13 Okt 2010

Menteri KDN Perlu Disiasat Kerana Enggan Menyiasat Dakwaan Musa Hassan

KDN tak cadang siasat dakwaan campur tangan dalam urusan PDRM

Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak bercadang untuk membuat siasatan ke atas dakwaan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bahawa terdapat campur tangan pihak ketiga dalam urusan polis.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kementerian juga tidak bercadang untuk mengambil tindakan ke atas dakwaan berkenaan.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Lim Guan Eng (DAP-Bagan) yang ingin tahu hasil siasatan dakwaan bekas Ketua Polis Negara itu, pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Pada 6 September lalu, Musa melahirkan kekecewaannya dengan tindakan sesetengah pihak yang mencampuri urusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika badan keselamatan negara itu mengawal ketenteraman awam dan menahan mereka yang menyalahi undang-undang.

Kementerian berkenaan kemudiannya menafikan dakwaan berkenaan. - Bernama

IMBASAN

IGP kecewa KDN campur tangan urusan polis
Sep 7, 10 9:00am

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan hari ini meluahkan kekecewaannya dengan tindakan sesetengah pihak yang mencampuri urusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika badan keselamatan negara itu mengawal ketenteraman awam dan menahan mereka yang menyalahi undang-undang.

"Tidak perlu campur tangan orang lain. Kita ada 'command and control' dengan arahan bermula dari saya hingga ke pegawai bawahan.

"Jadi, tidak perlu ada pihak ketiga untuk bagi arahan. Jika berlaku (arahan tanpa pengetahuan kita), ini salah satu tindakan yang salah dan menyalahi undang-undang," katanya pada sidang media sempena persaraan beliau yang berkuatkuasa 12 Sept ini di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pahit dan manis sepanjang 41 tahun bersama pasukan PDRM itu.

Katanya jika ada arahan dari pihak yang salah, masalah lapuk (campur tangan) ini akan terus menerus berlaku selain menegaskan antara pihak ketiga itu adalah orang dari kementerian, orang luar, orang yang ada kepentingan dan orang yang suka buat kacau.

Selain itu beliau turut kecewa ada sesetengah anggota dan pegawai PDRM yang tidak bersama-sama menanamkan sifat integrasi dalam diri mereka ketika anggota lain berbuat sedemikian.

"Bila saya cuba hendak tingkatkan integrasi, ada sebilangan yang cuba rosakkan seperti terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa serta merosakkan imej PDRM," katanya.

Musa, 59, yang bersara pada 2007, disambung perkhidmatan dengan kontraknya diperbaharui sebanyak dua kali dan akan bersara pada 12 Sept ini.

Ketika ditanya mengenai bagaimana perasaannya apabila diumumkan beliau tidak akan disambung kontrak tempoh hari, Musa berkata perkara terbabit tidak diketahuinya sehinggalah pengumuman dibuat.

"Tiada orang bagi tahu saya mengenai perkara itu. Saya tahu sendiri apabila ia diumumkan," katanya yang menyambut baik pengumuman itu selain berterima kasih kepada semua pihak yang membantunya sepanjang perkhidmatannya.

Ketika ditanya mengenai nasihatnya kepada orang awam, beliau berkata masyarakat perlu mempunyai 'first class mentality' dengan tidak bertindak sendiri dalam menyelesaikan sesuatu masalah sehingga melanggar undang-undang.

Menurutnya masyarakat juga perlu menghormati anggota polis yang bertugas sehingga ada yang mengorbankan nyawa mereka dalam menjaga keselamatan negara.

"Bila kes kematian penjenayah akibat tindakan polis, sesetengah masyarakat pandang serong.

"Bagaimana dengan kematian anggota polis ketika bertugas? Jangan layan kami seperti penjenayah kerana kami juga sebahagian dari masyarakat dan kami menjaga keselamatan kamu," katanya.

Dalam pada itu, Musa berharap agar penggantinya, Tan Sri Ismail Omar yang kini menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Polis Negara, dapat meneruskan pelan strategik lima tahun PDRM dalam meningkatkan mutu perkhidmatan kepada masyarakat dan anggota mereka sendiri.

"Pelan Strategi Lima Tahun PDRM tidak boleh dihentikan kerana ada pelan untuk penstrukturan semula polis untuk fokus pada tugas penting terutamanya membanteras jenayah.

"Sebab itu kita wujudkan jabatan baru seperti 'terrorism and research'. Ini adalah penting supaya kita boleh bertindak dengan cepat dalam sesuatu kes," katanya.

Menurut beliau ketika ini pelan terbabit baru mencapai tahap 48 peratus dan diharap pelan ini akan diteruskan yang antara lain meningkatkan kualiti penyiasatan, menambah anggota dan memperbanyakkan balai polis.

Ketika ditanya apa yang ingin dilakukannya selepas bersara, Musa berkata kini adalah masa yang paling sesuai baginya untuk berehat panjang memandangkan jarang mengambil cuti selain ingin menjadi rakyat yang baik.

"Ya, jika ada kesempatan saya ingin melawat rakan-rakan saya di mana-mana balai atau Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK).

"Selain itu mengajar cucu saya untuk menjadi rakyat yang lebih baik," katanya. - Bernama


Ulasan GB

Menteri berkenaan patut disiasat, mengapa beliau tidak mahu menyiasat dakwaan KDN telah campur tangan dalam urusan PDRM.

Mudah-mudah untuk beliau memberikan jawapan sedemikian di Parlimen.

Laporan SPRM perlu dilakukan tentang hal ini berdasarkan bukti kenyataan mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan tersebut.

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Humbankan sahaja UMNO/BN ke dalam tong sampah pada PRU ke-13 nanti.

Tanpa Nama berkata...

Campurtangan mungkin dari pihak ketiga iaitu Ah Long atau kongsi gelap....
habislah kita...

Tanpa Nama berkata...

mana boleh siasat. semua rakyat tahu UMNO suka campurtangan dalam siasatan?

Tanpa Nama berkata...

tumbangkan BN dan UMNO PRU13 dalang segalanya...