24 Dis 2011

Bapa Samun RM20 Beli Susu Anak Dipenjara 3 Tahun, Khir Toyo Cuma 1 Tahun

Saya terdesak samun untuk beli susu anak

KUALA TERENGGANU- “Saya langsung tidak ada niat hendak menyamun mangsa tetapi saya benar-benar dalam situasi terdesak memerlukan wang untuk membeli susu kepada anak kembar yang baru berusia setahun,” demikian jelas tertuduh, Mohd Hishanudin Abdullah, 32, ketika menjawab pertanyaan Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin yang ingin mengetahui sebab mendorong dia melakukan jenayah tersebut.

Bapa kepada tiga anak itu turut mengakui semasa kejadian, dia yang berada dalam dunianya sendiri berikutan penangan najis dadah yang diambilnya sebelum itu juga mendorong dia bertindak sedemikian rupa dan sanggup memeras ugut mangsa hanya kerana inginkan RM20.

Dalam masa sama, tertuduh yang sebelum ini bekerja sebagai pelayan kapal peranginan di sebuah pulau di negeri ini menjelaskan walaupun pendapatan bulanannya mencecah RM3,000, namun sentiasa tidak mencukupi dek kerana ketagihan dadah melampau.

Terdahulu, Mohd Hishanudin, dari Rumah Pangsa, Kampung Kolam, Kuala Terengganu yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, kelmarin atas dakwaan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan mengaku salah melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan terhadap mangsa, Muhamad Ismail Al-Rashid Ramli, 18.

Tertuduh mengaku melakukan jenayah itu menggunakan sebilah pisau lipat dengan niat mangsa dapat menyerahkan RM20 di hadapan sebuah kedai kunci Jalan Masjid Sultan Zainal Abidin, di sini, kira-kira jam 3.15 petang, 13 Disember lalu.

Berikutan pengakuan salah tersebut dan mendengar rayuan tertuduh yang tidak diwakili peguam bela, Zainal Abidin menjatuhkan hukuman 36 bulan penjara bermula tarikh tertuduh ditangkap.

Terdahulu, sebelum hukuman dijatuhkan, tertuduh yang pada awalnya kelihatan tenang menjawab soalan dikemukakan Zainal Abidin tidak dapat menahan sebak dan menangis teresak-esak di kandang tertuduh ketika Zainal Abidin meminta dia membayangkan masa depan anaknya sekiranya dia berterusan melakukan jenayah. -SH

Ulasan GB

Demikian "keadilan" di dalam sistem perundangan yang dilaksanakan di Malaysia.

Seorang bapa yang hanya menyamun RM20 kerana terdesak untuk membeli susu anak dipenjara 3 tahun, tetapi di dalam kes Khir Toyo semalam, berjuta telah disamun dalam bentuk rasuah, tetapi hanya didenda 1 tahun.

"Tangkapan Datuk NFC": Rakyat Berharap Ia Bukan Sekadar Wayang

Datuk NFC’ hanya dijadikan kambing hitam- Rafizi

KUALA LUMPUR 23 Dis: Tindakan polis menahan seorang datuk berhubung siasatan skandal National Feedlot Corporation (NFC), hanya untuk dijadikan kambing hitam dalam kes berkenaan.

Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, ini kerana berdasarkan rekod pendedahan beliau bersama pimpinan KEADILAN mendapati tiada individu seperti yang dimaksudkan.

Apa yang kita dedah sebenarnya ia berkait penglibatan keluarga Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

“Kita melihat kewujudan secara tiba-tiba Datuk berusia 45 tahun ini hanyalah kambing hitam pentadbiran Datuk Seri Najib Razak untuk mengalih isu sebenar menjelang Pilihan Raya Umum (PRU),” katanya dihubungi Keadilandaily.com hari ini.

Menurutnya, dua isu utama yang didedah sebelum ini sudah cukup untuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat skandal itu

Pertama, katanya, pemalsuan dokumen yang diguna NFC sebagai taktik untuk mengeluarkan dana sebanyak RM250 juta.

Kedua, pengeluaran sebanyak RM80,000 setiap bulan dari dana itu untuk pakej pelancongan yang ditawarkan syarikat Impian Global Network Services (IGNS), sejak Januari hingga Julai 2010.

“Dua pendedahan ini sudah cukup untuk SPRM siasat tetapi mereka tidak berbuat demikian,” kata Rafizi.

Beliau turut mengaitkan keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara ke atas bekas menteri besar Selangor, Dr Khir Toyo atas tuduhan rasuah, juga sebagai satu lagi usaha mengaburi mata rakyat menjelang PRU akan datang.

“Kalau mengikut skrip biasa Umno, mereka yang disiasat ini akan disabit bersalah namun kes akan digugur atau mereka dilepaskan selepas PRU.

“Sebab itu, saya merayu dan mengajak rakyat, jika enggan kes seumpama ini berulang, ayuh, bulatkan tekad dan kukuhkan sesungguhnya dalam hati untuk mengundi setiap calon Pakatan Rakyat pada PRU kali ini,” katanya.

Hari ini, portal media melaporkan usahawan berpangkat datuk dan dipercayai memiliki beberapa syarikat, ditahan polis kerana pembabitannya dengan NFC. Lelaki itu ditahan ketika berada di jabatan itu pada Rabu kononnya kerana cubaan untuk menyogok pegawai polis.

Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menyerbu pejabat NFC di Shah Alam dan merampas beberapa dokumen berkaitan.

Pada masa sama, Mahkamah Tinggi Shah Alam pula menjatuhkan hukuman penjara selama setahun ke atas Khir Toyo atas tuduhan rasuah.

Bagaimanapun, ia bukan keputusan muktamad kerana Khir masih mampu melepaskan dirinya daripada tuduhan itu, sekiranya beliau dibebaskan diperingkat Mahkamah Rayuan kelak. -KD

Identiti 'Datuk' NFC mula diketahui

Seorang usahawan berusia 45 tahun yang ditahan polis, dilaporkan berhubung siasatan ke atas skandal National Feedlot Corporation, dipercayai memiliki beberapa syarikat.

Antaranya, satu syarikat pengangkutan yang pada satu ketika pernah mempromosi perusahaan itu melalui iklan di saluran televisyen nasional.

Syarikat yang dikatakan mempunyai modal berbayar RM200,000 itu juga didakwa menyediakan perkhidmatan untuk bayaran bil dan juga cukai jalan melalui rangkaiannya di seluruh negeri.

Usahawan yang didakwa bergelar 'Datuk' itu turut memiliki syarikat limosin yang menyediakan perkhidmatan di sekitar Kuala Lumpur.

Selain perkhidmatan pengangkutan biasa, profil syarikat berkenaan turut mendakwa menyediakan perkhidmatan limosin dilengkapi pengawal peribadi untuk pelanggan VVIP.

Profil itu juga mendakwa lelaki tersebut berpengalaman dalam menguruskan projek pemasaran berskala besar, antaranya bernilai lebih RM1.5 bilion.

Menurut polis, suspek juga menjalankan perniagaan agensi pekerja asing.

Pengarah jabatan siasatan jenayah komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan semalam dilaporkan sebagai berkata, lelaki itu ditahan ketika berada di jabatan itu pada hari Rabu berhubung cubaan untuk menyogok pegawai polis.

Syed Ismail juga berkata suspek pernah ditahan sebelum ini berhubung siasatan ke atas dua kes penipuan, masing-masing di Bercham dan juga di Cheras mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,

Syed Ismail bagaimanapun enggan mengesahkan laporan media yang mengaitkan lelaki berkenaan dengan skandal NFC.

Polis telah mendapatkan perintah reman ke atas lelaki berkenaan yang kemudiannya diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk siasatan lanjut. -mk




Hassan Ali Minta Maaf Isu Negara Berkebajikan Tapi Terus Serang Mustafa Ali

Kritik Negara Berkebajikan: Hasan Ali mohon maaf

KUALA LUMPUR: Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali hari ini mengaku tersilap membuat kenyataan mengenai konsep ‘Negara Berkebajikan’ yang dipersetujui ahli parti dalam Muktamar PAS dan disahkan Majlis Syura Ulama’ Jun lalu.

Dr Hasan sebelum ini mengkritik PAS yang sudah lari daripada perjuangan asalnya iaitu membangunkan Negara Islam dan menganggap Negara Berkebajikan hanya konsep ‘biasa’ yang berjaya diamalkan oleh mana-mana negara maju termasuk di negara Eropah.

“Sebagai ahil PAS dan ahli jawatankuasa PAS Pusat, saya mengaku terdapat unsur keterlanjuran saya waktu membuat ulasan terhadap perkara itu.

“Dengan ini saya menarik balik komen saya mengenai ‘Negara Berkebajikan tersebut.

“Saya mohon maaf kepada saf kepimpinan dan ahli parti terhadap keterlanjuran saya itu,” katanya dalam sidang media di rumahnya sini hari ini.

Nafi bertemu pemimpin Umno

Sementara itu, beliau menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali bahawa beliau dan bekas Timbalan Presiden Nasharuddin Mat Isa bertemu dengan orang Umno di Hotel Le Meridien selepas solat terawih Ogos lalu.

Beliau menegaskan dirinya tidak pernah bertemu dengan mana pemimpin Umno sama ada peringkat bawahan, pertengahan mahu pun atasan pada tempat yang dinyatakan.

“Setahu saya yang ada ialah pertemuan yang sebahagiannya berulang kali di antara setiausaha agung dengan pemimpin tertinggi Umno.

“Bahkan terdapat permohonan daripada setiausaha agung sendiri untuk bertemu dengan seorang pemimpin tertinggi Umno yang sehingga kini setakat yang sama maklum belum dapat diadakan,”
katanya sinis.

Katanya Mustafa sekali lagi terperangkap dengan prasangka buruk api fitnah sesama Muslim dan ahli jamaah.

“Sebagai setiausaha agung kepada parti yang berteraskan Islam, tuduhan liar dan serkap jarang seperti itu tidak selayaknya keluar dati mulut seorang setiausaha agung yang berwibawa,” katanya.

Unit risikan dan intipan

Beliau turut mempersoalkan sejak bila pejabat setiausaha agung menubuhkan unit risikan dan intipan di pejabat agung parti dan keperluannya dalam konteks menjaga kesatuan dan perpaduan dalam parti.

Beliau sekali lagi menegaskan apa yang disebutkannya itu bukan pandangan peribadinya semata-mata, tetapi sebahagian ahli dan penyokong PAS selain anggota masyarakat lain.

“Mereka bersimpati dengan perjuangan PAS kerana melihat parti ini seolah-olah semakin tersasar daripada perjuangan asalnya.

“Ini mungkin disebabkan pendekatan akomodatif yang diambil PAS terhadap parti komponen demi bersama-sama mencapai hasrat menawan Putrajaya.

“Ramai yamg menyatakan kekhuatiran sikap ini akan dijadikan senjata oleh musuh politik PAS untuk menyerang PAS dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya. -FMT

The game is over, kata Mustafa Ali

KUALA TERENGGANU, 24 Dis: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali yakin, isu kekecohan yang berlaku dalam PAS sudah selesai.

"The game is over - permainan ini sudah selesai, bagi saya ia sudah selesai," kata Mustafa ketika memberikan ucapan dalam majlis makan malam di Markas PAS Kuala Terengganu, di sini malam tadi.

Mustafa mengulas kekecohan yang berlaku dalam PAS ekoran perang dalam media antara beberapa pemimpinnya.

Ia memuncak apabila Mustafa menyifatkan dua pemimpin Datuk Dr Hasan Ali dan Nasharudin Mat Isa terperangkap dalam agenda musuh PAS iaitu Umno.

Menurut Mustafa, ia selesai melalui kenyataan beberapa pimpinan dan mesyuarat lajnah politik baru-baru ini.

"Dalam mesyuarat, saya tanya kepada semua yang terlibat dan masing-masing kata, apa yang mereka cakap lain, yang disiarkan media lain.

"Jadi jawapan saya dalam sidang media yang lalu harapnya yang terakhirlah," kata Mustafa.

Bagaimanapun, katanya, Dr Hasan akan membuat kenyataan hari ini dan dia akan melihat kenyataan itu samada untuk memberi respons atau tidak.

"Kalau dia (Dr Hassan) cabar suruh dedah, saya akan kajilah apa nak jawab," kata Mustafa.

Kes itu, katanya selesai dengan cara Presiden PAS memanggil tiga orang yang terlibat dalam kes ini termasuk Adun Hulu Klang yang juga Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungib. -HD


Ulasan GB

Memang "UG" membawa petaka yang amat dasyat kepada parti sehingga porak-peranda jemaah parti.

Dan kebenaran itu kini dipertontonkan dimana kedua-dua mereka yang telibat di dalam gagasan itu kini berbalah sesama sendiri.

GB sudah menyatakan dari awal dulu bahawa konsep gagasan UG bakal membawa "fitnah besar" kepada parti dan kini ia menjadi bukti yang amat nyata.

Ketiadaan ketegasan di dalam parti terhadap isu Hassan Ali menjadikan 'biang" Hassan semakin menjadi-jadi, ulas GB sebelum ini.

Yang anehnya dahulu, di dalam kes Khalid Samad, Lembaga Disiplin mengambil keputusan untuk mengantung jawatan-jawatannya dalam parti yang sedang disandangnya ketika itu selama 6 bulan. Jawatan berkenaan adalah sebagai YDP kawasan Shah Alam dan sebagai ahli Lujnah Politik PAS Pusat.

Shahrizat: Beritahu Saya Pemimpin UMNO Mana Yang Tiada Masalah?

Di sebalik tanda bahawa UMNO sedang berantakan disebabkan skandal rasuah dan pertelingkahan dalaman dikalangan pemimpin tingginya, Suruhanjaya Pencegah Rasuah telah mengumumkan bahawa satu pasukan khas akan dibentuk untuk menyiasat dakwaan bahawa keluarga Menteri UMNO Shahrizat Jalil telah menyalahgunakan dana awam berjumlah RM250 juta yang diperuntukkan bagi projek ternakan lembu NFC untuk kegunaan peribadi dan juga harta mewah.

Walaubagaimanapun, tanpa fokus kepada kemarahan rakyat, semua mata tertumpu pada drama yang sedang dimainkan UMNO. Walaupun Shahrizat telah membayangkan kesediaan beliau untuk meletak jawatan, adalah mustahil beliau akan membenarkan dirinya dipijak atau dijadikan kambing hitam oleh rakan-rakan parti politiknya.

Mata juga sedang tertumpu pada hakikat bahawa Najib yang sedang disiasat oleh kerajaan Perancis disebabkan dakwaan memakan rasuah bernilai RM570 juta daripada pembuat senjata gergasi DCN akan mampu untuk menangani isu NFC. Najib juga ialah presiden UMNO.

“Beritahu saya, pemimpin UMNO yang mana tiada masalah?” merupakan jawapan pantas Shahrizat apabila diminta memberi komen mengenai sama ada beliau akan bertindakbalas terhadap seruan untuk meletak jawatan seperti yang di laporkan oleh suratkahabr Sin Chew beberapa hari lepas.

Sandiwara UMNO-SPRM

Sememangnya rakyat berasa curiga kerana MACC telah sebelum ini telah menyerahkan kes itu kepada polis walaupun telah menerima laporan daripada ketua pembangkang, Anwar Ibrahim.

Kredibiliti pentadbiran Najib telah hilang apabila timblan ketua Polis Khalid Bakar telah mengumumkan bahawa tiada unsure pecah amanah semasa perhimpunan Agong UMNO baru-baru ini. Sering mendapat jolokan Pak Turut untuk kerajaan UMNO, Khalid telah dituduh sebagai cuba menyelamatkan parti itu daripada malu.

“Kita telah bertindak dengan mengikut prosedur apabila mengumpul fakta dan kenyataan sejak isu itu dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negera. Kebanyakkan isu yang ditimbulkan pada laporan terhadap NFC telahpun kita ambil tindakan.” Ujar Pengarah SPRM Mustafar Ali dalam kenyataan beliau yang di siarkan pada Khamis.

SPRM juga pantas menyatakan bahawa ia tidak dapat mendedahkan fakta terperinci seperti yang termaktub dalam Seksyen 29(4) Akta Pencegah rasuah Malaysia 2009. “Kami telah memanggil pihak-pihak yang terbabit untuk memberi kerjasama kepada kami dan tidak mempolitikkan isu –isu yang boleh menjejaskan siasatan kami.” Ujar Mustafar lagi.

Mengambilkira tona defensive kenyataan tersebut, adalah jelas kepada pemerhati bahawa SPRM tidak akan beriya-iya menyiasat NFC atau Feedlot Kebangsaan, sebuah projek yang bertujuan untuk meningkatkan bekalan daging lembu tempatan kepada 40% pemakanan dan pada harga yang berpatutan.

Projek itu telah dianugerahkan kepada suami Shahrizat, Salleh Ismail dan anak-anak beliau pada 2006. Semasa itu, Muhyiddin memang portfolio Menteri Pertanian. Khairy Jamaluddin, menantu kepda Perdana Meteri ketika itu, Abdulah Badawi juga memainkan peranan penting dalam meluluskan projek itu kepada keluarga Shahrizat.

Bertanggungjawablah dan selamatkan kami, rakan-rakan beritahu Shahrizat

Ini dipercayai sebagai drama terbaru yang dimainkan UMNO untuk menyeru Shahrizat meletak jawatan dalam cabinet dan bertanggungjawab sebelum pilihanraya diadakan pada tahun depan.

Tiada siapa yang menyangka aka nada perubahan besar pada sikap pemimpin tertinggi UMNO yang sudah dikenali dengan rekod rasuah mereka- ini termasuk juga Shahrizat.

“Shahrizat dan juga UMNO sememangnya tidak malu. Isunya adalah kenapa pinjaman sebegitu diberikan kepada keluarga beliau sedangkan beliau memegang jawatan sebagai Menteri Kabinet. Mustahil mereka mendapat pinjaman itu sekiranya dia bukan menteri. Beliau dan keluarga beliau telah menidakkan hak rakyat Malaysia yang susah dan rajin daripada faedah pinjaman itu (bekalan daging murah kepada rakyat Malaysia),” beritahu timbalan Presiden PKR N Surendran kepada Malaysia Chronicle.

“Shahrizat juga tidak patut dipersalahkan seorang diri. UMNO lah yang harus lebih dipersalahkan. Disebabkan amalan politik mereka yang sering memberi makan kroni dan keluarga mereka daripada wang rakyat. “

Mangsa legasi rasuah Mahathir?

Mereka yang menyeru beliau letak jawatan sebelum beliau “dihalau” termasuk bekas perdana Menteri Mahathir Mohamad juga dikenali sebagai pemimpin yang mengembangkan sistem feudal dalam politik di mana pemimpin elit memegang segala aspek ekonomi dan politik negara.

Dalam laporan “Global Financial Integrity” baru-baru ini, Malaysia disenaraikan di tempat ke 4 paling banyak mengamalkan rasuah di dunia. Kita sudah kehilangan USD338 billion (RM1.08 trilion) dalam pengaliran wang haram pada dekad pertama untuk abad ini.

GFI juga menyatakan bahawa kenaikkan Malaysia ini “seiring dengan bebapa negara Asian.” Ada Januari lepas, telah dilaporkan RM930 billion telah keluar daripada Malaysia dari 200 hingga 2008 dan meningkat ke RM218 setahun daripada jumlah asal RM 71 billion pada masa itu.

Laporan ini sepatutnya menimbulkan kesedaran kepada pemimpin dunia bahawa ada keperluan untuk melakukan sesuatu demi menghapuskan pengeluaran haram ini,” ujar pengerusi GFI Raymond Baker dalam satu sidang akhbar.

Semasa laporan itu dikeluarkan, tidak hairanlah pemimpin UMNO yang pertama meragui laporan itu adalah Mukhriz Mahathir yang tinggal di Washington dan juga merupakan anak bongsu bekas PM itu.

Sekarang, Mahathir yang berusia 86 tahu dan telah memerintah Malaysia selama 22 tahun dikenali sebagai pemimpin yang banyak membazirkan wang cukai rakyat. -Malaysia Chronicle

Banyak Pihak Kecam LPF Tunduk Kepada Pengeluar Filem

PAS kesal dengan langkah LPF

KUALA LUMPUR, 23 Dis: PAS amat kesal dengan langkah Lembaga Penapis Filem (LPF) kerana melepaskan tanggungjawabnya kepada pihak penerbit dan pengarah sepenuhnya dalam urusan penapisan filem di negara ini.

Tindakan tersebut tidak sepatutnya dilakukan kerana ia bukan sekadar memperlihatkan sikap lembaga itu yang ingin lari dari melaksanakan tugas pentingnya, tetapi diyakini akan mendatangkan kesan lebih buruk terhadap masyarakat.

Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Dr Siti Mariah Mahmud (gambar) berkata, penapisan filem merupakan satu perkara amat penting yang sepatutnya mesti dilaksanakan oleh sebuah agensi kerajaan yang berwibawa.

Menurutnya, tanggungjawab tersebut perlu dilaksanakan dengan baik, tetapi langkah terbaru LPF untuk tidak lagi melakukan kerja-kerja itu mulai tahun depan jelas menunjukkan badan tersebut atau pihak kerajaan hanya memandang mudah perkara itu.

Katanya, langkah terbaru LPF itu pasti menimbulkan kehairanan kepada pelbagai pihak kerana ia seolah-olah menunjukkan pihak kerajaan tidak peka dengan tanggungjawabnya sendiri.

"Dengan melepaskan tanggungjawab itu dibimbangi akan lebih memburukkan keadaan apabila filem-filem yang mengandungi adegan-adegan yang sepatutnya dipotong turut ditonton oleh orang ramai," katanya ketika menghubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Meletakkan tanggungjawab menapis hanya kepada pihak penerbit filem dan pengarah, menurutnya, pasti akan menimbulkan pelbagai risiko bagi perlaksanaan tanggungjawab moral kerana mereka mempunyai tanggapan tersendiri terhadap sesebuah filem yang dihasilkan oleh mereka.

Begitu juga dengan adegan-adegan yang terdapat di dalam filem yang mereka hasilkan itu kerana masing-masing mempunyai pandangan tersendiri meskipun tidak disenangi pihak lain.

"Disebabkan perkara itu, dapatkah pihak penerbit dan pengarah itu sendiri yang diharapkan memainkan peranan itu dengan baik, apatah lagi jika mereka itu bukan beragama Islam?" katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Raja.

Beliau yakin tindakan LPF itu bukan akan membantu mengatasi masalah gejala sosial di negara ini, malah akan mempertingkatkannya, ekoran filem-filem yang akan ditayangkan di negara ini nanti lebih banyak mempunyai adegan yang berunsur negatif.

"Ini tidak terkecuali sama ada filem-filem tempatan dan dari luar negara yang dibawa masuk ke negara ini kerana bagi filem-filem dari luar negara, tanggungjawab itu juga akan diserahkan kepada mereka yang membawa masuk filem-filem itu sendiri," ujarnya.

Jika sebelum ini di bawah tanggungjawab agensi itu sendiri pernah berlaku adegan-adegan yang sepatutnya dipotong tidak juga dipotong sehingga turut ditayangkan kepada umum, kejadian seperti itu diyakini lebih berleluasa setelah LPF mengambil langkah itu.

Pada hal di bawah tanggungjawab LPF, kejadian itu diyakini berlaku kerana masalah-masalah tertentu yang mungkin tidak disengajakan atau terlepas pandang.

"Dengan langkah baru LPF itu nanti, jika berlaku pasti bukan lagi masalah terlepas pandang, tetapi disengajakan oleh pihak penerbit dan pengarah ekoran perbezaan anutan agama, budaya dan tahap tanggungjawab moral di kalangan mereka," tambahnya.

Untuk mengimbangi langkah itu, pihak LPF digesa mengeluarkan garis panduan yang jelas kepada pihak penerbit, pengarah dan mereka yang terbabit dalam urusan membawa masuk filem-filem dari luar negara ke negara ini.

Katanya, menerusi garis panduan itu, pihak LPF mestilah menyatakan dengan jelas tentang filem-filem dan adegan-adegan yang tidak boleh ditayangkan di negara ini agar masing-masing dapat mengelakkan dari memasukkan unsur-unsur negatif ke dalam filem masing-masing.

Beliau turut menyarankan LPF agar menguatkuasakan undang-undang berhubung perkara itu untuk dikenakan kepada mereka yang gagal mematuhinya agar mereka tidak memandang ringan terhadap tanggungjawab moral.

"Hanya dengan itu yang dapat diharapkan agar filem-filem yang dihasilkan dan ditayangkan di negara ini bebas dari unsur-unsur negatif termasuk unsur lucah, mempersendakan Islam, jenayah dan sebagainya," ujar beliau. -HD

MBM khuatir LPF dihapuskan


KUALA LUMPUR - Majlis Belia Malaysia (MBM) hari ini melahirkan kekhuatiran terhadap langkah kerajaan membenarkan penggiat filem menapis sendiri filem mereka dan bukan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) mulai tahun depan akan membawa mudarat kepada golongan belia.

Presiden MBM, cberkata, ini kerana penggiat filem dilihat cenderung menggunakan elemen tarikan negatif bagi melariskan filem mereka dan penapisan oleh penggiat filem juga dikhuatiri tidak mempunyai keberkesanan yang tinggi bagi memastikan elemen itu tidak mempengaruhi belia di negara ini.

"Belia sekarang sudah dilimpahi elemen negatif daripada media baru di internet yang sukar kita selesaikan, sekarang kita hendak tambah elemen negative daripada filem.

"Tindakan ini (penapisan oleh penggiat filem) mengancam kita daripada segala segi. Kita perlukan badan yang 'credible' seperti LPF untuk pastikan filem disiarkan sesuai untuk kita," katanya.

Rabu lepas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Mahmood Adam mengumumkan berkuatkuasa tahun depan semua penggiat filem di negara ini dibenar melakukan pengawal seliaan dan penapisan sendiri terhadap filem atau drama dihasilkan.

Semalam Setiausaha Agung Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Norman Abdul Halim berkata PFM mampu menjadi badan yang menentukan rating kesesuaian tontonan sesebuah filem berdasarkan pengalaman luas yang dimiliki persatuan itu.

Mohamed Maliki berkata selain bebas elemen negatif, filem yang disiarkan juga perlu sesuai dengan budaya masyarakat berbilang kaum di negara ini bagi memupuk semangat 1Malaysia di kalangan belia.

"Proses penyesuaian perlu dilakukan kepada sesebuah filem bagi memastikan filem itu sesuai untuk memajukan minda belia kita dan supaya filem itu tidak menyentuh sensitiviti masyarakat berbilang kaum di Malaysia," katanya.

Ditanya adakah penapisan oleh penggiat filem itu dapat memberi kebebasan kepada pengembangan pemikiran masyarakat terutamanya golongan belia, beliau berkata pendapat itu merupakan pendapat dangkal sesetengah pihak.

"Elemen negatif tidak mungkin dapat mengembangkan pemikiran belia, kita harap pihak yang berkaitan jangan lepaskan tanggungjawab mereka. Lakukan yang terbaik demi generasi akan datang," katanya. -bernama



Tiada penapisan filem oleh LPF bermula 2012


SHAH ALAM - Berkuatkuasa tahun hadapan, Lembaga Penapis Filem (LPF) tidak lagi menapis sesebuah filem sebelum ditayangkan, sebaliknya peranan tersebut akan diserahkan kepada pengarah dan penerbit filem itu sendiri.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Mahmood Adam (gambar) berkata, langkah terbaru itu diambil selepas mengambil kira pandangan daripada semua pihak yang menjayakan industri perfileman negara.

Bagaimanapun katanya, jika terdapat masalah berbangkit mengenai sesebuah filem yang ditayangkan, maka penerbit dan pengarah filem berkenaan perlu bertanggungjawab.

“Dengan kelulusan cadangan tersebut, saya harap semua pihak mengambil iktibar dan tidak mengunakan kelonggaran tersebut sebagai batu loncatan untuk memasukkan adegan-adegan yang melampau dalam sesebuah filem demi untuk mengaut keuntungan semata-mata.

“Suka saya tegaskan, mereka perlu bertanggungjawab dengan segala masalah yang timbul ekoran penerbitan filem mereka. Oleh itu mereka sendiri perlu menilai cita rasa penonton di negara ini,” katanya.

Menurut Mahmood, kementerian juga akan memainkan peranan untuk memberikan penerangan kepada penonton terhadap sesebuah filem mengikut genre masing-masing.

“Antara langkah yang akan diambil kementerian ialah meletakkan keterangan mengenai sesebuah filem di skrin pawagam sebelum ia ditayangkan.

“Langkah ini juga diambil demi memenuhi kehendak rakyat yang mahukan kebebasan dalam industri perfileman, tetapi rakyat jangan lupa jika ada filem barat yang ditayangkan mengandungi unsur-unsur bertentangan dengan akidah atau agama mereka perlu menilai sendiri untuk menonton atau tidak,” katanya.

Sementara itu katanya, mana-mana filem yang telah menjalani proses penapisan LPF sebelum ini boleh memohon semula untuk mendapatkan kelulusan bagi ditayangkan tanpa sebarang tapisan.

“Ini bagi memastikan keadilan kepada semua pihak termasuk penerbit filem terdahulu yang terpaksa menjalani proses tapisan filem ketat sebelum ia dibenarkan untuk tayangan,” katanya.

Dalam pada itu katanya, jika terdapat masalah berbangkit mengenai sesebuah filem luar negara yang dibawa untuk ditayangkan di negara ini, kementerian akan memanggil syarikat yang bertanggungjawab membawa masuk filem terbabit untuk mendapat penjelasan. -SH

UMNO Sibuk Hentam Air Kelantan, Krisis Air Meruncing Di Pekan, Kawasan Najib

Krisis air: Mahasiswa UMP Pekan tuntut pembelaan Oleh Muhamad Fazli Abdul Halim

Krisis gangguan air yang semakin meruncing di Universiti Malaysia Pahang (UMP) Kampus Pekan sudah berlarutan masuk minggu kedua tidak menampakkan sebarang tanda-tanda yang krisis ini akan berakhir. Krisis ganguan air ini dikatakan berpunca daripada tekanan air yang rendah akibat daripada UMP Kampus Pekan yang mempunyai kapasiti pelajar sekitar 2000 orang terpaksa berkongsi sumber air yang sama daripada tangki yang berada di Kuala Pahang yang turut sama disalurkan kepada masyarakat sekitar.

Situasi ini cukup menyeksa dan menyukarkan urusan harian mahasiswa yang dalam masa yang sama ditambah dengan tekanan peperiksaan akhir semesta yang bakal berkunjung tiba. Krisis ini juga turut menjejaskan pihak pengusaha kafeteria yang secara langsung mengganggu pengoperasian dan urusniaga mereka dan menambah kesengsaraan mahasiswa dalam mendapatkan makanan.

Krisis air bukan isu baru

Permasalahan ganguan air yang dialami oleh mahasiswa UMP bukanlah satu perkara yang baru. Perkara yang sama turut berlaku dua tiga tahun yang lepas oleh mahasiswa UMP yang berada di Kampus Gambang. Krisis air ini bukanlah satu perkara yang asing oleh masyarakat Pekan dan Pahang khususnya. Tindakan segera amat diperlukan terutamanya peranan yang dimainkan oleh Jabatan Bekalan Air Pahang sebagai salah satu agensi kerajaan negeri agar mengambil perhatian serius terhadap permasalahan yang dialami oleh kami selaku mahasiswa agar memudahkan urusan pembelajaran kami di medan universiti ini.

Mohon perhatian Perdana Menteri

Mahasiswa UMP Pekan memohon agar kebajikan kami yang merupakan sebahagian daripada komuniti di sini agar diberi perhatian dan tumpuan yang sewajarnya oleh Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak bertepatan dengan hasrat Perdana Menteri yang berazam untuk terus membangunkan Pekan, kawasan parlimennya, serta masyarakatnya dalam apa jua keadaan sepertimana yang beliau ucapkan semasa Himpunan Anak-anak Pekan Bersama Perdana Menteri di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 19 Disember yang lepas.

Gerakan Mahasiswa Penggesa Air Kampus (Gempak) UMP

Satu jawatankuasa bertindak telah dibentuk diperingkat mahasiswa yang dikenali sebagai Gerakan Mahasiswa Penggesa Air Kampus (GEMPAK) UMP yang terdiri daripada Majlis Perwakilan Pelajar, persatuan fakulti dan perwakilan kolej kediaman serta beberapa wakil mahasiswa yang terpilih. Antara objektif utama jawatankuasa ini diwujudkan adalah bertujuan untuk menuntut penyelesaian segera krisis air di UMP Pekan oleh pihak yang berkaitan dan bertanggungjawab.

Penulis merupakan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Pahang juga Pengerusi Gerakan Mahasiswa Penggesa Air Kampus (Gempak) UMP.

Gadis Dihanyut Tsunami Pulang 7 Tahun Kemudian

Acheh: Tujuh tahun selepas dihanyutkan ke laut dan disangka sudah mati, seorang mangsa tsunami Aceh yang berusia 15 tahun muncul di kampung halamannya dan disatukan semula dengan ibu bapanya.

Gadis bernama Wati itu dilaporkan disentap daripada genggaman ibunya ketika tsunami sehari selepas sambutan Krismas pada 2004 dan dikhuatiri lemas. Namun kelmarin rakan kepada datuk gadis itu, Ibrahim, menemuinya duduk bersendirian di sebuah kedai kopi dan membawanya pulang ke rumahnya di bandar Meulaboh.

Apabila ditanya, Wati berkata dia datang dengan menaiki bas dari Banda Aceh dan cuba mencari jalan pulang ke rumah tetapi tidak tahu caranya, menurut laporan portal berita The Telegraph semalam.

Gadis itu berkata, dia tidak dapat mengingati nama saudara maranya kecuali Ibrahim, membuatkan datuknya itu terfikir yang Wati mungkin cucunya yang sudah lama hilang.

Dia segera menghubungi ibu bapa gadis itu, Yusniar dan Yusuf, yang mengesahkan bahawa Wati adalah anak perempuan mereka berdasarkan tahi lalat dan parut kecil pada sikunya, menurut laporan itu.

Apa yang berlaku kepada Wati dalam tempoh tujuh tahun itu tidak jelas.

Kira-kira 168,000 orang terkorban dalam bencana itu di Indonesia manakala angka korban di seluruh dunia ialah 230,000 orang. - BERNAMA

Temu ibu lepas 7 tahun terpisah


Gambar: YUSNIAR memerhatikan Wati yang sedang tidur selepas menemuinya semula, semalam.

BANDA ACEH (Indonesia): Seorang remaja perempuan yang dihanyutkan tsunami Lautan Hindi tujuh tahun lalu, semalam berkata, dia menangis selepas mendapati ibu bapanya yang sudah putus harapan untuk menemuinya masih hidup lagi.

Wati, 15, yang muncul di sebuah kafe di Meulaboh, bandar di wilayah Aceh, awal minggu ini berkata, tidak lama selepas ombak tsunami melanda, dia ditemui dan diambil sebagai anak angkat oleh seorang wanita yang memaksanya mengemis di jalanan, kadangkala hingga jam 1 pagi.

Apabila dia berhenti mendapatkan wang, Wati dihalau keluar oleh wanita itu. Dia kemudian memutuskan untuk mencari keluarganya, tetapi hanya mempunyai sedikit maklumat untuk dijadikan panduan, hanya nama datuknya, Ibrahim.


Seseorang di kafe itu membantu Wati mencari lelaki yang bernama Ibrahim tetapi lelaki yang ditemui itu tidak pasti adakah Wati benar-benar cucunya dan segera memaklumkan ibu bapa remaja itu.

“Apabila saya melihat ibu, saya tahu itu adalah ibu saya. Saya hanya merasakannya,” kata Wati yang diberikan nama itu oleh wanita yang menemuinya. Nama sebenarnya adalah Meri Yuranda.

Kejadian tsunami yang berlaku pada 26 Disember 2004 dan membunuh 230,000 orang di beberapa negara. Aceh paling teruk kerana ia terletak berhampiran pusat gempa berukuran 9.1 magnitud hingga mengakibatkan ombak besar setinggi 10 meter. Dengan puluhan ribu mayat yang tidak ditemui di wilayah itu, kebanyakan penduduk masih berharap dapat berjumpa dengan orang tersayang dengan meletakkan risalah atau iklan di akhbar.

Bagaimanapun, pertemuan semula amat jarang terjadi dan jika berlaku pun jarang dapat disahkan.

Ibu Wati, Yusniar binti Ibrahim Nur, 35, berkata, dia tidak memerlukan ujian DNA bagi membuktikan remaja itu adalah anaknya.

“Dia mempunyai wajah bapanya,” katanya sambil menambah dia sudah tidak percaya akan menemui semula anak perempuannya.

“Kemudian saya nampak parut di mata dan tahi lalat di pinggangnya yang membuatkan saya bertambah yakin,” katanya. Wati dan bapanya mempunyai kisah berbeza mengenai apa yang berlaku pada hari kejadian tsunami melanda. - AP


Bekas Menteri Di JPM, Abd Hamid Othman Meninggal Dunia

Kuala Lumpur: Bekas Penasihat Agama Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Hamid Othman, 72, meninggal dunia akibat serangan strok di pejabatnya di Maju Junction, di sini, petang semalam.

Allahyarham yang juga Penasihat Maju Holdings Sdn Bhd dipercayai mendapat serangan strok ketika menjalankan urusan kerja sebelum meninggal dunia jam 4.45 petang.

Pegawai Peribadinya, Nor Azhar Mohd Yusof ketika dihubungi berkata, Allahyarham sihat seperti biasa, namun secara tiba-tiba kakitangan memaklumkan Allahyarham mengalami kesukaran bernafas.

“Kakitangan pejabat memanggil saya dan kami cuba memberi bantuan kecemasan termasuk bantuan pernafasan, namun lima minit kemudian Tan Sri sudah tiada,” katanya.

Allahyarham mempunyai sejarah penyakit sakit jantung dan diabetes.

Beliau berkata, jenazah Abdul Hamid dibawa pulang ke kediamannya di Taman Tenaga, Batu 9, Jalan Puchong. Allahyarham dilahirkan pada 21 Julai 1939 di Kampung Kemelong, Mukim Sik, Kedah pernah mengetuai Pusat Islam Malaysia di Jabatan Perdana Menteri sebagai Ketua Pengarah, Bahagian Hal Ehwal Islam. Abdul Hamid memegang jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dari 1995 sehingga 1999. Sebelum itu pada 1990, beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Pada 2001, Abdul Hamid dilantik sebagai Penasihat Agama kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan kemudian Penasihat Agama kepada Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dari 2005 hingga 2009.

Semasa hayatnya Allahyarham adalah penerima pertama biasiswa kerajaan Malaysia menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir, bersama empat orang lagi pelajar lain dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Perundangan Islam pada 1961.

Penasihat Agung Pusat Kebajikan Wanita dan Keluarga (Kewaja) itu meninggalkan seorang balu, Puan Seri Jamilah Mohd Said, 68, seorang anak dan menantu serta lima orang cucu. Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Puchong selepas solat Zuhur, hari ini. -hm

Ulasan GB

Di saat negara sedang kecoh membicarakan isu Menteri Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir Baharum kerana menyalahgunakan wang zakat untuk bayaran khidmat guamannya, dan pendedahan isu Tun Mahathir membuat pinjaman Bank Dunia semasa beliau menjadi PM, tiba-tiba kita dikejutkan dengan pemergian bekas Menteri di JPM dan juga Penasihat Agama kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Abdul Hamid Othman.

Di dalam PRU 10, Abdul Hamid Othman telah tewas kepada seorang calon PAS yang juga seorang Sasterawan Negara, Dato' Prof. Shahnon Ahmad yang pada ketika itu baru kali pertama mencuba dalam pilihan raya.

Setiap sesuatu peristiwa yang dijadikan Allah s.w.t. tidak ada yang sia-sia, apatah lagi soal "kematian" yang sepatutnya menjadi "guru" kepada yang masih hidup.

Justeru kepada kita yang masih hidup, apatah lagi kepada penggantinya di JPM itu dan juga kepada bekas PM yang pernah menggunakan khidmat nasihatnya, agar belajar dari kematian tersebut - bahawa Allah berkuasa mencabut nyawa kita pada bila-bila masa.

Innalillahi wainna ilahi rajiun.

Alfatihah.

Salahguna Wang Zakat: Jamil Khir Khianati Orang Miskin, Bukti Beliau Tidak Amanah

Jamil Khir khianati orang miskin, golongan layak terima zakat

Perbuatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Bahrom menggunakan wang zakat, mengkhianati golongan asnaf yang sepatutnya menerima agihan wang berkenaan, kata Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, Ahmad Kassim.

Beliau mengulas Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang mengesahkan wang zakat berjumlah RM63,650 digunakan Jamil dan dua lain bagi menghalang kes qazaf yang di failkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Wang zakat itu dibayar kepada firma guaman Zainul Rijal Talha dan Amir bagi mewakili Jamil, pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali dan ketua pendakwanya, Shamsuddin Hussain, sebagai responden.

“Seleweng wang zakat ini bukti Menteri Umno dan dua yang lain menyalahgunakan kuasa mereka dan saya tegaskan firma guaman yang menerima wang zakat itu tidak termasuk dalam senarai yang sepatutnya menerima zakat,” katanya.

Lapan golongan yang layak itu hanyalah fakir, miskin, Amil (mereka yang dilantik memungut zakat), Muallaf (Seseorang yang memeluk Islam, Riqab (orang yang tidak mempunyai kebebasan), Gharimin (penghutang muslim), Fisabillillah (pejuang Islam) dan Ibnus Sabil (musafir).

Katanya lagi, Jamil yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama Islam, sememangnya berniat menggunakan wang zakat demi kepentingan mereka dan tahu firma guaman yang dilantik itu tidak termasuk golongan yang layak menerima zakat.

Wang itu katanya, hanya dibayar semula selepas Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menerima geran RM700,000 pada Jun 2010.

“Apabila Datuk Jamil guna wang zakat dan akan bayar balik seperti mana didedahkan dalam surat jawapan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) itu, maknanya mereka tahu bahawa guna wang zakat itu salah.

“Kalau sudah tahu, mengapa guna juga wang itu dan kita yakin kalau kita tidak dedah penyelewengan ini, belum tentu wang zakat itu dapat balik,” katanya dihubungi Keadilandaily.com.

Guna wang zakat bukti Jamil Khir tidak amanah – Izzah

KUALA LUMPUR 23 Dis: Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang mengesahkan penggunaan wang zakat oleh Datuk Jamil Khir Baharom, jelas membuktikan beliau seorang yang tidak amanah.

“Menggunakan wang zakat merupakan perbuatan khianat oleh menteri. Sepatutnya beliau (Jamil Khir) bertanggungjawab dalam hal ehwal agama islam tapi sesuka hati bayar duit zakat bayar kes guaman, walhal bukan amil (tidak layak menerima wang zakat),” kata Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar.

Wang sebanyak RM63,650 itu dikeluarkan dari dana zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi mendahulukan bayaran khidmat guaman untuk Jamil Khir dan dua yang lain.

Kos guaman itu bersabit kes tuntutan qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menamakan Jamil; pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali dan ketua pendakwanya, Shamsuddin Hussain, sebagai responden.

Izzah berkata, meskipun wang itu sudah dikembalikan, Jamil sebagai Menteri Agama di dalam kerajaan sepatutnya memberi contoh baik kepada rakyat dan bukannya mengambil kesempatan menggunakan wang tersebut.

“Ini bukan saja melibatkan persepsi masyarakat tetapi rakyat telah hilang keyakinan kerana begitu mudah mengambil wang zakat. Jamil sudah tidak ada kredibiliti kerana tidak amanah dalam melaksanakan tanggungjawabnya,” kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mendengar aduan penduduk di Taman Sentosa.

Sementara itu, Izzah yang ditemui selepas lawatan kawasan penduduk di Taman Seri Sentosa, Klang Lama menggesa Dewan Bandaraya Kuala lumpur (DBKL) memberi perhatian terhadap rungutan penjaja di situ.

Ia berhubung aduan bahawa DBKL menindas beberapa penjaja di kawasan tersebut.
Menurutnya, DBKL tidak seharus berat sebelah untuk mengambil tindakan dan perlu mengambil kira pendapat penduduk setempat.

“Kalau betul nak ambil tindakan, jangan pilih bulu. Jangan ditindas peniaga-peniaga tertentu yang mencari rezeki,” katanya.


Laporan sebelum ini
klik untuk baca