25 Apr 2011

Kes Ahmad Sarbani: Laporan Siasatan Ke AG, PAS Tawar Bantuan Guaman

PAS melalui Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS Pusat telah menziarahi keluarga allahyarham Ahmad Sarbani Bin Mohamad di kediamannya di Kelana Jaya semalam.

Kunjungan ini dimulakan dengan bacaan tahlil ringkas yang dikendalikan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Ustaz Nasruddin Hassan At-tantawi bersama ahli keluarga allahyarham dan 30 orang ahli dan masyarakat setempat turut hadir sama dalam kunjungan tersebut.

Ahmad Sarbani meninggal selepas dikatakan jatuh dari tingkat empat bangunan SPRM Kuala Lumpur selepas beliau ke pejabat itu baru-baru ini. Ekoran itu pelbagai andaian dibuat bagaimana beliau jatuh dan meninggal.

Sebelum ini, para pemimpin kanan PAS turut menziarahim keluarga beliau bagi mengucapkan takziah atas kejadian itu.

Nasruddin mengucapkan takziah kepada balu allahyarham Sarbani (Puan Maziah Bt. Manap) serta keluarga dalam insiden dan memohon agar terus bersabar dalam menempuh hidup.

Nasruddin berkata, “Kita dari Dewan Pemuda dan rombongan yang hadir mengharap dan berdoa agar puan sekeluarga diberikan ketenangan dan keadilan yang sebenar.

“Kita juga telah bersetuju untuk menyediakan khidmat guaman bagi membela Allahyarham serta kos guaman tersebut akan ditanggung sepenuhnya oleh Dewan Pemuda PAS Pusat,” tambah Nasruddin lagi.

Wakil keluarga yang juga merupakan adik kepada Allahyarham (Hussin bin Mohamad) turut berterima kasih atas kesudian PAS untuk datang mengujungi keluarga mereka dan bersama-sama membantu mereka untuk mencari keadilan bagi keluarga mereka.

Apabila ditanyakan apakah tindakan yang bakal dilakukan oleh pihak keluarga dalam kes tersebut, Maziah mengatakan masih menunggu hasil siasatan selesai.

“Kami masih menunggu siasatan polis sehingga selesai dan selepas itu kita akan buat tindakan hasil dari keputusan siasatan tersebut,” kata Maziah yang telah berbincang dengan peguamnya yang juga merupakan abang iparnya.

Ketua Dewan Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Salleh juga turut memberikan sokongan kepada balu Allahyarham serta keluarga agar lebih cekal dan bersabar.

Dewan Muslimat juga bersedia untuk menyalurkan kebajikan dan membantu bagi meringankan bebanan keluarga allahyarham yang telah meninggalkan seorang isteri dan lima orang anak.

Tiga daripada mereka masih lagi belajar di sekolah.

Di akhir pertemuan tersebut sedikit sumbangan juga telah disampaikan kepada keluarga Allahyarham oleh Ustaz Nasruddin dan juga Ustazah Nuridah mewakili kedua-dua dewan.

Kunjungan malam tadi turut dihadiri oleh Ustaz Hasbullah Ridwan (Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor) dan Ustazah Wan Hasrina Wan Hasan (Ketua Dewan Muslimat Pas Selangor) serta exco-exco kedua-dua dewan. -HD


Kes Sarbaini: Polis sudah serah A-G laporan siasatan

KUALA LUMPUR, 25 April — Polis sudah menyerahkan laporan siasatan berhubung kematian penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia, Ahmad Sarbaini Mohamed di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini kepada Pejabat Peguam Negara, Jumaat lalu.

Laporan Bernama Online memetik Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah mengesahkan perkara itu.

“Kami sudah berpuas hati dengan hasil siasatan yang dibuat dan sudah melengkapkannya, kami sudah hantar kepada Pejabat Peguam Negara,” katanya.

Khamis lalu, Zulkifli berkata meninggal dunia kerana kecederaan pada bahagian kepala selepas jatuh daripada bahagian tinggi bangunan SPRM di Jalan Cochrane, 6 April lalu.

Justeru kata beliau terserah kepada Peguam Negara untuk menentukan tindakan susulan.

“(Dengan ini) saya minta semua spekulasi dihentikan kerana siasatan sudah dilengkapkan.

“Kertas siasatan akan dihantar kepada Pejabat Peguam Negeri minggu ini atau paling lewat minggu depan,” katanya.

Kata beliau, siasatan menunjukkan ia adalah kematian mengejut dan tiada elemen jenayah terlibat buat masa sekarang.

Zulkifli juga berkata punca kematian ditentukan selepas siasatan terperinci membabitkan pelbagai pihak termasuk polis, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Jabatan Kimia.

Ahmad Sarbaini, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu bangunan SPRM setelah dilapor ke pejabat itu untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah yang membabitkan 62 pegawai Kastam. -TMI



Pembelaan Muhyiddin Terhadap Utusan Ternyata Beliau Bapa Rasisma

TPM: Lagi dilarang, lagi nak baca Utusan

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau tidak fikir gesaan beberapa pemimpin MCA untuk memboikot Utusan Malaysia akan berkesan kerana ia terpulang kepada pembacanya.

"Soal baca ke tidak, ini hak individulah. Kalau dia nak buat, buatlah. Tetapi saya tidak fikir ini berkesan. Ia tidak akan berkesan sama sekali.

"Lagi orang kata jangan baca, lagi orang hendak baca. (Mereka tertanya-tanya) pasal apa? Takutkah?" katanya.

MCA sebelum ini dilaporkan menggesa Utusan dipulaukan kerana mencadangkan gerakan '1Melayu, 1Bumi' yang dianggap parti itu untuk menghalalkan diskriminasi kaum.

Timbalan Ketua Publisiti MCA Loh Seng Kok berkata, konsep itu bertujuan menghukum masyarakat Cina kerana melaksanakan hak demokrasi dengan membuat pilihan semasa pilihan raya.

Bercakap kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini, Muhyiddin dengan nada membela akhbar itu berkata, Utusan dengan "sejarah yang panjang" bukan melaporkan perkara berkaitan orang Melayu sahaja, sebaliknya menyentuh pelbagai perkara.

Kecenderungan ke arah perkauman

Tambahnya, media tidak boleh disekat selagi tidak malanggar batas undang-undang, menyentuh soal perkauman dan sensitif serta tidak mencetuskan keadaan tidak baik.

"Saya tak fikir niat Utusan atau media lain hendak menghancurkan negara. Kalau dia berbuat demikian, sudah lama tercetus huru-hara.

"Dan hanya satu surat khabar... cukupkah dia sehingga mencetuskan huru-hara?" soalnya yang juga menteri pelajaran.

Sambil meminta semua pihak bersikap rasional, Muhyiddin juga berkata beliau tidak tahu kenapa MCA mencadangkan supaya akhbar milik Umno itu diboikot.

Katanya, kecenderungan ke arah perkauman harus dihapus bawah gagasan 1Malaysia.

Menurutnya lagi, dalam masa kita tidak boleh menghalang suatu pihak bersuara walaupun tidak disenangi yang lain.

"Jadi, ini sepatunya menjadi asas kita. Tolong lapor setiap perkataan yang saya kata. Jangan sambil satu (bahagian) saja," katanya lagi kepada pemberita. -mk

Ulasan GB

Tatkala Naji dan TDM sendiri menjauhi konsep 1Melayu 1Bumi yang dipelopori oleh Utusan dan dodokong oleh PERKASA, tiba-tiba TPM yang tercengang-cengang baru pulang dari China menghulurkan kepalanya membela Utusan.

Terdedahlah pekong "assabiyah" Muhyiddin selama ini.

Memang pun sebelum ini kaum bukan Melayu menyedari Muhyiddin mengamalkan perkauman sempit, tetapi ianya berjaya disapu ke bawah karpet. Sekarang bau bawah karpet itu tidak dapat diselindung lagi. Muhyiddin mendedahkan bahawa beliau bapa kepada dasar rasisma di Malaysia ini.



Pendakwa Terus Menggila: Zakar Dah Masuk Katanya

Pendakwa: 'Yang penting zakar masuk'

Peguam cara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden (gambar) dalam hujahnya berkata bukti persetujuan adalah tidak penting kerana apa yang penting ialah sama ada zakar dimasukkan ke dalam dubur.

Katanya, mahkamah mesti berpuas hati yang kejadian sedemikian boleh berlaku.

"Saiful adalah pembantu peribadi tertuduh dan diamanahkan untuk (menyimpan) telefonnya (Anwar).

"Tertuduh meminta Saiful pergi ke kondominium Desa Damansara pada 25 Jun dan sekali lagi pada 26 Jun (hari kejadian)."

Yusof (kanan) berkata, tanggapan salah pihak pembela ialah dengan menganggap terdapat masa-masanya di mana Saiful boleh lari dari tempat kejadian itu (liwat).

Menurutnya, Saiful juga tidak ditanya mengapa dia tidak berbuat demikian.

Menurut Yusof, Saiful berkata Anwar adalah seorang yang dikaguminya dan telah diberi layanan istimewa, dengan diberi sebuah bilik (di ibu pejabat PKR) selepas dua bulan kerja.

"Saiful berkata adakalanya sebelum kejadian itu, dia merasa takut," katanya.

Yusof menggesa mahkamah supaya menerima bukti dalam kejadian (liwat) sebelumnya.

Pihak pendakwa, tegasnya, tiada masa untuk mengemukakan insiden (liwat) sebelumnya.

Yusof seterusnya berhujah bahawa kejadian (liwat) di Desa Damansara boleh dipercayai.

Menurutnya, rakaman CCTV juga menyokongnya dan bukti bebas menunjukkan Saiful berada di tempat kejadian.

Yusof berkata, masa tertuduh berada di situ juga sama dengan masa Saiful berada di tempat kejadian.

Beliau merujuk kepada kereta Anwar dan Saiful tiba dan meninggalkan kondominium tersebut sebagai bukti. -mk


‘Lelaki Y’ adalah Anwar, kata pendakwa

KUALA LUMPUR, 25 April - Profil DNA “Lelaki Y” yang ditemui di dubur Mohd Saiful Bukhari Azlan adalah milik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Ketua pasukan pendakwa Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden berkata sampel-sampel DNA yang diambil daripada tiga barang di sel Anwar ditahan semalaman pada 16 Julai 2008 sepadan dengan profil DNA “Lelaki Y”.

“Ia mengesahkan bahawa penyumbang tidak diketahui Lelaki Y adalah Datuk Seri Anwar. Ini menunjukkan ada kes prima facie,” katanya ketika menyampaikan hujah penggulungan sama ada Anwar harus dipanggil untuk membela kes liwat keduanya ini.

Yusof juga berkata Anwar adalah tahanan tunggal di lokap ketika tuala,berus gigi dan botol air mineral diambil.

Ahli kimia Dr Nor Aidora Saedon dan Supt Amidon Anan dipanggil sebelum ini untuk mengenal pasti barang-barang berkenaan yang ditanda sebagai bahan bukti. -TMI


Ulasan GB

Itu sebab sebelum ini GB katakan bahawa konspirasi untuk memenjarakan Anwar bakal jadi kenyataan.

Kalau GB peguam di situ, GB akan kata hujjah Pendakwa tertolak kerana beliau berhujjah:

apa yang penting ialah sama ada zakar dimasukkan ke dalam dubur. Katanya, mahkamah mesti berpuas hati yang kejadian sedemikian boleh berlaku.

Di situ sudah jelas kegagalan Pendakwa Raya untuk membuktikan kejadian "zakar telah masuk" itu berlaku. Ia hanya andaian beliau sahaja bukan satu kepastian sebab beliau menyatakan: kejadian sedemikian boleh berlaku.

Boleh berlaku bererti kemungkinan sahaja akan berlaku dan bukan ianya telah berlaku.

Hakim mahkamah sepatutnya hanya menjatuhkan hukuman jika sesuatu itu benar-benar PASTI TELAH belaku bukan andaian-andaian "kemungkinan boleh berlaku".

Lihatlah juga bagaimana Pendakwa Raya berhujjah di dalam kes liwat Anwar-Saiful di atas iaitu terus-menerus cuba sedapatnya menghancurkan karakter Anwar sejak dari hari pertama perbicaraan sehingga ke hari ini yang penuh dengan unsur lucah tanpa batas.

Bagi pendakwa raya, yang lain tidak penting, krebiliti saksi tidak penting, prinsip asas kebenaran dan keadilan itu tolak tepi, tetapi kisah liwat itu perlu digambarkan dan dikhabarkan sejelas mungkin supaya umum segera memandang jijik kepada Anwar. Itu matlamat Pendakwa Raya.

Pendirian GB jelas: sekalipun GB tidak sependirian dengan Anwar sebelum ini, tetapi GB akan tetap perjuangkan keadilan untuknya. Beliau berhak mendapat dan menerima penghakiman yang bersih dan adil, bukan berdasarkan di atas perkara yang direka-reka dan bukti yang dicipta-cipta untuk menunjukkan beliau bersalah.

SPA Tidak Profesyenal, Guna Google Translator Untuk Terjemahkan Portal - Cukup Memalukan!

Portal SPA guna Google Translator, Tamil jadi Hindi

SPA tiada pakar bahasa untuk kenali Bahasa Tamil?

PETALING JAYA: Penggunaan aplikasi Google Translator dikenal pasti menjadi punca pengguna yang memilih ‘Bahasa Tamil’ di portal rasmi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dibawa ke laman yang menggunakan tulisan Hindi.

Graduan sarjana sains dalam teknologi maklumat dari Universiti Middlesbrough, Britain, Kughan Nadarajah berkata, portal itu menggunakan Google Translator untuk melakukan terjemahan secara langsung dari Bahasa Malaysia ke Tamil dan Mandarin.

“Akan tetapi, pengguna yang memilih Bahasa Tamil disajikan dengan terjemahan langsung ke Hindi berikutan ketiadaan Tamil dalam aplikasi terjemahan secara percuma itu.

“Bagi versi laman Bahasa Inggeris pula, SPA menggunakan ‘PortalEng by Default’ maka tiada masalah pada versi itu,” katanya sebagai mengulas laporan kecacatan pada portal rasmi SPA.

Pada 22 April lalu, seorang pemuda yang menggunakan nama Macxi Sivesangkaran pada akaun Facebook melahirkan rasa terkejut kerana portal rasmi www.spa.gov.my memaparkan kandungan dalam tulisan Hindi apabila beliau memilih “Bahasa Tamil” pada pilihan yang diberikan.

“Tak ada pakar bahasa dalam bahagian Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia yang boleh bezakan tulisan Tamil dengan Hindi; atau buat-buat tak nampak?” tanyanya dalam aduan yang dipaparkan di ruangan status akaun Facebook beberapa rakannya.

Pemuda itu juga bertanya, “bagaimana cara untuk buat aduan tentang perkara ini? Saya sudah pun hantar e-mel melalui bahagian aduan laman web … tiada apa-apa usaha diambil untuk mengubah tulisan Hindi ke Tamil”.

Wartawan FMT melayari portal rasmi SPA dan mendapati apa yang dikatakan oleh Macxi Sivesangkaran dari Ipoh, Perak adalah benar.

Penjelasan yang diberikan oleh Kughan Nadarajah juga mampu menerangkan punca sebenar masalah itu wujud.

“Pada pagi ini, pilihan bahasa Tamil diubah kepada bahasa Hindi tetapi persoalan kini berapa ramai orang dari masyarakat India di Malaysia fasih dalam bahasa Hindi?,” soal Kughan. -FMT

Air Kencing Unta Cegah Kesan Radiasi Nuklear

Jeddah: Ketua Jabatan Implan Tisu di Pusat Penyelidikan Raja Fahd berkata, dia dihubungi Kedutaan Jepun di Malaysia yang ingin mengetahui mengenai kegunaan air kencing unta untuk merawat kanser dan mencegah radiasi nuklear.

Dr Fatin Khoursheed (gambar) yang juga penyelia Kerusi Al-Zamil untuk Kanser memberitahu akhbar berbahasa Arab Al-Hayat, panggilan telefon itu diterimanya ketika krisis nuklear di Jepun semakin bertambah buruk.

“Ia dibuat selepas letupan di loji Fukushima 1,” katanya.

“Pihak berkuasa Jepun mahu mencuba kesan air kencing unta secara santifik dalam merawat individu yang terdedah kepada radiasi nuklear bagi mencegah mereka daripada mendapat penyakit kanser.” Dr Fatin berkata, dia sudah menjalankan penyelidikan mulai 2004 selepas berjaya memulihkan berpuluh-puluh kes pelbagai penyakit kanser dengan air kencing unta yang diambil secara meminumnya, dalam bentuk kapsul, salap atau syampu. Pesakit yang sudah menjalani rawatan itu di Arab Saudi dan negara lain menunjukkan penyembuhan 98 peratus.

Menurutnya, pertanyaan daripada pihak berkuasa Jepun itu cukup aneh kerana Badan Makanan dan Ubat-Ubatan Saudi gagal untuk mengiktiraf keputusan penyelidikan saintifik itu.

“Walaupun penyelidikan itu secara teori dan amali menunjukkan keberkesanan tetapi gagal diiktiraf Badan Makanan dan Ubat-Ubatan Saudi.

“Minat ditunjukkan pihak berkuasa Jepun itu meningkatkan semangat saya untuk membuktikan keberkesanan penyelidikan itu,” katanya lagi. - SG

Ulasan GB

Sesungguhnya tidak ada satu pun yang Allah ciptakan itu sia-sia walau sebutir habuk sekalipun.


Parti Politik Berasaskan Kaum Perlu Diharamkan - Surendran

Saya merujuk kepada kenyataan meracau baru-baru ini oleh Mahathir terhadap DAP, di mana beliau tergamak untuk menuduh DAP melaksanakan politik rasisme. Ini adalah suatu kenyataan yang mengejutkan apabila datang daripada bekas pemimpin gabungan politik pemerintah yang terdiri daripada parti-parti politik yang eksklusif kepada satu kaum.

Di kebanyakan negara bertamadun sekitar dunia, UMNO-MCA-MIC akan didakwa mahkamah kerana mempunyai kriteria keahlian yang mendiskriminasi atas dasar kaum. Bahawa parti-parti politik satu kaum ini membentuk kerajaan pusat di Malaysia adalah sesuatu yang amat memalukan negara kita. Ia merupakan titik hitam yang amat besar dalam sejarah negara kita setelah Merdeka.

Adalah sukar bagi kita menamakan mana-mana negara lain di dunia yang membenarkan kewujudan parti perkauman seperti di sini. Hanya satu contoh iaitu National Party di Afrika Selatan yang eksklusif kepada kulit putih dan yang mengamalkan apartheid, menindas rakyat berkulit hitam dan menjadi sampah masyarakat dunia. Untuk tempoh setengah kurun, mereka memukul, menyeksa dan memenjarakan rakyat berkulit hitam yang tidak bersalah. Sekarang National Party tersebut tidak lagi wujud. Kecuali mereka berubah secara dasar, UMNO-MCA-MIC ditakdirkan juga menjadi sampah sejarah, diingati hanya oleh organisasi seperti PERKASA.

Apa yang paling membimbangkan adalah bahawa kerajaan bukan sahaja membenarkan parti seperti ini wujud, tetapi memelihara, memupuk dan menyokongnya. Ini adalah disebabkan kerajaan sendiri adalah manifestasi organisasi eksklusif kaum ini. Kerajaan juga sanggup menjalankan kegiatan korup bagi pihak mereka; sebagai contoh mantan Perdana Menteri Mahathir mendapatkan kewangan bagi pembinaan PWTC, ibupejabat UMNO, dengan memaksa bank-bank yang dimiliki negara untuk membatalkan hutang UMNO sehingga sejumlah RM140 juta.

Perhimpunan tahunan UMNO yang disiarkan langsung ke seluruh negara adalah seolah-olah sesuatu dari dunia yang terbalik; iaitu suatu pameran satu kaum yang jijik. Tetapi pasti pesudo-intelektual dari Oxford seperti Khairy Jamaludin akan membela kewujudan parti satu kaum dan memberi justifikasi bagi keahlian mereka dalam parti seumpama itu.

Soal pokoknya, bagaimana kita dapat menjelaskan kepada anak-anak negara ini kenapa sesetengah parti boleh dianggotai oleh satu kaum sahaja? Bukankah kita menyuntik racun rasisme ke dalam tubuh mereka? Bagaimana perkara ini telah dibenarkan berlaku selama lebih 50 tahun? Bukankah sukar dipercayai?

Untuk kebaikan negara dan anak anak kita, saya menuntut UMNO-MCA-MIC menolak kaum sebagai kriteria keahlian dan membuka parti masing-masing kepada rakyat Malaysia daripada mana-mana kaum. Jikalau mereka tidak mahu berbuat demikian, maka mereka tidak layak memimpin negara ini. Undang-undang mesti di pinda untuk mengharamkan kesemua parti-parti politik dan pertubuhan yang berdasarkan kaum. -MR

*Kenyataan media oleh N.Surendran selaku Naib Presiden PKR pada 24 April 2011.

Saiful Boleh Menjerit Atau Lari, Tetapi Tidak Berbuat Demikian. Kredibilitinya Dipertikaikan.

Peguam: 'Saiful minum kopi, karipap selepas diliwat'

Peguam Karpal Singh memulakan hujahnya dengan meminta mahkamah bergantung kepada apa yang telah dikemukakan di mahkamah.

"Bukan media atau apa yang dikatakan oleh perdana menteri," katanya ketika memula hujah pembelaan dalam kes tuduhan liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Pagi ini.

Menurutnya lagi, tidak sepatutnya ada sebarang jurang dalam kes pendakwaan.

"Mahkamah mesti meneliti kredibiliti setiap saksi pendakwa," tambahnya

Karpal memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwa mestilah membuktikan bukti yang ada.

"Tidak sepatutnya ada sebarang jurang bahan. Ujian di akhir kes pendakwaan ialah prima facie.

"Ia mestilah membuktikan setiap bukti boleh dipercayai, unsur-unsur kesalahan ditentukan dan mahkamah mesti memberi penilaian maksimum terhadap semua itu," tambahnya.

Karpal menegaskan bahawa salah satu yang tidak konsisten ialah tuduhan persetubuhan di luar tabii - iaitu di bawah seksyen 377b, bermakna dengan persetujuan.

"Bagaimanapun, pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan telah memberi keterangan yang ia tanpa persetujuan," kata Karpal sambil menambah bahawa pendakwa tidak boleh meminda tuduhan.

Karpal mengingatkan mahkamah bahawa perbicaraan kes liwat pertama yang membabitkan Anwar 10 tahun lepas - di mana hakim Mahkamah Tinggi menerima kes pengadu Azizan Abu Bakar - tetapi kemudiannya ditolak oleh Mahkamah Persekutuan.

"Mahkamah ini tidak seharusnya melakukan kesilapan ini sekali lagi. Saiful mesti dilihat sebagai saksi yang boleh dipercayai jika mahkamah mahu memanggil untuk membela diri," katanya.

Karpal kemudian menyentuh fakta kes - yang Saiful bukan seorang yang ' tidak berpelajaran' kerana mempunyai kelulusan pengajian tinggi dari Kolej Taylor.

Tegasnya, Saiful boleh meninggalkan bilik di mana kejadian liwat itu didakwa berlaku beberapa kali.

Karpal kemudian menyentuh secara terperinci apa yang berlaku pada hari berkenaan, berdasarkan testimoni Saiful.

Katanya, sewaktu Anwar didakwa meminta Saiful menghampirinya ketika pengadu hanya memakai tuala, Saiful boleh menjerit atau lari dari situ, tetapi tidak berbuat demikian.

Karpal turut membangkitkan beberapa perkara berkaitan dengan aksi seks tetapi, ini tidak boleh dilaporkan kerana keterangan Saiful itu diberikan secara tertutup.

Tambahnya selepas pelakuan aksi seks tersebut, Saiful makan karipap dan minum kopi dan berada di dalam bilik itu selama 20 minit.

Peguam itu mendakwa, Saiful juga tidak memperlihatkan tanda-tanda emosi yang dia telah menjadi mangsa diliwat.

Menurut Karpal lagi, sehari selepas kejadian tersebut (27 Jun 2008), Saiful pergi ke ibupejabat PKR di Tropicana, malah juga pergi ke rumah Anwar.


Peguam itu mendakwa, tindakan itu bukan tingkahlaku oleh seseorang yang didakwa telah diperlakukan sedemikian.

Menurut Karpal lagi, Saiful telah melakukan sumpah bohong kerana mendakwa dia telah berbohong di mahkamah dan dalam laporan polisnya apabila dia berkata pelakuan seks itu dilakukan tanpa persetujuannya.

"Bukti Saiful tidak meyakinkan melebihi keraguan. Dia telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 195 untuk mereka bukti," hujah Karpal.

Karpal kemudiannya meminta pendakwa mendakwa Saiful kerana didakwanya telah mereka bukti.

Saiful, tambahnya, juga telah menunda membuat satu laporan polis - dia membuat laporan dua hari selepas insiden tersebut.

"Doktor pertama yang ditemui Saiful ialah Dr Mohd Osman Abdul Hamid, tetapi beliau tidak dipanggil sebagai saksi," kata Karpal.

Hujahnya, ketidakhadiran Dr Osman (kanan) sebagai saksi, telah menimbulkan keraguan yang serius terhadap kes pendakwa.

Katanya, pihak mendakwa tidak berbuat demikian walaupun ditawarkan Dr Osman sebagai saksi.

Katanya, keterangan Dr Osman akan bercanggah dengan keterangan yang diberikan oleh tiga doktor Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Akan terdapat dua versi kes dan kesangsian tersebut seharusnya diberikan kepada dituduh," tambahnya.

MCLM Nak Letak 30 Calon Dalam PRU13

Bangkok: Malaysian Civil Liberties Movement (MCLM)yang dipimpin pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin, merancang untuk meletakkan 30 calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) di Malaysia.

Presiden MCLM Haris Ibrahim berkata calon-calon itu akan bertanding kerusi parlimen sebagai calon Bebas kerana MCLM bukan sebuah parti politik.

"Kita telah melantik agensi pengurusan risiko (penyiasat persendirian) untuk meneliti latar belakang termasuk biodata, harta dan status kewangan dan juga memantau bakal calon," katanya dalam dialog MCLM dengan rakyat Malaysia yang menetap di sini, malam Sabtu.

Beliau berkata MCLM yang ditubuhkan pada 2004 belum mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan tetapi mereka telah dibenarkan bergiat secara sah di London, Oktober tahun lepas.

Haris berkata beliau tidak akan bertanding pada pilihan raya umum itu kerana beliau akan berkempen untuk calon-calonnya.

Raja Petra, pengasas dan editor blog Malaysia Today yang juga Pengerusi MCLM berkata: "Kami mahu menukar kerajaan tetapi bukan untuk menjadi kerajaan. Kami mahu menjadi sebahagian daripada pergerakan untuk menukar kerajaan."

Beliau berkata MCLM sedang dalam proses untuk menubuhkan cawangannya di bandar-bandar utama di dunia. Thailand merupakan cawangan ketiga selepas Australia dan New Zealand.

Raja Petra, lari meninggalkan Malaysia pada 2008 selepas didakwa memfitnah tiga orang termasuk isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor melalui akuan bersumpahnya berhubung pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaaribuu.

Semasa dialog itu, beliau mengulangi pendiriannya bahawa beliau telah didakwa secara salah kerana beliau tidak membuat tuduhan terhadap mereka tetapi terhadap sumbernya, seorang pegawai tentera berpangkat kolonel yang memberikannya maklumat.

Raja Petra berkata pergerakan itu mengenengahkan agenda Malaysia dan bukan berdasarkan agenda perkauman.

"Sebagai contoh, MCLM boleh menggerakkan demonstrasi anti-ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) di seluruh bandar utama di dunia serentak dengan Kuala Lumpur pada masa depan," kata Haris. -BERNAMA

Ulasan GB

Selain dari KITA, kini MCLM pula akan masuk bertanding.

Pengalaman pilihanraya silam tidak dijadikan pengajaran, malah PRN Sarawak telah menunjukkan bahawa SNAP yang dikenali oleh rakyat Sarawak itupun gagal malah kehilangan semua wang pertaruhannya.

Tak apa kalau dah nak bertanding juga. Sekurang-kurangnya GB dah bagitahu awal-awal yang wang pertaruhan itu akan menjadi sumbangan derma sahaja kepada SPR.

Penduduk Runtuhkan Jambatan Protes Laporan Polis & SPRM Tidak Diindahkan

Kuching: Kecewa apabila bantahan, laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dibuat terhadap pembalakan di tanah mereka tidak mendapat perhatian, penduduk 10 kampung di Tebedu, berhampiran sempadan Malaysia-Indonesia, semalam mengambil tindakan sendiri meruntuhkan jambatan dibina syarikat itu.

Jambatan itu dipercayai dibina syarikat pembalakan untuk merentasi Sungai Suhu bagi mengeluarkan balak dari kawasan berkenaan.

Penduduk Kampung Temong Bengan, Kampung Temong Putah, Kampung Temong Mura, Kampung Temong Mawang, Kampung Darul Fallah, Kampung Darul Huda, Kampung Tepoi, Kampung Semunti, Kampung Sebekar dan Kampung Sebuhang kini merayu campur tangan pihak berkuasa menghentikan pembalakan di kawasan tanah mereka sejak pertengahan tahun lalu.

Wakil penduduk, Mani anak Marin, 47, mendakwa syarikat pembalakan bukan saja mengambil balak di hutan berhampiran kampung, malah dusun durian serta sawah padi mereka turut dirosakkan.


Kehidupan mereka kini tidak lagi selesa apabila air sungai yang selama ini menjadi sumber kegunaan harian kini tercemar teruk apabila air yang dulunya jernih kini bertukar kekuningan.

Mani mendakwa penduduk tidak tahu hutan berhampiran kampung itu diteroka syarikat pembalakan, sehinggalah mendengar deruman enjin jentera menjalankan kerja menolak tanah untuk membuat jalan, Jun tahun lalu.

“Selepas diselidik, kami dapati kerja pembalakan dijalankan di hutan itu dan apabila disoal, pekerja syarikat balak mendakwa mereka menjalankan kerja yang sah selepas mendapat kebenaran bertulis lima ketua kampung di kawasan itu,” katanya.
Bagaimanapun, penduduk musykil kerana tidak pernah dimaklumkan mengenai kegiatan itu, malah ketua kampung juga tidak pernah membawa mereka berbincang.


Penduduk yang tidak berpuas hati kemudian mendapatkan surat perjanjian itu ditandatangani lima ketua kampung yang membenarkan kawasan hutan seluas 4,125 hektar diteroka syarikat pembalakan yang berpejabat di Batu Tiga, Kuching.

Penduduk kemudiannya cuba mendapatkan penjelasan daripada pihak syarikat namun diugut.

Berikutan itu, Mani berkata penduduk membuat laporan polis di Balai Polis Tebedu dan Serian serta membuat laporan kepada SPRM.

“Namun hingga kini, tiada tindakan diambil terhadap syarikat itu, malah kerja pembalakan semakin rancak dilakukan. Siapa yang tidak marah jika ratusan pokok durian, buahan-buahan lain, pokok tapang ditebang dan dijadikan kayu balak.

"Lebih menyedihkan apabila sawah padi kami turut dirosakkan apabila mereka membina jalan balak melaluinya,” katanya.

Mani mendakwa ketua kampung mengambil sikap lepas tangan.

"Kami terpaksa bertindak sendiri kerana kami sedar masalah kami ini tidak diberi perhatian. Sampai bila kami harus menunggu... adakah hingga hutan kami musnah dan semua tanah kami musnah barulah hendak bertindak,” katanya. -BH

Ulasan GB

Mujur AC MIzal Pilih UMNO, Bukan Pakatan

AC Mizal pilih Umno, tolak sertai pembangkang

Pelakon dan pengacara AC Mizal yang menyerah borang keahlian Umno hari ini, berkata beliau sebelum ini ditawar menyertai sebuah parti pembangkang serta dijanjikan jawatan tinggi.

Bagaimanapun, katanya, beliau menolaknya kerana tidak bersetuju dengan dasar yang diperjuangkan oleh parti berkenaan.

"Adalah sukar untuk saya menerima pelawaan menyertai parti tersebut kerana saya dibesarkan dengan perjuangan Umno yang popular dengan slogan 'Dulu, Kini dan Selamanya...

"Tambahan pula saya langsung tidak bersetuju ataupun serasi dengan dasar perjuangan yang didukung oleh mereka," katanya kepada pemberita.

Sebelum itu, AC Mizal bersama isterinya Emylia Rosnaida menyemarakkan Program Jom Masuk Umno di Ipoh apabila bersama 500 yang lain mengemukakan borang kemasukan sebagai anggota parti itu.

AC Mizal, 40, yang juga ahli perniagaan, menyerahkan borang keahlian kepada Ketua Umno bahagian Ipoh Barat, Datuk Shamsuddin Ghaffar.

Bercakap kepada pemberita, AC Mizal berkata beliau menyertai Umno kerana selari dengan perjuangannya dan selepas dipelawa oleh ketua Pemuda bahagian Ipoh Barat, Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi.

"Saya terus menerimanya kerana selama ini saya lihat (Umno) begitu komited dalam perjuangan demi menegakkan keadilan," katanya kepada pemberita di program anjuran Umno bahagian Ipoh Barat.

AC Mizal berkata beliau akan bergiat secara ikhlas dan telus sebagai seorang ahli biasa Pemuda Umno dan tidak berhasrat untuk merebut jawatan di dalam parti.

"Saya berniat untuk bergerak secara aktif dalam pergerakan Pemuda walaupun usia telah mencapai 40 tahun pada tahun ini tetapi bagi saya masih belum terlambat bagi membantu parti yang menjaga negara sejak ia ditubuhkan," katanya.

Anak kelahrian Muar, Johor itu berkata beliau turut memilih untuk bersama-sama Umno Perak berdasarkan nasihat Allahyarham ayah mentuanya yang telah berpesan sekiranya beliau ingin memperjuangkan nasib bangsa, Perak adalah tempatnya.

Isterinya Emylia berasal dari Ipoh.

Sementara itu, pengarah filem Hantu Mak Limah Balik Rumah, Mamat Khalid yang turut berada pada majlis itu berkata beliau datang untuk memberi sokongan kepada rakannya. - Bernama

Ulasan GB

Mujur AC Mizal masuk UMNO tida parti-parti di bawah Pakatan Rakyat.

Jika tidak tentulah dia membawa sekali segala najis yang terpalit ekoran perniagaan MLM gelang palsunya itu ke dalam parti dan kemudiannya menjadi modal utama pula musuh PR menggunakan isu berkenaan menghentam PR.

Sekarang biarlah UMNO tanggung. Itu saja tahap artis yang UMNO boleh dapat untuk menjadi gimik nak lawan kisah Bob Lokman yang telah menyertai PAS.

Tentang kisah gelang palsu itu boleh baca kisahnya di Oh Bulan


Harussani: Anwar Tak Perlu Sumpah Mubahalah

Video seks: Anwar tak perlu sumpah mubahalah, kata Harussani

Tan Sri Harussani Zakaria menegaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu melakukan sumpah mubahalah berhubung dakwaan rakaman video seks, oleh tiga “Datuk T”, yang mengaitkan dengan diri beliau.

Ini kerana jelas Mufti Perak, Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh tidak boleh disabitkan dengan sebarang kesalahan atau dijatuhkan hukuman kerana pelaku dalam rakaman video seks yang didedahkan “Datuk T” masih belum dibuktikan lagi.

Tegas, Harussani (gambar), sebarang tuduhan atau pendakwaan terhadap Anwar perlu dilakukan di mahkamah dan bukan di khalayak ramai termasuk sumpah mubahalah.

“Sumpah (mubahalah) dalam mahkamah bukan di luar... lagipun apa guna beliau (Anwar) nak bersumpah? Jadi beliau tidak perlu bersumpah di hadapan masyarakat, kenapa tidak buat di mahkamah? Anwar tak perlu dihukum sebab beliau tidak lagi didapati bersalah.

“Dalam video itu, kita belum tahu siapa pelakunya, kalau nak bersumpah mubahalah pun kena tunggu bukti dulu tapi kalau ada (bukti) pun Anwar tidak boleh disabitkan bersalah sebab menurut Islam perlu ada empat saksi yang menyaksikan kejadian itu berlaku,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas saranan bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, dipetik akhbar arus perdana baru-baru ini, agar Anwar melakukan sumpah mubahalah di hadapan masyarakat ekoran tuduhan “Datuk T” terhadapnya. Asri dipetik berkata Anwar perlu bersumpah seperti yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semasa menafikan beliau terlibat dengan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibu di sebuah masjid di Bukit Mertajam, Pulau Pinang tiga tahun lalu.

"Datuk T” iaitu bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, bekas bendahari agung Perkasa Datuk Shuib Lazim dan ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah telah menggemparkan negara apabila mempertontonkan rakaman video seks itu kepada wakil media pada 21 Mac lalu di hotel Carcosa Seri Negara.

Malah ketiga-tiga individu itu telah membuat pengakuan secara terbuka dan akan mengambil tanggungjawab selain bersedia menerima sebarang tindakan undang-undang.

Sehari selepas pendedahan video seks itu, Anwar membuat laporan polis dan menafikan beliau adalah pelaku aksi seks yang didakwa “Datuk T”.

Malah sebelum ini Shuib juga mencabar Anwar supaya bersumpah laknat bagi membuktikan kebenaran dakwaan rakaman video seks itu.

Tambah Harussani, sekiranya Anwar melakukan sumpah mubahalah di hadapan masyarakat ia tidak boleh membuktikan sama ada beliau bersalah atau tidak dalam tuduhan itu.

“Sumpah mubahalah ini tak perlu buat depan orang ramai, kalau nak buat di mahkamah.

“Kalau buat depan orang ramai tidak boleh pakai kerana keputusan hanya dibuat di mahkamah sahaja... kalau buat kepada orang ramai, apa yang mereka boleh buat?” soalnya.

Dalam pada itu, Asri berkata laporan sesetengah media yang mengatakan bahawa beliau meminta Anwar bersumpah mubahalah kurang tepat.

“Saya menjawab menyatakan Datuk T wajar bersumpah mubahalah, isu video itu tidak membabitkan diri mereka.

“Cumanya jika mereka buat juga, bagi mengelakkan salah sangka masyarakat, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar menyebut wallahi, wa billahi, wa tallahi, menafikan hal itu,” kata bekas mufti Perlis ini.

Kata beliau, sekurang-kurangnya langkah itu dapat menghilangkan salah sangka sesetengah pihak.

“Pun begitu, terpulang kepadanya, tiada paksaan,” kata beliau lagi.

Jelas Asri, mubahalah menyebut laknat ke atas diri dan jika tidak disebut maka ia adalah sumpah biasa.

“Jika Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu dia boleh buat mubahalah, terpulang kepadanya. Jika dia buat, kesannya besar kepada diri dan rakyat,” tambah beliau. -TMI

Kambing Yang Minum Kopi 5 Gelas Sehari

Denpasar - Manusia suka minum kopi memang sudah sangat biasa, namun bagaimana pula jika kambing kecanduan minum kopi?

Tidak tertanggung, kerana sudah kecanduan, kambing betina yang diberi nama Lucy itu biasa menghabiskan tiga sampai lima gelas kopi hitam sehari.

Pemiliknya pun enggan menjual kambing kesayangannya meskipun ditawarkan harga tinggi. Dia berjanji memelihara hingga mati. Lucy hanya memerlukan beberapa detik saja untuk meminum segelas kopi.

Jangan salah sangka Lucy adalah seekor kambing betina berusia 6 tahun yang dipelihara oleh Ibu Karim di sebuah kandang di Kampung Jawa, Denpasar.

Menurut Karim, Lucy sudah biasa meminum kopi sejak kecil. Kesukaan Lucy meminum kopi dimulai sejak sering mendekati orang yang sedang asyik minum kopi.

Kerana sering didekati, orang pun memberinya kopi yang masih tersisa di gelas. Kebiasannya itu masih dilakukannya sampai saat ini.

Tak hairan jika tidak disajikan kopi, Lucy akan berteriak layaknya kambing kelaparan.

Kegemaran Lucy yang cukup unik ini membuat Karim bersama keluarganya terhibur. Mereka enggan menjual kambing kesayangannya meski pernah ditawar dengan harga tinggi.

Selain kopi, Lucy juga gemar memakan makanan yang biasa disantap manusia, seperti keropok, nasi, dan ais. Karim dengan ikhlas memberinya makanan tersebut, seperti anaknya sendiri. -okezone