28 Jun 2010

Mahkamah Arahkan SYABAS Dedahkan Laporan Audit

Mahkamah arah konsesi air Syabas, laporan audit didedah

Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan kerajaan persekutuan mengumumkan kepada orang ramai laporan audit dan perjanjian konsesi air yang ditandatanganinya dengan kerajaan negeri Selangor dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas).

Pesuruhjaya Kehakiman Hadhariah Syed Ismail berkata pendedahan dokumen itu tidak bercanggah dengan kepentingan negara dan awam.

Sebaliknya, kata beliau, ia akan memenuhi kepentingan awam kerana memaklumkan kepada mereka cara kerajaan berfungsi dan menggalakkan perbincangan tentang perkara berkaitan hal ehwal awam.

Hadhariah membuat keputusan itu bagi memenuhi permohonan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan 13 pihak lain agar semakan penghakiman dibuat berikutan tindakan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi ketika itu Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik menolak permintaan mereka agar dokumen berkenaan didedahkan kepada orang ramai.

Pada 7 Nov 2006, mereka menghantar sepucuk surat kepada menteri itu memohon agar laporan audit dan butiran perjanjian konsesi berkenaan didedahkan kepada umum, tetapi ditolak kementerian berkenaan pada 4 Dis 2006 atas alasan dokumen terbabit telah diklasifikasikan sebagai sulit dan rahsia.

Utiliti itu kini terletak di bawah portfolio Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Hadhariah memerintahkan responden pertama iaitu Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi mengemukakan dokumen berkenaan kepada MTUC dan pemohon lain dalam masa tujuh hari.

Dalam penghakiman beliau, Hadhariah berkata walaupun perjanjian konsesi itu belum didedahkan kepada umum, tetapi maklumat tentang air bukan hasil (NRW) dan peratusan pengurangannya, formula peningkatan tarif, tempoh kajian semula dan pembayaran pampasan kepada Syabas telah diedarkan oleh media dan pihak ketiga.

“Oleh itu, ia tidak lagi boleh dianggaap sebagai maklumat rahsia kerana ia merupakan isu-isu utama. Lagipun, perjanjian konsesi bukan suatu perjanjian persendirian. Ia dibuat dengan mengambil kira kepentingan awam,” kata beliau.

Hadhariah berkata orang ramai bergantung pada konsesi dan tadbir urus yang baik oleh kerajaan bagi melindungi kepentingan mereka dan oleh itu, demi kepentingan awam juga, perjanjian itu perlu diumumkan kepada orang ramai.

“Sehubungan itu, oleh kerana ketelusan, kebertanggungjawaban dan keutamaan merupakan perkara yang diperlukan oleh rakyat, maka adalah wajar perjanjian konsesi diumumkan kepada orang ramai. Saya berpendapat bahawa mahkamah perlu memihak kepada pihak yang mempunyai rasa terkilan dalam hal berkaitan kepentingan awam,”
katanya.

Mengenai laporan audit pula, beliau berkata ia mengandungi maklumat berkaitan perjanjian konsesi yang ada hubungan dengan kenaikan tarif air dan sekiranya perjanjian itu didedahkan kepada umum, maka laporan audit itu juga perlu diumumkan kepada orang ramai kerana ia merujuk dan mengandungi komen tentang peruntukan tertentu dalam perjanjian berkenaan.

Beliau berkata walaupun responden berkata laporan audit itu diklasifikasikan sebagai rahsia kerana ia dibentangkan kepada Kabinet, maka adalah tidak masuk akal untuk mengatakan bahawa sebarang dokumen yang dibentangkan kepada Kabinet secara automatik disifatkan sebagai “Rahsia” mengikut Seksyen 2A Akta Rahsia Rasmi 1972.

Kata beliau pemohon mempunyai locus standi kerana mereka adalah penguna air berbayar di kawasan yang diliputi perjanjian konsesi berkenaan dan bukan sebagai “penyibuk, kaki cucuk dan pembuat kacau”.

Sekiranya tarif air dinaikkan, mereka tidak ada pilihan selain membayar lebih untuk air kerana tidak terdapat pembekal alternatif.

Selepas permintaan mereka ditolak, MTUC dan 13 pihak lain termasuk pengerusinya Syed Sharir Syed Mohamud serta dua anak beliau berusia 10 dan 15 tahun, mendapatkan kebenaran mahkamah pada 14 Jun 2007 bagi memperoleh semakan semula penghakiman dengan menamakan menteri terbabit, kerajaan Malaysia dan kerajaan Selangor sebagai responden.

Kata mereka, sebagai pengguna air di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur, mereka berhak mendapatkan laporan audit dan perjanjian konsesi yang ditandatangani pada 15 Dis 2004.

Mereka mendakwa bahawa laporan audit itu menjadi asas bagi kenaikan tariff air sebanyak 15 peratus di Lembah Klang seperti yang diumumkan pada 14 Okt 2006.

Kata mereka kerajaan berkewajipan di sisi undang-undang untuk bertindak secara telus dan bertanggungjawab dalam menguatkuasakan peraturan berkaitan pasaran air dan dalam keadaan yang menimbulkan syak bahawa pasaran air digunakan bagi mengaut keuntungan secara melampau.

Pemohon berkata mereka telah menulis surat kepada menteri berkenaan pada 7 Nov 2006 bagi meminta dua dokumen berkenaan daripada beliau, tetapi ditolak kementerian itu pada 4 Dis 2006 atas alasan dokumen berkenaan telah diklasifikasikan sebagai sulit dan rahsia kerajaan.

Pemohon diwakili peguam Ang Hean Leng, manakala Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili menteri berkenaan dan kerajaan Malaysia dan Md Azhari Abu Hanif, pembantu penasihat undang-undang Selangor, mewakili kerajaan negeri itu. — Bernama

Ulasan GB

GB masih sangsi.. apakah berkemungkinan keputusan hakim Mahkamah Tinggi di atas akan diterbalikkan oleh hakim-hakim di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan?

Isu MB Selangor: Lagi Spekulasi Mengarut, 4 ADUN Dikatakan Keluar Parti

Lagi spekulasi: Empat ADUN Selangor didakwa keluar ‘protes’ Khalid

Meskipun Parti Keadilan Rakyat (PKR) selesai mengadakan sesi pemukiman dengan melakukan rombakan kecil di sebalik desas-desus wujudnya desakan mahu Tan Sri Khalid Ibrahim digugurkan, hari ini wujud spekulasi baru mendakwa empat ADUN parti itu akan keluar kerana beliau masih kekal sebagai Menteri Besar Selangor.

Desas-desus baru ini mendakwa empat ADUN iaitu Haniza Mohd Talha dari kawasan Taman Medan, Nik Nazmi Nik Ahmad (Seri Setia), Amirudin Shari (Batu Caves) dan Suhaimi Shafie (Sri Muda) sudah memutuskan untuk meninggalkan PKR.

Khabar angin mendakwa keempat-empat mereka akan keluar PKR sebagai tanda protes pucuk kepimpinan memutuskan untuk mengekalkan Khalid (gambar) sebagai menteri besar.

Khabar angin ini mula tersebar sejak pagi tadi.

Selain SMS, beberapa panggilan yang diterima The Malaysian Insider mendakwa keempat-empat wakil rakyat berkenaan mahu meletakkan jawatan kerana tidak berpuas hati Khalid, menteri besar penggal pertama, dikekalkan.

SMS itu berbunyi “empat ADUN PKR Selangor dikhabarkan akan meletak jawatan kerana tidak bersetuju Khalid kekal sebagai MB.”

Nik Nazmi merupakan bekas setiausaha politik Khalid. Beliau digantikan oleh setiausaha politik Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkuat kuasa bulan depan.

Amirudin memberitahu The Malaysian Insider, beliau dan rakan-rakannya menghormati keputusan pucuk kepimpinan untuk mengekalkan Khalid sebagai menteri besar.

“Tidak, tidak... sebelum saudara tanya saya jawab soal dulu, tidak. Setakat ini tiada apa-apa, kami kekal dengan PKR,” kata Amirudin sebaik sahaja dihubungi The Malaysian Insider.

“Semuanya sudah bersetuju, kami menghormati Azmin Ali dilantik sebagai Pengerusi PKR Selangor manakala Tan Sri Khalid kekal sebagai Menteri Besar Selangor... ini diumumkan pada pertemuan Majlis Pimpinan Pusat semalam dan semua terima” kata Amirudin sambil menambah, beliau dan Nik Nazmi makan malam tadi bersama dan tidak membincangkan apa-apa, kononnya “akan keluar PKR.”

“Saya tidak tahu mengapa secara tiba-tiba benda ini wujud balik,” kata Amirudin lagi.

Menerusi ruangan twitter, Nik Nazmi berkata: “saya baru terima panggilan daripada pemberita, bertanya sama ada saya salah seorang daripada empat ADUN berkenaan yang mahu meletakkan jawatan.”

“Satu lagi penipuan besar,” katanya.

Dalam pada itu, Suhaimi juga melahirkan pandangan yang sama dengan berkata tidak tahu-menahu apa-apa cerita sebenar.

“Ini kali kedua saya mendengar benda yang sama.

“Saya menafikan... perang saraf biasanya macam inilah,” kata beliau.

Di akhir sesi pemukiman dan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR petang semalam, Naib Presiden Azmin Ali dilantik sebagai Pengerusi Selangor manakala Datuk Zaid Ibrahim dilantik meneraju Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan.

Pelantikan itu berkuat kuasa petang semalam.

Wan Azizah ketika membuat kenyataan itu berkata pelantikan Azmin adalah bagi menggantikan Khalid yang juga Menteri Besar Selangor.

“(Tindakan) ini setelah dipohon oleh Tan Sri yang mahu menumpukan tenaga beliau kepada pentadbiran negeri Selangor berkuat kuasa serta-merta,” katanya semalam.

Sebelum ini Azmin mengetuai PKR Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, Khalid yang turut hadir pada sidang akhbar tersebut menafikan tindakannya berundur daripada mengetuai PKR Selangor disebabkan tekanan daripada pihak tertentu seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini.

Khalid dan Azmin menjadi tumpuan selepas timbulnya desas-desus mengatakan wujud gerakan daripada sekumpulan puak di dalam PKR Selangor yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan menteri besar.

Kumpulan itu juga dikatakan mahu mendesak Khalid agar melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar. -TMI


Wanita PKR Selangor: Khalid & Azmin Lengkap Melengkapi

Wanita Keadilan Selangor percaya perubahan pucuk pimpinan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor harus dilihat sebagai usaha penambahbaikan dalam memperkasa gerak kerja politik dan pentadbiran di Selangor.

Bercakap kepada TV Selangor, Ketua Wanita Keadilan Selangor, Haniza Talha menegaskan tidak wujud perpecahan seperti yang digembar-gembur media arus perdana, sebaliknya ketokohan mereka saling lengkap, melengkapi.

“Tidak ada perpecahan. Berbeza pendapat memang ada sebab kita hendak membela rakyat.Tidak ada isu perpecahan,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Medan itu.

“Khalid ada kekuatan dia, Azmin ada kekuatan dia - kedua-dua ada kekuatan masing-masing. Seperti yang saya kata, kita bekerja sebagai satu pasukan, jadi kita saling lengkap melengkapi," katanya lagi.


Berbeza dengan Umno yang dilihat dekat dengan elemen diktatorisme, PKR sebaliknya bersifat demokrasi dan terbuka dalam menangani kepelbagaian pandangan di kalangan pemimpin.

“Kita sentiasa terbuka. Kalau ada ruang untuk improvement, kita sambut baik. Apapun ini kerja berpasukan. Apapun kerja-kerja membangunkan parti dan sebagainya adalah kerja berpasukan.

"Ia tidak bergantung kepada satu orang. Jadi siapa ketuanya kita sentiasa menyokong sebab kita berjuang atas satu prinsip - untuk menegakkan keadilan," kata Haniza.

Haniza yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor percaya gandingan dua pemimpin ini bakal menyuburkan budaya politik baru di Selangor.

"Itu yang kita nak wujudkan - budaya politik baru kerana politik baru membawa ciri-ciri demokrasi. Kita boleh berbeza pendapat tetapi bila sudah diputuskan, kita mencapai kata sepakat walaupun tidak selari dengan keputusan peribadi," katanya. -TVS


Ulasan GB

Nampaknya kedua-dua akhbar online yang popular di negara ini, Malaysiakini dan The Malaysian Insider tiba-tiba menjadi akhbar tong sampah yang menyajikan berita-berita sampah yang disebarkan melalui email dan sms.

Dipungut dan diadunkan berita-berita itu untuk menimbulkan polemik berpanjangan mengenai isu MB Selangor sehingga lebih hebat peranannya untuk memecahkan PR Selangor daripada kahbar media arus perdana.

Baik malaysiakini maupun The Malaysian Insider perlu tahu bahawa majoriti(sekitar 70% - 80% )pembaca mereka adalah penyokong PR, dan jika kedua-dua akhbar online tersebut terus-terusan menyajikan berita palsu pembaca-pembaca dari PR akan terus membakul sampahkan mereka berdua.

Then, anda pergi cari pembaca anda dari BN. Jika ada yang sudi membaca dan menyalin berita-berita anda.

Jika media arus perdana sebelum terkenal dengan kewartawanan longkang, tak sangka kedua-dua akhbar online sudah mula mengamalkan kewartawanan bebal.. tak tahu menjaga reputasi dan kredibiiti berita yang disaji.



15 MP PKR Bantah MB Selangor, Berita Mengarut

Isu Bantahan 15 Ahli Parlimen KEADILAN Tidak Benar

KUALA LUMPUR 25 Jun - Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali menafikan dakwaan wujud kumpulan lima belas Ahli Parlimen KEADILAN yang akan mengadakan protes terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkenaan dengan perlantikan Setiausaha Politik beliau yang baru, Faekah Husin.

Spekulasi dalam media timbul setelah beliau menyerahkan surat perletakkan jawatannya sebagai Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Rabu lalu.

"Saya jelaskan di sini bahawa berita yang disiarkan di dalam 'The Star Online' adalah tidak benar, kenyataan tersebut hanyalah spekulasi pihak tertentu yang dikaitkan dengan perletakkan jawatan saya dalam PKNS.

"Apa yang pasti maklumat ini adalah baru dan saya akan berjumpa dengan kesemua rakan-rakan saya untuk mendapat maklumat yang penuh terhadap dakwaan tersebut, kita akan meneliti setiap alasan yang diberikan kalau betul timbul rasatidak puas hati mungkin saya boleh menjadi wakil kepada rakan-rakan di dalam KEADILAN untuk meluahkan pendapat tersebut kepada Menteri Besar.

"Apa yang pasti saya tidak terlibat dalam spekulasi itu dan jangan buat andaian yang tidak betul," jelas Azmin ketika ditemui di lobi parlimen semalam.

Azmin juga ditanya media pendapat beliau berhubung perlantikan Faekah.

"Keputusan perlantikan tersebut sudah tentu terletak kepada budi bicara Menteri Besar, bagi saya perlantikan Faekah adalah satu penghormatan yang diberikan kepada seorang wanita dan ini menunjukkan dalam politik Pakatan Rakyat kita tidak meminggirkan peranan wanita untuk menyumbang kepada parti," kata beliau.

Tambah Azmin, beliau tahu isu tersebut akan diperbesarkan oleh Umno dan juga media arus perdana tetapi baginya isu itu tidak menjadi perhatian serius kepada pimpinan KEADILAN.

"Kita tahu kesempatan akan digunakan untuk membesarkan isu tersebut dan bagi saya itu bukan perkara yang perlu kita fikirkan, Umno akan menggunakan isu itu sebagai senjata mereka menyerang KEADILAN.

"Dari sudut politik kita melihat ini sebagai satu langkah positif dan keterbukaan kita membuat sebarang kritikan kepada pemimpin jika berlaku sesuatu yang kita rasa perlu ditegur.

"Jangan jadi seperti Umno ataupun parti komponen Barisan Nasional yang lain, orang bawahan tidak boleh menegur kesilapan pemimpin atasan. Politik mereka jelas mengamalkan sikap kuku besi jika ada yang menegur maka tindakan akan diambil samada dipecat atau dipinggikan terus," tegas Azmin lagi.

Azmin juga mahu Abdul Khalid mengambil serius spekulasi liar yang disebarkan sesetengah media dan berharap tindakan segera diambil agar ia tidak terus menjadi isu besar.

Beliau yakin dengan kepimpinan Abdul Khalid dalam mentadbir Selangor dan usahanya untuk menjadikan Selangor sebagai negeri contoh di negara ini.

Isu FELDA: Mazlan Aliman Cabar Ahmad Maslan Debat

Persatuan Anak Felda Akan Dedah Dokumen 'Penyelewengan'

Persatuan Anak-Anak Felda Kebangsaan (ANAK) akan memfailkan laporan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah bersama bukti yang didakwa menunjukkan adanya cubaan menutup penyelewengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan atau Felda.

Pengerusi ANAK Mazlan Aliman dilaporkan Malaysiakini sebagai berkata antara bukti yang akan dikemukakan adalah laporan tahunan dan akaun Felda yang menurutnya bercanggah dengan jawapan kerajaaan di Dewan Rakyat.

Pihak persatuan juga akan menampilkan dokumen yang mendakwa wujudnya penyelewengan wang peneroka.

ANAK sebelum ini telah memfailkan tiga laporan polis di Temerloh, Kota Tinggi dan Segamat. Minggu lalu, bekas Menteri Tan Kwee Kwong bersama Ahli Parlimen Klang Charles Santiago turut memfailkan laporan ke SPRM. -TVS


Aktivis FELDA cabar Ahmad Maslan debat

Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) mencabar timbalan menteri di jabatan prrdana menteri Datuk Ahmad Maslan berdebat berhubung dakwaan kemerosotan rizab Lembaga Tanah Persekutuan (FELDA).

"Sekiranya beliau (Ahmad) menganggap fakta beliau betul, dan kita memfitnah, kita boleh debat di mana-mana," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur pagi ini.

Ditemui Malaysiakini selepas sesi itu, Mazlan berkata cabaran beliau untuk berdebat diputuskan selepas Ahmad berhasrat untuk menyaman akhbar Suara Keadilan - yang melaporkan 'Felda Bankrap'.

Mazlan berkata tindakan undang-undang tersebut dilihat sebagai satu "cubaan untuk melindungi sesuatu".

"Kita akan dedahkan fakta sebenar yang berlaku di FELDA," katanya.

Mazlan berkata, beliau bersedia bersemuka dengan Ahmad yang juga ahli parlimen Pontian untuk pada bila-bila masa.



SPRM Enggan Benarkan Peguam Bantu PI Bala

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dilaporkan enggan mengambil keterangan penyiasat kontroversi P Balasubramaniam di hadapan para peguam.

Peguam PI Bala, Americk Sidhu berkata SPRM tidak mahu peguam turut sama dalam sesi mengambil keterangan bekas anggota Cawangan Khas ini yang membongkar hubungan antara Presiden Umno Najib Abdul Razak dan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Sesi tersebut ditetapkan pada 5 dan 6 Julai di London, Malaysian Insider melaporkan.

Americk berkata SPRM juga menolak permintaan peguam memohon transkrip video sesi itu.

Pertemuan tersebut dijadualkan pada 5 dan 6 Julai depan di London.

"Ya, kami di peinkat akhir perundinga di ketika ini.

"Semuanya telah dipersetujui kecuali SPR< tidak membenarkan peguam kami hadir semasa sessi mengambil keterangan dilakukan,” kata Americk.

“Kami tidak bersetuju dengan syarat tersebut, oleh itu kita akan tahu hasil rundingn minggu depan,” tambah beliau, dan menyatakan tempat pertemuan telah ditempah unuk 5 dan 6 Julai.

Americk menyatakan Bala sedang menunggu para pegawai SPRM untuk datang ke London.

Para pegawai SPRM sebelum ini membenarkan rakaman sessi mengambil keterangan dilakukan tetapi mereka telah mengubah pendirian kemuadiannya, kata peguam Bala.

Bala telah menghilangkan diri pada 2008 selepas mengeluarkan dia akuan bersumpah yang bertentangan mengenai konspirasi pembunuhan Altantuya.