20 Mac 2010

Kerajaan Harus Ambil Iktibar Dari Bantahan Dunia

Kerajaan diminta mengambil iktibar dari bantahan Ahli-Ahli Parlimen United Kingdom mendesak Umno-BN menghentikan penderaan politik terhadap pembangkang.

Pelbagai pihak berpandangan bahawa maruah negara dan rakyat Malaysia telah diperjudikan di mata dunia oleh pemimpin-pemimpin politik yang menghalalkan apa sahaja cara demi kepentingan politik sempit.

Badan hak asasi manusia, Suara Rakyat Malaysia mengulangi gesaan masyarakat antarabangsa mendesak Umno-BN untuk tidak memperkudakan aparatus kerajaan untuk menghancurkan seteru politik mereka.

Penyelaras Suaram, E Nalini berkata pihaknya telah melihat dan menerima pelbagai aduan berhubung salahguna kuasa pemerintah yang menghalang pembangkang dari merapati masyarakat.

"Ceramah-ceramah yang dianjurkan pembangkang, misalnya yang dianjurkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, selalu dihentikan oleh polis. Polis adalah di bawah institusi kerajaan. Mereka menerima arahan daripada IGP dan ini menunjukkan memang ada diskriminasi kepada pembangkang," jelas beliau.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Tian Chua dan Nurul Izzah dipanggil ke Balai Polis Petaling untuk diambil keterangan berhubung ceramah mereka di Taman Seri Sentosa. Mereka dipanggil atas alasan melanggar syarat permit dan menyentuh isu perkauman.

Pada malam 8 Mac lepas, program memperingati Kemenangan Dua Tahun Pakatan Rakyat terhalang selepas Unit Simpanan Persekutuan merempuh masuk premis Kelab Sultan Sulaiman dan menyerbu pentas yang menempatkan pimpinan Pakatan Rakyat.

Modus operandi seperti ini tidak terhenti di lapangan, bahkan terlanjur sehingga ke Dewan Rakyat.

"Di Parlimen juga kita boleh nampak sebarang resolusi yang dibawa oleh pembangkang selalunya akan ditolak. Walaupun resolusi yang dibawa bermanfaat kepada rakyat tetapi akan ditolak atas alasan tidak ada masa," kata Nalini.



Zaid: Perkasa Bawa Politik Primitif

Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN Datuk Zaid Ibrahim membidas Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) pimpinan Datuk Ibrahim Ali yang didakwa sengaja mencetuskan ketakutan di kalangan orang Melayu sambil menyifatkan bentuk politk yang di bawa pertubuhan itu sebagai 'primitif'.

Bercakap pada persidangan Kepimpinan Anak Muda 2010 anjuran Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan Negeri Selangor, Zaid menyelar pertubuhan bukan kerajaan tersebut yang berulang kali menyuarakan kebimbangan terhadap kehakisan hak keistimewaan orang Melayu seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam wawancara Ibrahim dengan Malaysiakini, beliau berkata kita mesti pertahankan hak-hak dalam Perkara 153. Saya pun Melayu. Siapa yang hendak ambil hak kita yang dia hendak lindungi sangat tu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa peserta persidangan supaya tidak terpengaruh ke atas ketakutan yang direka oleh 'orang politik' tertentu.

“Di Malaysia Bumiputera jumlahnya besar. Di Sabah dan Sarawak, Iban sahaja sudah 60 peratus. Itu belum campur Melanau.

Mustahil hak kita akan diambil oleh sesiapapun. Jadi tak betul lah kalau dia cakap ada orang nak rampas hak kita,” ujar beliau lagi.

Kenapa SPRM Tak Dakwa Fairus?

Ahli Exco Angkatan Muda KEADILAN Pusat Amizuddin Ahmat mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Pulau Pinang menutup siasatan kes rasuah terhadap bekas Timbalan Ketua Menteri I Mohammad Fairus Khairuddin walhal agensi itu sebelum ini mengakui terdapat asas untuk meneruskan kes tersebut.

"Adakah kerana antara pemimpin yang dimaksudkan sudah berhenti memegang jawatan dan masuk Umno, kes ini lalu terhenti dan ditutup?

"Adakah kes ini akan dikatakan tidak cukup bukti untuk meneruskan pendakwaan hanya kerana yang terlibat sudah melompat parti?" tanya Amizuddin.

Semalam SPRM Pulau Pinang memanggil Amizuddin yang juga Ketua AMK Kepala Batas berhubung surat yang dihantar kepada Pengarahnya Datuk Latifah Md Yatim.

Surat tersebut bertanyakan mengenai status siasatan penyelewengan kes kuari di negeri itu yang membabitkan bekas Mohammad Fairus.

Amizuddin merupakan pemberi maklumat dan pernah dipanggil SPRM untuk memberikan bukti berkenaan kes rasuah melibatkan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1 itu.

Pada 27 Februari 2009 beliau mendedahkan penyelewengan dua pemimpin KEADILAN negeri kerana menerima rasuah daripada syarikat kuari di Seberang Prai.

Beliau yang ketika itu Ahli Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP) mendakwa memiliki bukti berbentuk sistem pesanan ringkas (SMS) dan slip bank berkaitan kemasukan wang ke akaun peribadi mereka.

Ketika dihubungi Suara Keadilan Amizuddin berkata beliau ke kompleks SPRM Pulau Pinang dengan ditemani Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN Badrul Hisham Shaharin dan Ketua AMK Pulau Pinang Amir Ghazali.

SPRM dalam responnya kepada Amizuddin berkata siasatan di peringkat SPRM Pulau Pinang telah selesai dan kes itu telah dirujuk kepada ibu pejabat di Putrajaya.

Menurut Amizuddin, Latifah memberitahu beliau kes berkenaan bukan lagi di bawah bidang kuasa SPRM Pulau Pinang.

"Beliau kata kes itu bukan bidang bawah kuasanya lagi kerana kes itu telah diserahkan kepada SPRM Putrajaya. Jika mereka kata siasat, akan siasat, jika kata tutup (kes itu) maka tutup," ujarnya.

Amizuddin berkata Latifah berjanji untuk memberikan jawapan bertulis berhubung isu yang dibangkitkan dalam surat beliau dalam tempoh dua minggu.

Suara Keadilan sebelum ini menyiarkan kenyataan Ketua AMK Pusat Shamsul Iskandar Mohd Akin yang menyifatkan tindakan Mohammad Fairus menyertai Umno mengesahkan persepsi rakyat bahawa wujud kompromi di antara beliau dan SPRM supaya tidak meneruskan pendakwaan ke atasnya.

Ini terbukti apabila beliau menyertai Umno hanya dua minggu selepas pengumuman SPRM dibuat.

Pada 12 Februari lalu SPRM telah menutup siasatan lapan kes berprofil tinggi termasuk kes rasuah Mohammad Fairus. -SK/TVS



Isu arak di parlimen: Rembau terpaku, Pasir Salak, terduduk!

Cubaan Ahli Parlimen (AP) Rembau yang juga Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin memainkan isu arak dan judi di Dewan Rakyat ibarat meludah ke langit, terpercik di muka sendiri sebaik MP Machang, Saifudin Nasution diberi laluan untuk berucap.

Saifudin yang hanya menyatakan berhubung judi arak secara umum membuatkan beberapa MP Umno berasa kurang selesa termasuklah AP Pasir Salak yang kelihatan marah-marah dan hampir-hampir keluar dari tempat duduk asalnya.

Berikut ialah transkrip penuh ucapan Saifudin yang juga Setiausaha PKR sehingga membuatkan MP Umno tertekan di Dewan Rakyat.

"Dia (Khairy Jamaluddin) tak sukar kita memahami keberanian Rembau kebelakangan ini untuk dilihat berani mencabar Ketua Pembangkang.

"Sifirnya mudah, menang pemilihan parti (Umno), tak dapat jadi menteri, itu sahaja," katanya.

Maknanya, tambah Saifudin, perbahasan ini sekarang, diikuti oleh Perdana Menteri (Najib Razak) jadi keberanian itu akan diberi markah dan peluang untuk dilantik jadi menteri, itu sahaja.

"Jadi, itu fakta. Adakah Permatang Pauh (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bersetuju, tak susah kita memahami budaya dalam politik Umno.

Maknanya dosa besar dalam Umno, ialah menegur dan berkata benar kepada pemimpin Umno itu berdosa besar. Parti agama, bangsa, Negara. Judi ok, arak ok.

Jangan cabar kita, kita boleh tunjuk berapa kerat dalam (Dewan Rakyat) ini.

Berapa banyak botol Arak dia togok dalam lawatan-lawatan pemuda Umno dulu.

Jangan sebut, kita boleh sebut, Jangan cabar kita, kita boleh sebut.

Jangan cabar, kita tahu, pejabat pemimpin Umno mana yang ada tong arak dalam pejabat.

Jangan cabar, waktu Wedding Anniversary, pemimpin pemuda Umno dihidangkan botol arak, jangan cabar kita,” kata Saifudin.

Ketika ini, beberapa pemimpin Umno merah padam walaupun Saifudin sekadar menyebut perkara itu secara umum sehingga Timbalan Yang Di Pertua (TYDP) Dewan Rakyat menegur sikap pemimpin Umno itu.

TYDP : Sudah lah Pasir salak, Pasir Salak duduk dahulu, Rembau, Rembau duduk dahulu, saya pun mahu dengar apa yang Machang nak cakap.

Saifudin yang dibenarkan berucap menyambung;

"Apakah Permatang Pauh bersetuju kalau saya katakan bahawa, dalam satu forum beberapa tahun lalu, selepas MP Permatang Pauh di pecat (dari parti dan kerajaan), di University John New Hopkins Amerika Syarikat, Pemimpin pemuda Umno itupun ada di sini, Bendahari Umno Malaysia pun ada di sini. berapa banyak botol arak dia togok, kita tahu, jangan cabar,” katanya.

MP Pokok Sena yang terkejut dengan pendedahan itu turut sama menggamatkan Dewan apabila berkata.'

Mahfuz : Tu dia, baru kami tahu. Allah Akhbar, apa pasal teruk sangat ni.

Saifudin menyambung;

“Sebab itu, jangan sampai kita sebut di mana, Hai kenapa marah (Khairy dan Tajuddin), kenapa marah, sebab apa marah, bersungguh marak kenapa, duduklah.

YDP saya bagi fakta ini, Bagan Datoh tak marah, Batu Pahat tak marah, Pontian tak marah. Rembau terpaku, Pasir Salak yang lebih, kenapa, kenapa, kenapa?

Sebab itu, jangan… jangan sebut,” katanya.

Ketika ini Pasir Salak yang sejak tadi diam, tiba-tiba menyinga dan menyalak dan dilihat cuba keluar dari kerusinya sebelum MP Machang berkata;

“Kalau nak suruh saya ulang diluar dewan, saya ulang, namanya siapa, tarikhnya bila,berapa banyak botol arak dia togok.” kata Saifudin.

Sebaik ungkapan itu diucapkan Saifudin, MP Pasir Salak yang sebelum itu marah-marah ke kiri kanan, terduduk sambil mencebikkan bibirnya..

“Sebab itu saya tidak boleh terima amalan ini. Dalam satu lawatan Umno ke Amerika Syarikat, ada pemimpin Umno yang tertidur dalam mesin judi. Kita tahu.

Jangan tanya saya pemimpin Umno mana. Bila semua orang dah naik bas, ada tiga lagi pemimpin Umno tak naik bas. Bila kita turun cari, rupanya pemimpin Umno ini tertidur dalam kasino judi. Nak sebut apa?

Pengerusi, cukup, untuk pusingan pertama kali ini. Adakah MP Permatang Pauh bersetuju tentang perkara ini, sekian untuk pusingan pertama,” jelas Saifudin. -erapakatan

Umno-BN Sorok Perjanjian Royalti Minyak Nak Tipu Rakyat

Bekas Menteri Undang-undang Datuk Zaid Ibrahim mencabar kerajaan mendedahkan isi kandungan perjanjian royalti minyak yang dibuat antara Petronas dengan Terengganu dan Kelantan.

Beliau berkata langkah ini perlu bagi menerangkan kepada rakyat kedudukan sebenarnya berhubung isu tuntutan royalti minyak yang dibuat oleh Terengganu sejak 2001 dan terakhir oleh kerajaan negeri Kelantan.

“Tuan-tuan pernah lihat ke perjanjian tersebut? Kenapa perjanjian tiga mukasurat itu tidak boleh dipamerkan kepada umum? Kenapa? Kerana mereka hendak tipu. Jadi, mereka boleh buat sesuka hati.

"Bayangkan bagaimana pemimpin kita sanggup berbohong sehingga menggunakan peguam-peguam kelas 'C' semata-mata kerana mereka tidak mahu rakyat tahu hal yang sebenar," kata beliau pada

Persidangan Anak Muda Kebangsaan 2010 di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Tambah Zaid perjanjian royalti minyak itu juga menetapkan kerajaan persekutuan layak memperoleh hanya lima peratus sahaja daripada jumlah pengeluaran minyak disesebuah negeri.

“Ia tidak ada sebut tentang jarak berapa batu nautika (sebagaimana yang dipertikai kerajaan persekutuan). Ia kata, aku dapat seringgit, engkau (kerajaan negeri) dapat lima sen.

"Yang ini dia tak bagi tahu rakyat. Niat asal Petronas ialah supaya duit itu disimpan oleh Petronas dan dilaburkan untuk kepentingan generasi akan datang," katanya.

Sehubungan itu beliau menyeru anak-anak muda membuat daftar pemilih dengan segera dan mengundi sebelum kerajaan persekutuan memutuskan untuk memansuhkan pilihan raya.

"Tak lama lagi pilihan raya mungkin akan dimansuhkan. Tetapi kerana BN yakin dia boleh menang sebab itu dia tak mansuhkan lagi. Hanya dengan kuasa dua hingga tiga juta pengundi baru insyaAllah kita akan berjaya dan mustahil pemimpin yang menipu ini masih boleh bertahan," tegas beliau lagi.

Menurut Zaid isu tuntutan royalti minyak Terengganu/Kelantan adalah antara contoh pembohongan pemimpin Umno-BN kepada rakyat yang dianggap beliau sebagai budaya politik kotor yang bukan sahaja merugikan rakyat tetapi Bumiputera khususnya.

Pada persidangan itu Zaid yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN membentangkan kertas kerja bertajuk 'Kepimpinan Abad Ke-21'

Beliau berkata seorang pemimpin yang baik ialah pemimpin yang boleh memberi keuntungan serta sumbangan kepada perkembangan tamadun selain berani dan sanggup berkorban apa sahaja secara telus dan bukannya meneruskan penipuan sepertimana yang dilakukan pemimpin kerajaan Umno-Barisan Nasional. -SK

Apa Muslihat Samy Vellu Dakwa MIC Ada 50,000 Ahli Melayu, Cina?

Presiden MIC, Samy Vellu membuat kejutan dengan mendakwa parti masyarakat India, MIC mempunyai 50,000 ahli dari bangsa Melayu dan Cina pada mesyuarat jawatankuasa pusat (CWC) kelmarin.

Seorang ahli CWC, yang enggan dirinya dikenali, mengesahkan semalam bahawa Samy Vellu, yang menerajui parti itu sejak 1979, mendedahkan perkara ini dalam mesyuarat tertutup di ibu pejabat parti di sini.

"Memang benar. Tapi Samy Vellu juga menerangkan parti tidak mendaftarkan ahli-ahli bukan India secara sengaja," kata beliau kepada Free Malaysia Today.

Menurut beliau, Samy Vellu berkata apabila usaha pengesahan cawangan dijalankan, pengerusi-pengerusi peringkat cawangan menyerahkan senarai pengundi untuk menunjukkan jumlah ahli mereka.

"Nama dalam senarai pengundi adalah nama orang-orang India tetapi apabila pemeriksaan nombor-nombor kad pengenalan dijalankan, didapati mereka ialah sama ada bangsa Melayu atau Cina," tambah beliau.

Jumlah ahli dipertikai (tajuk kecil) Kata ahli CWC itu, keadaan ini menyebabkan naib presiden KS Nijhar bertanya kepada presiden berapa jumlah ahli MIC yang sebenar.

Selepas itu, bendahari parti Jaspal Singh memetik dari laporan tahunan MIC yang menyatakan sebanyak RM615,550 yuran ahli telah dikutip dan berdasarkan jumlah ini bermakna MIC mempunyai seramai 410,000 ahli.

Ini memperlihatkan perbezaan yang ketara dengan dakwaan Samy Vellu sebelum ini yang menyatakan komponen parti Barisan Nasional itu mempunyai lebih 600,000 ahli.

Sementara itu, sumber dalaman parti mempertikaikan MIC mempunyai keahlian seramai 410,000 dan meminta Samy Vellu menceritakan perkara yang sebenar.

Dalam perkembangan yang lain, Samy Vellu menepis soalan mengenai cadangan nama-nama bagi mewakili parti dalam lembaga pengarah syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLCs).

Telefon bimbang diarah tutup (tajuk kecil) Menjawab soalan daripada seorang ahli CWC beliau berkata, "tidak ada sebab saya perlu memberitahu kamu. Ini adalah antara saya dengan menteri berkenaan."

Terdapat desas desus bahawa beberapa ahli CWC tidak berpuas hati dengan beberapa pelantikan yang dibuat oleh Samy Vellu berhubung GLCs.

Presiden MIC itu juga enggan memberi komen mengenai kemungkinan bekas naib presiden S Sothinathan dilantik sebagai pengarah anak syarikat MIC, Maju Institute of Education Development (MIED).

Hubungan di antara Sothinathan dengan mentornya, Samy Vellu menjadi keruh apabila Sothinathan membuat keputusan untuk bertanding jawatan timbalan presiden dalam pilihan raya parti tahun lalu walaupun dilarang oleh Samy Vellu dari berbuat demikian.

Bagaimanapun, hubungan di antara kedua-dua mereka dikatakan kembali pulih.

Mesyuarat CWC itu juga merupakan buat kali pertama apabila Samy Vellu mengarahkan semua ahli-ahli menutup telefon bimbit masing-masing sebab beliau bimbang prosiding mesyuarat dirakam.

Pemimpin Umno Melenting Didakwa Kaki Arak

Pemimpin Umno dalam Dewan Rakyat melenting kemarahan apabila Ahli Parlimen Machang mencelah semasa perbahasan titah Yang Dipertuan Agong oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mengingatkan betapa beberapa pemimpin Umno tertidur di mesin slot dalam kasino judi di Las Vegas dalam satu lawatan beberapa tahun lalu.

Kejadian bertikam lidah bermula apabila menantu mantan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin bangun untuk memalukan Anwar dengan menimbulkan insiden beliau menari dengan "anak tauke judi".

Anwar dengan tenang berkata, "kita menari sikit dia bising tapi pemimpin Umno muntah kedarah arak takpe".

Saifuddin meminta laluan yang diberi Ketua Pembangkang lalu menyatakan keberanian Khairy berdebat dengan Anwar adalah disebabkan beliau dipinggirkan daripada mennganggotai kabinet Datuk Seri Najib Razak.

"Memang jawatan Ketua Pemuda Umno tapi tak dapat jadi menteri. Itu je supaya nak naik markah sikit kerana Perdana Menteri menyaksi perbahasan ini," kata beliau Khamis lalu.

Khairy yang tidak berpuas hati terhadap kata-kata sinis Saifuddin terus "mengamuk" seolah-olah hilang akal dan berusaha keras untuk terus memalukan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

"Dosa besar dalam Umno kalau menegur dan berkata benar kepada pemimpin Umno dan ini berdosa besar kepada parti agama, bangsa, negara. Judi ok, arak ok.

"Jangan cabar kita, kita boleh tunjuk berapa kerat dalam (Dewan Rakyat) ini, berapa banyak botol arak dia togok dalam lawatan-lawatan Pemuda Umno dulu. Jangan sebut, kita boleh sebut, Jangan cabar kita, kita boleh sebut.

"Jangan cabar, kita tahu, pejabat pemimpin Umno mana yang ada tong arak dalam pejabat. Jangan cabar, waktu "wedding anniversary", pemimpin pemuda Umno dihidangkan botol arak, jangan cabar kita,” kata Saifudin.

Ketika itu Timbalan Speaker Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar cuba menenangkan kerajaan apabila Ahli Parlimen Pasir Salak turut terasa tempias daripada ucapan Saifuddin.

“Apakah Permatang Pauh bersetuju kalau saya katakan bahawa, dalam satu forum beberapa tahun lalu, selepas Ahli Parlimen Permatang Pauh di pecat (dari parti dan kerajaan), di University John New Hopkins Amerika Syarikat, pemimpin Pemuda Umno itu pun ada di sini, Bendahari Umno Malaysia pun ada di sini, berapa banyak botol arak dia togok, kita tahu, jangan cabar,” sambung Saifuddin lagi.

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar yang turut mengikuti perbahasan itu melahirkan rasa terkejut beliau di atas sikap hipokrit pemimpin Umno yang sering bercakap mengenai Islam tetapi melanggar hukum agama.

"Tu dia, baru kami tahu. Allah Akhbar, apa pasal teruk sangat ni," kata Mahfuz.

Saifuddin seterusnya berkata beliau sanggup mengulangi di luar Dewan jika dicabar dan akan mendedahkan lagi banyak keburukan peribadi pemimpin Umno yang bertopengkan Islam. -SK


Kerajaan Najib, Kerajaan Bertangguh-tangguh

Kerjaaan UMNO-BN yng diterajui oleh Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak adalah sebuah kerajaan yang gopoh dan lantarannya kerap menangguhkan banyak hal setelah didapati arus rakyat tidak sehaluan dengan corak pentadbirannya.

Sekalipun berslogan muluk seperti 1Malaysia yang kemudiannya digagalkan oleh kebebalan pegawai-pegawai kanannya sendiri, dan dengan "Rakyat Diduhulukan Pencapaian Diutamakan" yang tidak lebih dari hanya sebuah slogan menipu dan kosong, kerajaan UMNO BN telah menangguhkan pengumuman KPI, menangguhkan pembentangan ramg undang-undang GST, kini yag terbaru menangguhkan pindaan ke atas Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) yang sepatutnya dibentangkan pada persidangan Parlimen bersama enam lagi akta berkaitan pencegahan yang akan dipinda.

Ia semua adalah gambaran kegopohan dan kepincangan kerajaan pimpinan Najib, yang nafsunya besar tetapi kemampuannya kerdil, cuba memijak kepala rakyat tetapi akhirnya tersedar rakyat tidak seperti era dulu-dulu dimana UMNO BN boleh melaksanakan apa-apa sesuka hati.

Bernama semalam melaporkan Kerajaan memutuskan pindaan ke atas Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) harus dibentangkan pada persidangan Parlimen bersama enam lagi akta berkaitan pencegahan yang akan dipinda.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata perkara itu diputuskan oleh Kabinet selepas berbincang mengenainya.

Asas pindaan ISA iaitu tempoh tahanan, hak dan layanan terhadap tahanan, kuasa Menteri Dalam Negeri, isu persepsi awam ISA akan diguna untuk kepentingan politik, dan penahanan tanpa perbicaraan pada asasnya telah dipersetujui Kabinet, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hishammuddin berkata bagaimanapun selepas mengambil kira kepentingan awam, Kabinet memutuskan ISA harus dibentangkan bersama-sama pindaan ke atas enam akta lain berkaitan pencegahan.

Akta-akta berkenaan ialah Akta Pencegahan Jenayah 1959, Seksyen 27 Akta Polis 1960, Akta Buang Negeri 1959, Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985, dan Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969.

Hishammuddin berkata bagi Akta Pencegahan Jenayah kajian dibuat terhadap keberkesanan undang-undang dalam pencegahan jenayah, sementara Seksyen 27 Akta Polis pula dikaji dalam aspek berkaitan perhimpunan awam yang tidak memerlukan permit.

Akta Buang Negeri pula diteliti sama ada masih relevan atau perlu dimansuh, manakala Akta Kediaman Terhad dilihat daripada segi keberkesanan undang-undang dan perintah yang dikeluarkan, katanya.

Beliau berkata Akta Dadah Berbahaya dan Ordinan Darurat diteliti daripada segi tempoh tahanan, hak dan layanan terhadap tahanan, kuasa Menteri Dalam Negeri dan penahanan tanpa perbicaraan.

Hishammuddin berkata kajian ke atas Akta Dadah Berbahaya dan Ordinan Darurat telahpun siap, sementara kajian terhadap Seksyen 27 Akta Polis berada pada peringkat akhir penggubalan dan akan dibawa kepada Jabatan Peguam Negara untuk semakan tidak lama lagi.

“Semua kajian dan semakan berkenaan akan dibincang bersama dengan Majlis Peguam.

“Sekiranya pindaan kepada akta-akta ini dapat dibentangkan di Parlimen dalam sesi ini atau sebaliknya, Kementerian Dalam Negeri akan bersikap telus dan terbuka untuk memaklumkan perkembangan serta kedudukan pindaan tersebut kepada semua pihak yang berkepentingan,” katanya.

Sementara itu pada satu majlis di sini malam tadi, Hishammuddin membuat dalih menyatakan semasa konsensus diadakan baru-baru ini pihaknya tidak diberikan sebab sebenar ISA harus dimansuhkan termasuk daripada kalangan pihak pembangkang.

Tarik Saja Balik Gelaran Tokoh Maal Hijrah Yang Diberikan Kepada Yusof Al-Qardhawi

Tiada ertinya kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) menobatkan Dr Sheikh Yusof al-Qardawi sebagai Tokoh Maal Hijrah sedangkan fatwa ulama tersohor itu dibakulsampahkan.

Pengerusi Pemahaman dan Pemantapan Agama Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Muhammad Nur Manuty senada dengan pimpinan Pakatan Rakyat, mencabar kerajaan menarik balik anugerah berkenaan daripada Pengerusi Ulama Sedunia itu.

Beliau juga kesal kerana kerajaan Umno BN pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang tidak peduli terhadap fatwa yang menyebelahi Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertuduhan kes konspirasi kedua.

“Kalau mereka sendiri menobatkan Yusof Qardawi sebagai Tokoh Maal Hijrah kerana kewibawaan ilmunya tapi pada masa yang sama Yusof Qardawi prihatin dan mahu Anwar dibela menerusi prosedur qazaf, malangnya ia tidak diberi perhatian oleh pihak berwajib termasuk Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Agama sendiri.

"Maka, memang munasabah cadangan untuk ditarik balik gelaran berkenaan,” katanya kepada TV Selangor.

Yusof Qaraqawi sebelum ini mengeluarkan fatwa, sesiapa yang merancang dalam fitnah tersebut, sama ada secara langsung atau tidak maka hukumnya adalah munafik; sesiapa yang membantu menyebarkan berita fitnah tersebut, maka jatuh hukumnya sebagai fasik.

Terdahulu, kerajaan Umno BN dilihat cuba melengah-lengahkan permohonan qazaf yang difailkan Anwar terhadap Saiful Bukhari Azlan walaupun mendakwa memartabatkan sistem perundangan syariah.

Dr Muhammad Manuty menyifatkan keengganan kerajaan Umno BN mempercepat kes qazaf terhadap Saiful mencerminkan ketidakikhlasan kerajaan dalam memartabatkan perundangan syariah Islam.

“Dalam kes Anwar mahupun Kartika Sari lebih bermotif politik daripada kejujuran, keikhlasan untuk menobatkan syariah,” katanya membuat kesimpulan. -TVS



Polis Ambil Keterangan Tian Chua, Nurul Izzah

Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Batu Chua Tian Chang hari ini dipanggil memberi keterangan sebagai saksi bagi membantu siasatan polis berhubung ceramah mereka di Taman Sri Sentosa pada 2 Oktober tahun lalu.

Mereka yang diiringi peguam Latheefa Koya memberi keterangan di Balai Polis Petaling Jaya, Jalan Klang Lama bermula pada pukul 3.30 petang dan berakhir kira-kira setengah jam kemudian.

Ceramah tersebut diadakan sempena Majlis Makan Malam Amal dan Kutipan Dana yang dianjurkan oleh Persatuan Penduduk dan Penjaja Taman Sri Sentosa.

Pada majlis tersebut, ketika tiba giliran Tian Chua memberikan ucapan, Ketua Polis Daerah Brickfields dikatakan bertindak menaiki pentas serta menghalang ceramah daripada diteruskan serta merampas mikrofon.

Selain mikrofon, polis juga merampas beratus-ratus naskhah risalah berkenaan aktiviti di Lembah Pantai milik Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Lembah Pantai.

Walaupun majlis itu mempunyai kelulusan permit, namun majlis itu dihentikan atas alasan polis yang mengatakan ucapan yang disampaikan itu berbaur politik dan melanggar syarat pemberian permit.

Menurut mereka selepas tiga bulan kejadian berlalu, polis berkali-kali memanggil mereka tetapi inilah kali pertama mereka dipanggil secara formal untuk menghadiri siasatan mengikut peruntukan Seksyen 111 Kanun Acara Jenayah.

Notis arahan bertulis supaya menghadiri siasatan itu dihantar kepada mereka pada 9 Mac lepas. -SK/TVS



Selangor Tubuhkan Tabung Amanah Untuk Selesaikan Masalah Pengangkutan - MB


Satu tabung amanah akan ditubuhkan di peringkat pihak berkuasa tempatan di Selangor bagi membaiki dan mengatasi masalah aliran pengangkutan.

Ampang Jaya dan Petaling Jaya menjadi projek perintis penubuhan tabung berkenaan yang diurus PBT daerah masing-masing dan kini dalam proses perbincangan.

Itu antara cadangan Menter Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibragim bagi membantu mengatasi masalah kemudahan jalan raya dan kesesakan lalu lintas di Lembah Klang.

“Perkara ini sudah diluluskan Exco dan dicuba di Petaling Jaya. Kita mula uji bagaimana penerimaan masyarakat, pemaju dan bagaimana pelaksanaannya boleh dilakukan,” katanya.

Khalid berkata demikian ketika merasmikan pembukaan 2 laluan susur masuk baru ke Subang Jaya hari ini. Pembukaan susur keluar itu mengurangkan beban rakyat yang menggunakan laluan berkenaan terutama pada waktu puncak, mulai hari ini.

Kedua-dua laluan itu adalah susur keluar dari Lebuh raya Kesas ke Persiaran Mewah, USJ 1 dan ke Persiaran Subang.

Projek berkepentingan rakyat itu siap dalam tempoh 2 tahun sejak Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri dari cengkaman Umno-BN.

Mengulas lanjut, Khalid menyatakan tabung amanah itu akan dibuat dengan pemaju atau penduduk membuat caruman bagi memudahkan menambah baik aliran sistem pengangkutan.

“Itu antara konsep yang akan saya bincang dengan Datuk Bandar Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), bagaimana mahu menyediakan dana atau tabung amanah bagi memperbaiki aliran pengangkutan,” katanya.

Dalam pada itu, ADUN Subang Jaya, Hannah Yeoh berkata ini adalah antara usaha Kerajaan Pakatan Rakyat bagi menyiapkan 2 laluan susur masuk ini.

“Dengan adanya dua laluan masuk ini, ia akan meringankan beban trafik di Persiaran Kewajipan," katanya.



Wang Ehsan Punca Rasuah Salah Guna Kuasa - Tg Razaleigh

Veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah terus menegakkan pendiriannya dalam isu royalti minyak dengan malam tadi menegaskan, pemberian wang ihsan sebenarnya menjadi punca kepada amalan rasuah dan salah guna kuasa.

Dalam penjelasan kepada rakyat Terengganu malam tadi — lokasi terbaru beliau selepas Kota Baru dua bulan lalu — bekas pengerusi dan pengasas Petronas ini tidak menafikan banyak salah guna kuasa wujud ekoran penyaluran wang ihsan.

“Saya dengar khabar kerajaan Terengganu sekarang (pimpinan Umno-BN) tidak mahu menerima (baki wang ihsan) sebab tidak mahu menerima akaun macam mana duit (penyaluran wang ihsan) telah dibelanjakan tempoh hari, sepanjang lima tahun lalu.

“Sebab itu (wujud) banyak salah guna kuasa... buat itu, buat ini. Semuanya runtuh, tak kekal pun,” kata beliau dengan merujuk kepada beberapa kejadian bangunan milik kerajaan negeri di sini runtuh termasuk stadium.

“Jadi kita kena ingat banyak duit, barangkali diguna sebagai upah, rasuah, banyak harga barang dinaikkan kerana dicuri duit, nak curi duit... itu yang dinamakan wang ihsan,” kata beliau pada Dialog Perdana Isu Royalti dan Solat Hajat di Terengganu Equestrian Resort (TER) di sini malam tadi.

Dialog ini dianjurkan bersama oleh Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) dan Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat).

Kira-kira 4,000 orang menghadiri dialog itu yang berlangsung di dewan utama TER yang mampu memuatkan kira-kira 1,000 orang. Tetapi penganjur menganggarkan hampir 6,000 orang hadir dengan limpahan kehadiran disaksikan di luar dewan.

Turut hadir Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan Exco Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Husam Musa yang juga pengerusi jawatankuasa khas isu royalti negeri itu.

Dalam sesi dialog itu, Tengku Razaleigh yang kali kedua berucap di dewan yang sama menyentuh isu yang sama menjelaskan, pemberian wang ihsan tidak semestinya mengikut undang-undang ataupun peraturan, yang mana turut mengakibatkan kebocoran sumber kewangan.

“Oleh kerana ada kebocoran maka berlaku rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya. Akhirnya rakyat tidak terima apa-apa,” kata Ketua Umno Bahagian Gua Musang ini.

Kerajaan pusat mewujudkan jawatankuasa pengagihan wang ihsan sebanyak RM20 juta untuk Kelantan bermula bulan ini.

Langkah yang sama diamalkan di Terengganu sejak 2000 selepas kerajaan negeri diambil alih oleh PAS pada pilihan raya umum 1999.

Akhir Januari lalu, Tengku Razaleigh dalam ceramah perdananya di Kota Baru melahirkan pendirian bahawa Kelantan juga layak menerima wang royalti lima peratus, bukannya wang ihsan.

Kerajaan negeri Kelantan mengemukakan tuntutan mahu mendapatkan royalti RM2 bilion tetapi kerajaan pusat menegaskan ia tiada hak sama sekali sambil menggesa agar pergi ke mahkamah.

Pendirian Tengku Razaleigh itu menimbulkan rasa tidak hati di kalangan pemimpin Umno sehingga wujud suara agar tindakan disiplin dikenakan ke atas beliau.

Pada majlis dialog malam tadi, Tengku Razaleigh menegaskan, penjelasan mendalam harus diberikan kepada orang ramai tentang perbezaan antara wang ihsan dan wang royalti.

Kata beliau, rakyat sanggup mengambil walaupun hanya diberi RM200 atau RM300 sedangkan mereka sepatutnya menerima lebih daripada jumlah tersebut.


“Sememangnya wang ihsan dan wang royalti ini berbeza. Oleh kerana rakyat miskin dia terima duit walaupun sedikit, mereka bersyukur dengan apa yang diterimanya.

“Tetapi kita kena jelaskan mereka bahawa wang royalti ini lebih banyak daripada apa yang disebutkan sebagai wang ihsan,” kata beliau.

Ini kerana menurut Tengku Razaleigh, dalam tempoh lima tahun lalu hampir RM20 bilion telah dibelanjakan sebagai wang ihsan manakala bakinya dikatakan RM2.9 bilion.

Tetapi kerajaan pusat hanya meluluskan RM1.6 bilion daripada jumlah tersebut, katanya.

Selain itu, ada peserta yang mempersoalkan mengapa Tengku Razaleigh tidak bersuara apabila Terengganu pertama kali membangkitkan wang royalti pada 2000.

“Saya hendak memberitahu, pertamanya saya tidak menerima wahyu. Nombor dua, (dulu) saya tidak berperanan macam sekarang.

“Hari ini saya dijemput oleh Mampat supaya datang untuk memberikan penerangan... dalam tahun 2008, Mampat ada konvensyen, saya dijemput saya datang. Baru-baru ini saya dijemput oleh Gegar di Kota Baru saya pergi.

“Tapi pada 2000 tidak sesiapa yang menjemput, maka saya pun tidak pergi,” katanya.

Menjawab soalan berkaitan Mustafa berkata, sebenarnya Tengku Razaleigh telah memainkan peranan sejak satu dekad yang lalu.

Kata beliau, apabila kerajaan negeri Terengganu memutuskan untuk membawa isu royalti ke mahkamah antara pihak yang sanggup menjadi saksi ialah Tengku Razaleigh sendiri.

Oleh itu kata Mustafa yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri Terengganu ketika pimpinan negeri PAS memberitahu, adalah tidak benar Tengku Razaleigh tidak bersuara pada tahun 2000.

Menurut Mustafa, pada awalnya mahkamah mahukan kehadiran saksi dalam kes berkenaan tetapi diketepikan ekoran rayuan daripada kerajaan pusat dan Petronas.

“Jadi Tengku Razaleigh tidak menjadi saksi untuk kita. Sebenarnya beliau telah memainkan peranan sejak tahun 2000,” katanya.

Menjawab soalan berkaitan dengan Ordinan Darurat dan Akta Pembangunan Petroleum 1974 yang dikaitkan dengan isu pertikaian wang royalti Kelantan, Tengku Razaleigh berkata, sebenarnya beliau sendiri pun samar-samar dengan kandungan ordinan tersebut.

Pun begitu kata beliau, sesuatu akta mengatasi mana-mana ordinan apatah lagi jika ordinan itu dibuat sebelum akta berkenaan digubal dan diluluskan oleh Parlimen.

“Yang saya difahamkan ordinan yang dimaksudkan ialah ordinan yang dibuat tahun 1966, tahun 1966 lebih awal daripada tahun 1974 iaitu Akta Pembangunan Petroleum, akta yang diluluskan oleh Parlimen pada tahun 1974.

“Walaupun ordinan ini dibuat selepas tahun 1974, ia tidak boleh mengatasi akta yang dibuat tahun 1974,” katanya.

Berhubung iklan dalam akhbar-akhbar arus perdana awal bulan lalu, Tengku Razaleigh berkata, kerajaan pusat menggunakan cara tersebut untuk memalukan beliau kononnya tidak konsisten dalam isu pertikaian wang royalti minyak sejak tahun 2000.

“Kononnya dulu (saya) cakap lain sekarang cakap lain. Yang tidak konsisten dia orang, bukan saya. Saya masih bercakap apa yang saya cakap dulu.

“Undang-undang itu yang saya cuba pertahankan. Saya datang hari ini hendak menjelaskan soal undang-undang itu,” kata beliau yang memulakan ucapan ringkasnya dengan menegaskan, peruntukan perundangan jelas menunjukkan kerajaan-kerajaan negeri yang ada pengeluaran hasil minyak wajar diberi wang royalti atau “wang tunai.”

“Perkara itu tidak harus berbangkit sekarang, tetapi ia masih menjadi isu sekarang,” kata beliau yang kemudiannya berdialog dengan menerima 15 soalan kesemuanya.

Menjawab soalan sama ada Kelantan boleh membatalkan perjanjian minyak yang sedia ada dan mengusahakan sendiri urusan cari gali minyak, Tengku Razaleigh berkata, ia membabitkan soal politik yang beliau tidak boleh menjawab sebagai bekas pengerusi Petronas.

Bagaimanapun jelas beliau, Kelantan boleh melakukannya jika merasakan ia mampu untuk berbuat demikian.

“Kalaulah ada kemampuan, kalaulah ada semangat sedemikian rupa, sila timbang perkara itu,” kata anggota kerabat diraja ini.

Soalan yang dikemukakan ialah mengapa Petronas tidak diletakkan di bawah tanggungjawab Parlimen ketika ia ditubuhkan lebih tiga dekad yang lalu.

Tengku Razaleigh yang juga bekas menteri kewangan memberitahu ketika itu Kabinet merasakan adalah memadai dan lebih baik Petronas diletakkan di bawah pengawasan langsung perdana menteri.

“Tetapi kalaulah kaedah ini tidak boleh diterima oleh rakyat (sekarang) mengapa tidak ditimbang untuk mengubah cara yang dipakai sekarang ini, tidak siapa yang boleh menghalang jika memang ada usaha untuk mengubah cara ini,” katanya.

Mengenai langkah selepas ini, Tengku Razaleigh berkata, beliau ada memaklumkan kepada Husam bahawa adalah sukar untuk dilaksanakan melainkan perdana menteri sendiri yang mengaku telah menerima nasihat yang salah.

Kata Tengku Razaleigh, sekiranya perdana menteri tidak sanggup mengubah pendiriannya, maka kerajaan negeri boleh mencari jalan tengah.

“Saya sendiri kata saya boleh jadi orang tengah untuk kerajaan negeri, mana-mana kerajaan negeri bukan kepada Kelantan sahaja, secara percuma... bagi kerajaan pusat menyelesiakan masalah ini.

“Kalau dia (kerajaan pusat) takut duit itu disalah guna untuk politik atau untuk apa sahaja, sanggup jadi orang tengah untuk manfaat kepada rakyat,” katanya.

“Itu satu cara. Cara yang lain ialah mengikut tafsiran undang-undang... macam di Perak, tengok apa yang berlaku, tafsir macam-macam.

“Terpulang kepada kerajaan negeri sama ada pilih jalan ini atau tidak,”
katanya.

Bagaimanapun kata beliau, jalan paling selamat ialah mengadakan orang tengah supaya dapat meyakinkan kedua-dua pihak dalam menerima peruntukan yang ada sekarang.

“Yang satu lagi ialah menggunakan timbang rata, yang dilantik oleh kerajaan negeri dan Petronas dan melantik hakim yang dipersetujui kedua-dua pihak,” kata beliau secara berseloroh menambah, “kalau tidak selesai juga, berperanglah.”

Tengku Razaleigh berpendapat tekanan seharusnya terus diberikan supaya kerajaan pusat akan sedar tentang hak sebenar kerajaan-kerajaan negeri.

“Yang kita buat ialah memberi tekanan supaya mereka sedar. Ada tekanan kepada kerajaan supaya mereka sedar bahawa rakyat prihatin dan mahu perkara ini diselesaikan mengikut peraturan undang-undang,” katanya. - MalaysianInsider