2 Ogo 2011

Selamba Merokok Depan Anak Kena Cekup

Baru sahaja Ramadan membuka tirainya, namun sudah ada umat Islam yang mencemarkan kesucian bulan ini dengan tidak berpuasa.

Semalam dengan selambanya seorang bapa merokok sambil memandu kereta dan cermin tingkap keretanya terbuka, lebih memalukan apabila isteri dan dua anak kecilnya juga ada bersama dalam kereta.

Dua kereta peronda JAIPP yang pada ketika itu sudah setengah hari melakukan operasi pesalah Ramadan kemudiannya serta merta mengarahkan lelaki itu berhenti ke tepi untuk diperiksa.

“Maaf ustaz, saya betul-betul ingat hari ini tidak puasa, hendak ambil tindakan pun tidak mengapa sebab saya memang lupa hari ini puasa’, itulah alasan seorang bapa muda setelah ditahan Pegawai Penguat kuasa Agama (PPA) Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP).

Tetapi helahnya itu hanya sementara selepas Ketua Operasi dan Penguat kuasa JAIPP, Khairul Azman Azizan bertanyakan kenapa dia tidak bekerja hari ini (semalam).

Kemudiannya bapa muda itu menjawab ‘Hari ini cuti ustaz, cuti peristiwa sebab Ramadan ustaz’, jawapannya yang spontan itu menimbulkan rasa lucu dalam kalangan PPA JAIPP dan wartawan akhbar ini.

Alasannya lupa hari berpuasa akhirnya ‘kantoi’ juga kerana pada mulanya dikatakan tidak tahu hari pertama Ramadan, namun lelaki berkenaan tahu pula waktu bercuti ketika bermulanya Ramadan.

Bapa yang juga suami seharusnya menjadi contoh kepada anak dan isteri namun, dia pula tidak berpuasa.

Beliau menggelabah ketika wartawan merakamkan gambarnya ketika disoal siasat oleh PPA.

“Tak apalah saya mengaku bersalah dan boleh ambil kad pengenalan saya,” katanya.

Lebih menyedihkan kerana ketika operasi dijalankan, anak-anak lelaki berkenaan yang masih kecil bersama dengan isterinya hanya terpinga-pinga melihat keadaan bapanya yang dikelilingi PPA JAIPP.

Lelaki yang berusia awal 30-an itu kemudiannya diberikan notis atas kesalahan mengikut Seksyen 15 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1996 atas kesalahan tidak menghormati Ramadan, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau tidak lebih enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali. -SH


Kain rentang ponteng puasa di 50 lokasi

GEORGETOWN: Sebagai peringatan kepada umat Islam, khususnya ‘kaki ponteng puasa’ supaya berpuasa pada bulan Ramadan, kerajaan negeri akan memasang kain rentang mengenai kesalahan ponteng berpuasa di 50 lokasi di seluruh negeri.

Pengerusi Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Abdul Malik Kassim (kanan), berkata Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAIPP) juga mempertingkatkan operasi penguatkuasaan secara lebih tegas.

Katanya, pemasangan kain rentang itu bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat Islam mengenai kemuliaan Ramadan dan kewajipan menjalani ibadat puasa.

"Bahagian penguat kuasa JAIPP akan bergerak secara serentak di seluruh negeri ini yang membabitkan lima daerah dan mengawasi kawasan tertentu selain menjalankan risikan.

"Kami juga akan menjalankan Ops Jejak untuk mengesan premis yang menjual makanan kepada orang Islam di siang hari; Ops Cegah Maksiat bagi memantau aktiviti bertentangan Islam di rumah tumpangan, hotel dan premis hiburan, manakala Ops Ramal bagi mengesan kegiatan orang Islam dalam aktiviti perjudian," katanya pada sidang media di sini, semalam. Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Penguat Kuasa JAIPP, Jaafar Ismail.

Abdul Malik berkata, pihaknya juga akan memantau mana-mana orang Islam yang sengaja memasuki premis hiburan, termasuk yang meminum arak.

"Semua kesalahan terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 15 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang. Mereka yang tidak berpuasa dan tidak menghormati bulan Ramadan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kesalahan atau aktiviti maksiat pada Ramadan untuk membuat aduan melalui laman web E-Aduan Maksiat JAIPP di penguatkuasaanjaipp.blogspot.com atau menghubungi JAIPP 019-4256917 (pulau) atau 013-4419300 (Seberang Perai)," katanya. -BH


2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Nampaknya negeri yg diperentah DAP pula yg baru 3 tahun memerintah lebih pandai mengajar umat Islam yang tak beriman supaya beriman dan patuhkan ajaran Agama, bagaimana negeri yg diperintah UMNO yg dah lebih 50 tahun memerintah.. dok ditakok lama lagi kah.

Tanpa Nama berkata...

Manusia jenis ini memang ramai.,Dia fikir nak tunjuk samsing dengan Tuhan.Dia tak tau dirinya tu Tuhan yang buat.Dalam otaknya berfikir"Aku tak puasa,siapa berani tangkap,Aku tak puasa aku punya pasal,masing-masing kubur masing-masing jaga".