23 Jan 2011

Kes Bunuh - Tiga Remaja Mati Ditikam

Masjid Tanah: Tiga remaja lelaki mati dengan kesan tikaman di seluruh badan, dipercayai akibat senjata tajam, selepas diserang sekumpulan lelaki ketika menunggang motosikal, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam di Kampung Solok Binjai, Pengkalan Balak, di sini, Lan Ee Shen, 20, dan Chong Say Keong, 17, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di seluruh badan, manakala Tai Chi Yok, 18, mati dalam perjalanan ke Hospital Kem Terendak.

Ketiga-ketiga mangsa berasal dari Taman Paya Mengkuang, di sini.

Seorang saksi dikenali sebagai Hamzah Mohd, 46, berkata dia terdengar orang menjerit sebelum berlari ke luar pagar rumahnya untuk meninjau apa yang berlaku.

Dia mendakwa melihat seorang remaja cuba mengejar sebuah motosikal menuju ke arah Masjid Tanah tetapi gagal sebelum mangsa dilihat berpatah semula ke pintu pagarnya.

Katanya, dia tidak menyangka berlaku pembunuhan di depan rumahnya tetapi mengambil keputusan melihat lebih dekat kerana tidak sedap hati selepas melihat beberapa kenderaan berhenti di bahu jalan.

“Saya pergi ke pagar depan apabila melihat penduduk kampung keluar dan terkejut mendapati remaja lelaki tadi terbaring dalam keadaan menggelupur serta berlumuran darah di jalan.

“Pada masa itu, saya tidak sedar ada dua mayat remaja lain dalam longkang sebelum ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) tiba untuk membuat pemeriksaan lanjut sementara menunggu ketibaan polis,” katanya.

Sementara itu, seorang wanita berusia 40-an yang enggan dikenali berkata, dia yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kuala Sungai Baru dengan memandu kereta terserempak sekumpulan lelaki bergaduh ketika lalu di situ.

“Mulanya saya sangka berlaku kemalangan maut selepas nampak dua lelaki terbaring dalam longkang di bahu jalan dalam keadaan bertindih dan badan mereka berlumuran darah, tetapi peliknya tiada kesan kemalangan.

“Tiba-tiba muncul sekumpulan remaja dari arah semak di kanan jalan. Mereka mengejar seorang lelaki sambil mengangkat tangan seperti hendak menghayun sesuatu sebelum lelaki yang dikejar itu rebah di depan pagar rumah seorang penduduk,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye pada sidang media berkata, semua mangsa dipercayai dibunuh selepas terbabit dalam pergaduhan dengan sekumpulan remaja lelaki, di mana dua mati di tempat kejadian manakala seorang lagi mati dalam perjalanan ke Hospital Kem Terendak.

Menurutnya, sebelum itu polis menerima laporan orang awam kira-kira jam 10.45 malam memaklumkan berlaku kemalangan maut, tetapi anggota polis menemui dua mangsa dengan kesan tikaman dan kelar pada badan sebaik tiba di lokasi kejadian.

“Lan dan Chong dipercayai mati dalam keadaan bertindih di dalam longkang di bahu jalan menghala ke bulatan Pengkalan Balak, manakala seorang lagi mangsa dibawa bapanya menggunakan ambulans tetapi disahkan mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Kem Terendak.

“Siasatan awal polis mendapati berlaku pergaduhan antara semua mangsa dengan satu kumpulan lain, menyebabkan mereka melarikan diri sebelum dikejar dan dibunuh dengan senjata tajam.

“Pemeriksaan ke atas mangsa juga menemui beberapa kesan tikaman di seluruh badan, namun polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian sama ada ia membabitkan pergaduhan kumpulan, dendam atau gangsterisme,” katanya.

Chuah berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, dan orang ramai yang ada maklumat diminta menghubungi Asisten Superintendan Mohd Zulkifli Yusuf di talian 016-6308222 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah di talian 06-5564153.

Mayat semua mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat. -hm

Gambar ehsan Bernama






2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Ada maklumat hubungi Polis? Nak suruh bantu siasatan atau nak peras ugut saksi? Bukankah dalam berita Star KP dah bagi tau sorang pemuda 16 tahun (mungkin kambing bawah umur) telah ditangkap. Tak akan di bandar kecil pun CID tak tau siapa punya kerja.

MP Datuk Wira Abu Seman Yusof bagi tau kerja orang luar dan tiada kaitan gangster. Hairan macam mana dia tau? Mungkin dia bapok kot. Kalau nak melapor CID berpakat dengan gangster, lapor kepada KDN? Timbalan KDN pun mungkin suspek macam mana nak lapor?

Siapakah yang berani buat kerja begini kalau mereka tiada orang kuat dibelakang. Kalau gangster dan Along cakap besar, Polis dan orang politik kita cubit saja, memang kita kena percaya.

Tanpa Nama berkata...

menteri BN kata negara aman damai??????