15 Mei 2010

BN Rasa Cukup Kuat, Rancang Gugurkan MP Pakatan Rakyat Gunakan Polis Dan Mahkamah

Anggota Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan menghadapi risiko hilang kelayakan sebagai wakil rakyat apabila beliau hari ini didenda RM3,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Pulau Pinang.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua menyifatkan tindakan tersebut menunjukkan ada konspirasi dan ugutan kepada ahli parlimen Pakatan Rakyat.

"Saya rasa apa yang terjadi pada saya dan Gobalakrishnan adalah tindakan terdesak Umno-Barisan Nasional dan ini bukannya satu kebetulan.


"Tetapi kita yakin dapat mempertahankan kedudukan ahli parlimen Pakatan walaupun diserang dengan pelbagai tuduhan dan dakwaan di mahkamah.

"Kita akan pastikan kerusi milik Pakatan akan bertahan sehingga pilihan raya umum ke-13 nanti," kata Tian Chua yang juga Pengarah Strategik KEADILAN.

Gobalakrishnan didapati bersalah mengikut Seksyen 186, Kanun Keseksaan terhadap pertuduhan menghalang anggota polis sebagai penjawat awam menjalankan tugas pada tahun 2002.

Gobalakrishnan yang diwakili Peguam RSN Rayer, membayar denda itu dan telah memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Manakala Tian Chua pula sedang menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung hukuman bersalah mencederakan konstabel Mohd Rosyaidi Anuar, 22, ketika anggota polis itu sedang menjalankan tugasnya dalam satu perhimpunan di parlimen, 11 Disember 2007.

Beliau dijatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM3,000 setelah disabitkan atas kesalahan tersebut.

Rayuan Tian Chua pula akan didengar pada 17 Jun ini.

Berdasarkan Perkara 48, Perlembagaan Malaysia, seseorang anggota Parlimen akan hilang kelayakannya apabila telah disabitkan atas suatu kesalahan oleh sesuatu mahkamah di Persekutuan dan dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000. -SK

1 ulasan:

pak malau berkata...

Tak ada sebarang konspirasi.Yang terang dan nyata,memang BN menggunakan polis dan mahkamah untuk mempertahankan kuasa.As simple as that.