9 Jul 2010

Kenyataan Rais Mengikut Pertimbangan Politik Samata-mata

Peruntukan warisan RM20 juta untuk PP dinafikan

Seorang anggota parlimen dari Pulau Pinang menganggap kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim bahawa negeri itu tidak layak mendapat peruntukan kewangan sebanyak RM20 juta di bawah tabung warisan sebagai kenyataan berbaur politik.

Anggota parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusuf berkata, tidak mungkin Pulau Pinang tidak boleh mendapat peruntukan kewangan di bawah tabung itu kerana Unesco telah mengiktiraf bandaraya George Town sebagai bandaraya warisan dunia.

"Dr Rais mungkin mempunyai kamus tafsiran warisan yang berbeza dengan yang telah ditetapkan oleh Unesco," sindir beliau.

"Jika beginilah pemikiran menteri yang menjaga warisan, agenda warisan Malaysia akan gagal kerana tidak menepati tahap piawaian antarabangsa (Unesco)," katanya kepada Free Malaysia Today ketika diminta mengulas kenyataan Dr Rais.

Semalam, Dr Rais berkata Pulau Pinang tidak layak mendapat peruntukan di bawahtabung warisan kerana negeri itu belum melaksanakan projek warisan. Beliau juga menegaskan ia bukan keputusan politik.

Difahamkan kerajaan telah bersetuju menyalurkan peruntukan kewangan sebanyak RM30 juta kepada negeri Melaka untuk projek- projek warisan di negeri itu.

Yusmaidi berkata, Unesco memberi pengiktirafan kepada kerajaan negeri Pulau Pinang kerana melakukan kerja-kerja pemuliharaan warisan di negeri itu.

"Unesco bersama pakar-pakarnya telah datang membuat kajian di negeri itu sebelum mengisytiharkannya menjadi bandaraya warisan," terang beliau.

Sementara itu, kata pemimpin muda PKR itu, George Town dan Istanbul akan menandatangani status bandaraya warisan berkembar kerana kedua-dua bandaraya tersebut mempunyai banyak persamaan dari segi ekonomi dan kebudayaan.

Ulasan GB

Lagi-lagi kisah Rais Yatim ni. Beliau menyangka kepetahan pertuturannya mengikut adat perpatih boleh melenakan semua orang. Isk..

Beliau amat dikenali sebagai opportunis di dalam partinya sendiri, UMNO. Malah sanggup menafikan isi kandungan thesis Ph Dnya sendiri untuk menjustifikasikan tindakannya menyertai UMNO semula. Dan dia menggunakan segala kesempatan untuk menonjolkan diri di dalam UMNO, mengampu dan membodek ke tahap yang maksima bagi mempastikan kelansungan kedudukannya di dalam kabinet.

Namun satu hari beliau pasti terusir dengan kaedah paling hina...

"1Malaysia" Gagal

Merdeka Center: 1 Malaysia tidak popular kalangan bukan Bumiputera

Konsep 1 Malaysia yang disandarkan kepimpinan Datuk Seri Najib Razak tidak popular di kalangan bukan Bumiputera sambil mereka menganggap ia hanya satu usaha Barisan Nasional (BN) mahu memikat sokongan bukan Melayu.

Penemuan terbaru firma kajian pendapat umum, Merdeka Center menunjukkan hanya 39 peratus masyarakat bukan Bumiputera menerima konsep 1 Malaysia walaupun sudah lebih setahun diperkenalkan.

“Sementara 46 peratus mendapati ia (konsep 1 Malaysia) hanya satu taktik untuk memenangi sokongan politik bukan Melayu manakala 16 peratus mengatakan mereka tidak mengetahuinya atau enggan menjawab soalan ini,” kata Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Konsep 1Malaysia diperkenalkan oleh Najib sebagai gagasan pentadbirannya 15 bulan yang lalu.

Najib mengangkat sumpah sebagai perdana menteri keenam awal April 2009.

Kajian ini dikendalikan antara 21 Jan dan 26 April lalu untuk mendapatkan pandangan rakyat mengenai soal perpaduan nasional, integriti, penyertaan demokratik dan tindakan afirmatif.

Berhubung pandangan mengenai arah tuju perpaduan nasional, Ibrahim berkata, rakyat Malaysia melahirkan pandangan berbelah bahagi.

Seramai 48 peratus responden yang ditermui berpendapat bahawa negara menjadi semakin bersatu manakala 43 peratus berpandangan Malaysia berada dalam kedudukan sebaliknya.

Kajian itu juga menunjukkan pertelingkahan keterlaluan di kalangan ahli-ahli politik dan parti-parti politik merupakan antara sebab utama hubungan antara kaum semakin buruk.

Pandangan itu dipersetujui oleh kira-kira 13 peratus responden manakala sembilan peratus mengatakan ia berpunca daripada kurangnya persefahaman dan sikap hormat-menghormati kaum lain.

Seramai 3,141 orang dewasa berusia antara 19 tahun dan ke atas dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak ditemu bual oleh Merdeka Center.

Daripada jumlah itu 51 peratus merupakan orang Melayu, 26 peratus Cina, India (tujuh peratus), Bumiputera Islam (sembilan peratus) dan bukan Bumiputera Islam (tujuh peratus).

Pada Mac lalu, Jabatan Penerangan mendapati rakyat keseluruhan tahu kewujudan konsep 1 Malaysia tetapi masih belum mencapai kefahaman penuh tentang konsepnya.

Kajian yang dibuat jabatan itu mendapati 80 peratus daripada rakyat negara ini mengetahui berkenaan 1 Malaysia namun penjelasan mereka tidak menggambarkan pemahaman penuh berkenaan intipati gagasan itu.

“Jadi tahun ini kita akan meneruskan lagi usaha untuk memberi penjelasan tentang konsep 1 Malaysia dan bagaimana rakyat dari segenap lapisan masyarakat dapat menghayatinya secara lebih mendalam lagi,” kata Ketua Pengarah Penerangan Datuk Abdullah Morad. -TMI


Perpaduan: Kajian mendapati ada 2Malaysia

Kajian terbaru yang dijalankan oleh Merdeka Centre mendedahkan apa yang sebenarnya bukan lagi rahsia - kumpulan bangsa-bangsa lain di Malaysia tidak sependapat berhubung dasar-dasar kerajaan.

Sebahagian besar orang Melayu didapati menyokong polisi pro-bumiputera manakala kebanyakan masyarakat bukan Melayu pula sangsi dengan konsep 1Malaysia yang dicanangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dalam kajian itu, sejumlah 2,104 orang Melayu dan bumiputera diminta memilih daripada dua kenyatan yang paling hampir mengambarkan pendapat mereka.

- Melayu/bumiputera memerlukan bantuan agar mereka dapat maju ke depan, jadi program seperti DEB dialu-alukan (72 peratus menyokong kenyataan ini).

- Bantuan seperti DEB tidak menolong Melayu/bumiputera dalam jangka panjang dan membuat mereka lebih bergantung kepada kerajaan (21 peratus).

Majoriti (59 peratus) responden Melayu dan bumiputera percaya sebagai 'bangsa asli negara ini, Melayu dan bumiputera perlu diberikan hak khas dan keistimewaan”.

Pada masa yang sama, hanya 40 peratus responden berhubung soalan yang sama menyokong kenyataan “semua rakyat perlu diberikan hak yang sama di negara ini tanpa mengira latar belakang kaum dan agama”.

Soalan berhubung DEB adalah hanya untuk dijawap oleh responden Melayu/bumiputera manakala responden bukan Melayu/bumiputera ditanya senarai soalan lain berhubung 1Malaysia.

Sebahagian besar responden bukan bumiputera tidak yakin denagn kempen 1Malaysia yang ditaja Najib sebagai jambatan untuk menghubungkan pelnbagai bangsa di negara ini demi memupuk perpaduan nasional.

Daripada 1,036 bukan bumiputera yang dibanci, 46 peratus yakin 1Malaysia hanya “agenda politik untuk memancing undi bukan Melayu”.

Hanya 39 peratus responden bukan bumiputera berpendapat 1Malaysia adalah “usaha ikhlas untuk mentaukan semua bangsa di Malaysia”.

Sejumlah 16 peratus responden memilih tidak tahu atau tiadak rspon kepada soalan berkenaan.

Kajian ini juga membuktikan bahawa bukan bumiputera masih tidak yakin kerajaan BN yang diterajui Umno bersedia menjalinkan hubungan antara kaum yang lebih erat.

Ia juga mencadangkan bahawa Model Baru Ekonomi (MBE) dan konsep 1Malaysia yang dipelopori najib sukar diterima oleh penduduk pelbagai kaum di negara ini.-MK


Dr. Ahmad Zahid Hamidi?

Kematangan Zahid Jawab Isu Scorpene Jadi Tandatanya

Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi isu pembelian kapal selam Scorpene tidak perlu di bawa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana pembelian kapal selam itu dibuat mengikut prosedur yang sepatutnya.

Malah kos pembelian kapal selam buatan Perancis bernilai kira-kira Euro1 bilion pada tahun 2002 itu mendapat kelulusan Kementerian Kewangan.

Sepertimana dilaporkan Bernama, ketika mengulas mengenai pembelian kapal selam itu yang dilaporkan oleh sesetengah media membabitkan pembayaran komisen bernilai kira-kira Euro114 juta kepada sebuah syarikat di Malaysia.

"Pembelian dibuat mengikut apa yang ditetapkan prosedur, semua langkah diikuti sebaik-baiknya," kata Ahmad Zahid baru-baru ini.

Jawapan Ahmad Zahid menggambarkan sikap tidak matang sebagai seorang Menteri yang sepatutnya peka dengan kegelisahan dan suara rakyat yang prihatin dengan isu rasuah membabitkan wang rakyat.

Kita mengharapkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak yang mengaku ‘mendahulukan rakyat dan mengutamakan prestasi’ supaya ‘buat serupa cakap’ dan bukan ‘cakap tak serupa bikin’.

Adakah Ahmad Zahid mengharapkan rakyat akan menarik nafas lega mendengar kenyataan beliau mengenai kes kapal selam tak menyelam itu?

Kita ingin melihat sikap yang lebih telus, matang dan profesional daripada Menteri Pertahanan jika benar segalanya mengikut prosedur dan tiada ‘hanky panky’ dalam pembelian luar biasa yang menarik perhatian satu dunia itu.

Apa yang ditakutkan beliau jika tiada apa yang ingin disorokkan daripada SPRM dan rakyat 1Malaysia?

Ulasan GB

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, begitulah sebutan namanya sekarang. Oh, dah ada Ph D, kurniaan UPM walaupun ada di kalangan akademis amat meragui kurniaan tersebut.

Namun yang terserlah mentaliti, sikap dan pertuturannya tidak melambang beliau seorang yang mempunyai Ph D.

GB masih ingat di suatu masa seorang Datuk Bandar bernama Datuk Elyas Omar yang menggunakan "Dr." dipangkal namanya sedangkan beliau bukan seorang pemegang Ph D ataupun seorang bekas pelajar perubatan.

Akhirnya terbongkar, memang sahih beliau tidak ada ijazah berkenaan, maka diarahkan beliau menanggalkan gelaran itu daripada namanya. Mujur ada pangkat Datuk, jadi ramai tak perasan mengenai ketiadaan sebutan Dr lagi pada namanya.

Begitulah, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan cuma ada diploma dan bukan ijazah Sarjana Muda Undang-undang. Musa Hassan didakwa memberikan pengakuan palsu berhubung kelayakannya pada perbicaraan kes rasuah Anwar Ibrahim pada tahun 1998.

Menurut laporan polis yang dibuat oleh peguam Anwar, R Sivarasa, Musa, pegawai penyiasat dalam kes itu memberitahu mahkamah ketika itu bahawa dia mempunyai ijazah sarjana muda dalam undang-undang.

Bagaimanapun, dalam satu lagi perbicaraan yang membabitkan kes rasuah bekas Pengarah Sisatan Jenayah Perdagangan, Bukit Aman, Ramli Yusuff pada tahun 2009, Musa memberitahu mahkamah dia memiliki “diploma dalam undang-undang dan pengajian pengurusan”.

“KPN telah memberikan kenyataan palsu dengan mengatakan dia memiliki ijazah undang-undang ketika disoal balas dalam kes Anwar, sedangkan hakikatnya dia hanya mempunyai diploma dalam undang-undang,” kata Sivarasa.

Itu sebab kita lihat mentaliti, tindakan dan pertuturannya tak sampai ke darjat yang didakwanya.


RM300 Ribu Jadi Tandatanya

Mengapa RM300,000 Tidak Disimpan Di Bank?

Bagaimana, mengapa dan untuk apa? Itu persoalan Ahli Parlimen Indera Mahkota Azan berhubung penemuan RM300,000 di rumah Exco Pahang yang ditemui sekumpulan perompak 5 Julai lalu.

Azan Ismail mempersoalkan bagaimana seorang exco BN mampu mengumpulkan wang sebegitu banyak, untuk apa wang itu akan digunakan dan mengapa ia tidak disimpan dalam peti simpanan bank.

Akhbar The Star 6 Julai lalu melaporkan tindakan pantas polis menembak mati empat penjenayah yang memecah masuk rumah Datuk Wan Adnan Wan Mamat di Jalan Teluk Sisek, Kuantan.

“Saya hendak rujuk pada satu laporan akhbar The Star pada 6 Julai 2010 di mana melaporkan tindakan pantas pihak polis berjaya menembak suspek atau pun yang diklasifikasikan sebagai perompak di dalam satu kejadian pecah rumah di Kuantan yang melibatkan salah seorang Exco kerajaan negeri di dalam bidang sukan dan belia.

“Tetapi dalam berita ini menyiarkan bahawa perompak telah melarikan RM300 ribu wang tunai daripada kediaman beliau dan perkara ini telah menimbulkan banyak persoalan bagaimana Exco seorang kerajaan negeri boleh menyimpan begitu banyak tunai di dalam simpanan,” katanya.

Beliau berkata adalah menjadi perkara luar jangkaan apabila seorang Exco berani menyimpan wang yang begitu banyak di kediamannya memandangkan ia boleh menimbulkan pelbagai sangkaan.

"Hari ini begitu banyak berita berkenaan simpanan tunai yang berkaitan kerajaan beberapa isu kita dengar di Pulau Pinang dan sebagainya yang melibatkan kakitangan kerajaan ataupun orang yang diberi amanah oleh kerajaan sebagai pentadbir termasuk Exco.

"Kita minta pihak berkuasa menyiasat adakah kebenaran laporan akhbar ini bagaimana seorang Exco kerajaan negeri boleh menyimpan begitu banyak tunai di dalam kediamannya yang menjadikan kes ini kes rompakan dengan kesudahan empat orang ditembak mati oleh pihak polis yang juga menimbulkan banyak isu yang mana lima tahun kebelakangan ini banyak kes-kes tembakan yang menyebabkan berlaku kematian kepada suspek atau juga orang-orang yang di anggap penjenayah,” katanya. -TVS

Berbillion Telah Disonglap Dari Felda Dan Petronas

Bermula Dengan Felda, Petronas Pula Kini Hadapi Gawat Kewangan

Selepas Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mengalami kemerosotan rizab tunai yang menjunam sebanyak RM2.37 bilion dalam tempoh lima tahun, kini syarikat petroliam negara, Petronas pula dirundung nasib yang sama akibat penurunan perolehan yang mendadak.

Keadaan ini menjadi lebih gawat berikutan Petronas yang menjadi penyumbang terbesar kepada pendapatan negara, tidak lagi berupaya bersaing dengan syarikat pengeluar minyak dunia.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau telah mengemukakan usul mengenai perolehan Petronas di Dewan Rakyat tetapi telah ditolak oleh Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia atas alasan usul itu tidak perlu disegerakan.

"Laporan ini membimbangkan, prestasi kewangan dan operasi Petronas memperlihatkan penurunan perolehan 18.1 peratus kepada RM216.4 bilion. Keuntungan pun merosot 23.2 peratus kepada RM40.3 bilion. Keuntungan RM40.3 bilion, tetapi jumlah yang patut diberi kepada kerajaan ialah RM70.9 bilion. Maknanya RM30 bilion sebagai dividen," jelas beliau pada sidang media di parlimen tengahari tadi yang disertai ahli-ahli parlimen KEADILAN.

"Saya bangkitkan ini kerana saya lihat ia bertujuan untuk menampung defisit. Defisit (negara) tanpa sumbangan Petronas mencecah lebih 11 peratus, tanpa sumber minyak. Ia memberikan satu ruang sikap yang tidak bertanggungjawab dari sudut pengurusan ekonomi negara.

"Kedua di negara lain atau syarikat antarabangsa lain, termasuk Shell, BP dan Exxon Mobil semuanya membelanjakan 50 hingga 80 peratus untuk pelaburan carigali baru sedangkan Petronas dengan keadaan kegawatan yang berlaku sekarang hanya mampu membelanjakan 20 hingga 30 peratus sahaja," kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Menurut Anwar dasar Petronas kini telah berubah berikutan campurtangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak secara langsung dalam pengurusan Petronas sehingga menyebabkan tahap profesionalisme serta kewibawaan syarikat itu terjejas dan dipertikaikan.

"Kebimbangan kita selain masalah defisit ini ialah Kedudukan dan keupayaan Petronas dalam jangka masa sederhana dan panjang pasti akan terjejas. Saya sediakan analisa menyeluruh berdasarkan kewangan dan prestasi Petronas yang diperjelaskan dengan angka.

"Kebergantungan untuk menangani masalah defisit, dengan hasil minyak 2009 telah mencecah 7.4 peratus defisit, telah masuk paras bahaya. Tanpa hasil minyak defisit ialah 11.7 peratus pada 2008, dan 15.1 peratus untuk 2009.

"Kemudian bayaran Petronas kepada kerajaan kita lihat memang berdasarkan keuntungan Petronas pada 2008 ialah RM67.6 bilion, 2009 RM74 bilion dan 2010 RM57.6 bilion.

"Tetapi yang kita bangkitkan ini juga ialah peratus sumbangan Petronas kepada pendapatan negara. Kita tengok pendapatan bayaran kepada kerajaan maknanya ketergantungan kepada Petronas itu sangat tinggi.

"Untuk 2010 tahun kewangan berakhir 31 Mac, keuntungan 85.6 peratus Petronas diserah semuanya kepada kerajaan. Angka ini mempertikai dalam RMK-10 dan kita melihat angka dan sumbangan Petronas ini sudah lari dari unjuran dan perkiraan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, baru baru ini.

"Penekanan utama saya ialah hilangnya kekuatan Petronas apabila keupayaan Petronas melabur untuk carigali minyak gali baru terbantut. Petronas berbanding syarikat minyak besar menjadi terlalu kecil. Jadi belum selesai isu Felda, timbul krisis Petronas pula," kata beliau lagi.