13 Apr 2010

Zaid Diangkat Calon PR Dihadapan 10,000 Penyokong

Pakatan Rakyat mengetengahkan bekas Menteri Undang-Undang dan dermawan terkemuka, Zaid Ibrahim dalam pilihanraya kecil Hulu Selangor menentang gergasi BN.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Dato Seri Anwar Ibrahim mengumumkan perkara itu di hadapan 10,000 penyokong Pakatan Rakyat di Serendah, Hulu Selangor sebentar tadi.

Pengumuman ini dibuat dua hari lebih awal dari BN, yang masih buntu mencari calon terbaik menghadapi Zaid Ibrahim.

Zaid adalah peguam yang pernah suatu ketika menguruskan firma undang-undang terbesar di negaa ini sebelum berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Kota Bharu.

Pada 2008, beliau meletak jawatan sebagai Menteri Undang-Undang dari Kabinet Abdullah Ahmad Badawi sebagai tanda bantahan kepada penahanan Exco Selangor Teresa Kok, wartawan Cina dan seorang blogger. -TVS

Ulasan GB

GB sebelum ini telah memetik satu tulisan yang disiarkan di dalam laman freemalaysiatoday bertajuk, Dia Calon Terbaik PR Untuk PRK Hulu Selangor.

Tahniah Datuk Zaid, semuga Datuk berjaya dan ayuh bekerja kita semua untuk kemenangan Pakatan Rakyat.



Perhimpunan Halal

Perhimpunan Halal
Oleh Puspawati Rosman

Pada 31 Mac 2010 yang lalu, hampir 200 orang peguam telah berhimpun di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur.

Perhimpunan itu bertujuan untuk membantah salahlaku beberapa orang polis terhadap seorang peguam, saudara Amer Hamzah bin Arshad (gambar kanan). Pada hari kejadian, polis-polis tersebut, yang berpakaian biasa telah menggunakan kekerasan menghalang saudara Amer daripada menjalankan tugasnya untuk bertindak bagi pihak anak guamnya ketika saudara Amer dan anak guamnya hendak membayar wang ikat jamin di kaunter bayaran di Mahkamah.

Saudara Amer menuntut polis-polis tersebut mengeluarkan kad kuasa mereka sebagai bukti bahawa mereka ialah anggota polis. Malangnya beliau tidak diendahkan dan telah ditarik dan ditolak oleh polis, dikawal dan dihalang daripada keluar daripada Mahkamah sehingga anak guamnya dibawa entah ke mana oleh polis. Kemudian, barulah beliau diberitahu oleh polis bahawa anak guamnya akan ditahan untuk siasatan. Di dalam kes ini, anak guamnya ditahan tanpa bicara kerana polis belum atau tidak mempunyai bukti yang cukup untuk mendakwanya di Mahkamah.

Para peguam yang mendapat tahu tentang kejadian tersebut berasa sungguh marah kerana ternyata pihak polis telah menyalahlaku terhadap saudara Amer yang sedang menjalankan tugas. Selain daripada itu, isu tahan tanpa bicara juga membangkitkan kemarahan kerana Majlis Peguam telahpun mengeluarkan resolusi membantah mana-mana tindakan menahan tanpa bicara di Mahkamah, kerana ia adalah bercanggah dengan hak asasi manusia. Maka sekumpulan peguam telah mengambil inisiatif mendraf dan menyerahkan memorandum dan berhimpun di Bukit Aman sebagai tanda protes.

"Peguam tak patut turun ke jalan raya"

Beberapa hari selepas perhimpunan tersebut, telah keluar beberapa suara yang kurang senang daripada segelintir orang tentang peranan yang sepatutnya dan tidak sepatutnya dimainkan oleh peguam di dalam isu-isu sebegini.

Kata mereka, peguam tidak patut turun ke jalan raya dan memegang kain rentang. Peguam hanya perlu menegakkan undang-undang di dalam Mahkamah sahaja. Kami hanya perlu bantu orang ramai dengan mendapatkan keadilan untuk mereka melalui saluran undang-undang yang sedia ada. Ini adalah kerana, menurut mereka, aksi berhimpun itu sendiri adalah salah di sisi undang-undang.

Persoalannya, bagaimana pula jika undang-undang itu sendiri adalah menindas dan melanggar hak asasi manusia?

Sepanjang saya beramal sebagai peguam, seingat saya kejadian pada 31 Mac itu bukanlah pertama kali para peguam turun ke jalan untuk memprotes ketidakadilan, di dalam kapasiti mereka sebagai peguam. Pada tahun 2006, kira-kira 50 orang peguam telah berkumpul di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman membantah salah laku polis terhadap seorang peguam iaitu saudara Charles Hector. Pada ketika itu saya masih lagi seorang pelatih dalam kamar.

Kemudian, pada 26 September 2007, kira-kira 2000 peguam telah berarak dari Mahkamah Putrajaya ke Pejabat Perdana Menteri untuk menyerahkan memorandum membantah penyelewengan di dalam sistem kehakiman.

Pada 9 Disember 2007, empat orang peguam telah ditangkap, dimasukkan ke dalam lokap dan didakwa di Mahkamah Jenayah apabila mereka menyertai perarakan Hak Asasi Manusia dengan memegang kain rentang "Lawyers for Freedom of Assembly" sebagai tanda menyokong hak untuk berhimpun secara aman.

Pada 8 Mei 2009, kira-kira 200 peguam berhimpun di dalam Mahkamah Jalan Duta dan Balai Polis Brickfields untuk membantah penangkapan lima orang peguam daripada Pusat Bantuan Guaman Kuala Lumpur yang sedang menjalankan tugas.

Salut saya kepada peguam-peguam yang menyertai perhimpunan-perhimpunan di atas, kerana mereka benar-benar faham tentang apa itu hak berhimpun.

Di negara ini, kebanyakan tangkapan yang dibuat oleh pihak polis ketika perhimpunan atas alasan perhimpunan tersebut adalah perhimpunan haram dan tidak mendapat kebenaran daripada pihak polis.

Perhimpunan yang halal?

Persoalan seterusnya- wujudkah perhimpunan yang halal di negara ini?

Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa sesuatu perhimpunan adalah dibenarkan, selagi ianya adalah aman dan tidak bersenjata. Walau bagaimanapun, hak untuk berhimpun ini telah dikekang oleh Akta Polis 1967 dan Kanun Keseksaan. Di bawah Akta Polis, sekumpulan individu yang lebih daripada tiga orang harus meminta kebenaran atau permit daripada polis di daerah mana perhimpunan hendak diadakan. Akan tetapi, kebenaran itu tidak menjamin perhimpunan itu boleh dijalankan, kerana polis boleh membatalkan permit pada bila-bila masa sahaja walaupun kebenaran telah diberikan pada awalnya.

Secara peribadi, saya tidak menyokong dan membantah kaedah meminta kebenaran atau permit daripada polis ini. Kenapa?

Kerana Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang utama negara ini. Sepatutnya, sekiranya terdapat mana-mana undang-undang lain yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, undang-undang itu adalah tidak sah atau terbatal. Akan tetapi nampaknya, di dalam banyak perkara, akta-akta seperti Akta Polis ini mengatasi segalanya. Padahal, Perlembagaan Persekutuan telah menjamin kebebasan asasi seperti hak berhimpun secara aman.

Artikel 20 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (yang telah dibentangkan buat pertama kali di Palais de Chaillot di Paris pada tahun 1948) adalah antara peruntukan terawal yang memberikan semua orang kebebasan untuk berhimpun dan berpersatuan secara aman. Artikel ini telah diadaptasi oleh banyak negara di dunia, termasuklah negara kita yang mengaplikasikannya di dalam Perlembagaan Persekutuan. Kebanyakan negara-negara tersebut benar-benar menjamin hak tersebut dan membenarkan perhimpunan secara aman, walaupun tanpa permit.

Maka persoalan saya yang seterusnya- perlukah kita meminta kebenaran untuk mengamalkan hak asasi kita sendiri?

Saya tidak menafikan bahawa memang wujud undang-undang yang menghalang perhimpunan tanpa permit. Saya juga tidak menafikan bahawa di dalam negara ini, perhimpunan lebih daripada tiga orang tanpa permit boleh dianggap sebagai satu perhimpunan haram mengikut undang-undang. Saya juga tidak menafikan bahawa sekiranya anda dan 38 orang kawan-kawan lain berada di dalam sebuah bilik hotel, anda adalah berkhalwat (maaf, saya sedang cuba menjadi kelakar).

Tetapi, hanya kerana saya seorang peguam atau pengamal undang-undang, patutkah saya berpaling kepada anda semua sambil berkata "perhimpunan yang lebih daripada tiga orang tanpa permit adalah salah di sisi undang-undang. Anda boleh didakwa di Mahkamah. Sila jangan lakukan." ?

Jawapannya, sudah tentu tidak. Saya juga percaya bahawa ramai rakan-rakan peguam saya yang lain yang juga percaya kepada hak asasi manusia, akan memberikan jawapan yang sama. Oleh yang demikian, kami akan berterusan memberikan pendidikan dan kesedaran undang-undang dan hak asasi kepada seberapa ramai orang yang boleh. Kami percaya kepada kebebasan dan hak asasi, dan kami juga percaya bahawa undang-undang yang menindas dan melanggar hak asasi manusia patut dimansuhkan.

Disebabkan itu, saya percaya bahawa adakalanya para peguam perlu mendekatkan diri dengan orang ramai, bukan sahaja dengan mewakili mereka di dalam Mahkamah, tetapi juga dengan berjuang bersama-sama mereka, berdiri sebelah-menyebelah atas nama perjuangan hak asasi manusia.

Maka saya juga percaya bahawa adakalanya, peguam juga perlu turun ke jalan raya.

*Puspawati Rosman ialah seorang peguam, ahli jawatankuasa Pusat Bantuan Guaman Selangor dan ahli Lawyers for Liberty (Peguam untuk Kebebasan). -MR

MP Pasir Salak - Pemfitnah Yang Pengecut

Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman tidak akan melayan cabaran dua wakil rakyat pembangkang supaya beliau mengulangi kenyataannya 7 April lalu pada persidangan Dewan Rakyat bahawa ada antara pemimpin Pulau Pinang kerap ke Singapura dan Hong Kong dan menjual rahsia negara di sana.

Beliau berkata semua pihak telah maklum sikap pembangkang yang suka mendedahkan dan memburukkan kerajaan khususnya ketika sesi persidangan Dewan Rakyat.

"Saya tidak kisah cabaran tu, apa yang nak dikisahkan tapi pokoknya dia (pembangkang) tahu apa yang kita cakap," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Terdahulu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan daripada DAP dan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin daripada Pas, dalam sidang akhbar masing-masing, mencabar Tajuddin supaya mengulangi kenyataan yang dibuatnya itu di luar dewan bagi membolehkan mereka mengambil tindakan.

Lim menjelaskan bahawa tujuannya ke Singapura dan Hong Kong adalah untuk mencari pelaburan bagi Pulau Pinang manakala Mohamad Nizar mendakwa beliau menjadi mangsa fitnah oleh Tajuddin.

"Saya mencabar beliau membuktikan bahawa saya jual tanah di Perak kepada Cina dan pelabur Singapura," katanya. - Bernama

Ulasan GB

Cakap di Dewan Rakyat komain berdegar-degar, buat tuduhan itu dan ini, bila dicabar ulangi tuduhan di luar Parlimen, tiba-tiba si pemfitnah ini pengecut rupa-rupanya.

Sepatutnya diusul sahaja Tajudddin dihadapkan ke JK Disiplin dan Kebebasan Parlimen. Biar dia tahu langit tinggi rendah.

Nizar Cabar Tajuddin Ulang Tuduhan Di Luar Parlimen

Dua Ahli Parlimen dari PAS dan DAP hari ini mencabar Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman yang menuduh mereka menjual tanah kepada Singapura agar mengulangi dakwaan tersebut di luar Dewan agar tindakan undang-undang boleh diambil terhadap beliau.

Pada satu sidang media di perkarangan Parlimen, anggota Dewan Bukit Gantang, Datuk Seri Nizar Jamaluddin menjelaskan Tajuddin boleh membuat dakwaan tersebut jika benar ada bukti kukuh mengenainya.

"Kami di sini seolah-olah dijadikan mangsa oleh Ahli Parlimen Pasir Salak sewaktu saya tiada di Dewan baru-baru ini, Pasir Salak menuduh saya telah terlibat dalam operasi menjual tanah di Perak kepada Singapura.

"Kita mencabar Pasir Salak buat dakwaan yang sama di luar Dewan supaya kita boleh mengambil tindakan dan tunjukkan kebenaran," kata Nizar.

Tajuddin dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2009) 2010 di Dewan Rakyat baru-baru ini mendakwa Pakatan Rakyat Perak yang diketuai Nizar sewaktu menjadi kerajaan negeri telah terlibat dalam operasi menjual tanah dan pasir kepada taukeh-taukeh Cina di Singapura.

Oleh kerana ketidakhadiran Nizar semasa sesi tersebut, Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham dan juga Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming bangun menafikan dakwaan tersebut.

Nizar juga turut mencabar tuduhan kedua Tajuddin yang disifatkan suatu yang serius dan perlu kemukakan bukti.

"Saya juga dituduh bukan sahaja menjual tanah pasir kepada Singapura malah turut dituduh jual tanah kepada kaum Cina di Perak.

"Buktikan mana tanah yang saya jual kepada Singapura, mana dia tanah yang saya jual kepada taueh Cina. Sampai sekarang mereka tidak juga memberi bukti.

"Kami Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat dari PAS, DAP dan KEADILAN ingin menuntut keadilan supaya rakyat sedar kalau inilah mutu Ahli Parlimen kita yang membuat tuduhan tanpa bukti, saya rasa ini satu malapetaka kepada rakyat Malaysia," tegasnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng yang juga dituduh menjual maklumat Malaysia kepada Singapura dan Hong Kong senada dengan Nizar mencabar Tajuddin membuat dakwaan sama di luar Dewan.

"Memanglah perkara palsu saya ke Singapura dan Hong Kong untuk jual maklumat negara. Saya ke sana atas urusan perniagaan sahaja. Samalah seperti Perdana Menteri ke Singapura dan Hong Kong ke negara tersebut untuk tujuan pelaburan.Jadi saya cabar beliau buat tuduhan di luar Dewan," kata Guan Eng.

Beliau juga menyelar tindakan Tajuddin yang menggunakan imuniti sebagai ahli Parlimen untuk membuat tuduhan sewenang-wenangnya.

"Jangan berselindung dalam Dewan, berselindung di atas kekebalan undang-undang yang dinikmati oleh Ahli Parlimen untuk membuat sebarang tuduhan," katanya. -SK

MP Pasir Salak Diberi Amaran Keras

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini memberi amaran keras kepada Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman supaya tidak mengganggu Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran.

Beliau sudah memanggil kedua-dua wakil rakyat itu untuk memberi penjelasan terhadap insiden dakwaan ugut yang berlaku Khamis lepas.

Pada Khamis lepas, Kulasegaran mendakwa Tajuddin mengancam untuk memukul beliau di lobi Parlimen kerana menyifatkan Ahli Parlimen DAP itu mencemarkan nama beliau.

Namun, Tajuddin ketika diminta mengulas dakwaan itu mempertikaikan tindakan Kulasegaran yang menggunakan laman blog untuk membuat fitnah dan mencerca beliau.

Selepas sesi soal jawab pagi ini, Pandikar Amin berkata bahawa semasa pertemuan itu, beliau memberi pandangan kepada kedua-dua Ahli Parlimen supaya bertindak dengan mengambil kira integriti Parlimen.

"Saya ucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Ipoh Barat yang menerima pandangan saya secara positif dan beliau kemudiannya bersetuju supaya tidak mendesak supaya Ahli Parlimen Pasir Salak dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan," katanya.
(Bernama)

Hampir Pasti : Zaid Bertemu Palanivel

Datuk Zaid Ibrahim hari ini dipilih sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor, lapor malaysiakini.

Menurut sumber, pemilihan Zaid itu dibuat oleh biro politik PKR yang bermesyuarat di rumah ketua umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi ini.

“Keputusan memilih Zaid buat sebulat suara,” kata sumber itu lagi.

Zaid yang juga bekas menteri yang bertanggungjawab mengenai hal-ehwal perundangan ketika dalam barisan kabinet bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum berpaling tadah ke PKR.

Beliau dijangka akan diperkenalkan secara rasmi sebagai calon Pakatan Rakyat di sebuah ceramah di Serendah, malam ini.

Zahid dikatakan sebagai calon terbaik bagi PKR untuk mempertahankan kerusi itu kerana pengalamannya yang luas.

Kerusi Parlimen Hulu Selangor kosong selepas penyandangnya Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad meninggal dunia pada 25 Mac lepas akibat barah otak.

Pada pilihan raya umum 2008, wakil rakyat PKR itu menewaskan calon Barisan Nasional Datuk G Palanivel dengan majoriti tipis 198 undi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini mengesahkan bahawa BN akan meletakkan calon daripada MIC untuk bertanding pada pilihan raya kecil yang akan diadakan 25 April ini.

BN dijangka mengumumkan calonnya pada 15 April, iaitu dua hari sebelum penamaan calon, dan desas-desus mengatakan Palanivel akan diberi peluang kedua untuk merampas kembali kerusi yang pernah disandangnya sebanyak tiga penggal itu.

Datuk G Palanivel yang juga timbalan presiden MIC yang menjadi ahli parlimen Hulu Selangor selama empat penggal sejak 1990 tetapi ditumbangkan dengan majoriti tipis pada pilihan raya umum 2008 berharap dapat kembali ke Dewan Rakyat.

Ketika dihubungi, naib presiden MIC, Datuk Dr S Subramaniam mengesahkan Palanivel adalah calon tunggal parti itu.

Beliau juga menolak khabar angin bahawa pencalonan Palanivel menghadapi masalah kerana beliau akan menuntut jawatan kabinet jika menang kelak.

"Memenangi pilihan raya kecil itu adalah keutamaan kami,” kata Subramaniam, yang dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia sejak tahun 2008 kerana beliau adalah pemimpin tertinggi MIC yang menang pada pilihan raya umum lalu.

Seorang lagi naib presiden MIC, Datuk M Saravanan juga tidak mahu melayan soalan jika ada tuntutan supaya Palanivel digugurkan.

“Tidak ada 'jika' dalam politik,” tegas Saravanan.

Saravanan, yang juga adalah timbalan menteri wilayah persekutuan berkata masyarakat India di Hulu Selangor berdiri teguh di belakang Palanivel.

Gerakan Desak K'jaan Pastikan Keadilan Untuk Teoh

Gerakan menggesa kabinet supaya memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa kerajaan akan memastikan keadilan dalam siasatan kes kematian Teoh Beng Hock.

Menurut setiausaha agung Gerakan, Teng Chang Yeow laporan yang menyebut bahawa Dr Pornthip Rojanasunand kini berdepan tekanan supaya tidak menghadiri inkues Teoh pada 20 April ini adalah "amat membimbangkan".

Katanya, laporan itu mencemarkan imej kerajaan dan menimbulkan keraguan terhadap komitmen kerajaan untuk mencari keadilan untuk Teoh.

Oleh itu, katanya, Gerakan mencadangkan agar kabinet:

a) Memastikan keselamatan Dr Prontip dari Thailand ke Malaysia serta ketika pulang semula selepas inkues.

b) Menubuhkan satu pasukan khas untuk memastikan keselamatan beliau ketika menghadiri inkues.

c) Menubuhkan sebuah jawatankuasa bebas untuk menyiasat laporan tersebut bagi memulihkan imej kerajaan Malaysia.

d) Memberi jaminan bahawa semua langkah diambil untuk memastikan keadilan terhadap Teoh.

Sehubungan itu, Teng berkata, Gerakan telah mengarahkan naib presidennya, A Kohilan yang juga timbalan menteri luar, supaya memeriksa dengan Kedutaan Malaysia di Bangkok untuk memastikan ketepatan laporan tersebut.

Gerakan juga, katanya, telah meminta Kohilan untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz, untuk memastikan tiada kompromi dalam mewujud keadilan dalam kes Teoh. -malaysiakini

Amalan Rasuah melibatkan Mindef, RM27.5 juta Untuk Kasut Wanita

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua membangkitkan persoalan berhubung kontrak membekal dan menghantar kasut kulit wanita kepada kakitangan awam di Kementerian Pertahanan bernilai RM27.5 juta yang diberikan kepada syarikat Visi Footwear Sdn Bhd.

Sambil merujuk kepada isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Pua berkata,"kita tahu isteri Perdana Menteri bercita-cita menjadikan Malaysia 'pusat kasut di Timur' tetapi pembelian RM27.5 juta kasut wanita untuk kakitangan awam bukan cara mencapai hasrat itu.

"Saya menggesa kementerian terbabit menjelaskan pembelian luar biasa bagi kasut wanita untuk kegunaan mereka", kata Pua.

Pua juga hari ini mendedahkan lebih banyak kesilapan dan kontrak yang dipertikaikan di dalam portal 'MyProcurement' yang menyenaraikan projek-projek kerajaan.

Beliau juga merujuk kepada data baru yang dikemaskini pada Khamis lalu di portal itu yang membabitkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Ia merupakan data pertama yang dimuatkan oleh kementerian itu dalam MyProcurement dan juga merupakan kontrak tunggalnya.

"Apa yang dipersoalkan ialah kementerian itu hanya menganugerahkan satu kontrak sejak Jun 2009 dan yang lebih memeranjatkan ialah kontrak untuk menaiktaraf keselamatan teknologi maklumat dan komunikasi bernilai RM3.6 bilion yang diberikan kepada Business Information.

"Jika kesilapan kali ini berpunca daripada kesalahan titik perpuluhan seperti yang dijangkakan, ini membuktikan bahawa kerajaan tidak serius dengan portal "MyProcurement" yang kononnya dilaksanakan bagi mewujudkan ketelusan dan keterbukaan dalam memberi projek," ujar Pua lagi.

Sebelum ini, Pua mendedahkan kepada media beberapa siri kesilapan kerajaan di dalam portal "MyProcurement" menunjukkan data yang dimasukkan mempunyai kesilapan seperti maklumat tidak lengkap dan tidak tepat serta mempunyai kekurangan seperti spefisikasi tender, tarikh tender, kuantiti dan maklumat berkaitan yang lain.

Kenyataan Muhyiddin Ditempelak, Jwtnkuasa Agama Rebah Sebelum Bermesyuarat

Majlis Perunding Buddhis, Kristian, Hindui, Sikh dan Taoism (MCCBCHST) akan memboikot Jawatankuasa Anatar Agama yang dibentuk oleh Kerajaan, kecuali timbalan perdana menteri menyediakan penjelasan terhadap kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyatakan jawatankuasa antara-agama yang dibentuk oleh kabinet disertai oleh “small-fry,” (mereka yang tidak penting) di dalam usaha beliau untuk mententeramkan kekhuatiran beberapa kumpulan yang menganggap ia (penubuhannya) menggugat kesucian agama Islam.

Ketiadaan sebarang kuasa perundangan, jelas Muhyiddin, ia tidak mempunyai sebarang pengaruh ke atas kedudukan agama rasmi negara.

"Jawatankuasa ini dibuat dalam bentuk pentadbiran di bawah Jabatan Perdana Menteri, mungkin ada hasil-hasil perbincangan yang boleh digunakan sebagai panduan untuk tambah baik perhubungan antara kaum yang boleh kita ambil.

"Tetapi soal-soal tentang kedudukan agama Islam itu tidak akan disentuh, kedudukan dan martabatnya tidak akan disentuh, kita kena hormat antara agama dan wujudkan semangat kerjasama," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan geran permulaan prasekolah swasta Kementerian Pelajaran di Bandar Sungai Buaya di Rawang hari ini.

Walau bagaimapun, beberapa kumpulan bukan-Islam memandang berat keyataan TPM tersebut dan kini megambil langkah untuk memboikot panel Jatankuasa tersebut yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Koh Tsu Koon.

Presiden MCCBCHST, Reverend Dr Thomas Philips, menyatakan bahawa mereka tidak akan hadir di dalam mesyuarat yang dijadualkan hari ini jika tiada penjelasan mengenai kenyataan yang dikeluarkan Muhyiddin itu.

Sementara itu, awatankuasa Fatwa Negeri Perak yang bersidang pada 6-8 April lepas mengambil keputusan sebulat suara membantah penubuhan Jawatankuasa Antara Agama.

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berkata perbincangan tentang agama Islam tidak memerlukan campur tangan daripada pihak bukan Islam kerana ia boleh mengundang implikasi negatif.

“Setiap agama yang wujud tidak boleh disamakan dengan agama Islam yang mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata sebarang bentuk rundingan atau dialog terhadap agama dibolehkan namun Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak berpandangan ia patut dielakkan sama sekali terutamanya dilakukan di kalangan masyarakat umum yang lebih mengundang ketidakfahaman terhadap mereka.

Harussani berkata walaupun matlamat yang dikemukakan dengan penubuhan jawatankuasa itu adalah untuk mewujudkan keharmonian dan pemahaman agama di kalangan masyarakat Malaysia namun Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak berpendapat bahawa jawatankuasa itu bukan medium yang sesuai

“Ini memandangkan kebimbangan wujudnya tuntutan yang tidak munasabah di kalangan penganut agama lain.

Apatah lagi pewujudan jawatankuasa itu adalah rentetan daripada kegagalan penubuhan IFC (Suruhanjaya Antara Agama) yang telah ditentang dan ditolak oleh umat Islam,” katanya.