29 Jan 2010

Video Aduka Di Mahkamah, Aduka Mengaku Tidak Bersalah

Aduka Taruna, atau nama sebenarnya, Khairul Nizam Abd Ghani, 29, seorang penulis blog mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan menghina dengan niat untuk menyakiti institusi kesultanan Johor dan rakyat antara jam 7.25 sehingga 9.05 pada 22 Jan.

Khairul Nizam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas tuduhan menghina Almarhum Sultan Johor. Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di No.297, Rumah Rakyat Panchor, Paroi, di sini antara 7.25 malam dan 9.05 malam.

Beliau sebelum ini diperintahkan ditahan reman empat hari oleh mahkamah majistret Kota Baharu. Perintah tahanan reman itu berakhir hari ini.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 233(1)(A)Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Mahkamah membenarkannya diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Masri Mohd Daud mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000.

Bagaimanapun, hakim Zamri Bakar mengurangkannya sebanyak RM5,000 dengan mempertimbangkan rayuan Khairul Nizam yang akan mengadakan majlis persandingan esok.

Pengantin yang baru sebulan mendirikan rumah tangga itu diwakili peguam Mohd Razlan Jalaludin.

Hakim juga memerintahkan passport antarabangsa Khairul Nizam diserahkan kepada mahkamah.

Khairul Nizam kelihatan tenang sepanjang prosiding tersebut. Isterinya turut hadir di mahkamah.

Pemuda itu sebelum ini menyerah diri ibu pejabat polis daerah (IPD) Kota Bharu.



Tindakan Bebal & Zalim Jawatankuasa Disiplin PAS

Jawatankuasa disiplin PAS menggantung Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad daripada jawatan partinya selama enam bulan berkuatkuasa hari ini.

Pengerusi jawatankuasa berkenaan, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata ahli EXCO kerajaan Negeri Datuk Hassan Ali pula diberi amaran bertulis.

Khalid didapati bersalah kerana mendedahkan maklumat sulit parti dan mengkritik Hasan.

Khalid digantung daripada menjadi Yang diPertua PAS Shah Alam dan anggota biro politik parti.

Dr Hasan juga didapati bersalah mengkritik prosedur tatacara pendengaran Selcat dan pelantikan pengurus besar PKNS, Liow Siew Moi.

Kedua-dua mereka dilarang membuat kenyataan yang menjejaskan PAS dan Pakatan Rakyat.


Ulasan GB

Seperti yang GB ulaskan sebelum ini bukan sahaja keputusan itu boleh dicabar, malah kesahihan keseluruhan Jaawatankuasa Disiplin itu boleh dicabar.

Pembentukan Jawatankuasa Disiplin tidak mengikut kehendak Perlembagaan Parti.

Juga, Jawatankuasa yang dibentuk juga lansung tidak menunjukkan integriti apabila Ketua Jawatankuasa Disiplinnya sentiasa menunjukkan siap bias di dalam kenyataan-kenyataannya.

Kesan kesalahan Khalid adalah di dalam lingkungan parti kerana mendedahkan minit mesyuarat parti sedangkan kesan keslaahan Hassan Ali lebih besar, ia menyentuh rakan-rakan Pakatan Rakyat, kerana mengkritik SELCAT.

Tetapi J/K Perwakilan yang bias menyebabkan keputusan menjadi apa yang ada pada hari ini.

Saya yakin keputusan J/K Disiplin itu ditentang oleh majoriti ahli PAS seluruh negara, bukan sekadar di Shah Alam.

Kita juga mencabar ahli-ahli Jawatankuasa Disiplin membuktikan bahawa perlantikan mereka di Jawatankuasa Disiplin parti adalah sah. Kita juga ingin tahu Perlembagaan PAS mana yang mereka gunakan, atau sekadar menggunakan "deraf" Perlembagaan yang belum diluluskan oleh Muktamar dan ROS?

PAS boleh diheret ke Mahkamah lantarannya.

Lampu Merah Untuk Pakatan Rakyat Menjelang PRU13

Pro-Aspirasi menang lagi di 3 kampus utama

Kumpulan pro-Aspirasi (pro-A) menang lagi di tiga kampus utama dalam pilihan raya kampus universiti masing-masing semalam.

Dalam keputusan yang diumumkan lewat malam tadi, kumpulan tersebut menewaskan musuh tradisinya pro-Mahasiswa (pro-M) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Di UKM, pro-A memenangi 19 kerusi berbanding pro-M yang mendapat 15 kerusi. Bebas mendapat 1 kerusi. Universiti tersebut mempertandingkan 35 kerusi.

Di UTM, pro-A memenangi 28 kerusi manakala pro-M mendapat 18 kerusi. Bebas mendapat 5 kerusi. Keseluruhannya 51 kerusi dipertandingkan.

Sementara keputusan di USM pula, pro-A menang besar. Di kampus utamanya di Pulau Pinang, kumpulan tersebut menang bergaya dengan 31 kerusi.

Bebas berjaya mendapat 2 kerusi. Pro-M pula gagal mendapat sebarang kerusi.

Penguasaan berterusan pro-A

Keputusan kampus Kubang Kerian belum diperolehi setakat ini. Universiti berkenaan mempertandingkan 39 kerusi.

Keputusan terbaru tersebut melengkapkan penguasaan berterusan kumpulan pro-Aspirasi di kampus-kampus, melainkan di kubu kuat mereka di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Sebelum ini, pro-A turut menang tipis di Universiti Malaya (UM) apabila mendapat 21 daripada 41 kerusi yang dipertandingkan.

Pro-Mahasiswa tewas apabila mendapat 17 kerusi - kurang dua kerusi berbanding tahun lalu. Calon Bebas memperolehi 3 kerusi.

Tidak puas hati dengan keputusan tesebut, pro-M mengadakan demontrasi di universiti berkenaan malam tadi sejurus selepas keputusan tersebut diumumkan.

Di Universiti Putra Malaysia (UPM) pula, pro-A memperolehi 37 kerusi berbanding pro-M sebanyak 11 kerusi.

Pro-M hanya bertahan di UIA, UMT

Bagaimanapun kemenangan 7 daripada 11 calon kumpulan pro-M dibatalkan kerana didapati berkempen secara berkumpulan menggunakan laman sosial Facebook.

Selain di UIA, pro-M hanya menang di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Di pusat pengajian tersebut, pro-M menang 11 daripada 12 kerusi yang dipertandingkan. Manakala pro-A hanya mendapat 1 kerusi sahaja.

Di UIA - satu-satunya kampus utama yang masih dikuasai pro-M - kumpulan itu mempertahankan kemenangan dengan memperolehi 15 daripada 29 kerusi yang dipertandingkan.

Manakala pro-Aspirasi, bebas dan calon antarabangsa, masing-masing mendapat 4 kerusi.

Baki dua lagi kerusi - masing-masing satu di Fakulti Perubatan dan kerusi Antarabangsa di Kuantan - kosong ekoran tiada calon yang bertanding di situ. -malaysiakini


Mahkamah Persekutuan Tolak Permohonan Anwar Dapatkan Bahan Bukti

Sebagaimana yang dijangka, Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mendapatkan dokumen dan bukti relevan bagi membolehkan peguam beliau menyediakan pembelaan tuntas untuk perbicaraan mantan Timbalan Perdana Menteri itu pada Selasa depan.

Anwar telah meminta salinan kenyataan penuduh Saiful Bukhari Azlan, laporan perubatan yang relevan dan salinan rakaman video di pintu masuk kondominium Jalan

Setia kasih, Bukit Damansara di mana Saiful mendakwa tuduhan fitnah liwat itu berlaku pada Jun tahun 2008 .

Peguam-peguam Anwar memohon untuk diberikan akses kepada bahan bukti itu bagi membolehkan mereka menyediakan soal balas yang bernas terhadap saksi yang dikemukakan oleh pendakwaraya, demi memastikan keadilan.

Hakim Abdul Hamid Embong bagaimanapun mengumumkan bahawa panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan Anwar tidak berhak mendapatkan salinan bukti yang dipohon itu.

Keputusan itu selari dengan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan yang membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini membenarkan Anwar mendapatkan salinan bukti yang dipohon itu.

Hakim Mahkaman Tinggi Mohd Zabidin Mohd Diah telah membenarkan permohonan Anwar itu kerana berpendirian Ketua Pembangkang itu perlu diberikan ruang secukupnya untuk menyediakan pembelaan tuntas.

Namun keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini bermakna Anwar telah gagal dalam semua permohonan beliau di peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan pembelaan daripada tindakan-tindakan yang diambil oleh Peguam Negara Gani Patail.

Saiful membuat tuduhan itu beberapa hari selepas beliau mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri Najib Razak dan sehari selepas beliau mengadakan pertemuan “sulit” dengan seorang pegawai polis kanan Rodwan Mohd Yusuf.

Rodwan adalah pegawai polis yang dilaporkan cuba memalsukan bukti DNA terhadap Anwar ketika perbicaraan beliau pada tahun 1999.

Tuduhan itu dibuat oleh Saiful ketika Najib sedang memimpin kempen Umno untuk menghalang Anwar daripada memenangi pilihanraya kecil Permatang Pauh dan sekali gus diangkat menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen.

Tuduhan fitnah itu gagal mengalihkan sokongan untuk Anwar yang menang dengan majoriti besar dan mantan Timbalan Perdana Menteri itu kini menjadi seteru politik utama Najib. -TVS


Ulasan GB

Merah! lampu merah untuk Pakatan Rakyat apabila gelombang yang ada kini nampaknya tidak berpihak kepada PR.

Seandainya kampus-kampus telah boleh di tawan oleh golongan yang dikatakan berpihak kepada BN melalui sistem e-undi yang baru diperkenalkan, maka langkah yang serupa dilakukan oleh SPR untuk memperkenalkan sistem pengundian awal yang membolehkan pengundi berdaftar mengundi lebih awal dan dua hari sebagai tempoh bertenang, sebagai langkah untuk menyelamatkan parti pemerintah.

Dan Ketua Umum PKR kini dinafikan untuk mendapaytkan maklumat tambahan oleh Mahkamah Persekutuan. Bererti konspirasi berjalan terus tanpa sekatan.

Pilihanraya Umum ke 13 pada 2013, apakah ia bakal mengulangi pilihanraya 2004?

Bersiap sedialah dengan apa-apa kemungkinan.



Seorang Firaun Kecil Yang Pemalu

Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Nordin dengan tegas menolak pelawaan Umno untuk menyertai parti itu sekiranya Parti Keadilan Rakyat memecat keahliannya.

Mengulas pelawaan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr.Mohd Puad Zarkashi yang mengatakan UMNO sedia membuka pintu untuknya, beliau berkata Umno tidak perlu membuang masa kerana perjuangan mereka berbeza.

“Tak payalah UMNO buang masa nak buka pintu, nak jual pintu, atau nak jual pintu pada saya sekalipun," katanya.

Beliau berkata, prinsipnya adalah memperjuangkan Islam dan di dalam PKR, dia masih boleh menyuarakan pendapatnya berbanding jika di dalam UMNO.

“Saya punya perjuangan, perjuangan Islam. Dalam Pakatan Rakyat saya masih lagi boleh bercakap tentang Islam. Saya masih lagi diberi ruang untuk mengemukakan pandangan malahan membawa beberapa usul di dalam Parlimen yang saya rasa saya tak boleh buat begitu di dalam UMNO," tegasnya.

Sehubungan itu katanya, tidak timbul isu beliau ingin menyertai UMNO. Sebagai ahli, beliau tetap menghormati apa saja keputusan yang bakal diambil PKR terhadapnya.
Zulkifli kini sedang menunggu hukuman daripada PKR berikutan pendiriannya yang tidak sehaluan dengan dasar parti.

“Saya ucapkan terima kasih kepada kawan saya Puad Zarkashi, tapi simpan la pintu tu”katanya. -TVS


MP Zul: Firaun-firaun kecil PKR mula cincang saya

Ahli Parlimen Kulim Bandar-Baharu Zulkifli Noordin, yang kemungkinan besar dihadapkan kepada jawatankuasa disiplin PKR, mendakwa beliau telah “dijatuhkan hukuman” walaupun belum ada sebarang prosiding untuk menyiasatnya berhubung aduan agar polis menyiasat wakil rakyat PAS, Khalid Samad di bawah Akta Hasutan.

Zulkifli mengatakan demikian ketika Biro Politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedang mengadakan mesyuaratnya, yang antara lain membincangkan isu beliau.

“Melihat kepada kenyataan akhbar yang riuh dibuat adalah jelas hukuman sudah pun dijatuhkan kepada saya walaupun belum lagi ada apa-apa prosiding dibuat terhadap saya.

“Kelihatan firaun-firaun kecil mula menyalak sana sini menuntut kepala saya dipancung!” kata beliau dalam tulisan blognya hari ini.

Mesyuarat Biro Politik turut dihadiri penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar dijangka menemui wartawan dalam lingkungan 2 petang ini.

Zulkifli telah menjawab surat penjelasan Anwar berhubung tindakannya membuat laporan terhadap Khalid yang merupakan ahli Parlimen dan Yang Dipertua PAS Shah Alam.

“Dosa saya: hanya kerana mempertahankan kalimah suci Allah daripada disiat-siut dan dicemar oleh golongan yang terlalu mempertuhankan politik.

“Politik menghalalkan segala cara walaupun perlu menggadai anak bini, politik itu tuhan walaupun Allah terpaksa di pijak,” katanya.

Peguam itu menambah sejak perjuang untuk Islam beliau sudah bersedia untuk sebarang kemungkinan.

“Dari zaman saya mula mengenal Islam sebagai suatu addeen yang indah dan benar, saya sudah bersedia untuk menerima hakikat saya akan menerima pelbagai cabaran dan halangan.

“Lebih banyak dugaan dan cubaan, lebih saya bersyukur kepada Allah. Sedangkan Nabi kekasih Allah melalui ujian yang maha hebat, inikan insan kerdil saperti saya,” katanya.

Cuma peliknya, kata Zulkifli, sehingga saat beliau mengisi blognya hari ini, beliau masih belum menerima apa-apa notis untuk menghadiri apa-apa prosiding jawatankuasa disiplin atau Biro Politik, yang dikatakan akan bersidang hari ini untuk menentukan tindakan terhadapnya.

“Sedang firaun-firaun kecil ini sudah pun dalam proses mencincang lumat saya di dalam media sana sini, tapi sehingga kini saya tidak dipanggil untuk memberikan penjelasan atau hak membela diri,” katanya.

“Yang saya diberitahu, cuma ada satu taklimat khas oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk semua wakil rakyat dan pimpinan tertinggi PKR pagi ini berkaitan kes liwat yang akan bermula minggu depan.

“Itupun saya telah maklumkan saya tidak dapat hadir kerana sudah ada program terdahulu yang tidak dapat saya batalkan,” katanya.

Sehubungan itu kata Zulkfili, beliau tidak akan berkompromi walau setitik dan bersedia dengan sebarang kemungkinan. - MI


Ulasan GB

Kenapa segan-silu untuk memasuki UMNO apabila pintunya telah dibuka luas untukmu?

Anda menuduh orang yang tak sependapat denganmu sebagai "firaun kecil" - panggilan nama hodoh yang berbalik kepada dirimu.

Kini tiba-tiba Zul Kulim menjadi seorang firaun kecil yang pemalu...


Isu PMBK Selesai, Ariffahmi Letak Jawatan 31 Jan

Isu membabitkan Ir Abdul Ariffahmi Abdul Rahman di Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) akhirnya berpenghujung apabila kedudukannya di agensi itu berakhir 31 Januari ini.

Petang semalam, berlangsung majlis perpisahan dan serah tugas yang disaksikan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Tempat Ariffahmi diganti bekas Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan, Ir Mustafa Salleh.

Sebelum ini, menantu menteri besar itu menghantar notis meletak jawatan yang akan berakhir pada 23 Mac hadapan.

Bagaimanapun, ia dipercepatkan lagi bagi membolehkan pengurusan baru mengambil alih tanggungjawab.

Isu membabitkan Ariffahmi timbul ekoran wujud dakwaan berlaku penyelewengan sehingga Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malayasia (SPRM) membuka fail siasatan.

Kesnya tersebar kepada umum ekoran sebuah blog milik bekas pegawai PMBK yang mendedahkan pelbagai isu membabitkan Ariffahmi.

Ketika ditemui beliau memberitahu telah menerajui agensi korporat milik kerajaan negeri itu sebagai Ketua Pegawai Operasi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) selama lima tahun dua bulan.-Harakahdaily

Roboh Pentas PR Di Batu Caves, Alasan KPN S'ngor Tak Masuk Akal - Xavier

Tindakan polis mengarahkan kerajaan negeri Selangor merobohkan pentas yang telah disiap-dibina untuk menyambut perayaan Thaipusam di Batu Caves amat mencurigakan.

Exco Selangor Dr Xavier Jayakumar berkata pihak polis telah melampaui batas dan berkemungkinan besar menjurus kepada lawatan Perdana Menteri Najib Abdul Razak hari ini.

Beliau bersama-sama Adun Batu Caves Amirudin Shaari bergegas ke lokasi untuk meninjau perbuatan polis ini, meminta penjelasan namun polis enggan bekerjasama.

"Kita telah angkat program ini di laman sesawang kerajaan negeri, promosi besar-besaran telah dibuat, ribuan pengunjung tahu akan program ini. Selepas perbincangan dibuat dan persetujuan dicapai, mengapa disaat-saat akhir polis mahu berhentikan acara ini," kata Xavier.

Sambutan Thaipusam ini adalah sebahagian dari program pelancongan Selangor Shines yang diusahakan kerajaan negeri bersama Tourism Selangor dan syarikat telekomunikasi Digi.

Jutaan ringgit telah diperuntukkan untuk menjayakan program Selangor Shines dalam usaha menarik kehadiran pengunjung dalam dan luar negara.

Sambutan mesra rakyat kerajaan negeri sempena Thaipusam telah dirancang sejak tiga minggu lalu bersama-sama Majlis Perbandaran Selayang, penduduk dan pihak keselamatan.
TV Selangor juga difahamkan bahawa penganjur telah menjemput artis dalam dan luar negara dan mereka telahpun bersiap-sedia untuk beraksi di pentas ini.

Sementara itu, portal The Malaysian Insider melaporkan Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata pentas konsert itu didirikan diatas kawasan untuk kenderaan-kenderaan polis.

Khalid berkata polis tidak membantah sekiranya pentas ini diadakan di lokasi berbeza.
Beliau turut berkata alasan ini telah dimaklumkan kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Kita telah pun rancang program ini bersama-sama barisan penganjur, dan Majlis Perbandaran Selayang tiga minggu sebelum Thaipusam. Dalam masyuarat itu, pihak polis telah tunjukkan penempatan unit polis sepanjang acara Thaipusam. Pihak MPS telah meluluskan tempat ini untuk acara kerajaan negeri, dan saya bersama-sama polis telah melawat lokasi ini," jawab Xavier.

Xavier menjelaskan tapak dan waktu yang dipilih untuk menganjurkan pesta Thaipusam ini tidak bercanggah dengan aturcara Perdana Menteri Najib Abdul Razak.
Bahkan sekiranya Najib turut melawat pesta ini, kerajaan negeri akan mengalu-alukan kedatangan beliau sebagai tetamu kehormat. -TVS


Mustapha Pengampu, Utusan Akhbar Dongeng - Ku Li

Matlamat untuk mengumpulkan 100,000 orang di Stadium Sultan Mohd IV tercapai untuk program Solat Hajat dan Majlis Penerangan Royalti Minyak oleh YBM Tengku Razeleigh Hamzah malam tadi.

"Berbanding dengan Forum Wang Ehsan anjuran UMNO yang dihadiri oleh hanya 500 orang (yang digembar-gemburkan 5,000 orang oleh media arus perdana) menunjukkan bahawa rakyat berdiri teguh bersama kepimpinan kerajaan negeri di dalam isu Royalti," tegas seorang pemimpin PAS yang sempat GB hubungi.

Sambil menegaskan kehadirannya pada sesi penerangan malam ini mendapat perkenan Istana Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, negeri itu berhak menerima royalti petroleum lima peratus, lapor Malaysian Insider.

“Saya maklum kepada tuanku perkara ini, tuanku perkenan. Pemangku Raja kata bagus tok li, bagus,”
kata beliau pada program penerangan isu tuntutan royalti di sini.

Justeru Pengasas Petronas itu mengesahkan Kelantan berhak menerima bayaran wang royalti sebanyak lima peratus.

Pada masa yang sama Tengku Razaleigh juga berkata beliau tidak mempedulikan apa jua tomahan orang berhubung kehadirannya malam ini.

“Kalau ada orang kata, jawapan saya, peduli apa...,” kata beliau sambil menambah, kehadirannya adalah demi rakyat.

Pada sidang media, Tengku Razaleigh menyifatkan Pengerusi Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed sebagai pengampu manakala Utusan pula akhbar dongeng.

“Jangan sebut nama itu depan saya. Mustapa pengampu Utusan dongeng,” katanya diminta mengulas kenyataan Mustapa bahawa kerajaan pusat hanya akan bayar wang ihsan pada kerajaan negeri.

Ditanya konflik antara wang ihsan dan royalti beliau berkata, “royalti bukan wang ihsan, wang ihsan bukan royalti.”

Bagaimanapun beliau menyerahkan kepada kerajaan negeri untuk menolak atau menerima bayaran royalti atau wang ehsan.

Terdahulu Tengku Razaleigh tiba di sini kira-kira 9.30 malam tadi dengan diarak 50 beca sebagai simbolik 'usaha' kerajaan negeri itu membawa pertikaian bayaran royalti.

Kehadiran beliau untuk memberi penerangan mengenai isu berkenaan diiringi oleh Exco Kerajaan Negeri Datuk Husam Musa.

Difahamkan iringan beca adalah kehendak penarik beca Kelantan sendiri untuk membawa Tengku Razaleigh sebagai tanda sokongan penerangan beliau terhadap tuntutan royalti negeri.

Majlis bermula dengan solat Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, diikuti solat Isyak yang diimamkan oleh Ustaz Mohamad Mustafa manakala solat hajat dipimpin oleh Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ucapan Tengku Razaleigh berjaya menarik perhatian orang ramai yang memenuhi padang Stadium Sultan Mohamad IV itu berakhir kira-kira jam 10.50 malam.

Beliau yang juga bekas Pengerusi Petronas dan Ahli Parlimen Gua Musang menyatakan Kelantan ada hak untuk mendapat royalti minyak sebanyak RM2 bilion dan akan menjadi negeri yang terkaya.

Beliau turut mempersoalkan mengapa Kelantan tidak mendapat royalti minyak sedangkan Sabah dan Sarawak memperolehinya.

Memorandum berhubung tuntutan royalti itu diedarkan kepada orang ramai untuk ditandatangani dan akan diserahkan kepada Pemangku Raja dan Perdana Menteri.

Kira-kira 7 petang tadi, Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hadir dengan diiringi timbalannya dan exco-exco kerajaan, wakil rakyat serta pegawai kerajaan negeri.