12 Feb 2010

Datuk Zahrain Keluar PKR Kerana Elak Dari Dikenakan Tindakan Disiplin Parti

Berhadapan dengan tindakan displin dari Parti Keadilan Rakyat, Ahli parlimen Bayang Baru, Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim mengambil keputusan keluar dari PKR terlebih dahulu.

Zahrain menggunakan alasan beliau keluar tidak berpuas hati dengan Setiausaha Agong DAP Lim Guan eng sebagai punca utama beliau bertindak demikian.

“Mutakhir ini cara politik sempit yang dibawa YAB Lim Guan Eng jelas membuktikan sikap cauvinis, ekstrimis, diktatorial dan berfikiran ala komunis” kata Zahrain pada sidang media ringkas pagi tadi.

Zahrain sebelum ini diminta mempertahankan tuduhannya terhadap Guan Eng itu di depan Lembaga Displin PKR.

Beliau dirujuk kepada lembaga itu kerana dilihat mencabuli prinsip Pakatan Rakyat untuk menyelesaikan sebarang perbedaan pendapat melalui saluran dalaman gagasan itu.

Namun Zahrain tidak bertindak begitu dan apabila dipanggil oleh PKR untuk menjelaskan kritikannya terhadap Guan Eng, beliau bertindak keluar parti dan mengisytiharkankan dirinya ahli parlimen bebas.

"Sebagai presiden tentulah saya kecewa dengan keputusan beliau. Tidak pernah dibangkitkan di dalalm parti atau kepada saya saya isu dasar selain daripada pertelingkahan peribadi dengan ketua menteri, YB Lim Guan Eng dan itu pun kita dengan tetapi untuk menghukum ketua menteri dengan kata-kata yang kesat kita tidak dapat terima. Jadi beliau ditegur atas dasar-dasar itu" ujar Ketua Umum PKR apabila diminta mengulas berhubung perletakan jawatan Zahrain.

Anwar berkata semua pihak dalam pakatan rakyat harus mengutamakan permuafakatan dalam gagasan itu dan tidak ghairah melontar tuduhan secara melulu.

"Saya telah mengelak daripada membuat kenyataan, selain menyatakan tidak setuju dengan serangan keras dia terhadap YB Lim Guan Eng kerana proses dan prosedur kita harus bincang dengan baik. Di Selangor Tan Sri Khalid jadi ketua, di Pulau Pinang YB Lim Guan Eng jadi ketua. Patut kita hormat prinsip itu dan saya tidak ada bukti hendak mempertahankan hujah dia itu pro-komunis ataupun cauvinis ataupun diktator kerana rundingan dengan saya, dengan pemimpin Pakatan Rakyat diteruskan" tambah Anwar lagi.

Anwar berkata dakwaan kononya Guan Eng tidak boleh ditegur adalah fitnah yang disebarkan oleh Umno untuk meracuni pemikiran pengundi Melayu semata-mata.

Zahrain adalah bekas ahli Umno dan sering dipalit dengan tuduhan sengaja menimbulkan provokasi di Pulau Pinang untuk memberi kelebihan kepada Umno-Barisan nasional di negeri itu.

"Apa yang 'untouchable'? Ini hanya persepsi yang dibawa oleh UMNO untuk menunjukkan bahawa Cina dalam MCA Gerakan itu semuanya baik, Cina DAP ini semua pelampau dan tidak boleh dikira. Pandangan saya berbeza, Cina dalam DAP kita bekerjasama dari segi soal dasar, ketelusan, tidak rasuah. Itu jelas" kata Anwar.

"Saya tidak boleh pertikai kewibawaan YB Guan Eng dari sudut menjalankan pentadbiran yang bersih dan cekap dan semua program-program untuk kepentingan Melayu, majlis agama, kontrak orang bumiputra, masalah perumahan rakyat miskin. Itu dibahaskan ada sebahagian termasuk 'microcredit'yang telah dimulakan. Yang lain kita bincang. 50 tahun UMNO jaga dengan Gerakan tak jadi isu, dua tahun kita diserang setengah mati oleh media UMNO" ulas Anwar lagi.

Sementara itu di dalam perkembangan berkaitan, Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan keputusan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Zahrain Mohd Hashim keluar parti, disebabkan takut berdepan lembaga disiplin.

"Beliau takut didapati bersalah. Surat telah dikemukakan pada 8 Februari lalu untuk meminta beliau memberi maklum balas hari ini," kata Ketua Penerangan PKR, Latheefa Koyahnya dalam kenyataan media.

Beliau berkata, PKR tidak terkejut dengan tindakan Zahrain, sebaliknya ia dilihat sebagai sebahagian proses memperkemas parti untuk berada di tahap terbaik.

Latifah berkata, mana-mana individu yang tidak percaya dengan perjuangan PKR untuk keadilan rakyat dan ekonomi, tidak dialu-alukan dalam parti.

"Proses ini memang sukar. Bagaimanapun ia akan memberi kebaikan untuk jangka panjang bagi membawa perubahan di Malaysia.

"Apabila parti berdepan cabaran, Barisan Nasional melihatnya sebagai cara terbaik untuk menghalang dengan menggunakan kuasa yang ada," katanya.

Latheefa berkata, mana-mana ahli yang tidak kuat pendirian dan goyah dengan cabaran dan akhirnya meninggalkan parti sekali gus mengkhianati rakyat yang memilih mereka.

"Bagaimanapun PKR tetap berazam untuk meneruskan kepercayaan dan mandat yang diberikan rakyat," katanya. -TVS


Anggota Parlimen Bayan Baru Umum Keluar Parti

PETALING JAYA, 12 Feb (Bernama) -- Anggota Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim pada Jumaat mengumumkan keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkuatkuasa serta merta.

Zahrain berkata keputusan itu adalah kerana beliau kecewa dengan kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, serta kesal dengan perjuangan PKR dalam Pakatan Rakyat.

Dengan langkah itu, bekas pengerusi PKR Pulau Pinang itu mengumumkan bahawa beliau adalah wakil bebas yang tidak menyokong mana-mana parti politik.

"Niat untuk masuk parti-parti lain tidak ada, saya akan keluar dan menjadi sebagai seorang Independent (Bebas). Saya adalah orang yang bebas," katanya semasa kelihatan tenang pada sidang media di sebuah hotel di sini.

Ketegangan dalam kepimpinan pakatan PKR-PAS-DAP tercetus apabila baru-baru ini Zahrain menuduh Lim, yang juga setiausaha agung DAP, sebagai seorang diktator dan cauvinis serta berfikiran ala komunis.

"Tindakan kerajaan pimpinan Lim membelakangkan prinsip keadilan, hak asasi kemanusiaan dan keadilan semula jadi.

"Amalan Lim dan konco-konconya bukan sahaja bersikap angkuh dan tidak boleh menerima teguran dan kritikan malahan mereka menyalahgunakan kuasa dan kedudukan mereka untuk kepentingan politik sempit dan jahat mereka," katanya.

Zahrain berkata tindakan keluar parti dilakukan kerana beliau tidak mahu dihukum sejarah dan generasi akan datang kerana tidak berbuat apa-apa dalam mencegah kemungkaran serta menjadi sebahagian daripada kumpulan yang merosakkan bangsa, agama dan negara.

"Saya telah melakukan apa yang terdaya dalam kemampuan saya untuk mencegah kemungkaran besar yang berlaku di peringkat kepimpinan PKR, namun semua bantahan dan teguran saya diremehkan.

"Sebaliknya, mereka bertindak menyingkir dan meminggirkan saya dengan tujuan untuk menghapuskan suara teguran dan kritikan dalam PKR tanpa menghormati hak asasi kemanusiaan, hak membela diri dan prinsip keadilan yang mereka laungkan selama ini," katanya.

Zahrain sebelum ini dilaporkan akan dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin parti kerana tindakannya mengkritik kepimpinan Lim.

Selain Zahrain, beberapa pemimpin PKR lain seperti Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Noordin, Datuk Zaid Ibrahim dan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng, juga dilaporkan sebelum ini akan dihadapkan ke jawatankuasa itu.

Ditanya sama ada beliau mempunyai masalah dengan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Zahrain berkata beliau masih menganggap Anwar sebagai kawan cuma beliau kecewa kerana kepercayaan dan keyakinannya dalam memjuangkan parti terhakis akibat keraguan terhadap matlamat dan cara perjuangan yang bawa oleh PKR khasnya dan Pakatan Rakyat umumnya.

"Saya kecewa sebagai kawan hak saya untuk menasihati beliau (Anwar), tetapi kalau parti buat pendirian yang luar daripada apa yang saya kata sebagai ikhlas, maknanya saya kecewa kerana saya juga manusia biasa yang ada perasaan," katanya.

Zahrain memberikan jaminan kepada para pengundinya di Bayan Baru bahawa beliau tidak akan belot terhadap pengundi yang telah memilihnya serta menasihati rakyat supaya tidak meletakkan harapan yang tinggi terhadap pakatan PKR-Pas-DAP.

"Saya percaya Pakatan Rakyat tidak tahan lama. Saya tidak mahu rakyat tertipu dengan retorik Pakatan Rakyat," katanya.

-- BERNAMA




Ulasan GB

Datuk Zahrain mengambil keputusan menjadi Ahli Parlimen Bebas sebelum beliau dikenakan tindakan disiplin oleh partinya.

Bagi pandangan GB, apa yang diutarakan oleh Datuk Zaid Ibrahim sebelum ini ada benarnya. Jawatankuasa Disiplin PKR sepatutnya telah bertindak pantas, cekap dan efektif daripada "procrastinate". Akibatnya, berlakulah kes seperti Datuk Zahrain. Whose fault?

Hal ini turut berlaku di dalam parti-parti komponen Pakatan Rakyat seperti PAS misalnya.

Satu-satu kes mengambil masa yang "terlalu lama" untuk diselesaikan. Kita kerap mempertikaikan kerajaan UMNO BN melalui SPRM dan PDRM melambat-lambatkan siasatan kes. Kini kenapa penyakit yang sama itu wujud di dalam Pakatan Rakyat?

Mengapa masing-masing tergila-gila meniru stail pengurusan dan pentadbiran Pak Lah yang lemah itu?

Apabila Jawatankuasas Disiplin sendiri tidak berdisiplin, bererti parti berada di lembah kehancuran.


3 ulasan:

Web Sutera berkata...

Assalamualaikum. Setuju dengan luahan GB.

Awanama berkata...

kerja bertangguh tak menjadi.

Awanama berkata...

Ini salah seekor katak puru yang suka melompat! - Tidak setia kepada pengundi2 dan parti politik yang menaikkannya menjadi wakil rakyat/ parlimen.
Kalau beginilah perangai pemimpin2 hari ini, alamat lingkuplah dunia. Tak guna diadakan pilihanraya, buat buang masa dan wang rakyat - samalah macam di luar ( Negara2 Arab ); Pemimpinnya banyak yang gila kuasa memerintah lebih 20 tahun dan gila himpun harta -lepas tu bila rakyat bangun, diorang cabut lari, bawa sekali duit2 keluar! Yang rugi rakyat - haprak!