22 Jul 2013

Teksi 1Malaysia Najib Hanya Untungkan Kroni.

PPersatuan Badan Bertindak Pemandu Teksi Bermeter (BBPTB) hari ini menyifatkan Teksi 1Malaysia (TEKS1M) bukan sahaja tidak membantu, malah tambah membebankan pemandu teksi.

Pengerusinya, Amran Jan bimbang dengan TEKS1M berikutan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tidak mendedahkan butiran mengenai syarat perjanjian jual beli.

"Urusan atau perjanjian sewabeli teksi ini berlaku antara pemandu teksi dengan siapa atau syarikat mana?

"Konsortium Teksi ataupun SPAD Sdn Bhd? Dan, berapa lama tempoh bayarannya, adakah lima, tujuh atau sembilan tahun? Berapa pula bayaran bulanannya?" katanya.

Pada kenyataan media hari ini, Amran juga mempersoal syarat TEKS1N pembelian Proton Exora untuk dijadikan teksi kerana ia membebankan pemandu teksi.

"Dengan harga RM64,000 sebuah dan berenjin Campro ini, mampukah pemandu teksi menanggungnya?

"Sedangkan Proton Saga BLM berharga RM36,000 pun, ramai gagal di tengah jalan sebab tak mampu tanggung kos penyelenggaraan yang tinggi," katanya.

Beliau juga membidas pengumuman kerajaan yang memberi permit teksi mengikut program itu kerana ia tidak meningkatkan pendapatan mereka.

Katanya, pemberian permit tidak memberi impak daripada segi meningkatkan pendapatan pemandu teksi yang hanya memperoleh kira-kira RM1,500 sebulan.

"Perancangan tunggang-langgang begini dilihat hanya menambah beban pemandu teksi dan pastinya, menambah satu lagi kroni yang akan mengaut keuntungan di atas penat jerih pemandu.

"Dengan pendapatan semasa pemandu sekitar RM1,500 sebulan, kehidupan akan jadi lebih sengsara!" katanya. -TMI

Posmen Khianat Buang Surat Ke Dalam Gaung


Kuala Lumpur: Kakitangan Pos Malaysia mengutip semula lambakan surat yang dibuang ke dalam gaung berhampiran kawasan perumahan mewah di Ukay Heights, Ampang.
br> Kira-kira 50 pekerja yang membawa bersama beberapa beg besar berwarna putih untuk memuatkan kesemua surat tersebut.
br> Tiga van Pos Malaysia ditempatkan di kawasan tersebut.
br> Tinjauan The Star kira-kira pukul 8.30 pagi Ahad mendapati, kesemua kakitangan memeriksa kawasan itu sebelum menuruni gaung tersebut untuk mengutip surat-surat yang tidak dihantar.
br> Tugas sukar itu berjaya diselesaikan dalam tempoh dua jam.
br> Pengerusi Pos Malaysia, Tan Sri Khamil Jamil dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Iskandar Mizal Mahmood turut berada di kawasan itu untuk menyelia dan memantau operasi.
br> "Kami juga sedang meninjau kawasan sekeliling. Pos Malaysia mengalu-alukan sebarang maklumat daripada orang ramai. Kami komited menyediakan perkhidmatan penyerahan tepat pada masanya," kata Ketua Kumpulan Bahagian Komunikasi Korporat dan Penjagaan Pelanggan Pos Malaysia, Datuk Rohaiza Hashim.
br> Pada Sabtu, The Star melaporkan bahawa beberapa penduduk menjumpai lambakan surat yang tidak dihantar di dalam gaung.
br> Pos Malaysia telah memecat ketiga-tiga posmen yang terlibat.
br> Insiden tersebut menyebabkan beberapa penduduk di Ukay Heights kecewa dengan tindakan tidak bertanggungjawab itu.
br> "Kami terkejut dan marah apabila mengetahui perkara itu. Ada di antara kami tidak menerima surat dalam tempoh lebih enam bulan.
br> "Suami saya tidak menerima surat dari klien, penyata bank, cek dan surat dari keluarga kami di luar negara dan semua bil.
br> "Saya berharap agar Pos Malaysia menyerahkan surat tersebut dengan segera," kata suri rumah Hazarina Manang. -mstar

[PRK Kuala Besut] Kempen Che Long Berada Di Hadapan



PAS menongkah arus di Kuala Besut

Bulan Ramadan tidak menghalang calon PAS, Azlan Yusof atau Che Long untuk mendahului kempen dalam pilihan raya kecil (PRK) Kuala Besut berbanding lawannya, calon Barisan Nasional (BN), Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman.

Sehingga kini, banyak isu-isu yang dibawa oleh jentera kempen PAS terpaksa dijawab oleh BN satu per satu. Bermula dengan dakwaan pemberian tanah kepada wakil rakyat BN sehinggalah isu Empangan Lowvier Pengkalan Nangka yang rosak.

Semalam Pengarah Pilihan Raya BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin terpaksa mengumumkan peruntukan sebanyak RM35 juta untuk pembinaan semula empangan itu. Ia dibuat Muhyiddin pada satu program himpunan keluarga nelayan dan peladang di Jeti Kuala Besut semalam.

Empangan Lowvier Pengkalan Nangka rosak hampir dua tahun lalu. Ia tidak boleh digunakan selepas senget akibat mendapan selepas aktiviti pengorekan pasir di sekitarnya.

Akibatnya, 1,000 ekar sawah padi di empat buah kampung di Kuala Besut tidak boleh dikerjakan dan menyebabkan 400 keluarga petani hilang mata pencarian kerana tidak boleh mengerjakan sawah mereka akibat kering kontang.

Ironinya, isu ini ada kaitan secara langsung dengan calon BN,Tengku Zaihan yang merupakan Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Besut dari 2008 hingga awal 2013. Kerosakan ini berlaku di hadapan mata beliau selaku pegawai yang bertanggungjawab.


Selepas diasak beberapa hari, semalam Muhyiddin terpaksa berjanji akan membina semula empangan itu dengan peruntukan RM35 juta.

Sebelum ini, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mengaku secara terbuka bahawa empat wakil rakyat di Besut mendapat tanah dari kerajaan negeri.

Ini ekoran dakwaan jentera PAS di Kuala Besut bahawa kerajaan negeri memberikan tanah kepada wakil rakyat mereka sedangkan tanah yang diberikan kepada rakyat oleh kerajaan PAS (1999 - 2004) dirampas.

Mereka yang mendapat tanah di Besut adalah bekas Ahli Parlimen Besut Datuk Dr Abdullah Md Zin,Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jerteh Datuk Seri Idris Jusoh, Adun Hulu Besut Nawi Mohamad dan Adun Kota Putera Pehemi Yusof masing-masing dianugerahkan 2.5 ekar tanah di kawasan Pantai Dendong, Besut.

Mengulas perkara ini, bekas Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Terengganu Datuk Tengku Hassan Omar berkata, wakil rakyat bukan sahaja tidak boleh dianugerahkan tanah, malah memohon pun tidak dibenarkan.


"Secara undang-undangnya sah, tetapi dari sudut moral dan etika adalah sangat-sangat salah," katanya pada sidang media di Markas Besar PAS PRK Kuala Besut, di Kg Baharu di sini hari ini.

Bagi memecahkan tembok media pula, jentera PAS di Besut menerbitkan akhbar harian sendiri dalam kempen ini. Ia dinamakan 'Kuala Besut - Akhbar alternatif sempena PRK Kuala Besut.'

Akhbar ini diterbitkan setiap hari dan dicetak kira-kira 3,000 naskah iaitu kira-kira 20% lebih dari kira-kira 17,000 pengundi Kuala Besut, satu angka yang sangat baik untuk menjadi sebuah akhbar yang berpengaruh jika diedarkan dengan baik.

Akhbar empat muka surat berwarna-warna dipercayai menjadi saluran penting untuk PAS menembusi rumah-rumah pengundi di Kuala Besut yang amat rendah panetrasi internet ini.

Mungkin kerana rendahnya panetrasi internet di sinilah, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mencadangkan agar penduduk di sini celik IT.

Abdul Hadi ketika menyampaikan ceramahnya di Kuala Besut baru-baru ini berkata golongan celik internet yang menetap di bandar majoritinya menolak Umno dan BN, yang mana perlu dijadikan contoh oleh pengundi di kawasan berkenaan.

"Orang Kuala Besut belajar daripada mereka yang terpelajar. Mereka yang celik internet tolak BN, belajar daripada mereka," kata Abdul Hadi di hadapan 500 penyokong parti Islam berkenaan dalam kempen PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut yang dijadualkan 24 Julai depan.

Isu pertembungan Menteri Besar Terengganu, Ahmad dengan Ketua Umno Bahagian Besut yang juga Menteri Pelajaran 2, Idris juga sukar dipatahkan dengan mudah oleh jentara BN.

Ini kerana, isu ini sudah lama 'makan dalam' dalam konteks politik Umno di Terengganu. Yang menjadi mangsa kepada pertembungan ini adalah rakyat.

Projek kesayangan Idris sewaktu beliau menjadi MB Terengganu, Taman Ilmu di Besut antara mangsanya. Ia dibiarkan terbengkalai kerana Ahmad yang lebih sayangkan projek Zoo di Kemaman berbanding projek ilmu ini.

Namun isu sekadar isu sahaja. Pilar kempen yang paling utama untuk PAS dalam pilihan raya ini adalah calonnya, Che Long seorang ahli perniagaan berjaya di Besut.

Dengan lahir, mendapat pendidikan, membesar dan berniaga di Kuala Besut, Che Long tokoh yang sangat kuat dan berpengaruh bagi masyarakat Kuala Besu
t.

Slogan kempen PAS juga membayangkan perkara ini. 'Che Long mudoh kiro, senang jembo' atau Che Long yang mudah kira bicara dan menjadi yang mudah tempat mendapatkan bantuan.

"Jika PAS menanglah dalam pilihan raya ini, sebab utamanya adalah calonnya," kata seorang penganalisis politik tempatan. 22 Julai, 2013.

Mungkin kerana itulah, Umno mensasarkan batang tubuh Che Long sebagai teknik kempennya dalam pilihan raya kecil ini. Cerita kononnya Che Long tidak bayar saman trafik menjadi berita penting.

Walau bagaimanapun, sekuat manapun kempen yang berjalan dalam pilihan raya ini, faktor majoriti BN lebih 2,400 undi dalam pilihan raya umum lalu menjadi satu angka yang sangat besar untuk PAS dalam pilihan raya kecil ini.

Pendek kata, PAS sedang menongkah arus di Kuala Besut yang banyak mendapat pasir ini akibat kelemahan JPS Besut menjalankan tugasnya. -TMI

BN umum projek serta-merta bila PAS bersuara

BESUT: Tindakan drastik kerajaan mengumumkan projek-projek yang mencecah ratusan juta dalam masa sepuluh hari buat penduduk Kuala Besut merupakan usaha dan kejayaan PAS.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Dr Hatta Ramli berkata pendedahan demi pendedahan yang dibuat PAS ternyata membuatkan kerajaan terus menunjukkan keperihatinan mereka terhadap nasib pengundi di Kuala Besut.

Misalnya kata beliau pendedahan kerosakkan Empangan Lowier di Pengkalan Nangka yang menjejaskan 400 keluarga terus mendesak kerajaan meluluskan segera peruntukan RM35 juta untuk membuat empangan yang baru.

"Jika tidak didedahkan ternyata Umno BN kesampingkan apa yang diperlukan di sini (penduduk Kuala Besut),"katanya dalam sidang media di Markaz Besar PAS PRK Kuala Besut di Kampung Baru.

Jelasnya, sebaik PAS membangkitkan isu ini ternyata kerajaan Umno BN dapat menyelesaikan masalah ini dalam masa sehari sedangkan ianya pernah dibangkitkan sejak dua tahun lepas.

Mengulas sama ada pengundi Kuala Besut terus termakan budi dengan usaha drastik kerajaan ini, Hatta berpendapat ianya tidak sekali-kali akan mempengaruhi pengundi.

Malah katanya, pengundi akan berterima kasih kepada PAS dan akan memberi undi kepada PAS pada 24 Julai ini.

"Kita akan menjangkakan tempat-tempat yang kita kuat akan bertambah baik," katanya.

Justeru katanya, PAS telah melaksanakan tanggungjawabnya untuk rakyat khususnya di Kuala Besut yang ternyata dipinggirkan oleh kerajaan BN.

"Sebenarnya apa yang dibuatkan oleh kerajaan dalam masa berkempen ini adalah kredit bagi kami," katanya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan sebanyak RM35 juta untuk membuat empangan baru menggantikan Empangan Lowvier.

Terdahulu, sudah sembilan projek yang dijanjikan oleh kerajaan BN buat penduduk Kuala Besut termasuklah projek mendalamkan Sungai Besut bernilai RM250 juta, membina pangsapuri empat tingkat di Kampung Lay Out bernilai RM10 juta, projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Peroi Tok Saboh bernilai RM28 juta dan projek masjid terapung dengan kos RM12 juta.

Rezeki penduduk Kuala Besut datang mencurah-curah apabila kerajaan tidak putus-putus menabur projek-projek yang mencecah ratusan juta dalam masa sepuluh hari.
-HD



Fitnah II: Cubaan Penjarakan Semula Anwar


Rayuan terhadap keputusan kes Fitnah II adalah cubaan Umno BN untuk mengheret semula Datuk Seri Anwar Ibrahim ke penjara, kata Naib Presiden KEADILAN, N Surendran.

Menurut Surendran, Mahkamah Tinggi telah membebaskan Anwar dari tuduhan tersebut pada Januari tahun lalu dan umum mengetahui ia merupakan konspirasi politik peringkat tertinggi untuk menjatuhkan Anwar.

Malah, katanya, konspirasi itu turut melibatkan institusi seperti polis dan pejabat peguam negara diketuai Tan Sri Abdul Gani Patail.

“Rayuan ini tak sepatutnya difailkan. Semua orang tahu Gani Patail (peguam negara) orang suruhan Umno. Mahkamah dan polis hanya digunakan untuk menindas dan memenjarakan Anwar,” kata Surendran.

Beliau mengulas kes rayuan berkenaan yang akan berlangsung di Mahkamah Rayuan Putrajaya, esok, ekoran rayuan kerajaan terhadap pembebasan Anwar, 9 Januari tahun lalu.

Kes tersebut, yang sebelum ini dilihat sebagai konspirasi kedua mengaibkan Anwar, dijangka sekali lagi menarik perhatian media dalam dan luar negara apabila ia dibicara di peringkat rayuan.

Menurut Surendran, Umno BN kini kehabisan modal untuk melakukan apa sahaja bagi menyekat kebangkitan Pakatan Rakyat ke Putrajaya, termasuk memenjarakan semula Anwar.

“Itu cara terbaik Umno-BN mematahkan kemaraan Pakatan Rakyat ke Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang. Mereka fikir cara terbaik untuk terus berkuasa ialah memenjarakan Anwar,” kata N Surendran.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Januari tahun lalu membebaskan Anwar atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di Kondominium Desa Damansara antara jam 3.10 dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Anwar, 65, yang juga ketua pembangkang dan ahli parlimen Permatang Pauh, didakwa mengikut Seksyen 337B Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan beliau boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan. -KD

[PRK Kuala Besut] Undi Hari Bekerja Untuk Menangkan BN?

Hari Rabu ini keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut akan diketahui.

Apakah Barisan Nasional (BN) akan kekalkan kerusi DUN ini atau mampukah PAS melakukan kejutan merampas kerusi ini dari BN? Nampaknya atas kertas, calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman tidak akan menghadapi masalah untuk mengekalkan kedudukan BN di DUN Kuala Besut.

Pertamanya, bukan sahaja DUN Kuala Besut, malah kerusi Parlimen Besut itu sendiri sudah merupakan kubu kuat Umno. BN menguasai Parlimen Besut dan empat DUN di bawahnya iaitu Kuala Besut, Kota Putera, Jertih dan Hulu Besut sekurang-kurangnya untuk dua penggal sejak Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) pada 2008 dan pada PRU-13 Mei lepas.

Kalau ia pun calon PAS, Azlan Yusof ada peluang untuk membuat kejutan walaupun dengan kemenangan tipis, peluang tersebut tampak tipis.

Sudah diketahui umum, asas sokongan untuk Pakatan Rakyat ialah di kawasan bandar dan daripada pengundi muda di bawah 45 tahun. Untuk PAS mempunyai peluang membuat kejutan di Kuala Besut, parti Islam tersebut perlu mendapat sokongan undi maksima daripada pengundi Kuala Besut yang menetap dan bekerja di Lembah Klang misalnya.

PAS juga perlu mendapatkan undi sebanyak mungkin daripada kategori pengundi muda dibawah 45 tahun. Sekali lagi pengundi muda di bawah 45 tahun kebanyakkannya menetap dan bekerja di luar Terengganu.

Cabaran yang paling getir dihadapi oleh PAS di Kuala Besut ialah bagaimana hendak menang kerusi ini tanpa kehadiran pengundi muda yang menetap di Lembah Klang atau yang menetap di luar Terengganu.

Kelebihan kepada BN

Keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada hari Rabu (hari bekerja) sudah tentu akan memberi kelebihan kepada BN, kerana rata-rata pengundi tempatan merupakan golongan veteran atau berumur 45 tahun ke atas. Lazimnya pengundi berumur 45 tahun ke atas kebanyakkannya penyokong BN.

Agak menghairankan apabila SPR menetapkan 14 hari berkempen seolah-olah kempen PRU, tetapi menetapkan hari mengundi pada hari bekerja. Sudahlah hari bekerja, pilih pula hari Rabu.

Keputusan ini jelas akan merumitkan pengundi Kuala Besut yang menetap di luar Terengganu untuk balik mengundi kerana seorang pengundi perlu memohon cuti tahun untuk balik mengundi di Kuala Besut.

Pengundi luar sudah pasti akan keberatan untuk memohon cuti tatkala kurang tiga minggu lagi, mereka perlu memohon cuti tahun (cuti tambahan) untuk sambutan Hari Raya Puasa.

Sudah tentu mereka tidak mahu menghabiskan cuti tahunan mereka untuk PRK Kuala Besut tatkala mereka lebih memerlukan cuti peruntukkan cuti tersebut untuk sambutan Aidilfitri nanti.

FMT menghubungi salah seorang petugas PAS PRK Kuala Besut yang dipertanggungjawabkan untuk menghubungi pengundi-pengundi luar dan meyakinkan pengundi-pengundi luar ini balik ke Kuala Besut.

Pengundi tidak sanggup balik

“Semalam sahaja saya sudah menghubungi 50 pengundi Kuala Besut yang bekerja di luar Terengganu. Tidak sampai 10 pengundi yang sanggup balik untuk mengundi.

Selebihnya tidak mahu balik atas alasan tidak mahu korbankan cuti tahunan yang disimpan untuk sambutan Hari Raya Puasa tidak lama lagi.

“Saya boleh katakan 90 peratus pengundi luar yang saya hubungi semalam merupakan penyokong Pakatan Rakyat tetapi mereka terpaksa mengutamakan sambutan Hari Raya Puasa.

“Mereka juga beri alasan bahawa mereka perlu ambil cuti tahunan yang panjang ketika sambutan Hari Raya Puasa nanti memandangkan cuti sekolah juga sudah bermula serentak dengan sambutan Aidilfitri.

“Mereka mahu menggunakan kuota cuti tahunan yang ada itu untuk membawa isteri dan anak-anak bercuti di kampung dan melancung,” kata petugas tersebut.

Kenapa SPR tidak mahu menetapkan tarikh mengundi pada hari Sabtu atau Ahad (cuti hujung minggu), hanya SPR sahaja yang tahu. Tetapi adalah tidak sukar untuk pembaca, pemerhati politik dan penyokong Pakatan Rakyat untuk meneka rasional SPR menetapkan tarikh PRK Kuala Besut pada hari bekerja. -FMT