Penasihat Pilihan Raya Pas Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, pihaknya membuka ruang seluas-luasnya kepada UMNO untuk menyerang peribadi pemimpin itu yang membuat pelbagai kenyataan keras mengecam UMNO.
Beliau secara terbuka mengakui ia merupakan strategi parti tersebut kerana penduduk di Kelantan khususnya Manek Urai menganggap Nik Abdul Aziz sebagai ikon dan apa yang dikatakan terhadapnya akan memberikan kesan sebaliknya.
Katanya, penghormatan masyarakat terhadap Menteri Besar Kelantan itu begitu tinggi sehingga ke tahap ada yang percaya bahawa menatap potret pemimpin itu sudah dapat pahala.
Beliau berkata, Nik Abdul Aziz akan terus melakukan serangan secara total terhadap UMNO malah ungkapannya sebelum ini yang menyamakan parti itu dengan komunis serta ajaran sesat 'Ayah Pin' akan terus diulanginya dalam siri ceramah akan datang.
"Strategi ini akan memberikan kelebihan kepada kita, sebagai contoh, Tok Guru telah menjadi ikon kepada masyarakat Malaysia termasuk orang Cina.
"Di Manek Urai, saya dengar seorang imam mukim kata dia tengok muka Nik Abdul Aziz dapat pahala, boleh jadi betul atau tidak kata dia, tetapi itu gambaran bagaimana penghormatan terhadap Tok Guru.
"Siapa yang serang akan kena balik pada diri sendiri, lagi kuat serangan itu, lagi ramai orang simpati terhadap Nik Abdul Aziz dan Pas," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam siri ceramah Pas baru-baru ini di Laloh dan Manek Urai di sini, Nik Abdul Aziz menyamakan UMNO dengan komunis serta ajaran sesat 'Ayah Pin' kerana mendakwa parti itu menolak Islam.
Ekoran itu, Pemuda UMNO Kelantan membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Kelantan itu kerana menghasut dan membuat fitnah terhadap parti tersebut.
Wan Abdul Rahim yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, serangan seumpama itu juga akan mendorong calon dan parti itu untuk berkempen dengan lebih baik bagi menghadapi pilihan raya kecil tersebut.
"Kita harap UMNO akan membawa lebih ramai penceramah untuk serang Tok Guru dan memang kita sengaja buat lorong ini supaya calon dapat bekerja dengan baik manakala Tok Guru selesaikan dengan 'puak-puak' ini.
"Memang strategi ini banyak jasa sebab itu ucapan Tok Guru di Laloh dan Manek Urai Lama pada 21 dan 26 Jun lepas dibuat serangan secara total supaya mempelawa UMNO untuk menyerang balas," katanya.
Menurut beliau, Menteri Besar Kelantan juga mempunyai kebolehan untuk mengendalikan serangan terhadapnya kerana pengalamannya yang luas dalam dunia politik tanah air.
Tambahnya, parti itu akan lebih selesa untuk menghadapi pilihan raya kecil itu sekiranya serangan terhadap Nik Abdul Aziz semakin kuat.
"Beliau hidup dalam politik selama 42 tahun, bermula dari 1967, lima penggal sebagai Ahli Parlimen dan enam penggal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri.
"Tok Guru mempunyai kemampuan untuk kuasai politik dan memang cukup teruji, oleh kerana itu kalau lawan tidak berhati-hati akan terperangkap dengan mainan sendiri," katanya.
1 ulasan:
Tuan/Puan,
Jabatan Meteorologi Malaysia telah melancar laman web portal baru jabatan pada 29 Jun 2009 dengan menggunakan alamat yang sama iaitu www.met.gov.my . Mohon pihak tuan membuka laman web portal berkenaan untuk mengetahui samada ianya boleh diakses oleh pihak tuan tanpa masalah.
Sila berikan maklumat berkenaan kebolehan akses ini kepada saya wdmokhtar@yahoo.com.sg untuk tujuan pemantauan dan mencari penyelesaian jika ada masalah.
Sekian, terima kasih.
Catat Ulasan