3 Nov 2009

Era Najib Altantuya : Pengarah JAIS Perlu Ditangkap!

Banyak pihak kesl dengan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang sesuka hati bertindak untuk menahan seseorang tanpa sebarang kesalahan yang jelas untuk dibuat pertuduhan.

Pengarah JAIS, Datuk Mohammed Khusrin Munawi perlu dipertanggungjawabkan dan beliau perlu ditahan serta disoal siasat sebab-sebab tindakan yang tidak profesyenal serta mengaibkan pihak tertentu dilakukan oleh JAIS.

Harakahdaily pula melaporkan bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin membidas sikap JAIS kerana tidak profesional, sambil lewa dan memungkiri janji apabila tiada wakil atau pendakwa daripada Jais yang hadir ke Mahkamah Syariah sebentar tadi.

Beliau yang dibebaskan oleh pihak mahkamah tanpa sebarang pertuduhan dan perbicaraan menyifatkan Jais tidak wajar memperlakukannya seperti itu sehingga menyusahkan pelbagai pihak.

Berita sebelum ini:

Bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin akan menunggu di Mahkamah Syariah sehingga jam 1 petang nanti untuk menunggu pertuduhan ataupun dokumen berkaitan difailkan ke atasnya.

Sebelum ini, Dr Asri yang tiba di mahkamah sejak jam 9 pagi tadi diberitahu tiada pertuduhan difailkan.

Demikian siri episod tangkapan terhadap Dr Asri yang dianggap aneh oleh pelbagai pihak hari ini apabila diberitahu bahawa tiada pertuduhan atau dokumen berkaitan difailkan pagi ini.

Dr Asri dilihat tiba pada jam 9 pagi tadi kerana diarahkan untuk hadir di mahkamah atas alasan secara lisan oleh pihak Jais bahawa beliau mengajar tanpa tauliah.



(Gambar:Dr Asri di Mahkamah Syariah Gombak hari ini)

Dalam kejadian malam tadi,beliau ditahan oleh sepasukan anggota polis dan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ketika mengadakan ceramah agama di sebuah rumah di Taman Sri Ukay, Hulu Klang.

Ceramah itu dihadiri kira-kira 100 orang termasuk Anggota Parlimen Ampang (KeADILan), Zuraida Kamaruddin dan Anggota Dewan Undangan Negeri Hulu Klang (PAS), Saari Sungib.

Namun,Dr Asri yang ditahan tengah malam tadi telah dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira pukul 1.10 pagi tadi. Bagaimanapun beliau dikehendaki hadir ke mahkamah pada jam 9 pagi ini.

Di pekarangan mahkamah pagi tadi, Dr Asri menbidas sikap pihak berkuasa dan pendakwa yang tidak hadir lagi sehingga kini.

"Mereka tangkap saya dulu baru tuduh. Tetapi mahkamah kata belum ada apa-apa pertuduhan lagi. Saya pun tak tahu sebab apa nak datang sini

"Pihak Jais yang bagi arahan, tetapi saya nak tahu 'tangan ghaib' siapa di sebaliknya,"tegas Dr Asri.

Menurutnya, tindakan tidak profesional ini menyebabkan membuang masa beliau, para penyokongnya, termasuk wakil-wakil rakyat (Saari Sungib dan Zuraida Kamaruddin) dan wakil Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom.Turut kelihatan di pekarangan mahkamah yang memberikan sokongan kepada beliau adalah Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Hj Ghazali, Naib Ketua Pemuda PAS Pusat, Azman Shapawi Abdul Rani, Marina Mahathir dan Zainah Anwar (SIS).

Ketika ini, Dr Asri berada di luar mahkamah dan sedang berbincang dengan wakil NGO dan wakil-wakil rakyat.

Beliau difahamkan akan bertemu dengan Datuk Jamil Khir sebentar lagi.

Hampir 100 orang hadir untuk memberikan sokongan kepada beliau termasuk puluhan wartawan.

11.00 pagi: Ketika ini, Dr Asri sedang menunggu di dalam Mahkamah Syariah dan beliau berkata akan menunggu pertuduhan sehingga jam 1 petang nanti.

1.00 petang:Dr Asri sebentar tadi dibebaskan tanpa sebarang pertuduhan dan perbicaraan dengan jaminan pihak mahkamah.

Menurut beliau, semasa ditemui wartawan, penantian (menunggu pendakwa dan wakil Jais) adalah sesuatu yang sia-sia.

Beliau juga mengkritik Jais kerana tidak hadir untuk memberitahu jenis pertuduhan ke atasnya dan mempersoalkan kenapa badan agama itu memungkiri janji sedangkan beliau telah menunggu sejak jam 9 pagi tadi.

Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan bahawa ada perjanjian antara pihak peguam dan mahkamah bahawa mereka boleh dipanggil bila-bila masa atau sebaliknya.

Bertanyakan sebarang tindakan lanjut di pihaknya, beliau memberitahu, pihaknya akan merujuk kepada peguam.

Dr Asri kini akan menuju ke Hotel Putra, Kuala Lumpur untuk bertemu dengan Datuk Jamil Khir dan selepas itu satu sidang media akan diadakan.

Era Najib Altantuya : UMNO BN Dalangi Tindakan JAIS - Khalid Samad

Ahli parlimen Shah Alam tersepit apabila didakwa mempunyai "rekod jenayah" tetapi sehingga kini gagal mendapatkan penjelasan polis berkenaan perbuatan jenayah yang telah dilakukannya.

Akibat "rekod jenayah" beliau itu, Khalid Samad tidak diberikan tauliah menyampaikan kuliah agama di Selangor walaupun beliau mendapat kelulusan awal daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Dalam surat jabatan itu bertarikh 10 Julai 2008, pemimpin PAS itu diberikan tauliah mengikut kategori-kategori D1 (boleh mengajar atau berceramah) dan D2 (mengajar fardhu ain atau berkitab).

Kebenaran itu bagaimanapun dibatalkan olej Jais dalam suratnya 28 Oktober 2008 susulan tapisan keselamatan polis Selangor mendapati Khalid, adik kandung bekas menteri Datuk Shahrir Samad, mempunyai "rekod jenayah."

Setelah Khalid meminta penjelasan dalam suratnya hujung September lalu, polis Selangor berkata semakan polis Bukit Aman mendapati beliau mempunyai "rekod jenayah".

Jenis jenayah yang didakwa dilakukan oleh bekas ahli jawatankuasa pusat PAS itu tidak pula dinyatakan dalam surat ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Selangor bertarikh 27 Oktober 2009 kepada beliau - yang diterima semalam.
'Jelaskan apa rekod saya...'

Bercakap dalam sidang media di Shah Alam hari ini, Khalid menulis kepada IPK untuk mendapatkan butiran mengenai "jenayahnya" itu.

"Saya minta mereka jelaskan, apa rekod saya... Tetapi saya difahamkan mereka tidak dapat beri rekod untuk orang perseorangan, walaupun yang minta itu tuan punya badan sendiri," katanya.

Sebaliknya, kata beliau, polis memintanya menghubungi Jais untuk mendapatkan butiran berkenaan.

"Ini aneh. Apa hal Jais nak tanya rekod jenayah untuk saya. Sepatutnya kalau saya ada rekod jenayah, kononnya, saya tanya pada polis apa rekodnya, dia beritahu sayalah," katanya.

Beliau juga menyifatkan tindakan Jais tidak meluluskan permohonannya untuk mendapatkan tauliah "terlalu berbau politik."

"Saya ini dalam keadaan tersepit. Nak dapatkan penjelasan daripada Bukit Aman pun tak boleh, nak buat rayuan kepada (Jais) pun tak boleh dan ini bagi saya sesuatu yang terlalu berbau politik," katanya.

Beliau mendakwa, Jais telah mengambil tindakan yang mempunyai unsur politik apabila menggunakan hak dan bidang kuasanya untuk menyekat penceramah yang telah lulus ujian kelayakan sepertinya.

'Saya lulus temuduga'

"Kalau nak ambil tindakan bukan atas sebab tak ada tauliah tapi ambil tindakan atas ajarannya tak betul. Dan ianya perlu dibuktikan di mahkamah.

"Tapi bila ada (sistem) tauliah ini, dia ada kuasa untuk menghalang. Atas apa sebab sekalipun, ia tidak boleh dipertikaikan (kerana) ia merupakan hak dan kuasa mutlak (Jais) dan ini terdedah pada disalahguna.

"Hakikatnya saya telah lulus temuduga di (Jais). Maknanya kemahiran atau kemampuan atau layaknya saya untuk menyampaikan khutbah dan tazkirah tidak dipertikaikan dari segi agamanya, " kata Khalid..

Menurutnya lagi, ajaran Islam yang dibawa oleh penceramah-penceramah dalam PAS sepertinya, juga tidak berbeza daripada ajaran daripada penceramah yang ditauliahkan Jais.

"Orang macam Tok Guru Nik Aziz dan sebagainya ada keterlibatan dia dalam politik sebagai pimpinan utama PAS. Tetapi benda-benda ini semua sepatutnya tidak diambil kira.

"Saya rasa mereka juga tahu bila mereka mengajar agama, mereka juga tidak timbulkan isu PAS-Umno dan sebagainya. Atas platform ceramah politik barulah begitu," katanya.

Khalid berkata, beliau sendiri tidak membawa mesej politik ketika menyampaikan khutbah, tetapi sebaliknya membawa mesej ajaran Islam secara umum.

Malaysiakini difahamkan, Khalid telah menyampaikan khutbah Jumaat di kira-kira 20 masjid dan surau di sekitar Shah Alam semenjak dipilih menjadi wakil rakyat pada Mac tahun lalu.

Menurutnya lagi, beliau berharap menteri besar akan memanggil mesyuarat dengan exco Selangor untuk mengkaji perubahan-perubahan yang boleh dilakukan ke atas proses pentauliahan penceramah agama.

"Memang (Jais) di bawah (Majlis Agama Islam Selangor) yang terletak bawah Sultan. Tetapi kerajaan negeri pun ada exco agama yang ada peranan," katanya lagi. -malaysiakini



Era Najib Altantuya : Saari Sungip Bidas Noh Omar

Tuduhan terbaru Umno-BN yang mendakwa Pas hanya menumpang gagasan Pakatan Rakyat dilihat berniat jahat.

Adun Hulu Klang Saari Sungib berkata pemimpin Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat membentuk satu musyawarah yang menjadi nadi kepada gagasan kerajaan baru ini.

Beliau berkata demikian mengulas tuduhan Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri, Datuk Noh Omar baru-baru ini. Noh Omar mendakwa Pas diketepikan dalam urustadbir kerajaan negeri.

“Itu adalah tidak benar sama sekali, kerana dari segi strukturnya Pakatan Rakyat ini wujud dari peringkat nasional, Pimpinan Tertinggi sentiasa mengadakan perbincangan dengan garis panduan serta panduan-panduan yang telah ditetapkan agar pemimpin Pakatan Rakyat yang mentadbir negeri dan parti masing-masing di setiap negeri Pakatan Rakyat berjalan dengan baik,”katanya.

Saari melahirkan rasa kesal Umno-BN sentiasa mencari peluang untuk menghakis kepercayaan rakyat. Siri pergeseran pendapat antara pimpinan Pakatan Rakyat dijadikan peluru, namun Saari berkata ini harus dilihat sebagai proses mematangkan gagasan kerajaan alternatif ini.

“Seramai 3 Adun Pas di Selangor menjadi Exco Selangor dan ini merupakan satu penghargaan kepada Pas.Ini juga merupakan satu semangat kesetiaan,kebersamaan yang di tunjukkan kepimpinan Pakatan Rakyat Selangor,”jelasnya.

Mengulas isu yang sama, Adun Taman Haniza Talha tidak menolak serangan ini bermotifkan politik.

Sebelum ini, ketua perwakilan Umno Selangor Abdul Shukor Idrus ke Persidangan Umno ke-60 menggesa kerajaan pusat menyekat peruntukan kepada kerajaan negeri.

Abdul Shukor berkata Umno perlu menghentikan program pro-rakyat khususnya khairat kematian tajaan kerjaaan negeri.

“Saya lihat kenyataan Noh Omar itu seperti orang dah gila talak sebab Selangor telah berada dibawah kerajaan Pakatan Rakyat, sekarang ini dia akan menggunakan apa jua taktik tidak kiralah samada kenyataan rambang beliau atau apa-apa fakta untuk cuba mempengaruhi rakyat,”jelas Haniza.

Sementara itu, Adun Kinrara Teresa Kok yakin akar umbi Pakatan Rakyat lebih matang dan menyedari taktik provokasi Umno-BN.

“Dia hanya mahu mengapi-apikan Pakatan Rakyat, DAP ,PAS dan parti komponen yang lain. Noh Omar bukan dari kerajaan Pakatan ,dia hanya pandai komen sahaja dengan tujuan untuk mengasingkan PAS jauh lagi dari Pakatan Rakyat,”katanya -TVS

Era Najib Altantuya : Badrul Hisham Dibeli UMNO-BN - S.Manikavasagam

Ahli Parlimen Kapar, S.Manikavasagam dengan lantang menyatakan kemungkinan besar bekas Adun Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah di beli UMNO-Barisan Nasional.

Beliau yakin kerana dirinya turut pernah di tawar oleh ahli parti itu sebanyak 50 juta semasa mempunyai sedikit salah faham dengan PKR sebelum ini.

“Saya rasa Badrul di beli 10 juta atau 20 juta...Umno ada belakang di sini, masa sidang media, tengok siapa disebelahnya....masa saya ada perbalahan sikit dulu, Aziz Samsudin offer saya 50 juta, bukan 1 ringgit, 2 ringgit, tapi 50 juta, tapi saya masih disini, rakyat pilih kita, Badrul adalah pengkhianat kepada pengundi di Port Klang,” katanya.

Katanya, dakwaan ini menjadi lebih jelas apabila Badrul keluar dari parti itu dan menyertai parti bebas menyokong UMNO-BN.

Beliau berkata demikian kepada media di Majlis Rumah Terbuka Deepavali di Kota Damansara hari ini.

Beliau kesal Badrul gagal menjalankan tugas dengan baik dan kerana itu telah menyebab nama Parti Keadilan Rakyat tercemar.

Jelas YB Mike, Badrul langsung tidak mahu menemui mana-mana wakil rakyat lain yang mahu berjumpa dan berbincang dengannya.

Justeru itu, Manikavasagam setuju dengan cadangan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk memilih calon wakil rakyat dari parti itu yang benar-benar faham falsafah parti dan dengan semangat untuk memperjuangkan parti.

“Kita kena skrin calon, betul-betul jiwa rakyat baru bertanding..bukan macam Badrul, yang lain takkan lompat parti, kita tengok apa yang dia lakukan, mana dapat wang? Peruntukan dari mana?,” katanya. -TVS


Era Najib Altantuya : Selangor Mahu Asri Disiasat Dengan Adil

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mahu Jabatan Agama Islam Selangor atau JAIS memberi penjelasan munasabah mengenai isu penahanan bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin.

Dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan lewat hari ini, Tan Sri Khalid berkata, langkah ini perlu kerana pelbagai persoalan dan pertikaian timbul berhubung cara penahanan itu dibuat.

Katanya, Kerajaan Negeri telah dimaklumkan bahawa JAIS memiliki kuasa yang bebas dari kekangan kerajaan negeri dalam menguatkuasakan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor, masih menyiasat kes Dr Asri yang dikatakan mengajar agama tanpa tauliah.

Khalid menggesa Jais supaya memberi penjelasan sewajarnya kepada rakyat Selangor yang terkesan dengan penangkapan Dr Asri.
Pasukan penguatkuasa JAIS dengan bantuan polis malam tadi menahan Dr Asri di sebuah rumah di Taman Sri Ukay, Hulu Klang.

Dr Asri yang dituduh mengajar agama tanpa tauliah ketika itu sedang memberi ceramah kepada lebih 300 hadirin.

Penahanan ini menarik perhatian umum kerana Dr Asri adalah bekas Mufti Perlis.

Sementara itu, dalam satu sidang akhbar petang tadi Pengarah Jais Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata siasatan terhadap Dr Asri akan disegerakan.

Dr Asri Zainul Abidin akan didakwa selepas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) selesai menjalankan siasatan.

“Kita telah pun menerima banyak aduan tentang kegiatan Dr Asri ini sejak beberapa tahun yang lalu dan kita memang telah beberapa kali cuba mengambil tindakan dan kali ini kami berjaya dan beliau akan didakwa selepas kertas siasatan itu siap,’katanya.

Bekas Mufti Perlis itu akan didakwa bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003.

Khusrin Munawi menafikan pendakwaan ini bermotifkan politik. Pihaknya bertindak mengikut peruntukkan undang-undang yang telah ditetapkan.

Tambahnya, Jais juga telah bertindak kepada sekurang-kurangnya 10 orang penceramah agama yang menjalankan kuliah di Selangor tanpa tauliah.

“Kepada mana-mana pihak yang ingin membuat ceramah di negeri Selangor ini dinasihatkan agar mengikut peraturan yang telah ditetapkan dan diminta menghormati undang-undang dan titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Dimana semua pihak tidak terkecuali, dimana sahaja di dalam negeri Selangor ini perlu mendapatkan tauliah dari Jabatan Agama Islam,”jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Bangunan Jais, petang tadi.

Mengulas isu penyebaran ajaran Wahabbi, Datuk Khusrin berkata ia tidak sesuai untuk dijelaskan sekarang, memandangkan siasatan masih dijalankan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Berita Harian hari ini yang mendakwa Jais menyiasat bekas mufti Perlis ini kerana menyebarkan ajaran Wahabbi.

Dr Asri mencabar pihak yang membuat tuduhan itu supaya tampil dan mengemukakan bukti.


Era Najib ALtantuya : Ahli Parlimen Sri Gading Pertahan Tindakan

Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamed Aziz tetap mempertahankan tindakannya mendesak Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Khoon berundur dari barisan Kabinet Najib Razak.

Mohamed Aziz berkata pihaknya berpandangan Koh tidak layak menduduki Kabinet, namun menyambut baik tindakan Najib mengenepikan saranan itu.

“Nasihat TPM kita terima dengan baik. Terima kasih kepada beliau lah” katanya.

Manakala bagi ahli parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin pula, ujarnya beliau dan Aziz akan terus menegur sesiapa sahaja yang dirasakan perlu ditegur dalam parlimen.

“Soal tegur bukan hanya kepada Koh Tsu Khoon atau Tee Keat, kita tegur mana yang kita lihat ada kepincangan dan rakyat lihat perlu ditegur. Itu sahaja", ujar beliau.

Malah ujar Aziz, apa yang dilakukan hanyalah untuk kepentingan rakyat semata-mata.
“Untuk rakyat. Kan kita kata rakyat didahulukan" ujar Aziz lagi.