4 Jul 2011

Agong Titahkan Rundingan, Seru Kerajaan Laksanakan Amanah Secara Adil & Bijaksana

Perhimpunan 9 Julai: Titah khas Yang di-Pertuan Agong

Istana Negara malam ini mengeluarkan Titah Khas Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengenai perhimpunan pada 9 Julai ini.

Berikut adalah teks penuh Titah Khas tersebut:

Beta sedang mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan Kumpulan Bersih untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai yang bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Beta selaku Yang di-Pertuan Agong, dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat.

Namun Beta yakin kepimpinan negara di bawah Yang Amat Berhormat Dato' Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak berkemampuan untuk menangani masalah ini dengan sebaik mungkin.

Beta menyeru di dalam keghairahan sebahagian rakyat berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara kita ini hendaklah dipastikan juga bahawa tuntutan demokrasi itu tidak akan membawa kemusnahan kepada negara.

Kita tidak boleh terlalu terikut-ikut dengan amalan-amalan negara-negara luar secara umumnya kerana keharmonian dan kestabilan negara adalah asas penting bagi sesebuah negara yang perlu semua pihak pertahankan.

Beta juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan rakyat secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.

Setiap permasalahan yang timbul, kita sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan seperti pepatah Melayu "Yang Dikejar Tak Dapat Yang Dikendong Berciciran".

Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik.

Sebaliknya kita harus menumpukan kepada matlamat utama memajukan negara, bukannya mencipta masalah yang membuat negara berada terkebelakang. Ingatlah bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora.

Itulah pentingnya sifat kesederhanan dan tolak ansur yang telah begitu lama diamalkan oleh warisan pentadbiran negara. - Bernama


Titah Agong berunding bukan makna Bersih sudah tewas, kata penganalisis

KUALA LUMPUR, 4 Julai — Titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin agar Bersih 2.0 menyelesaikan isu mereka secara perundingan tidak seharusnya dianggap sebagai satu kekalahan kepada gabungan itu yang menuntut pembaharuan sistem pilihan raya adil dan bersih, kata penganalisis politik Prof A. Aziz Bari.

“Berunding tak semestinya kekalahan pada Bersih,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Menurut Aziz, ini kerana Seri Paduka Baginda (gambar) bertitah berunding dan ini boleh memberi makna laksanakan tuntutan supaya pilihan raya yang adil dan bebas diadakan.

“Ringkasnya kedua-dua pihak perlu bersedia berunding dan rujukannya perlu Perlembagaan Persekutuan,” kata pakar perlembagaan ini.

Aziz juga berkata dari segi Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda ada hak dan kuasa untuk bercampur tangan.

“Campur tangan Yang di-Pertuan Agong adalah kemenangan bagi menjamin satu pilihan raya yang adil dan besih, sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan,” katanya lagi.

Semalam, Tuanku Mizan bertitah agar setiap permasalahan yang timbul — dalam isu semasa merujuk kepada tuntutan Bersih 2.0 diselesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan.

Baginda juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan secara adil dan bijaksana dan “yang pentingnya.”

“Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik,” titah baginda dalam satu kenyataan.

Titah baginda muncul sehari selepas Putrajaya mengisytiharkan Bersih 2.0 sebagai pertubuhan haram manakala enam pemimpin dan ahli Parti Sosialis Malaysia ditahan di bawah Ordinan Darurat.

Himpunan Bersih 2.0 dirancang untuk diadakan hujung minggu ini.

Malah Tuanku Mizan bertitah rakyat harus menumpukan kepada matlamat utama memajukan negara, bukannya mencipta masalah yang membuat negara berada terkebelakang.

“Ingatlah bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora,” titah baginda.

“Itulah pentingnya sifat kesederhanan dan tolak ansur yang telah begitu lama diamalkan oleh warisan pentadbiran negara,” titah baginda.

Sehubungan itu Aziz juga berkata, Istana Negara juga perlu memantau agar Perlembagaan Persekutuan dipatuhi dalam proses rundingan jika diadakan membabitkan pentadbiran Najib dan Bersih 2.0.

Malah kata Aziz, sekiranya Bersih bersetuju berunding dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) enggan melaksanakan tuntutan, yang kesemuanya adalah selaras dengan kehendak Perlembagaan, badan pelaksana pilihan raya itu akan dipersalahkan dan Umno-BN akan kalah dalam pilihan raya umum ke-13 kerana dianggap menggunakan istana.

Kata beliau, SPR perlu mempunyai keyakinan kesemua parti yang menyertai proses pilihan raya dan “dalam terma yang mudah, Perlembagaan yang perlu kekal sebagai teragung di sini dan bukan demi kepentingan mana-mana parti.”

“Buat masa ini kedua-dua Umno-BN dan SPR sudah dianggap bersekongkol untuk menipu dalam pilihan raya,” katanya sambil menambah, semua tahanan mesti dibebaskan serta-merta kerana ia juga melanggar Perlembagaan Persekutuan.

“Begitu juga dengan rampasan yang dilakukan oleh polis,” kata beliau lagi.

Menurut laporan media semalan polsi telah menahan lebih 150 orang, kebanyakannya pemimpin Pakatan dan aktivis pro-Bersih 2.0 sejak seminggu lalu. -TMI


7 ulasan:

C++ berkata...

Bhai GB...

Read between the lines.... itu sebenarnya ayat yang bagi lesen besar kat Kerajaan BN untuk buat aper sajer kasi stopkan BERSIH 2.0..

Hampeh la...

facepu berkata...

IA BUKAN BERMAKNA KITA AKAN BERUNDUR...

ISU PANAS!!:
ISU MAKCIK HINA ISLAM!!!
ISU MAYA KARIN DILACURKAN....!!!

AHA berkata...

BN dah gunakan Agong untuk stopkan BERSIH 2, kita teruskan juga. Kalau tidak, usaha kita selama ni sia2 jer.

Tanpa Nama berkata...

NGO yang berwibawa antaranya Persatuan Sejarah Malaysia, GAPENA, Seniman, PAPITA, Karyawan dll macam tak peduli saja.

Tanpa Nama berkata...

bila rakyat nak suarakan kebenaran, BN anggap rakyat penjenayah, sekatan jalanraya merata tempat, tapi bila motor kita kena curi laporan polis macam sampah, jenayah bermaharajalela

Tanpa Nama berkata...

bersih...wajar tukar kepada himpunan menjunjung kasih atas titah tuanku.

Tanpa Nama berkata...

Satelah gunakan mesjid Najib gunakan Agong pulak.Agaknya Najib "nasihatkan" Agong untuk buat kenyataan.Kalau Najib betul-betul mahu Agong "berperanan" berikan kembali kuasa Agong seperti sediakala.Berikan hak-hak Agong sebagai Raja yang menjadi payong negara,bukan sekadar ikut "nasihat" Perdana Menteri.Agong ada Majlis Raja-Raja yang tahu untuk menentukan kebaikan negara ini.