3 Jan 2010

TGNA : Tidak Salah Bukan Islam Guna Kalimah Allah

Penggunaan kalimah “Allah” pada penerbitan Herald mengikut hukum pengamal agama Samawi tidak menjadi satu kesalahan, kata Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat., Malaysian Insider melaporkan.

Cuma beliau bimbang perkataan “Allah” kemungkinan boleh disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu.

“Tinggal lagi… takut disalahgunakan. Itu yang menjadi kebimbangan,” kata beliau mengulas keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan perkataan “Allah” oleh Herald, Khamis lepas.

Hakim Datuk Lau Bee Lan dalam keputusan lisannya menegaskan bahawa Herald mempunyai hak berperlembagaan untuk menggunakan perkataan itu.

Keputusan itu mencetuskan polemik sejak Khamis lalu dengan ada yang mengadakan protes dan membantahnya.

Malah ada juga pihak yang menyifatkannya sebagai amalan biasa penganut Kristian menggunakan kalimah “Allah”.

Ketika ditemui pada majlis perasmian pejabat Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Kerajaan Negeri Kelantan dekat sini hari ini, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan menyarankan agar pihak berwajib seperti badan persatuan ulama menganjurkan dialog bersama pemimpin agama Kristian bagi berunding berhubung isu berkaitan.

“Supaya ia tidak mendatangkan kekeliruan pada masyarakat.

“Bahkan fahaman falsafah Islam itu sendiri dapat diperluaskan melalui majlis-majlis seumpama itu,” katanya.

Menjawab soalan kesediaannya untuk hadir jika majlis seumpama itu dianjurkan, Pesuruhjaya PAS Kelantan itu berkata, “saya akan hadir dan sanggup membuat pendedahan mengenainya jika diizinkan.”

Sementara itu, Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan Datuk Mohammad Daud Iraqi semasa dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai isu berkenaan.

Sebaliknya seolah-olah beliau menyifatkan kelemahan pihak kerajaan tidak melakukan pemantauan awal berhubung masalah tersebut.

“Isu ni bukan baru, lama dah… sepatutnya kerajaan sejak dari awal lagi boleh mentelaah undang-undang itu secara lebih spesifik,” ujarnya.

Sehubungan itu mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohammad berkata majlis muzakarah fatwa kebangsaan sudah pun membincangkan perkara itu dari sudut akademik sebelum ini.

“Muzakarah itu membincang kalimah ‘Allah’ spesifik untuk kegunaan orang Islam di Malaysia, tetapi tidak melihat dalam konteks negara lain,” katanya.

Bagaimanapun Shukri enggan mengulas lanjut perkara itu memandangkan ia telah menjadi prosiding mahkamah.

“Kita tunggu apa keputusannya kelak. Sebab ia bukan berkahir dengan keputusan itu.

“Difahamkan kerajaan akan membuat rayuan terhadap keputusan itu.

“Prosiding mahkamah penjelasannya ialah melalui mahkamah,” ujarnya.

SEMENTARA ITU, Dr. Muhd Nur Manuty, Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA) Parti KeADILan Rakyat telah mengeluarkan kenyataan berikut:

"Merujuk kepada rentetan pelbagai kontroversi berterusan yang masih wujud berhubung penggunaan kalimah 'Allah' oleh pelbagai agama selain dari agama Islam di negara kita Malaysia sekarang ini, maka BIPPA PKR sukacita menjelaskan pendirian kami mengenai hal ini.

Kami berpendirian bahawa, keinginan rakyat bukan Islam menggunakan kalimah “Allah” sebagai Tuhan adalah suatu perkembangan yang sangat positif dan perlu diterima secara terbuka dan berlapang dada. Umat Islam di Malaysia tidak perlu menjadi gelisah dan “over react” dengan pelbagai andaian dan kemungkinan dengan fenomena yang dikata baharu ini. Sesungguhnya, kami melihat bahawa fenomena ini adalah manifestasi dari fitrah insani sejak dari azali lagi bahawa kesemua manusia memperakui keesaan dan penciptaan dunia oleh Allah SWT sebagaimana firmanNya yang bermaksud:

"Dan jika kamu tanya mereka (orang kafir) siapakah yang mencipta langit dan bumi? Mereka akan berkata Allah..." (Al Quran, Az-Zumar (39):38).

Adalah jelas bahwa penggunaan kalimah Allah oleh penganut bukan Islam telah berlaku sejak dari dahulu lagi, khususnya bagi para penganut agama samawi. Sebahagian dari kitab suci mereka memang menggunakan kalimah Allah (terutama di Timur Tengah). Di dalam kehidupan harian mereka hari ini, penggunaan Bismillah, Alhamdulillah, Masya Allah, Astaghfirullah, Wallahi dan sebagainya bukanlah suatu yang pelik dan janggal. Di Indonesia, penggunaan kalimah Allah di gereja-gereja memang telah lama menjadi kebiasaan. Begitu juga bagi bagi penganut agama Kristian di Sabah dan Sarawak.

Adalah jelas bahawa menggunakan kalimah Allah untuk mengiktiraf dan membesarkan Allah sebagai Tuhan, adalah hak asasi setiap insan. Hak ini perlu dihormati dan tidak boleh dihalang. Bukankah Allah itu Tuhan untuk semua - Rabbul `aalamiin atau Lord of the Universe?

Maka itu, kami melihat fenomena ini adalah bertepatan dan serasi dengan wadah dan perjuangan KeADILan selama ini. Malahan, perjuangan untuk menegak yang makruf dan mencegah kemungkaran akan menjadi lebih mudah dan selesa sepertimana firman Allah:
"Katakan wahai Ahli Kitab, mari tegakkan kalimah yang sama antara kami dan kamu iaitu bahawa kita tidak akan menyembah selain Allah dan tidak mensyirikkan (associate) Allah dengan satu apapun serta janganlah ada antara kita yang mengambil tuhan-tuhan selain Allah. Dan jika mereka berpaling maka katakanlah bahawasanya kami adalah orang Islam (menyerah diri pada Allah)" (Surah Ali `Imran(3):64).


14 ulasan:

Siswa berkata...

“Tinggal lagi… takut disalahgunakan. Itu yang menjadi kebimbangan,”

Mohon penjelasan. Bukankah mencegah itu lebih baik dari mengubati?

Saya bukan anti isu ni. Mahupun pro isu ini. Saya sendiri masih mencari jawapan.

Apa2 pun, setakat ini, dalam konsep Malaysia, mmg kurang sesuai utk dilaksanakan. Lihatlah sendiri apa yang terjadi kpd umat islam dari negara seberang. Fikirkanlah.


Terima kasih.

malikss berkata...

"Mencegah lebih baik mengubati" - itu kata-kata hikmat tetapi bukan dalil.

kebenarannya ialah : kalimat Allah itu tidak salah. Cuma kena ada penguatkuasaan supaya ianya tidak disalahgunakan seperti menamakan berhala dengan Allah dsbnya.

Siswa berkata...

@maliks

Terima kasih atas penerangan tersebut.

Saya harap ada mekanisme yang konstruktif dan praktikal untuk dilaksanakan.

Kerana apa yang jadi isu major sekarang ini ialah dari aspek MENGELAK dari berlakunya penafsiran yang salah.

Jika ada caranya, harap diperbincangan oleh mereka yang ada ilmunya.

Itu harapan saya.

Makkal Sakhti berkata...

Agak lama juga saya tidak bersuara dalam blog ini. Maklumlah sibuk dengan tugasan harian dsb. (alasan..hehehe). Sejak kebelakangan ini nampaknya isu penggunaan nama Allah oleh penganut bukan Islam seperti Kristian dsb telah menjadi satu isu besar dan cuba diperbesar-besarkan oleh UMNO dan golongan yang cuba mengambil kesempatan dalam suasana rakyat ketika ini dihimpit oleh pelbagai masalah kehidupan seharian disamping isu-isu nasional yg membebani UMNO/BN. Dengan hadirnya isu ini sekurang-kurangnya rakyat diharap tidak lagi memikirkan tentang kenaikan harga barangan keperluan harian, juga diharap dapat melupakan isu-isu nasional seperti kehilangan enjin jet pejuang, pembunuhan Beng Hock dsb. Bukankah Melayu mudah lupa?

Saya tidak nak mengulas panjang-panjang. Isu ini sangat mudah. Bukannya susah pun. Saya bukannya ustaz, tapi saya mengaji dari ustaz-ustaz yang saya yakin dengan ke'alimannya.

Pertama; Tiada nas yg melarang penggunaan nama Allah dalam mana-mana kitab muktabar.
Kalau ada sila kemukakan.

Kedua; Memang sejak lama dahulu org2 bukan Islam mengakui kewujudan Allah dan ini disebut dlm firman Allah yang bermaksud, Jika sekiranya ditanya kepada mereka siapakah yang menjadikan bumi dan alam semesta ini, nescaya mereka semua menjawab Allah!. Jika alasan mereka tak pernah menggunakan nama Allah di Malaysia dijadikan hujjah, bukan bermakna mereka tidak pernah menggunakannya di lain-lain negara. Dalam kitab-kitab Injil pun ada menyebut nama Allah. Orang Hindu pun ada kata itu kerja Tuhan Alla...

Ketiga; Jika alasan mengatakan Allah yang difahami oleh orang Kristian tidak sama dengan Allah yg orang Islam fahami, maka itu sudah kita maklumi kerana mereka mempercayai Allah dari segi Allah menciptakan bumi, langit dan alam seisinya tetapi mereka mensyirikan Allah(menduakan/menyegutukan Allah) dengan mengambil tuhan-tuhan yang lain untuk disembah.

Sepatutnya pemimpin PAS menjawab isu ini dengan hujjah yg simple dan meyakinkan. Saya bimbang jika nanti kita sendiri yg menyempitkan agama Islam ini. Mungkin nanti penggunaan perkataan "syurga dan neraka" pun tidak dibolehkan dengan alasan itu adalah perkataan Islam dan dibimbangi akan terseleweng aqidah ummat Islam jika dibenarkan penggunaannya oleh penganut bukan Islam. Padahal kita semua tahu syurga dan neraka yg difahami oleh bukan Islam dan penganut Islam adalah jauh sama sekali berbeza sepertimana nama Allah yg difahami oleh bukan Islam dan penganut Islam sudah tentu berbeza sama sekali dari segi aqidahnya. Walaupun berbeza tetapi tidaklah dilarang pengunaan tersebut kerana masing-masing penganut mempercayai kalimah tersebut mengikut kefahaman agama masing-masing.

Sepatutnya pemimpin PAS menghalakan peluru kepada UMNO dalam isu ini kerana;
Pertama; Pemimpin UMNO sendiri mempercayai Allah s.w.t. yang menjadikan alam ini tetapi pemimpin UMNO sendiri tidak mahu untuk menjalankan undang-undang Islam malah menentangnya pula! Rasanya tidak perlu saya mengemukakan bukti-bukti UMNO menentang Islam kerana ianya sudah menjadi perkara yg telah diketahui umum.

lanjutan ulasan di blog saya.. dipersilakan! http://makkalsakhti.blogspot.com/2010/01/isu-guna-nama-allah.html

asemalpg berkata...

Pada suatu hari ketika besiar-siar di kota perut pula terasa lapar, selepas mencari-cari kedai untuk makan tengah hari saya telah terlihat sebuah restoran tak jauh dari tempat saya berdiri. Didalam restoran tersebut dindingnya dihiasi dengan kalimah ALLAH dan saya yakin telah menemui restoran orang islam yang menyediakan makanan yang halal. Selepas membeli selesai menjamu selera saya pergi ke kaunter untuk membayar harga makanan. Di kaunter tersebut saya mendapati pekerjanya memakai salib kristian. Apabila ditanya restoran tersebut menyediakan makanan halal atau tidak, jawabnya tidak. Kemudian saya bertanya kenapa dalam restoran dia terdapat banyak kalimah ALLAH, dia berkata itu kan ker nama tuhan dia. Rupa-rupanya saya tertipu, telah termakan makanan haram.
Mugkinkah perkara seperti ini akan berlaku??? fikir-fikirkan lah.

malikss berkata...

asemal,
itu kesalahan anda yang tidak berilmu.

kiasannya, adakah anda menyangka semua berpurdah atau bersongkok itu Islam? jgn lupa ramai wanita yahudi juga berpurdah dan ramai juga bukan Islam bersongkok.

adakah anda menyangka semua restoran jika tiada kalimah Allah tidak Islam dan jika ada kalimah Allah itu Islam?

Kebodohan sendiri jgn dijadikan ia alasan untuk mengharamkan apa yang dihalalkan Allah dan menghalalkan apa yang diharamkan Allah.

sapien berkata...

Sikap kerajaan sendiri yang terlalu sekular dalam pemerintahan membawa kepada permintaan kesaksamaan berlandaskan perlembagaan . Bab murtad yang lebih besar kesannya tidak diambil berat. Kini penggunaan nama ALLAH oleh penganut agama lain yang tidak dilarang ataupun diharamkan oleh Islam dipandang berat. Kemanakah hukum dan syariat dibuang. Kini mahu pula menjadi juara dalam mempertahankan Nama ALLAH. Muslihat yang besar sedang berjalan.

Tanpa Nama berkata...

Tu dia! Isu ini merupakan penyubur benih 1 MALAYSIA!

Tanpa Nama berkata...

malikss... saya rasa kalau anda ke negara Arab, nescaya anda pasti akan terkeliru dengan restoran di sana. Semuanya bercakap dalam bahasa Arab. Semuanya berserban besar, siap berjubah lagi. Agak-agak anda, bolehkah anda tahu mana satu restoran Islam dan yg mana satu tidak kerana pada zahirnya semuanya nampak sama iaitu seperti restoran Islam! Org Arab bukan semuanya pengikut Rasul, bahkan ada juga yg menentangnya. Bak kata pepatah ; hanya jauhari mengenal manikam, hanya yg betul-betul faham dapat membezakan mana satu PAS dan mana satu UMNO. :))

Tanpa Nama berkata...

saya melihat kedua dua belah pihak mempunyai hujah yang baik dan rasional di sisi islam. khilaf ini ada khilaf yang mamduh (terpuji). cuma yang mazmumnya (kejinya), kita bergaduh sesama sendiri kerana mempertahankan pendapat masing masing.

Bak kata Ust Daud Iraqi, isu ni dah lama. pemimpin PAS kena membuat pendirian yang PERTENGAHAN. Yang menguntungkan parti dan perjuangan islam. biar persepsi kita baik di pandangan mata orang islam dan bukan islam.

bagi saya, KEPUTUSAN SYURA ADALAH YANG PALING DEKAT KEPADA AL-QURAN DAN AS-SUNNAH.

WALLAHU'ALAM.

Tanpa Nama berkata...

Pada pendapat saya, dalam konteks Malaysia, perkara semacam ini perlu difikirkan sedalam-dalamnya. Bukan semudah itu hendak mengambil pendirian kerana penggunaan perkataan ini ada pro dan kontranya.

Saya agak tertarik dengan pndangan saudara "asemal" di atas. Pandangan ini mungkin agak kontra dengan keterbukaan ramai lagi pembaca di sini. Tapi perlu diingatkan bahawa pada masa sekarang, umat Islam di Malaysia memang sangat2 bergantung kepada tanda halal dan kalimah Allah-Muhammad untuk menilai sama ada sesebuah premis makanan itu halal atau tidak.

Baru2 ini saya berkunjung ke sebuah pusat membeli belah di Kuala Lumpur dan pergi ke Food Court untuk makan. Saya mendapati semua restoran di food court itu mempunyai logo halal tetapi rata-ratanya dikendalikan oleh orang2 bukan Islam. Kelihatan ramai orang Islam sedang menikmati makanan di situ tanpa rasa ragu. Logo halal juga tidak seragam antara satu restoran dengan restoran yang lain.

Sebelum tu, saya juga pernah terbaca dalam sebuah akhbar harian tentang restoran india muslim yang menggantung kalimah Allah-Muhammad. Bila diserbu oleh penguatkuasa dan disoal siasat, rupanya yang membuat makanan dan sebagainya bukan beragama Islam. Jika kita pantau, seolah-olah sudah menjadi budaya masyarakat Malaysia untuk melepak di restoran seperti ini tanpa usul periksa terlebih dahulu.

Perkara-perkara semacam ini perlu kita ambil kira dan fikirkan bersama. Bukan untuk bertengkar dan bertikam lidah, tapi untuk meneliti realiti kita di Malaysia. Tidak semua orang Islam di Malaysia mempunyai ilmu yang asas dan tidak semua orang di Malaysia mempunyai pemikiran yang matang. Makanan yang tidak halal akan menggelapkan hati.

Kita sebagai ummat Islam perlu sama2 bersedia kerana perkara2 semacam ini selalu hadir dalam masyarakat kita tanpa disedari. Hentikan bertengkar dan siapkan diri kita supaya generasi akan datang tidak dengan sewenang-wenangnya makan di restoran yang diragui status halalnya. Saya mungkin agak menyimpang kerana bercakap tentang hal makanan, tapi saya fikir perkara ni relevan untuk kita semua. Moga Allah s.w.t. lindungi iman kita, insyaAllah.

Tanpa Nama berkata...

tak smua pndpt tuan2 salah. tak smua btul. pelan2...

Tanpa Nama berkata...

Katakanlah, Dialah Allah, tuhan yang maha Esa.
Kepada Allahlah tempat bergantung segala sesuatu.
Dia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan.
Dan tidak ada sesuatupun yang setara/setanding dengan Dia.

-terjemahan surah al-ikhlas.

ayat diatas menunjukkan keesaan Allah yang satu.
Oleh itu, tidak perlu dipersoalkan lagi kerana Allah adalah berbeza dari tuhan-tuhan agama lain. Allah adalah satu dan tidak sesekali menyamai tuhan-tuhan mereka semua.

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum,
Betul kata Tok Guru Nik Aziz dan kata Tok Guru Haji Abd Hadi, isu ini bukan baru timbul sekarang bahkan semenjak zaman berzaman lagi. Bukan ke kita ini umat Islam harus berpegang kepada Al-Quran? Al-Quran ada menyatakan bahawa Allah ada befirman yang kesimpulannya seperti berikut:
Apabila ditanya kepada orang2 kafir, siapakah pencipta langit dan bumi, nescaya mereka akan menjawab, ALLAH!...Apabila ditanya siapa pencipta manusia,nescaya mereka akan menjawab, ALLA...

Semua itu jelas. Sudah terjawab di dalam Al-Quran... Selain dari itu isu sama juga berbangkit ketika mana umat Islam berqiblatkan Masjidil Aqsa...apa kata yahudi pada kita? Lalu Allah memerintahkan Muhamad supaya mengalihkan pandangan ke arah Ka'abah..

Jadi moralnya. tak payahlah sampai nak bakar masjid atau gereja di dalam isu ini. Penggunaan nama ALLAH adalah hak bersama agama Thamawi..cuma berbeza cara pengertian sahaja.. Yang pentingnya kenapa nama ALLAH kita pertahankan sedangkan apa yang ALLAH perintahkan kita tak laksanakan? Umpama seorang anak yang derhaka kepada bapanya cuba mempertahankan nama bapanya? Tak macam orang gila ker orang2 yang seperti itu? Cuba renung2kan...