Masaalah kecelaruan serta kurang jelas sekarang sebenarnya terletak di tangan PM dan Datuk Rais Yatim . Tentang mana2 Badan Dakwah spt Majlis Ugama Islam , dlm PAS dsb tu biarlah dimainkan sendiri peranannya. Kunci kata Harus dimulakan dari atas oleh pucuk pimpinan atau pihak yang boleh menyebarkan pengaruh maklumat secara pantas. Cadangan umum saya begini:
1.PM mesti beri lampu hijau kpd Jamil Khir Dr Mashitah utk berperanan .
2.Datin Seri Hajjah Rosmah sepatutnya memperlihatkan penampilan solihah dengan berpakaian menutup aurat sepenuh sebagai pemankin 1 Malaysia , supaya menjadi ikutan muda mudi dan daya tarikan kepada bukan muslim untuk mendampingi Islam.
3. Datuk Seri Rais Yatim sepatutnya memberi Garis Panduan Jelas yg membantu kearah pembaikan moral dan akhlak . Mesti ujud kerjasama secara langsung antara Jabatan2 yang berkepentingan Islam.
4.Susun semula program RTM. Terapkan nilai-nilai murni dalam semua saluran RTM. Hindarkan elemen negatif dalam Dokumentari, Filem, Drama ,Filem Animasi Kartun Import yang merusakkan minda anak-anak , pelajaran dan masa depan mereka.
5.Agenda RTM hendaklah kembali di zaman PakLah malah diperhebatkan . Sedar atau tidak RTM sekarang kurang menayangkan nyayian Nasyid sebagai gantinya nyayian rock berBudaya Dadah. Artis Berambut kusut panjang, menyanyi melompat-lompat katak , berseluar lebih kurang saja , padat singkat berbakat, penyanyi perempuan bermain gitar perwatakan ganas ala mafia penagih dadah. Bukankah Datuk Mohamad Rahmad melarang hal spt ini menguasai TV?
6.Ini mungkin gara-gara pengarah RTM yang tidak perihatin dengan keperluan umat Islam .Dipercayai kerana bersekongkol dengan product seni Ling Kok Wing Aswara dan Akademi Fantasia yang dikira boleh menyekat rezeki golongan ini.
7. Memanglahlah bila disebut Dadah dan Petanda Dadah ianya sinonim dengan Dunia Hiburan Melampau dan Para Artis (Artis Duniawi). Banyak contoh yang tak perlu dihebahkan lagi kerana semua sudah sedia maklum.
8. Perjuangan untuk membasmikan gejala seperti ini harus berpengkalan di RTM, dan IPT oleh cerdik pandai, ketua-ketua jabatan , pengarah, penguasa-penguasa, orang berpengaruh , seterusnya para ibubapa dengan signal Hijau dpd PM.
9.Di zaman awal ABIM mula berkembang pakaian sopan bertudung digerakkan di IPT kemudian menjalar hingga ke peringkat menengah dan rendah secara rasmi. Pelajar dulu hanya berpakaian skirt dan berambut tocang lepas bebas . Perubahan seterusnya mempengaruhi masyarakat awam. Tapi sayangnya tak di semarak dan upgradekan. Contoh lain : Ketua Polis Trafik Malaysia (wanita- nampak smart ) dengan anak buahnya.
Lantaran itu pembasmian sumber gejala serta kerenah titik bengik boleh diatasi secara mudah , selesa serta murah melalui contoh dari atas ke bawah seperti aliran sungai dari hulu ke muara.

Ben Ayu berkata...

Perkara berkaitan akidah minta komen David Teo. Apa yang dia tahu? Taraf David Teo adalah bersih tetapi tidak suci. Tidak suci yang kerap disalah anggap oleh kalangan ini.

Benda yang berlegar kepada perkara kurafat mana boleh samakan dengan filem karton, khayalan atau hiburan. Hukum tetap hukum dan semuanya jelas. Motif lebih kepada unsur keuntungan. Samalah jua seandainya berniaga. Sedap, murah, bersih tetapi tidak halal.

Tolonglah, perkara yang berkaitan dengan hukum hakam perlu dirujuk kepada yang arif lagi bijaksana.

Unknown berkata...

cerita khurafat ini sebenarnya mudah ditulis, tak perlun fakta, semua khayalan, inilah yang digemari oleh pembikin filem. ia juga memberi gambaran bahawa orang kita suka mistik, benda mistik, kepercayaan mistik,dalam hiburan, sebenarnya ramai yang terjebak dengan dukun dan bomoh. orang lebih sayang kepada dukun di kampung, ada kes khalwa riuh sekampung, tapi orang berduyun jumpa dukun, orang tak peduli.

Tanpa Nama berkata...

Aduhai, aku pun nak beri pendapat, tapi ..tkasih pada anon 2, sbb pendapat kita ala2 sama..

Org tua aku kat kg pun menyampah bila tengok drama2 peluk2, dedah aurat, terkinja2, dll, dia kata kenapa tak banyakkan rancangan agama?atau klu belakun pun jagalah aurat. Aku kata, tak ramai org suka rancangan2 agama ni, dia jawab, bior pihak lain fedup atau benci, asal Allah suka..

Tanpa Nama berkata...

Petikan "David Teo pula berkata, penerbitan filem hantu berbentuk khayalan dan hiburan semata-mata sama seperti filem kartun atau fiksyen."


Komen:
David Teo tu agama apa? Ada dia peduli tentang filem tahyulnya yang merosakkan akidah orang Islam dan menyempitkan minda Melayu Islam? Filem tahyul tu hiburan bagi dia sebagai pernebit filem tahyul untuk mengaut untung . Lebih ramai orang Melayu Islam tonton filem tahyul dia lagi dia suka sebab untung besar!

Sebaliknya, filem tahyul itu adalah filem syirik yang mempunyai kesan negatif ke atas iman kita dan filem itu boleh menyempitkan minda kita apabila minda kita dipenuhi dengan ketakutan yang tidak berasas dan tahyul. Bayangkanlah kanak-kanak yang terdedah kepada filem tahyul, kesan psikologi keatas kanak-kanak itu adalah amat buruk! Penerbit filem tahyul peduli jika filem tahyulnya membawa orang Melayu balik ke zaman batu !


Amatlah menyedihkan jika orang Melayu yang mengaku beragama Islam meluluskan filem tahyul untuk tayangan sedangkan filem tahyul bertentangan dengan Islam dan tahyul boleh menjahanamkan minda Melayu Islam!

Tanpa Nama berkata...

PEMBETULAN: "Penerbit filem tahyul peduli jika filem tahyulnya membawa orang Melayu balik ke zaman batu !" October 7, 2011 3:37 PM


Ayat yang betul ialah " Pengeluaran filem-filem tahyul menunjukkan penerbit-penerbit filem tahyul TIDAK mempedulikan kesan-kesan negatif filem-filem tahyul mereka akan membawa orang Melayu Islam kembali ke zaman batu.