9 Feb 2011

[Bergambar] Kediaman Bekas Juara Bina Badan Negara Terbakar

Kuching – Badan bekas Mr. Asia, Bujang Taha bergetar-getar sambil ditenangkan oleh isterinya apabila menyaksikan rumah beliau ranap dijilat api dalam kebakaran petang tadi.

Gambar: Bekas juara bina badan negara Bujang Taha, 74, pasrah melihat kediamannya hangus terbakar di Kampung Tanjung dekat Petra Jaya, Sarawak kira-kira 2.05 petang tadi. – Foto Bernama

Bujang, 74, jaguh bina badan yang terkenal di negara Asia sekitar tahun 70an dan 80an, bukan sahaja kehilangan rumah sekelip mata, namun barangan peribadi seperti trofi, medal emas dan hadiah yang dimenangi semasa bergiat aktif dalam bidang bina badan.

Bagi beliau, barangan peribadi ini terlalu bernilai sentimental, yang tidak dapat diganti sampai bila-bila.

“Selain kerugian wang tunai sebanyak RM27,000, kebakaran ini turut memusnahkan harta benda lain yang dianggarkan keseluruhannya bernilai RM300,000,” katanya yang masih terkejut dengan kejadian itu.

Menurut Bujang, kira-kira jam 2.05 petang, beliau pergi ke tingkat atas rumahnya di Kampung Jalan Tanjong Merdeka apabila beliau melihat percikan elekktrik di siling.

Beliau terus menjerit menyuruh isterinya, 86, yang kebetulan sedang menikmati makan tengah hari bersama cucu masing-masing berusia 9, 11 dan 13 di tingkat bawah keluar menyelamatkan diri.

Namun tidak banyak harta benda dapat diselamatkan memandangkan api marak begitu pantas memusnahkan rumah kayu yang didiami oleh 11 penghuni itu.
Malah kebakaran itu turut merebak ke rumah jiran di sebelah.

Dalam pada itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat yang menerima panggilan kecemasan pada jam 2.45 petang. Seramai 15 anggota bomba bersama dua enjin pemadam api dari Padungan dan Petra Jaya digegaskan ke tempat kejadian dan tiba di tempat kejadian pada jam 2.53 petang.

Api berjaya dikawal pada jam 3.08 petang.

Ketua Balai Bomba Petra Jaya Madu Anggut berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran tersebut.

“Api merebak begitu panta disebabkan angin kuat dan rumah yang dibina dari kayu,” katanya lagi sambil menambah pihak bomba masih menyiasat punca dan kerugian kebakaran. -sarawakupdate










1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Taubatlah.. Sukan seperti itu pun tidak menepati syariat Islam (Peraturan hidup untuk manusia daripada Allah Taala). Walau berat bahu memikul berbanding mata yang memamndang namun Allah Taala menentukan sesuatu itu bukan sia-sia atau untuk menzalimi.

Bersamalah mencari hikamah dan berserah diri kepada NYa. Semoga anda sekeluarga berlatih untuk sabar dan reda. Dunia dan seisinya adalah milik Allah Taala secara mutlak.