13 Okt 2010

Mayat Wanita Ditemui Tanpa Seurat Benang

Mayat seorang wanita ditemui dipercayai mati akibat lemas ditemui terdampar dalam keadaan bogel di tebing pantai berhampiran gelanggang squash dekat Tembeling Resort di sini, petang semalam.

Mayat wanita tanpa identiti berusia dalam lingkungan 40-an itu ditemui kira-kira jam 5.15 petang oleh sepasang suami isteri berusia dalam lingkungan 30-an yang datang ke kawasan itu untuk mencari cacing umpan memancing.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Zulkifli Taha berkata, identiti mangsa masih belum dikenalpasti dan pihaknya meminta sesiapa yang kehilangan anggota keluarga, menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan

Menurutnya, mayat mangsa berbadan agak gempal yang ditemui tanpa sebarang pengenalan diri itu kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat.

“Berdasarkan laporan bedah siasat yang dikeluarkan, mangsa disahkan mati akibat lemas dan tidak melibatkan sebarang unsur jenayah memandangkan tiada kesan kecederaan ditemui pada bahagian tubuh mayat itu.

“Hasil pemeriksaan juga mendapati mangsa tidak mengalami serangan seksual atau dirogol dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini semalam.

Zulkifli berkata, mangsa dipercayai mati dalam tempoh antara lima atau enam jam sebelum mayatnya ditemui terdampar di atas pasir pantai selepas air laut surut.

“Kita juga tidak menemui sebarang pakaian atau barang-barang milik mangsa di kawasan terbabit. Ada kemungkinan mangsa lemas di tempat lain sebelum mayatnya terdampar di situ akibat di bawah arus,” katanya.

Beliau berkata, usaha mengenal pasti identiti mayat wanita itu masih dijalankan termasuk membuat semakan cap jari.

“Kita juga tidak menerima sebarang laporan berhubung kes orang hilang sehingga hari ini (semalam),” katanya. -SH

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kepada sesiapa yang memegang amanah dan berkuasa,
Ingatlah ratapan dan munajat Khalifah Umar pada malam hari sebelum tidur, smemohon agar Allah Taala tidak menyalahkannya andai diwaktu pagi nanti terdapat seekor kambing yang mati di tebing sungai furat.
Begitulah teliti dan ambil berat beliau terhadap negaranya. Tanggungjawabnya disandarkan kepada Allah s.w.t. Bukan kepada boss atau tuan-tuan politik masing-masing.
Jika kenyataan ini kurang tepat atau salah, sila betulkan.
W.Salam