7 Ogo 2011

Kelantan Tiada Ancaman Penyebaran Kristian

Kota Bharu - Kerajaan Negeri mengesahkan tiada ancaman berhubung penyebaran agama Kristian di kalangan masyarakat Islam di Kelantan setakat ini dan jika ada laporan rasmi pihaknya akan segera menjalankan siasatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohamad Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya tidak menerima laporan rasmi mengenai perkara itu dan jika ada tindakan susulan pasti dilakukan.

“Secara rasminya tiada laporan diterima dan jika ada Kerajaan Negeri melalui agensi berkaitan akan menyiasat kesahihannya sebelum tindakan lanjut diambil.

“Setakat ini Kelantan tiada lagi ancaman nyata berkaitan penyebaran agama itu dan Kerajaan Negeri tidak menerima mana-mana laporan rasmi terdapatnya usaha murtadkan masyarakat Islam di negeri ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, demikian ketika mengulas laporan akhbar mengenai wujudnya penyebaran agama itu secara halus di kalangan masyarakat Islam khususnya golongan ibu tunggal, mualaf dan miskin di beberapa negeri tanpa disedari.

Menurutnya, pihaknya melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (JHEAIK) sentiasa bersedia menjalankan siasatan jika menerima laporan rasmi mengenai kewujudan perkara itu.

Katanya, pemantauan terhadap gereja-gereja pula hanya boleh dilakukan selepas adanya laporan rasmi diterima dan pihaknya tiada hak untuk memasukinya sesuka hati.

Mohamad Amar berkata, penuntut UiTM, Mohamad Fariz Ilham Mohd Zulkifli, 19 yang cuba keluar Islam pada 24 April lalu di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu pula bukan berlaku di Kelantan tetapi di Terengganu.

“Pelajar berasal dari Kelantan itu sudah insaf dan kini dibawah pengawasan JHEAIK selama enam bulan selepas diperintah menjalani beberapa hukuman,” katanya.

Menurutnya, pelbagai pendekatan termasuk program keagamaan berterusan dilaksanakan pihaknya dalam usaha mengelak perkara seumpama itu berlaku seperti meningkatkan usaha dakwah di seluruh negeri.

Sebagai contoh, katanya, program bulan sembahyang, bertadarus, kewujudan unit halaqat dan sebagainya dilakukan demi mendekati umat Islam dan memberi kefahaman mendalam kepada masyarakat mengenai agama Islam.

Mohamad Amar berkata, pihaknya turut menyalurkan peruntukan kepada Yayasan Islam Kelantan dan menambah peruntukan kepada guru-guru agama supaya dapat melaksanakan dakwah lebih berkesan di Kelantan. -SH


‘Banyak usaha pujuk umat Islam murtad’

KUALA LUMPUR: Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, berkata banyak usaha dilakukan pihak tertentu untuk mempengaruhi dan memurtadkan umat Islam di negara ini, namun tiada tindakan diambil pihak berkuasa agama Islam termasuk pimpinan tertinggi bagi menyekat aktiviti berkenaan.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan bukan saja ramai umat Islam memeluk Kristian, malah ada yang memeluk agama Hindu dan agama lain terutama saudara baru seperti India Muslim.

“Apabila saya dedahkan laporan Persatuan Paderi Malaysia yang mengisytiharkan lebih 230,000 umat Islam memeluk Kristian pada 2008, tiada tindakan diambil, malah kata saya itu didustakan.

“Hakikatnya banyak (murtad), bukan sekadar masuk Kristian tapi Hindu pun ramai, saya tahu banyak usaha dibuat bukan Islam untuk pengaruhi Islam, malah ada mengakui poketnya sentiasa ada RM30,000 hingga RM50,000 bagi mempengaruhi umat Islam memasuki agama mereka,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Siri Bicara Agung Panggung Dakwah di sini, semalam.

Majlis itu dilancarkan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Che Mat Che Ali.

Harussani berkata, antara strategi diguna gereja mempengaruhi umat Islam termasuk mengadakan aktiviti memberi makanan seperti di sekitar masjid pada waktu solat Jumaat dan Maghrib selain mengedar risalah agama ke rumah dan memberi wang kepada pelajar.

“Pernah terjadi sekumpulan pemimpin dari Subang Jaya termasuk bergelar Datuk berjumpa saya untuk memberitahu ada gereja sebarkan agama pada pelajar, beri duit dan bible dan perkara terbabit dilaporkan pada polis, tapi tiada tindakan. Saya juga hubungi pihak berkuasa, tapi jawapannya, kami nak buat macam mana,” katanya.

Beliau yang kesal dengan sikap itu, meminta pimpinan tertinggi membanteras aktiviti berkenaan daripada menjadi serius selaras kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara. -BM


2 ulasan:

tungkaran hati.blogspot berkata...

Ramai yang masih mengharapkan perjuangan PAS seperti dahulu, perjuangan yang jelas untuk diperjuangkan...tetapi kini dasar perjuangan PAS telah tersasar jauh....!
Berdirilah PAS dengan bermaruah tanpa PKR dan DAP yang anti-Islam terutamanya, janganlah diperbodohkan oleh mereka...!
kembalilah pada perjuangan asal semoga kita rakyat Malaysia dapat keberkatan daripada perjuangan PAS.
Jika UMNO itu jahil mentadbir negara maka sekarang inilah waktunya PAS membuktikan ianya lebih baik dari UMNO...bukannya sekadar ceramah dan tazkirah semata-mata.
Cuba lihat PAS di Selangor , PPinang dan Kedah adakah dihormati!!!
Kembalilah kepada perjuangan asal....sebuah Negara Islam yang berdaulat bukannya negara kebajikan seperti yang dikehendaki oleh DAP dan sekutunya!

Pejuang Rakyat berkata...

Jangan salahkan PAS. Salahkan mereka yang buta hati kerana takut hilang jawatan atau kena tukar ke pendalaman atau takut dikutuk oleh anak cucu disuatu hari nanti.. dan terus mengundi BN. Hasilnya inilah yang terus berlaku kerana kamu memangkah BN itulah akibatnya. Kamu lebih takut kepada Kerajaan BN daripada Allah S.W.T.. ulama, ustaz, tok imam dan sebagainya masih ada yang takut kepada kerajaan BN. Bertaubatlah sebelum kamu mati sewaktu hati kamu mati kerana menyekutukan Nya. Berfikirlah sebaiknya... benarlah apa yang dikatakan Dr MAZA. Umat Islam tidak prihatin kepada penderitaan rakyat marhain dengan kata lain tidak AMBIL PEDULI. Baik rakyat atau kerajaan, kerana itu pihak Gereja menjadi pilihannya. Saya akui banyak NGO Islam turut memberi bantuan tetapi denggan pembiayaan yang terhad. FIKIRKANLAH