1 Nov 2010

Pemandu Mohon Maaf Kepada Keluarga Mangsa. Bagaimana Sikap Anda?

Muthumani kendali kenderaan tanpa lesen sejak lima tahun lalu

KUALA LUMPUR: "Saya minta maaf kepada semua keluarga mangsa... saya kesal dan tak mahu memandu lagi," kata S Muthumani, pemandu bas pesiaran yang terbabit dalam kemalangan maut di Kilometer 38 Genting Sempah, Jumaat lalu.

Muthumani, 36, ketika ditemui di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, semalam, mengaku mengambil upah memandu bas tanpa lesen sejak lima tahun lalu dan sudah banyak kali membawa penumpang ke merata tempat termasuk beberapa kali ke Genting Highlands.

Katanya, dia terpaksa memandu bas walaupun mengetahui tindakannya itu salah di sisi undang-undang kerana perlu mencari wang bagi menyara tiga anak berusia 10, 11 dan 13 tahun, manakala isterinya pula seorang suri rumah.

Muthumani yang patah kaki kanan dan menerima 15 jahitan di kepala akibat kemalangan itu mendakwa, dia pernah memiliki lesen memandu bas pada 2001 sebelum dibatalkan selepas pemeriksaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati ia lesen terbang yang dikeluarkan sebuah sekolah memandu.

“Saya tidak tahu mengenai perkara itu (lesen terbang), selepas itu saya mahu mengambil lesen memandu sekali lagi, tetapi nama saya disenarai hitam dan saya juga tidak mempunyai wang untuk menjelaskan bayaran,” katanya sambil menitiskan air mata.

Dia ditemui ketika kunjungan Ketua UMNO Bahagian Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, yang menziarah lima mangsa kemalangan yang juga ahli Belia 4B Kampung Baru Siong, Baling, yang masih dirawat di HKL bersama pemandu bas berkenaan.

Dalam kemalangan jam 7 malam itu, bas dinaiki 44 ahli rombongan berkenaan dilaporkan hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik menyebabkan tujuh maut dan 21 lagi cedera.

Kelmarin, polis mengesahkan pemandu bas persiaran berkenaan tidak mempunyai lesen memandu dan kini ditahan untuk siasatan lanjut bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu memandu secara berbahaya yang boleh menyebabkan kematian.

Muthumani mendakwa, kemalangan itu berpunca akibat brek rosak secara tiba-tiba dan dia juga tidak dapat berbuat apa-apa kerana gear juga tidak berfungsi.

“Ketika menuruni Genting Highlands, brek secara tiba-tiba tidak berfungsi dan apabila tiba di selekoh ketiga yang tajam, saya terpaksa melanggar pembahagi jalan untuk mengelak bas jatuh ke gaung,”
katanya.

Muthumani mendakwa, ini kali kedua dia mengambil upah memandu dari syarikat bas yang terbabit dalam kemalangan itu kerana sebelum ini dia pernah membawa rombongan dari Baling ke Melaka dengan bayaran RM120 pada September lalu.

Dia juga mendakwa, syarikat bas terbabit meminta bantuannya membawa rombongan berkenaan ke Genting Highlands kerana kekurangan pemandu.

Katanya, dia juga belum tahu apa pekerjaan yang akan dilakukannya selepas ini untuk menyara isteri dan tiga anaknya. -BH



Salah Siapa?

Oleh Ustaz Zolkharnain Abidin

Diberitakan, Umar Ibn al-Khattab tidak menjatuhkan hukuman potong tangan ke atas pencuri ketika negara dilanda kelaparan. Pada ketika itu, kelaparan dikategorikan sebagai unsur keraguan yang melayakkan hukum hudud diketepikan.

Jumaat lalu, di Genting Sempah, tujuh nyawa terkorban kerana kemalangan yang melibatkan sebuah bas. Pemandunya patah kaki. Menurut media, dia memohon maaf kepada semua keluarga mangsa.
Baginya, kemalangan itu berlaku kerana kerosakan bas. Katanya juga, dia ada lesen memandu tetapi dikategorikan lesen terbang dan tidak dibenarkan memperbaharuinya.

Saya cuma terfikir begini, “Betulkah pemandu bas itu bersalah sepenuhnya dalam kejadian itu? Adakah wajar semua beban bencana itu dihempap ke atas kepalanya seorang?”

Jika saya berada di tempat keluarga mangsa, tentu saya mahu sesiapa sahaja yang menjadi penyebab kemalangan itu dihukum sewajarnya. Jika pemandu bas itu puncanya, dia wajar menerima balasan kerana kecuaiannya.

Katanya lagi, dia memandu bas kerana terpaksa, kerana menanggung tiga anak yang sedang bersekolah, isterinya tidak bekerja dan dia juga perlu membayar sewa rumah.

Adakah mustahil sesiapa jua pun yang berada dalam situasinya akan melakukan perkara yang sama seperti yang dilakukannya?

Dia tidak mencuri, merompak atau memecah masuk pajak gadai. Dia memandu bas. Dia punya lesen memandu tetapi dinafikan kesahannya. Bas yang dipandunya pula dalam keadaan yang kurang baik, wujud kerosakan yang menunggu masa untuk membaham mangsa.


Umar Ibn al-Khattab pernah melahirkan kebimbangan sekiranya ada anak kambing yang mati di tebing sungai Furat kerana kecuaiannya tidak menyediakan kemudahan yang sepatutnya.

Pemandu itu mungkin menerima hukuman kerana kecuaiannya menyebabkan tujuh nyawa terkorban. Namun pernahkah mereka yang berada di kerusi empuk berfikir, wajarkah hukuman itu dikenakan ke atasnya?

Cuba renungkan kenyataan ini:

* Dia tidak punya pekerjaan, dia melakukan pekerjaan itu kerana terpaksa, salah siapa?
* Lesen memandunya dinafikan kesahannya, salah siapa?
* Jika dia tidak bekerja, anak-anaknya tidak dapat bersekolah, salah siapa?
* Jika ditakdirkan dia memecah masuk pajak gadai, bukan memandu bas tanpa lesen, salah siapa?
* Jika dia tiada tempat tinggal kerana tidak mampu membayar sewa rumah, salah siapa?


Soalan terakhir, adakah semua menteri yang ada sedia mengaku bahawa mereka juga bersalah dalam kejadian menyayat hati ini? -bongkarsauh

3 ulasan:

wak parjoe berkata...

Muthumani bersalah mengikut undang-undang tetapi dari sudut kemanusiaan, kesalahannya perlu dikaji atau dipertimbangkan.

Tanpa Nama berkata...

ada tak mahathir dan UMNO minta maaf dari mangsa korban memali?

Tanpa Nama berkata...

Contoh yang boleh diteladani.
Ternyata dia ambil upah memandu. Siapa yang mengupah dia.. Mengapa tak disiasat.. Kenapa semua pihak menyalahkan pemandu, hanya setelah kemalangan terjadi.

Siapa pihak yang membenarkan dia memandu dalam keadaan begitu..?

Andai perjalanan berkenaan selamat sampai, adakah kesalahan pemandu dan perihal bas itu dipedulikan sebegitu rupa..??

Adakah kerana rombongan itu urusan pihak UMNO maka segalanya dipermudahkan lalu berlaku kemalangan maka dengan sesedap rasa sahaja menuding kepada pemandu.

Memang itulah kerja UMNO. Membiarkan seseorang berbuat dalam keadaan 'berkesalahan' supaya mudah dikambing hitamkan.

Rupanya amalan buruk UMNO itu bukan terhad hal-hal berpolitik sahaja, rupanya berakar umbi ke dalam aspek kehidupan jugak.

Ambillah peluang di Galas dan Batu Sapi untuk mengubah keadaan.

Terima kasih kepada pemandu yang walaupun menghadapi suasana kritikal masih mampu bertindak luhur dengan cuba mengelak daripada terjerumus ke gaun. Andai itu terjadi, pasti tiada satu 'suarapun' yang dapat kita dengar..

Yang selamat bersyukurlah dan berterima kasih juga terhadap tindakan pemandu tersebut.

Brek bas itu buka kuasa pemandu itu menentukan ia tahan. Kereta baru beli pun boleh menghadapi situasi berkenaan lalu berlaku kemalangan.

Carilah hikmah mengapa Allaah takdirkan peristiwa berkenaan berlaku.

Ampun maaf.
Wassalam.