21 Okt 2009

Era Najib Altantuya : UMNO Melatah Dan Meludah Ke Langit

Reaksi pemimpin Umno-Barisan Nasional terhadap cuti enam bulan Zaid Ibrahim dari PKR memang sudah dijangka.

Ia juga melucukan. Sekali lagi kenyataan-kenyataan oleh pimpinan Umno sekadar menzahirkan sindrom meludah ke langit dalam keghairahan parti itu membidas pihak lawan.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin bingkas mengatakan percutian Zaid itu menunjukkan PKR bermasalah dan parti itu di bawah telunjuk seorang sahaja – Anwar Ibrahim.

Khairy turut menyifatkan Zaid sebagai seorang berprinsip yang kononnya tidak tahan lagi dengan politik Keadilan.

Dalam kegelojohan membidas Keadilan dan Ketua Umum parti itu, Khairy buat-buat lupa Zaid meletakkan jawatan sebagai Menteri Kabinet ketika bapa mertuanya Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri. Zaid sendiri angkat kaki dari Umno sebelum parti itu memecatnya.

Ketika itu, tidak pula ada kenyataan dari Khairy mengenai kepincangan Umno atau kualiti kepemimpinan bapa mertuanya sehingga memaksa seorang berprinsip seperti Zaid meninggalkan parti itu dan mencalar lagi kewibawaan Umno.

Sebaliknya pemimpin-pemimpin Umno begitu ghairah membidas Zaid sebagai orang yang kurang Melayu, tidak tahu mengenang budi dan bermacam-macam lagi.

Kritikan peribadi terhadap Zaid turut berulang apabila beliau menyertai Keadilan enam bulan lalu. Sekali lagi tidak sesiapa dari Umno tampil mengatakan Umno harus memeriksa diri kerana pemimpin berkebolehan seperti Zaid boleh menolak parti itu dan memilih Keadilan.

Apabila Zaid mengumumkan hasrat bercuti sementara dari ahli biro politik PKR, maka kedengaranlah suara-suara sumbang dari Pemuda Umno dan kepimpinan tertinggi Umno bahawa ini petanda jelas Keadilan tidak boleh diharap.

Selain Khairy, turut memberikan pendapat “ilmiah” sebegitu ialah Naib Presiden Umno Shafie Apdal dan Ahli Majlis Tertinggi Puad Zakarshi. Komen mereka hanya menzahirkan sifat hipokrit dan bacul pemimpin-pemimpin Umno, termasuk Khairy dan konco-konconya.

Mereka mengkritik semata-mata kerana nampak ada “gol terbuka” untuk membidas pihak lawan.

Dalam kegelojohan itu, Khairy dan rakan-rakan lupa kegagalan sendiri mempertahankan Zaid ketika beliau secara berprinsip menentang tindakan Umno menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dengan sewenang-wenangnya.

Menyentuh tindakan terbaru Zaid, Khairy dan rakan-rakan juga “buat-buat” lupa bahawa Zaid sendiri menjelaskan beliau hanya mahu direhatkan daripada tugas-tugas Biro Politik Keadilan.
Ini untuk memberi ruang secukupnya kepada beliau untuk memantapkan kerjasama dalam Pakatan Rakyat khususnya bagi membolehkan gagasan itu didaftar sebagai sebuah parti bagi memastikan “sistem dua parti” di Malaysia menjadi realiti politik.

Tidak dinafikan ada percanggahan pendapat dalam Keadilan dan setiap perbedaan pendapat antara pemimpin, baik dalam Keadilan atau di peringkat Pakatan Rakyat akan digembar-gemburkan oleh media arus perdana.

Dengan bersandarkan orang-orang seperti Khairy, Shafie dan Puad Zakarshi, media arus perdana sentiasa akan mencukupi “pelakon dan penari” untuk sentiasa mencerna pelbagai cerita, mitos dan dongeng mengenai Pakatan Rakyat.

“Percutian” Zaid Ibrahim sebagai petanda Keadilan menghadapi kehancuran hanya satu lagi lipatan mitos sebegitu. -TVA

Era Najib Altantuya : Bagan Pinang Sahkan UMNO Parti Rasuah

Kekalahan di Bagan Pinang tidak akan membantutkan usaha Pakatan Rakyat untuk terus berkhidmat kepada rakyat Negeri Sembilan dan Negara khususnya.

Bagi ahli parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusof apa yang berlaku di Bagan Pinang adalah pengajaran kepada Pakatan Rakyat (PR) dalam menempuhi arena politik negara.

Menurut Yusmadi lagi, untuk menjadi parti yang diterima rakyat, PR perlu mengakui bahawa mungkin ada sebab-sebab tertentu yang menyebabkan rakyat di Bagan Pinang menolak PR.

"Bagaimanapun saya tidak menafikan bahawa unsur-unsur penyalahgunaan jentera kerajaan juga adalah penyumbang kepada kekalahan kita," katanya.

Pihak PR juga perlu melihat sedalam-dalamnya punca masalah penolakan ini. Sebagai contoh isu berkenaan masyarakat India seperti di Kg Buah Pala dan juga perkara yang melibatkan masalah orang Melayu.

"Masalah-masalah ini perlu diangkat oleh PR kerana sedikit sebanyak ia mungkin memberi kesan kepada politik kita," ujarnya lagi.

Tambah Yusmadi, PR tidak silap dari segi formula tetapi mungkin salah dari segi strategi.

"Pada saya dari segi formula PR sudah berada dilandasan yang betul barangkali rakyat masih lagi terperangkap dengan politik lama(perkauman) yang dibawa oleh Umno tetapi dalam masa yang sama apa yang perlu ialah PR lebih agresif mengangkat budaya politik baru," terangnya.

Tindakan yang sedemikian rasanya lebih relevan dalam menolak budaya politik Umno ini.

Mengakui kekalahan di Bagan Pinang adalah satu yang baik bagi PR.

"Sikap berterus terang dalam menilai prestasi parti adalah lebih baik, saya rasa rakyat boleh menerima jika kita mengakui kelemahan dan cara ini akan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap PR, cara ini akan memudahkan untuk kita menawan negara," katanya.

Disamping itu Yusmadi juga mengesa agar golongan muda perlu diberi lebih peranan dalam pilihan raya yang akan datang.

Manakala bagi Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata kekalahan itu bukan titik noktah kepada PAS dan Pakatan Rakyat untuk menabur jasa dan membela nasib rakyat yang ditindas oleh pemerintahan Umno-BN.

"Kita terima. Kita akan teruskan berkhidmat pada rakyat. Kita akan terus perangi rasuah. Umno-BN boleh berbangga sebab memenangi pilihan raya kali ini. Tetapi gagal menunjukkan komitmen mereka dalam memerangi rasuah. Memilih perasuah sebagai calon. Ini suatu kemalangan kepada politik negara."

Umno sebelum ini lantang menjulang pedang kononnya ingin memerangi rasuah dan korupsi dalam pemerintahannya. Namun ternyata ianya retorik semata-mata apabila berkeputusan meletakkan bekas menteri besar Negeri Sembilan Isa Samad sebagai calon bagi pilihan raya kecil kali ini.

Isa Samad pernah digantung keahliannya dari Umno selepas terbukti bersalah apabila terbabit dalam rasuah semasa pemilihan Umno 2004.

Umno tidak berubah (sub tajuk)

Mengulas mengenai dakwaan bahawa Umno kini kembali diterima oleh masyarakat. Bagi Yusmadi kemenangan Umno di Bagan Pinang adalah satu rahmat.

"Umno sebenarnya tidak berubah sebab mereka masih lagi tidak peduli dengan jenayah rasuah lantas sanggup memilih perasuah sebagai wakil mereka, ini bermakna mereka telah membuktikan bahawa mereka adalah parti rasuah," katanya.

Tambahnya lagi dengan apa yang berlaku ini akan membuka mata rakyat Malaysia secara keseluruhan tentang perihal Umno yang tidak pernah berubah.

"Bagan Pinang adalah reaksi semasa bukan penolakan kepada agenda PR," dakwanya lagi.

Bagi Mahfuz beliau melihat kemenangan Umno-BN dari kacamata yang positif.

"Kemenangan Umno-BN ada hikmah kepada Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum ke 13 nanti. Isa Samad akan cetus pergelutan politik dalam Umno, rakyat akan rasa muak dan putus asa pada BN," katanya.

PAS akan melakukan post-mortem dengan segera bagi meneliti segala aspek untuk menilai kegagalan dalam pilihan raya kecil di Bagan Pinang.

Menurut Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, pelbagai komen, analisa dan cadangan yang diterima oleh PAS ketika ini akan diteliti untuk melihat punca kegagalan PAS dalam pilihan raya berkenaan.

"Apa yang pasti ialah PAS akan melakukan post-mortem bagi meneliti pelbagai aspek. Politik tempatan dan nasional, untuk menentukan punca sebenar kegagalan PAS memenangi kerusi DUN Bagan Pinang dari tangan BN.

"Kepimpinan parti tentunya akan mengambil langkah strategik yang bersesuaian tanpa mengorbankan prinsip perjuangan parti dalam melaksanakan penambahbaikan," jelasnya dalam satu kenyataan daripada Syria melalui setiausaha politiknya, Dr Ahmad Samsuri.

Tambahnya, semua ahli di pelbagai peringkat dalam PAS diminta supaya tidak menuding jari dan menyalahkan sesiapa sebelum punca sebenar ini dapat dikenalpasti. -TVA

Nizar Bidas Tuduhan UMNO

Satu isu yang sering dimainkan oleh Barisan Nasional (BN) ialah orang Melayu menolak Pakatan Rakyat (PR). Ini kerana Umno mendakwa bahawa PR gagal menjaga kepentingan kaum Melayu terutama di Perak dan hanya menjadi boneka kepada DAP.

Bagaimanapun perkara ini dinafikan oleh Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin. Menurutnya, Umno hanya memainkan propaganda tetapi hakikatnya setelah berjaya mentadbir Perak selama 11 bulan rakyat khususnya orang Melayu telah melihat cara pemerintahan PR yang berpaksikan dasar dan nilai universal (al-Islam).

"Kini orang Melayu telah mula membuka minda dan mata bahawa rupanya ada orang lain atau parti lain yang boleh urus tadbir Perak atau Malaysia. Bahkan lebih wibawa, cekap dan penuh amanah. Akhirnya orang Melayu Perak mulai sedar dan menghampiri setiap program anjuran PR," katanya.

Tetapi beliau mengakui perkara ini agak sukar dan memakan masa untuk meraih sokongan secara total kerana selepas kemerdekaan, Umno berjaya mencekam jiwa orang Melayu dengan slogan dan pelbagai jenama Islam tetapi tidak Islam sejati. Asalkan namanya Islam, orang Melayu tak kisah.

Nizar yang juga ahli parlimen Bukit Gantang melahirkan rasa gembiranya dengan sokongan yang diterima dari masyarakat bukan Melayu di Perak. Bahkan ramai di kalangan mereka yang mengaku turut di pengaruhi oleh mainan jahat Umno-BN terhadap PAS.

Ada di antara mereka yang menyatakan kami dulu pantang dengar PAS atau Islam kami cukup anti dan memusuhi PAS. Propaganda peringkat antarabangsa musuh Islam terhadap Islam juga memberi kesan kuat ke atas persepsi mereka kepada Islam dan sekali gus kepada PAS.

"Alhamdulillah sekarang mereka cukup yakin menyokong PAS hingga ke anak cucu. Buat pertama kali kaum Cina mengundi saya mewakili Pakatan Rakyat sejumlah 85 peratus yang terbesar di Parlimen Bukit Gantang pada 7 April 2008 yang lalu," jelasnya.

Perkara ini berbeza dengan Umno yang dilihat sebagai parti perkauman malahan memainkan sentimen perkauman malah setiap masa dan kewujudannya sendiri di atas landasan dan fahaman kebendaan, Assobiyah atau perkauman.

Tegasnya, Umno cuba untuk mempamerkan satu pendekatan dan imej Islam lebih-lebih lagi di zaman 1Malaysia Najib. Tetapi mereka tidak dapat menuju ke arah itu kerana budaya kebangsaan perkauman yang membarahi Umno kini.

Apa yang pasti tidak lagi pendekatan politik Malaysia di masa akan datang adalah politik lita’arafu. Yakni saling mesra bermesra dan hormat menghormati di antara satu kaum dengan kaum lain.

Ini bermakna mana-mana parti politik yang masih tidak berubah dalam sifat dan semangat fahaman perkauman mereka dengan sendirinya tertinggal atau diubah oleh masyarakat. Sekarang ini pun telah jelas kelihatan Umno, MCA , MIC dan semua parti perkauman dalam BN akan luput dan pupus satu demi satu.

Adalah lumrah sebagaimana Allah jadikan kepada kaum ‘Aad, Thamud dn Firaun, yang semuanya hebat suatu zaman dahulu. Namun di atas ketuanan bangsa dan kaum mereka, Allah ‘azabkan mereka dan hari ini mereka telah tiada walupun kesan peninggalan ketamadunan mereka masih segar bugar di Timur Tengah.